Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: May 2010
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



SOLAT HAJAT, QUNUT NAZILAH - MOGA ALLAH HANCURKAN YAHUDI

ISNIN, 31 MEI 2010 | 16 J'AKHIR 1431H

PAS mengecam keras tindakan regim Israel menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Tindakan biadap ini diharap membuka mata pemimpin dunia khususnya Amerika dan sekutunya di Barat. PAS melihat tindakan tidak bermoral ini mencerminkan sikap angkuh regim Yahudi kerana adanya Amerika dan negara Barat yang sentiasa melindunginya.


PAS menggesa seluruh negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim tersebut. Tindakan kerajaan menggunakan APCO juga mesti ditentang dan PAS mendesak PM untuk membatalkan segera perjanjian tersebut.


PAS memohon seluruh ahli mengadakan solat hajat seluruh negara dengan membaca qunut nazilah;
agar Allah menghancurkan Yahudi laknatullah dan memelihara semua anggota konvoi.

PAS juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kekejaman Yahudi, semoga gugurnya pejuang ini menyemarakkan lagi usaha membebaskan saudara kita di Gaza.

MEMORANDUM BANTAH JUDI KE MB PAHANG

Hashim Abdullah

KUANTAN, 27 Mei:
Pakatan Rakyat Pahang hari ini mendesak kerajaan negeri menyatakan sikap membantah kelulusan lesen judi sukan sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010 kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan menggugat keharmonian hidup rakyat keseluruhan di negeri dan di negara ini.

Memorandum empat muka surat telah diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Pakatan Rakyat negeri kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shamsuddin Nawawi di Wisma Negeri, di sini pagi ini.

Turut menyaksikan ialah Setiausaha DAP Pahang, Choong Siew Onn, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Ramponusamy, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Suhaimi Md Saat dan Setiausaha Penerangan PAS negeri, Hashim Abdullah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob difahamkan tidak dapat hadir kerana ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

“Hujah yang diberikan oleh kerajaan BN dalam meluluskan lesen judi sukan ini dengan menggunakan kegagalan menghalang kegiatan sindiket judi sukan tanpa lesen, lalu dijadikan sebab untuk ‘dihalalkan’ dan dilesenkan adalah cara berfikir dan hujah paling bahaya dan mengaibkan intelek rakyat yang berpelajaran.

“Kita nak ingatkan kerajaan perlu bertanggungjawab memelihara akhlak rakyat daripada dirosakkan oleh kegiatan judi yang dilesenkan sendiri oleh kerajaan. Oleh yang demikian, kami daripada Pakatan Rakyat Pahang memohon kerjasama Menteri Besar menyatakan pendirian tegas membantah sebarang bentuk pemberian lesen judi dan mendesak supaya ia ditarik balik,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau dalam memorandum itu juga mahukan kerajaan Pahang menggunakan kuasa yang ada menggesa para ulama dan tokoh agama mendidik rakyat agar membenci judi bagi membina masyarakat yang bermoral.

JUDI BOLA : DI MANA KAMU SAHABAT LAMAKU?

JUMAAT, 21 MEI 2010 | 7 JAMADILAKHIR 1431H
Catitan : Artikel ini telah pun dikeluarkan pada 13 Mei 2009, dan setelah setahun berlalu, kebimbangan yang disuarakan akhirnya berlaku. Masih tidak kedengaran suara Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkenaan isu judi bolasepak, adakah diam tanda setuju atau apa sebenarnya yang berlaku
?

Kepada sahabat lama Jamil Khir Baharom,

Semoga Allah memberkatimu, walau lama kita tak bersua. Semoga Allah melimpah belas kasihanNya ke atasmu.

Terlebih dahulu aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredhai kezaliman khalifah. Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada.

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan terpaksa menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik. Engkau akan terpaksa meredhai kemungkaran yang diizinkan pemerintah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya. Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka. Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu.

Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman, tegaklah makruf dan tentanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilingkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan di akhirat.

Wassalam.

Sahabat Lama,
TUAN IBRAHIM TUAN MAN.

ADA JUGA JUDI YANG HALAL???

"Apa pun dalam Islam judi tetap haram. Tak ada istilah judi halal, kalau judi tetap haram. Nak guna alasan untuk sekat kegiatan judi haram bukan itu caranya. Selama ini pun kerajaan telah luluskan banyak lesen judi tetapi judi tanpa lesen tetap berlaku. Kita tak boleh terima itu, kita bantah keras,”

SELAMAT HARI GURU

ISNIN, 17 MEI 2010 | 3 JAMADILAKHIR 1431H

PAS mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru kepada seluruh warga pendidik. Merenungi hadis Rasulullah s.a.w, bilamana mati anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya serta anak soleh yang mendoakannya.

