Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: June 2009
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

PAS PAHANG DIROMBAK, PERKUKUH JPN HADAPI PRU13

ISNIN, 29 JUN 2009 | 06 REJAB 1430H

Mesyuarat Pertama Badan Perhubungan PAS Pahang yang diadakan pada 27 Jun lalu memperlihatkan perubahan kepimpinan utama PAS Pahang, khususnya bagi menghadapi PRU 13.

Tiga tumpuan utama yang diberi perhatian dalam rombakan kali ini, iaitu dengan melantik YB Tuan Syed Hamid sebagai Timbalan Pesuruhjaya bagi Zon Tengah - diharap dapat meningkatkan imej politik sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ADUN Semantan. Disamping itu Timbalan Pesuruhjaya Timur kekal diterajui oleh Ustaz Yusof Embong, manakala Dr Hamzah Jaafar sebagai Timbalan Pesuruhjaya bagi Zon Barat.

Ketua Penerangan PAS Pahang juga memperlihatkan perubahan bila mana Saudara Hasanuddin Salim dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala Syed Abd Rahman yang menjawat jawatan tersebut sebelum ini dilantik ke jawatan Pengerusi Lujnah Penyelidikan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

Rombakan ini dibuat kerana perkembangan politik baru negara memperlihatkan sokongan NGO amat penting kepada kemenangan PAS dalam pilihanraya akan datang. Disamping itu, Syed Abd Rahman yang juga Ketua Urusetia Dewan Negeri yang banyak terlibat dengan penyelidikan dan kajian terhadap pelbagai isu dilihat mampu menjana kekuatan maklumat yang diperlukan oleh PAS Pahang.

Selain perubahan Ketua Penerangan, Jabatan Pilihanraya PAS Pahang juga menyaksikan perubahan besar dengan saudara Abd Majid Hassan dilantik sebagai Pengarah, manakala Kapt (B) Ahyatuddin dilantik sebagai Timbalan Pengarah 1. Dengan pengalaman yang cukup luas dalam JPN, saudara Abdul Majid yang juga seorang pesara guru, mampu merangka stategi berkesan bagi menghadapi PRU 13 nanti.

Mesyuarat juga bersetuju melantik Sdra Abdullah Karim, Hjh Azizah Khatib Mat, YB Syed Mohammad Tuan Lonik, Us Abdullah Suhaimi Saat, Pn Aliwiyyah dan Dr Abd Wahab Ismail sebagai jawatankuasa tambahan yang dilantik.

Melihat barisan kepimpinan baru tersebut, PAS Pahang berkeyakinan mampu membuat kejutan dalam Pilihanraya nanti, terutama dengan kehadiran beberapa muka baru dalam barisan utama kepimpinan PAS Pahang.

BERSEMI UKHUWAH DIPUPUK KASIH

SELASA, 23 JUN 2009 | 29 JAMADIL AKHIR 1430H

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat petang ini mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.

BERTENANG, TUNGGU ARAHAN RASMI PARTI

JUMAAT, 19 JUN 2009 | 25 JAMADIL AKHIR 1430H

Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat

Thu | Jun 18, 09 | 9:20:58 pm MYT


SEMUA ahli PAS diminta bertenang dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar dalam kepimpinan parti. Semua ini akan menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis.

InsyaAllah PAS yang mempunyai bahtera yang kuat dan kukuh mampu untuk menghadapi kesemuanya ini. Kalau Umno/BN yang mempunyai bala tentera dan kewangan daripada qarun-qarun yang ada di atas muka bumi ini pun kita mampu hadapi. Maka sudah barang pastilah masalah yang berlaku pada hari ini InsyaAllah dapat diatasi dengan baik dan elok.

Saya yakin bahawa ahli PAS yang matang dalam sepak terajang politik akan merasa tenang apabila kita tahu kekuatan yang ada pada PAS dan organisasinya. Kerana PAS adalah milik kita semua. Ia tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa pun. PAS ada peraturan dan perlembagaan yang kemas dan teratur.

Segala keputusan politik yang PAS buat selama ini semuanya bersandarkan kepada nas syara’ dan fiqh siasi. Kita bertahlalluf dengan parti bukan Islam dan ideologi yang berbeza, semuanya merujuk kepada nas syarak. Bukan senang hendak meyakinkan ahli bagaimana kita dibenarkan mengundi calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti yang bertahalluf dengan kita.

