Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: February 2010
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

KRITIK IKUT SALURAN

Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin PAS terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, perlu mengikut saluran yang ada dan bukannya mengkritik secara terbuka.

Pengerusinya, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mengkritik jawatankuasa itu secara terbuka adalah tidak wajar memandangkan parti mempunyai saluran khas iaitu Jawatankuasa Rayuan bagi menerima sebarang bantahan.

"Kalau ikut prosedur parti, memang dilarang, kita tak puas hati kita bantah Jawatankuasa Disiplin, sepatutnya tidak berlaku. Mana-mana tak puas hati, ikut peraturan yang ada, pergi ke Jawatankuasa Rayuan yang ada," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Selain tidak sepatutnya berlaku, Tuan Ibrahim juga mengingatkan pihak yang tidak berpuas hati itu berhenti dari mengkritik secara terbuka kerana ianya boleh membentuk satu persepsi salah terhadap Jawatankuasa Disiplin dan PAS itu sendiri.

"Kita ada adab kita, ada akhlak kita dalam jamaah yang kita kena jaga, kalau tak boleh jaga akhlak, mengkritik tanpa adab, bukan sahaja menggambarkan kita tidak beradab tetapi yang lebih besarnya takut kita membentuk satu persepsi salah."

Jawatankuasa Disiplin, jelasnya hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan parti dan bertidak dengan asas yang kukuh. Tugas utama jawatankuasa itu, jelasnya adalah untuk melihat perjalanan parti dengan baik dan menyekat elemen-elemen yang dianggap merugikan parti yang dibuat oleh ahli.


"Kita bukan nak hukum orang, bagi kita, seseorang itu tidak akan bersalah selagi tidak dibuktikan dia bersalah. Bila ada kes, kita kena jatuh hukuman, biasalah kita jatuh hukuman, ada yang setuju dan tidak setuju tak boleh nak elak, memang akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita," katanya lagi.

Berhubung cadangannya agar anggota jawatankuasa disiplin bukan daripada AJK PAS Pusat, beliau berkata cadangan tersebut bukan bererti beliau mahu lari dari tanggungjawab, tetapi mahu jawatankuasa tersebut dilihat adil. Beliau turut mengakui, cadangan tersebut sukar untuk dilaksanakan dan akan memakan masa yang lama kerana melibatkan pindaan perlembagaan PAS.

"Bukan saya nak lari dari tanggungjawab, soalnya adalah Jawatankuasa Disiplin bukan sahaja hukuman adil, tapi dilihat adil, itu yang payah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli parti menumpukan kepada agenda lebih besar, iaitu gerak kerja pilihan raya berdepan Umno/BN daripada sibuk mengkritik PAS atau Pakatan Rakyat.


BILAMANA UMNO TIDAK MENYERANG PAS...

RABU, 03 FEBRUARI 2010 | 18 SAFAR 1431H

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bila mana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bila mana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markas PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum dan berbual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya menghubunginya di luar negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bila mana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada
YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan, tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid (bukan menggantungnya) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada panglima baru bila mana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikut kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan.
Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang
sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya
cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar
surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau. Sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau ke luar negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak
massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tidak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosedur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur
perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak di luar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal
penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu. Tetapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti
atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya;
dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.