Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: September 2009
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

CORAT CORET AIDILFITRI - Ketupat Pulut Punya Angkara

KHAMIS, 17 SEPTEMBER 2009 | 27 RAMADHAN 1430H

Kedatangan Aidil Fitri tentunya menggamit pelbagai ingatan pada masa lampau. Kerana itu ramai yang menitiskan air mata bilamana takbir bergema. Walaupun intipati takbir adalah laungan keagungan dan kebesaran Ilahi, diselang seli dengan ingatan peristiwa peperangan Ahzab; ternyata semua itu tidak menggambarkan alunan takbir yang mendayu-dayu, bukan bersemangat sebagaimana kandungan intipati takbir itu. Inilah nada yang telah tercipta , sebarang cubaan untuk mengubah alunan takbir dianggap ‘tak reti takbir’, lebih selamat kekalkanlah irama tersebut. Akibatnya berguguranlah air mata bukan kerana ketakutan kepada Allah dari ucapan yang dilaungkan oleh jamaah, sebaliknya pelbagai kenangan lalu benar-benar mengusik kalbu.

Ada
ingatan kepada arwah ibubapa, suami, isteri dan anak-anak serta sahabat seperjuangan yang telah kembali ke rahmatullah. Tak kurang juga ingatan kepada keseronokan zaman kanak-kanak menyambut hari raya. Bagi saya bila melihat kanak-kanak zaman kini menyambut hari raya, rasanya sangat jauh berbeza dengan zaman lampau. Rasanya tiada keseronokan perayaan zaman sekarang; mungkin kita yang dewasa cuba berfikir macam kanak-kanak. Lalu kita rasai apa yang sedang kita rasai. Saya harapkan ini hanyalah andaian.

Mungkin kerana saya lahir dan dibesarkan di kampung yang jauh dari arus pembangunan, namun hubungan dan ikatan kekeluargaan agak kuat, menyebabkan keseronokan menyambut hari raya sangat terasa. Suasana susah pada masa itu menyebabkan saya dan adik beradik hanya dapat kasut baru pada hari raya, itupun kasut sekolah putih, plastik yang diletak hujung kepala bila nak tidur. Malam berangan-angan pakai kasut baru, bolehlah tayang pada kawan-kawan esok. Bangun tidur hari raya, belum sempat mandi tengok kasut dulu. Awal-awal pagi dah bangun, malam tu bukan lelap sangat tidur, maklumlah irama takbir bergema. Kebetulan dalam kampung hanya beberapa rumah sahaja yang ada radio. Apa lagi. Bila musabaqah qur’an, rumah penuh dengan orang kampung yang datang mendengar siaran langsung. Hampir setiap malam rumah penuh dengan orang kampung datang mendengar pertandingan membaca qur’an, masa tu bukan guna istilah musabaqah lagi.



Ketupat Pulut Punya Angkara


Paling seronok bila pagi raya, keluar dari rumah jumpa geng mula berjalan dari rumah ke rumah kutip duit raya, kalau dapat sepuluh sen, banyak sangat dah. Maklumlah sebotol oren, baru 15 sen. Dapat duit berjalan kaki dekat 2 batu ke pekan Batu Balai, bukan nak apa. Beli oren, dan mercun. Sambil balik masing-masing tunjuk hero, bakar mercun dengan pegang di tangan. Satu kali lepas makan ketupat, masing-masing mula keluarkan mercun dari dalam poket. Pegang dan cucuh, dekat sumbu nak habis baru campak. Kalau campak awal tak power; apa nak dikhabarkan mercun dicampak tak mahu jatuh, sebab tangan tak berbasuh lagi, pulut ketupat punya pasal , akibatnya meletuplah ditangan. Rasa kebaslah juga sejam dua. Tapi tak adalah putus jari tangan macam sekarang..Sebab masa tu mercun kecik macam cili padi je.

Syawal banyak mengingatkan kita kepada zaman lampau, ianya telah berlalu dan tak mungkin datang kembali; terkadang seronok kalau jumpa geng-geng lama kawan sepermainan masa kecil, saling cerita kisah lama, tentunya ia akan mengeratkan silaturrahim yang telah lama tak berjumpa. Perjalanan hidup mendewasakan kita, perjuangan menempuh kehidupan membuatkan kita terpaksa berpisah antara satu sama lain, namun kemanisan menempuh kehidupan yang berlalu tanpa melakukan dosa dan noda amat indah untuk dikenang. Semoga Syawal yang menjelma nanti dapat mempertemukan dengan semua rakan-rakan lama yang sama-sama membakar mercun dulu.