Semua ahli PAS perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini, kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah belahkan di kalangan ahli dan pimpinan. Dapatkan maklumat rasmi daripada akbar rasmi Harakah, Harakahdaily dan Siasah, supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Tunggu dan sabar penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini. Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita.


TASAAMUH DALAM IKHTILAF

RABU, 17 JUN 2009 | 23 JAMADIL AKHIR 1430H

Ikhtilaf atau perbezaan pendapat adalah lumrah bagi manusia. Ia berlaku di kalangan para anbiya’, dan turut berlaku di kalangan para sahabat. Ia juga berlaku di zaman Rasulullah, sama ada sewaktu Baginda masih hidup apatah lagi setelah Baginda wafat.


Ikhtilaf berlaku dalam belbagai keadaan sama ada berpunca dari penafsiran sesuatu nas dalil yang mempunyai pelbagai makna, lahjah yang berbeza atau sudut pandangan seseorang. Namun ianya tidak pernah dianggap negatif dalam sejarah para ulama' sehingga terkeluar kata-kata mahsyur: “Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat".

Kata-kata ini ditahkik oleh Dr Yusuf Qardhawi sebagai ‘la aslalah’ (tidak diketahui punca riwayat sebenar), kerana beliau melihat kalau perbezaan pendapat menjadi rahmat, bermakna muafakat adalah bala’, dan ini tentunya bertentangan dengan sifat Islam sebagai rahmat, serta dalil-dalil yang lain.

Saya tidak berhasrat membicarakan persoalan tersebut dari sudut tahqiq atau para perawi, tetapi ianya adalah mahsyur. Lantaran itu rahmat yang disebut dalam kata-kata itu tentulah lahir dari pelbagai natijah hasil ikhtilaf tersebut.

Para
ulamak telah membuat huraian panjang lebar berhubung dengan persoalan adab dalam ikhtilaf. Namun adab hanya akan diikuti bila mana adanya tasawur yang jelas terhadap apa yang diikhtilafkan. Sebagai sebuah jamaah Islam, ikhtilaf hendaklah berjalan di atas landasan ukhuwah, bukan kebencian dan memandang rendah kepada sahabat. Ikhtilaf boleh berlaku di kalangan pimpinan dan pengikut demi memperkukuhkan jamaah, ia akan lahir setelah adanya sikap hormat kepada perbezaan pandangan, kerana kemampuan berfikir manusia tidak sama.

Dari sudut jamaah, kita terikat dengan akhlak dan adab jamaie, yang menuntut kita agar berlapang dada dengan perbezaan pendapat, dan tidak memaksa pandangan kita ke atas jamaah, kecuali dalam perkara yang terikat dengan nas yang bersifat qatie. Selagi ianya bersifat ijtihadi, maka ia terikat untuk dibahas, dibincang, diterima atau ditolak.

Sikap Tasaamuh (berlapang dada) dalam ikhtilaf sangat-sangat dituntut. Terkadang kita memandang baik kepada sesuatu perkara, sedangkan ianya tidak baik bagi kita, bahkan terkadang kita membenci sesuatu, sebaliknya ia baik bagi kita. Itulah yang diingatkan oleh Allah - “dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi ianya baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu mengasihi sesuatu, tetapi ia tidak baik bagi kamu; Allah mengetahui, sedangkan kamu sebenarnya tidak mengetahui."

Oleh kerana perkara masa depan adalah dalam ilmu Allah, maka setiap perbezaan pandangan hendaklah mengharapkan kebaikan dari Allah. Berlapang dadalah dengan perbezaan ini. Apatah lagi kalau kedua-duanya untuk kebaikan jamaah. Kita mempunyai saluran dalam melahirkan perbezaan pandangan, maka gunakan saluran parti bagi menyatakan perbezaan pandangan agar ia tidak merosakkan ukhuwah dalam jamaah.

Kita mempunyai pengikut yang ada kecenderungan tersendiri, sama ada untuk mengikuti pandangan seseorang atau membencinya. Kebencian ini akan memberi ruang kepada musuh untuk memasukkan jarum fitnah, yang boleh menjurus kepada hilangnya wala’ pada pimpinan sedangkan wala’ adalah rukun dalam jamaah.

