Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: December 2009
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

PENGAJARAN DARI PERISTIWA HIJRAH

AHAD, 20 DISEMBER 2009 | 3 MUHARRAM 1431H

Peristiwa Hijrah terlalu banyak memberi pengajaran kepada umat Islam khususnya dalam usaha kita memperjuangkan Islam di muka bumi. Salah satu perkara menarik yang sangat penting dijadikan iktibar ialah wujudnya beberapa golongan yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an. Golongan ini sentiasa ada di sepanjang zaman, lantaran itu kita perlu mengambil iktibar dengannya:

  1. Golongan utama: iaitu mereka yang mula-mula berhijrah ke Madinah bilamana mendengar arahan dan perintah Rasulullah s.a.w. Mereka ini mendapat pujian dan sanjungan dari Allah bahkan Allah meredhai mereka dan mereka juga meredhai Allah.

  1. Golongan yang diberi kemaafan kerana uzur, tidak berupaya untuk hijrah samada kerana tua, kanak-kanak, golongan kurang upaya atau kerana tidak mengetahui jalan-jalan menuju Madinah.

    Allah berfirman dalam surah an-Nisa’: 98-99,maksudnya : “Kecuali mereka yang tertindas samada lelaki atau perempuan dan anak-anak yang tidak berdaya dan tidak mengetahui jalan untuk berhijrah. Maka mereka itu mudah-mudahan Allah memaafkannya. Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

    Tatkala turun ayat ini lalu berkata Habib bin Dhamrah al-Laithi seorang sahabat yang sangat tua, kepada anak-anaknya: “Tolong bawa aku ke Madinah, kerana Allah tidak mengecualikan aku, kerana aku bukan lemah ( masih gagah), dan aku juga mengetahui jalan menuju Madinah, sedang Allah hanya mengecualikan mereka yang tidak tahu jalan ke Madinah. Lalu anaknya membawanya keluar dari Mekah berhijrah menuju ke Madinah. Apabila sampai di Tanaiem, lalu ia jatuh sakit dan meninggal dunia. Maka peristiwa ini sampai ke pengetahuan sahabat-sahabat Rasulullah, lalu ada yang berkata: “Seandainya ia mati di Madinah, maka tentulah ia mendapat ganjaran pahala hijrah.”

    Maka turunlah ayat: “Barang siapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kamudian ia menemui ajalnya (kematian sebelum sampai ke tempat yang dituju) maka pahalanya telah ditetapkan disisi Allah, Maka Alah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”.

  2. Golongan yang tidak hijrah kerana terhutang budi dengan Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka terus menetap di Mekah demi menjaga hubungan baik dengan pemuka Quraish. Mereka ini adalah sebahagian dari umat Islam yang enggan berhijrah. Mereka menyembunyikan keIslaman mereka.

    Namun bilamana berlaku peperangan Badar, lalu Abu Lahab mengajak semua golongan yang ada di Mekah bagi membantunya. Keadaan ini menyebabkan beberapa orang yang telah beriman itu, menjadi serba salah, samada keluar ke Badar, bermakna berperang melawan Islam dan Rasulullah sedangkan mereka telah menganut Islam; atau terus berada di Madinah, iman mereka selamat.

    Tetapi apa pula penilaian Abu Lahab dan pemuka Quraish? Lantaran tersepit dengan keadaan inilah menyebabkan mereka akhirnya keluar dengan pedang dan panah, bersama Abu Lahab dan Abu Jahal menuju Ke Badar, berperang bersama kumpulan yang menentang Islam. Lalu mereka mati dalam peperangan tersebut.

    Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 97: “Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat (dalam peperangan Badar) dalam keadaan mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri, lalu malaikat menempelak mereka dengan berkata: “Bagaimana kamu ini?” Lalu mereka menjawab: “Sesungguhnya kami adalah golongan yang lemah dan tertindas di muka bumi.” Lalu Malaikat menjawab: “Bukankah bumi Allah ini luas sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?” Maka mereka ditempatkan di neraka jahanam, itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Maka kita hendaklah bimbang tentang fenomena ini berlaku di zaman kita. Wujudnya golongan yang telah memahami perjuangan Islam, bahkan telah merasa kemanisan dalam memperjuangkan Islam, namun dalam situasi tertentu mengambil sikap menyembunyikan penglibatan dalam perjuangan Islam; dikhuatiri nanti bilamana golongan yang menentang Islam akan libatkan mereka dalam perjuangan untuk mengalahkan Islam, maka mereka akan turut serta dan akhirnya mati dalam usaha menentang Islam, nauzubillah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini dan menjauhi kita dari golongan ini. Amin.

ISU ROYALTI : SIAPA YANG CELUPAR?