TIPS HARI-HARI TERAKHIR RAMADHAN

SELASA, 15 SEPTEMBER 2009 | 25 RAMADHAN 1430H

RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt. Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.
  • Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan Allah s.w.t. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun
  • Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesali lah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya
  • Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah dan beristighfar kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajab doa
  • Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh
Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

Wallahua'lam

DETIK-DETIK KARAMNYA ‘KAPAL’ BN

AHAD, 13 SEPTEMBER 2009 | 23 RAMADHAN 1430H

Mutakhir ini pelbagai isu besar melanda dunia. Arus perubahan politik di Jepun dengan tumbangnya parti LDP tentunya menjadi perangsang kepada perubahan politik negara. Kebimbangan ini diluahkan secara terbuka oleh Mantan PM dalam
blog beliau.

Kegagalan BN dalam satu demi satu PRK telah meningkatkan semangat perubahan di kalangan rakyat. Memang hakikat rakyat sudah muak dengan gelagat kepimpinan UMNO/ BN. Hakikat BN telah berada pada penghujung usia kepimpinan memang tidak dapat dinafikan. Perhati sahaja isu yang melanda MIC dengan keegoan kepimpinannya, isu yang melanda MCA, isu kepimpinan UMNO Terengganu, Perlis, Kedah dan lainnya, semuanya membuktikan mereka sedang tenat.

Apa yang menarik selepas PRU ke 12, satu demi satu Pilihanraya Kecil berlaku. Sambung menyambung yang seolah-olah menghantar satu isyarat kepada ahli UMNO agar segera membuat perubahan, meninggalkan parti yang berada diambang keruntuhan kepada parti yang sedang mendapat tempat di hati rakyat.


Pakatan rakyat perlu berada di atas landasan betul ke arah perubahan besar menjelang PRU ke 13. Kita perlu menjadi parti yang mampu mengambil alih kepimpinan. Pelbagai isu yang melanda di negeri-negeri PR perlu diselesaikan dengan cara berhemah. Kita akui isu yang berbangkit adalah hasil peninggalan BN yang terpaksa kita pikul. Isu Kg Buah Pala, isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, isu pusat penyembelihan babi di Kedah, dan lainnya menjadi kayu ukur kemampuan kita menanganinya dengan cermat.

Kepelbagaian isu ini tidak seharusnya di satu bakulkan. Isu sensitif yang melibatkan isu agama dan bangsa memerlukan tindakan cermat bagi menghadapinya. Dialog terbuka dalam suasana panas adalah tidak sesuai, kerana ia akan mengundang sikap tidak bermoral dan beradab; dan itulah yang berlaku dalam majlis dialog di MBSA. Mungkin kita merasakan bahawa itulah jalan bagi meredakan keadaan; tetapi ternyata ia dimanipulasi oleh sesetengah pihak lalu media pro-BN pantas menghentam kepimpinan PR di Selangor.

Tindakan menangguhkan pemindahan kuil adalah langkah terbaik, bagi meredakan keadaan di samping mengadakan dialog dengan pihak yang terpilih yang terlibat secara langsung; bukan semua yang dilibatkan. Saya bersetuju dengan satu tulisan seorang blogger bahawa apakah kita tidak melihat isu ‘kepala lembu’ iaitu bantahan pembinaan kuil yang tidak bermoral ini akan menjurus ke arah satu agenda besar di belakangnya iatu mewujudkan suasana tidak tenteram yang akhirnya mengundang MAGERAN di Selangor? Pengalaman lampau di Kelantan seharusnya dijadikan pengalaman berguna dalam isu ini.

Isu sensitif ini sepatutnya tidak terus melibatkan kepimpinan tertinggi dalam kepimpinan negeri, kerana ia menghadkan ruang membuat keputusan terakhir. Masalah setempat memadai diselesaikan melalui sebuah Jawatankuasa Khas agar sebarang masalah yang timbul kamudiannya mereka mempunyai satu lagi badan tertinggi bagi membuat keputusan. Penglibatan terus kepimpinan politik akan dilihat mempunyai agenda politik tertentu, dan akhirnya kita gagal menyelesaikan satu isu sebaliknya mewujudkan satu isu baru. Mungkin pengalaman ‘orang tua’ di Kelantan dan Kedah boleh diambil oleh orang-orang muda, kerana pengalaman adalah ilmu yang tiada dalam kitab dan tidak diajar di mana-mana universiti.


SALAM PERJUANGAN