Sebagai pimpinan kita tidak seharusnya meletakkan ahli dan pengikut dalam situasi serba salah, antara bersetuju dengan sesuatu pendapat dan pandangan atau sebaliknya. Kerana rasa bersalah yang wujud dalam diri ahli untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan pimpinan, mendorong kepada dua situsi;

  • Apa orang lain akan kata kepadanya, dan sekiranya ia berlaku, ia mendatangkan kesan besar selepas itu. Tidak mustahil ada yang akan tersinggung, menyisih diri, merajuk dan seterusnya hilang dari jamaah
  • Menjadi golongan kecewa dengan apa yang berlaku dan terus mengambil sikap berdiam diri dari aktif dalam jamaah.


Kedua-dua situasi ini tidak menguntungkan jamaah dan paling besar merugikannya bila mana ia mengadap Allah di akhirat. Lantaran itu, ikhtilaf hendaklah di dalam lingkungan adab berjamaah, ia dikawal dari sikap melampau, membuka ruang kepada musuh, apatah lagi menjerumus kepada hilangnya sikap hormat, kecewa, dan tidak memperdulikan jamaah.

Awasi perangkap musuh yang membesar-besar perbezaan pendapat, meracuni pemikiran ahli agar hilang wala’ pada pimpinan, dan memberi peluru kepada musuh untuk merosakkan jamaah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini.

WUJUDKAN SEGERA SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT

AHAD, 14 JUN 2009 | 20 JAMADIL AKHIR 1430H

Menyedari bahawa media arus perdana yang dikuasai oleh BN, maka sewajarnya sebuah sekretariat Pakatan Rakyat perlu diwujudkan bagi menjadi medan perbincangan rasmi kepimpinan tertinggi parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Dalam menghadapi pelbagai kemelut yang berlaku dalam kerajaan yang memerintah, serta isu-isu dalaman parti Pakatan Rakyat, kewujudan sekretariat ini dilihat jalan keluar bagi merapatkan saf kepimpinan parti.

Akhir-akhir ini terlalu banyak luahan rasa tidak puas hati disalurkan melalui media arus perdana yang terdedah kepada manipulasi dan pelbagai penyelewengan fakta, sehingga boleh mencetuskan suasana tidak baik dalam hubungan Pakatan Rakyat. Melalui sekretariat ini diharapkan dapat menjadi platform bagi merangka pelbagai program, disamping mengurangkan salah faham antara kita.

Sehingga kini saluran rasmi bagi penghubung Pakatan Rakyat hanyalah Majlis Presiden, yang sangat jarang membuat pertemuan; dan ia lebih bersifat perbincangan dan penyelarasan bagi menghadapi pilihanraya sahaja. Dicadangkan sekretariat ini terdiri dari tiga orang wakil yang terdiri dari Timbalan Presiden, Setiausaha Agong dan seorang Naib Presiden.

Kita perlu banyak mengadakan perbincangan agar semua perkara yang berbangkit dapat diselesaikan lebih awal sebelum media memainkan isu bagi melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Desakan melalui akhbar tidak sesuai dalam bentuk sebuah pakatan, yang dilihat hanya mengeruhkan hubungan dan memeningkan ahli dan penyokong.

KERAJAAN PERPADUAN - ULASAN TUAN GURU

RABU, 10 JUN 2009 | 16 JAMADIL AKHIR 1430H

CIRI-CIRI KERAJAAN PERPADUAN- KENAPA KITA BERPOLIMIK??

SELASA, 09 JUN 2009 | 15 JAMADIL AKHIR 1430H
Bila mana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan. Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat.

Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden disamping mengikuti penjelasan darinya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya. Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan. Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini:

  • Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah “..dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-bir (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara Perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat. Apakah al-bir dari sistem begini? Kita mesti letakkan asas al-bir ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada di antara kita yang tidak inginkan kebaikan?

  • Asas kedua ialah TAQWA. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem Negara) tetapi mestilah wujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara Perpaduan. Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara. Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia ke arah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan di hadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.

  • Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sebuah kerjasama ke arah derhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar. Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat maksiat diberi ruang yang luas oleh pemerintah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala sosial, jenayah dan penyelewengan. Akibat negara yang tidak di asas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara Perpaduan. Apa makna perpaduan, kalau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk ke arah maksiat dan dosa.

  • Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia. Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang Melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan Cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gengstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke atas rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.


Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun. Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian.

Wassalam.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN

AMANAT SULONG : BERAKHIRNYA MUKTAMAR JASADIYYAH DAN BERSAMBUNGNYA MUKTAMAR RUHIYYAH

ISNIN, 08 JUN 2009 | 14 JAMADIL AKHIR 1430H

Muktamar PAS ke 55 baru berakhir, kenikmatan berjamaah masih terasa, bagaimana pertemuan para pejuang Islam disatukan. Amanah besar yang sangat ana bimbangi, dan terus terang siang malam ana berdoa agar ana tidak dibebani dengan amanah besar ini, setelah ana tidak upaya menolak pencalonan yang besar dari perwakilan. Kini ana sering munajat doa sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Umar “Ya Allah, Engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka ringankanlah bebananku di akhirat.”

Muktamar telah berlalu, kepimpinan telah dipilih. Marilah kita menyatukan saf perjuangan bagi menghadapi musuh kita yang satu. Muktamar bagi menyatakan pandangan dan kritikan, kita telah lalui, penjelasan dari pimpinan telah pun dibuat, mungkin ada yang berpuas hati, dan mungkin ada yang belum berpuas hati dengan jawapan; bahkan pemilihan pun mungkin ada yang sedih dan ada yang gembira. Terkadang penyokong lebih bersedih daripada yang bertanding. Namun Islam mengajar kita agar menerima keputusan dengan dada yang terbuka, jamaah telah buat keputusan. Rasulullah bersabda “Umatku tidak akan sepakat dalam perkara kesalahan", dan “Pertolongan Allah akan datang dengan jamaah”.

Selepas muktamar media masih memainkan isu yang dijangka boleh memecahkan kita. Kita harus faham sepak terajang media musuh, adalah malang kalau kita yang tahu media musuh, tetapi masih percaya kepada berita yang disebarkan oleh musuh. Seluruh ahli dan pimpinan PAS mesti menjadikan HARAKAH sebagai akhbar rasmi. Sebarang isu yang berbangkit, mestilah dirujuk kepada kenyataan rasmi pimpinan dalam HARAKAH. Agar kita tidak terjerumus dalam perangkap yang dimainkan oleh musuh.

Kita punya tanggungjawab sebagai gerakan dakwah bagi menyelamatkan rakyat dari kemurkaan Allah. Ruang dakwah menyebabkan kita mesti menarik mereka kepada Islam, kita tidak seharusnya menutupi ruang dakwah ini. Kita mempunyai penyokong yang berjuta orang, tetapi sebahagian mereka hanya menjadi pemerhati kepada perjuangan, kita mesti menarik mereka, agar bersama dalam perjuangan Islam. Kita juga mesti membetulkan sistem yang berjalan dalam Negara. UMNO mampu mempertahankan kejayaan kerana sistem yang tidak betul ini wujud. Kita berusaha ke arah tersebut. Namun saya tegaskan bahawa kita tidak akan biarkan jamaah kita menjadi kuda tunggangan UMNO/BN.

Kita punyai masa depan gemilang dalam Pakatan Rakyat, kita diterima oleh bukan Islam untuk bersama dengan PAS bukan parti lain. Ini keyakinan yang perlu kita bina. Kita mestilah mampu mengambil alih kepimpinan melayu dari UMNO dan membawa mereka kepada landasan Islam. Perjuangan kita bukan sekadar menyelamatkan mereka di dunia, tetapi lebih jauh nasib mereka di akhirat; bilamana mereka bertahun-tahun meredai kemungkaran tajaan UMNO/BN samada secara sedar atau tidak.. Negara dipimpin oleh pimpinan yang korup, kita perlu menggantikan dengan kepimpinan yang soleh dan bertaqwa.