16 DISEMBER| KHAMIS
Saya dilihat celupar semata-mata kerana mempertahankan hak rakyat Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti. Saya dilihat celupar kerana ingin terus berdoa kepada Allah SWT agar Allah membuka pintu hati Perdana Menteri dan tidak terus menzalimi rakyat Kelantan. Saya dilihat celupar semata-mata kerana menegur Presiden Umno di atas keengganan beliau untuk memberikan royalti itu kepada sebuah kerajaan negeri yang sah. Saya dipandang celupar kerana mendoakan kemusnahan kepada sesiapa jua yang zalim kerana royalti itu hak dari perut bumi kami.
Ikuti luahan seterusnya TGNA di sini

PAS : KINI DAN SELAMANYA

15 DISEMBER 2009


Ikuti wawancara eksklusif wartawan Malaysiakini bersama YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat:

Hubungan dalam parti-parti Pakatan, selalu muncul isu hudud, kerajaan Islam. Setakat mana PAS sebagai parti yang perjuangkan Islam boleh berkompromi dalam perkara ini, yang selalu menyebabkan perselisihan faham dengan DAP?

Mana ada manusia boleh hidup senang dari muda sampai ke tua. Kadang-kadang kena kudis, doktor pun berkudis juga. Jadi, lumrah alam dan dunia memang begitu. Ada syaitan-malaikat, baik-jahat, syurga-neraka.

Tidak usahlah perkara ini. Hendak sebut, (sila) sebut. Tetapi kena dengar jawapan (kami). Kalau kamu seorang sebut, (tetapi) tidak hendak dengar jawapan, mana boleh.

Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah. Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain.


Cumanya, kita masih berpegang dan tidak akan berkompromi dengan idea negara Islam, dengan hudud?

Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat. Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja. Sembahyang pun kalau tidak betul cara ibadatnya, ditolak Allah.

Bagi kami (sebagai) pejuang Islam, semua kerja itu ibadat. Hatta ceramah pun ibadat. Orang hendak bagi duit minyak, bagi. Tidak beri, maka cicah roti dengan budu. Biasalah dalam PAS ini, kerana kami dapat pahala.

Orang tolak Islam dapat pahala apa? Kita doa, itu (juga) ibadat. Orang Umno berdoa juga, doa dengan Allah, Allah mana hendak terima (doa, sebab) kamu tolak Islam.


Bagaimana hasrat ini hendak jadi kenyataan sebab dalam DAP misalnya, orang mudanya agak OK tetapi orang lama macam pengerusinya Karpal Singh itu nampak keras sikit.

Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama.

Apa boleh buat? Nabi Muhammad dulu, bapa saudaranya Abu Talib membela baginda, tetapi dia tidak turut Islam. Apa boleh buat?

(Membaca hadis) Nabi kata, baginda ajar bapa saudaranya mengucap (dua kali syahadah), tetapi dia (Abu Talib) kata: 'kalau aku mengucap, aku malu.'

Malu (sebab) bapa saudara turut (ajaran) anak saudara. Biasanya anak saudara yang ikut bapa saudara. (Abu Talib kata,) 'tidak mengapalah, biar aku masuk neraka daripada tanggung malu.' Ada juga orang sebut macam itu.


Habis itu, kita akan terus beri nasihat? Berbincang?

Ya, nasihat, sebut, bincang. Saya suka sangat kalau orang tanya saya. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Tidak boleh jawab, saya kata tanya orang lainlah, saya tidak berapa faham.

ROYALTI : SATU KUPASAN

ISNIN, 14 DISEMBER 2009

"Kita (umum) hanya mempertikaikan doa laknat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaliknya tidak nampak pembohongan (khianat janji) Najib Tun Razak terhadap rakyat Kelantan," demikian tegas Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.Tuan Ibrahim turut mempersoalkan apakah tindakan Najib Tun Razak yang menggantikan royalti dengan wang ihsan itu betul dari segi syarak.

Katanya, jika tindakan Najib itu betul (menggantikan duit royalti dengan wang ihsan) maka doa laknat yang diminta oleh Menteri Besar Kelantan itu juga betul.

"Bila Najib tidak bayar royalti minyak, bermakna orang yang melanggar perjanjian itu adalah orang yang berbohong.

"Malangnya, pembohongan Najib itu pula, kita tidak tengok sebaliknya tengok doa laknat Tok Guru. Padahal doa laknat itu berikutan tindakan Najib yang enggan beri royalti," katanya ketika dihubungi.

Justeru katanya, orang akan melihat sebelah pihak sahaja iaitu Tuan Guru sebaliknya tidak menilai apa yang dilakukan oleh Najib terhadap rakyat Kelantan.

"Ayat Al-quran ada menyebut dan bermaksud "tidak ada permusuhan melainkan kepada orang yang zalim"," katanya.