Yakinlah para pimpinan mengenali siapa UMNO lebih dari kita. Pimpinan kita meyedari tipu helah UMNO dalam perjuangan mereka yang lama dari kita. Adalah malang seandainya ahli merasa ragu-ragu dengan Presiden dan Timbalan Presiden. Semua dasar parti dikawal oleh syura, dan semua perkara pokok akan diputus dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat. Andai ada yang cuba membawa jamaah ke arah bertentangan, yakinlah mereka tidak akan dapat bertahan lama dalam jamaah, samada jamaah akan meyingkirkannya atau Allah akan mengeluarkan mereka dari jamaah ini- InsyaAllah. Berilah keyakinan dan wala’ pada pimpinan, dan awasilah perangkap musuh yang ada dikeliling kita, dan jangan kita menjadi juru cakap musuh dalam jamaah bagi melihat berpecahkan jamaah ini.

Tingkatkanlah hubungan dengan Allah, jadilah sirah Rasulullah s.a.w sebagai asas dalam perjuangan ini dan bersabarlah di atas perbezaan pandangan, dan hargailah pandangan yang berbeza yang lahir dari hati yang ikhlas. Rapatilah saf perjuangan, dan gunalah sedikit masa tengah malam dan awal pagi untuk memohon kekuatan dari Allah.

Salam perjuangan.

Akhukum FiLLah

Tuan Ibrahim Tuan Man

UCAPAN DASAR PRESIDEN

SABTU, 06 JUN 2009 | 12 JAMADIL AKHIR 1430H

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN

Bagi pihak seluruh ahli dan kepimpinan PAS Pusat, saya ucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh perwakilan, dan mengalu-alukan kedatangan semua tetamu yang menyeri dan memeriahkan muktamar ini, dengan iringan doa kepada Allah SWT, agar dimasukkan kehadiran ini dalam timbangan amal soleh, yang menjadi bekalan kita di hari akhirat, kerana keyakinan kita kepada dasar dan sifat Islamnya parti yang kita dukung ini.

Sila klik Versi penuh:

KEUPAYAAN UMNO/BN DIPERTIKAIKAN

ISNIN, 01 JUN 2009 | 7 JAMADIL AKHIR 1430H
Basiron Abdul Wahab
Mon | Jun 01, 09 | 3:14:16 pm MYT

TEMERLOH, 1 Jun (Hrkh) - PAS Pahang mempertikaikan keupayaan pemimin Umno menguruskan negeri Pahang berikutan semakin banyak saman dihadapkan kepada kerajaan negeri sejak kebelakangan ini.

Terbaru, kerajaan negeri akan menghadapi dua saman daripada dua buah syarikat yang dalam masa terdekat ini dengan jumlah saman melebih RM400 juta.

Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan kepada media di pejabatnya baru-baru ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah disaman sebanyak RM63juta oleh Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGSB) bersabit isu pembalakan di Pekan manakala Astanan Golf & Country Club iaitu Anak Syarikat Kerajaan Negeri Pahang telah disita gara-gara gagal menjelaskan bayaran pinjaman berjumlah RM30 juta kepada Agro Bank.

Menurut Tuan Ibrahim, kes saman membabit kerajaan negeri sejak akhir-akhir ini menggambarkan kelemahan nyata pentadbiran kerajaan negeri yang pimpinan Umno/BN sejak 50 tahun lalu.

"Rakyat seharusnya diberi perhatian terhadap isu berkenaan sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan mandat kepada Umno/BN atau sebaliknya dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tambah beliau, apa yang menducitakan ialah kegagalan Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakub sebagai ketua eksekutif menunjukkan sikap 'bertanggungjawabnya' apabila gagal menghadirkan diri dalam semua proseding mahkamah yang melibatkan kerajaan pimpinannya.

Tuan Ibrahim berkata, semua pihak khususnya para pelabur dalam dan luar sangat mengambil berat mengenai isu-isu perundangan sebelum bersedia melabur modal. Ini kerana jika sesebuah kerajaan dilihat kurang serius terhadap isu perundangan, bermakna semakin besarlah risiko ke atas pelaburan mereka.

Katanya dalam konteks Pahang, imej kerajaan Pahang negeri dalam isu perundangan ini nyata begitu negatif dan membimbangkan pelabur untuk melabur. Ini bermakna Pahang akan menghadapi masalah besar untuk menarik pelaburan baru pada masa hadapan.

"Para pelabur pastinya enggan mengambil risiko melabur di Pahang berbanding negeri-negeri lain," katanya. - mns_