Bilamana merenungi antara tiga perkara tersebut secara mendalam, kita akan terasa betapa ilmulah yang paling besar manfaatnya bagi si mati. Betapa yang lain berkemungkinan berakhir juga. Anak akan berakhir kerana ia akan mati, sedekah juga akhirnya musnah dan akan berakhir, namun guru dan pendidik meninggalkan amalan yang berterusan dan kekal. Alangkah hebatnya menjadi warga pendidik yang beriman dan ikhlas dalam amalannya.

Seorang guru akan tetap menjadi guru walau ia telah pencen. Saya teringat akan kata-kata seorang guru semasa di kelas peralihan semasa belajar di Sekolah Agama Dong, Raub pada tahun 1973 : "Kamu belajarlah rajin-rajin, biar sampai ke u
niversiti, kemudian kamu datanglah ke sekolah ini, kamu jumpa semula cikgu dan kamu akan dapati beginilah cikgu. Tiada seorang cikgu inginkan anak muridnya lebih rendah darinya." Saya menjenguk semula ke sekolah lama setelah menamatkan pengajian di UKM pada tahun 1985, dan ternyata saya menemui semula guru kesayangan kami, ternyata dia tetap begitu, mengajar dan terus sabar dengan pelbagai gelagat anak muridnya.

Sewaktu saya menjadi pensyarah di ITM ( sekarang UiTM) perkara utama yang ditekankan selain memberi didikan ialah keberkatan dalam ilmu, sehingga saya meletakkan satu notis di pintu bilik :
"Separuh dari keberkatan ilmu anda, terletak kepada anda menghormati guru anda, manakala separuh lagi ialah anda mengamalkan apa yang anda pelajari."

Saya bimbang dengan apa yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan kini, bilamana kurangnya adab murid dengan guru, hilangnya perbincangan tentang nilai keberkatan ilmu, dan kurangnya keredhaan guru kepada muridnya; akan menghilangkan nikmat dan rahmat dalam pendidikan. Saya ingin meninggalkan pesanan yang sentiasa dipesan oleh ibu sewaktu menunggu bas untuk balik ke asrama : "Jangan sesekali kamu menyakiti hati guru kamu, nanti kamu tidak akan berkat sepanjang hidup kamu."

PENYERAHAN BLOK MINYAK : PAS TUNTUT SIDANG KHAS PARLIMEN

RABU, 10 MEI 2010 | 25 JAMADILAWWAL 1431H

ISU PENYERAHAN Blok L dan M kepada Brunei merupakan malapetaka paling serius dalam sejarah pemerintahan BN. Tragedi ini lebih buruk bilamana pihak kerajaan cuba merahsiakan isu sebenar di sebalik penyerahan kedua-dua blok yang mempunyai hasil lebih dari RM320 billion. Apa yang mendukacitakan penyerahan kedua-dua blok ini hanya diumum sepintas lalu, seolah-olah ianya bukanlah perkara besar yang perlu diketahui oleh rakyat. Sikap baik sangka rakyat terhadap kenyataan PM pada waktu itu, bahawa pertukaran surat dibuat bagi menyelesaikan tuntutan bertindih antara kedua-dua negara, dan lebih meyakinkan bilamana ia dianggap jalan baik “win-win situation” bagi menyelesaikan isu tuntutan Limbang oleh Kerajaan Brunei.

Pertikaian sempadan wilayah adalah perkara biasa dialami oleh mana-mana negara di dunia, apatah lagi bila ianya melibatkan kawasan ZEE. Lantaran itu penyelesaiannya akan mengambil masa yang panjang dan pelbagai jalan dilakukan bagi mempertahankan hak negara.
Kita boleh bandingkan negara berhak mengambil tindakan ketenteraan bilamana perairan atau ruang udara diceroboh. Itulah makna kedaulatan negara. Amat malang bilamana pemimpin hanya mengadakan perbincangan di peringkat kabinet, dan membuat keputusan menyerahkan wilayah sendiri sebegitu mudah.

Kita memahami deklarasi yang dibuat, Namun ianya bukanlah bermakna kita terus tunduk tanpa membuat apa-apa usaha. Tragedi ini adalah kali ketiga negara menghadapi situasi kehilangan wilayah. Bermula dengan penyerahan Singapura, kemudian melalui mahkamah antarabangsa kita kehilangan Batu Putih, dan hanya melalui mesyuarat kebinet kita hilang dua blok minyak. Apakah selepas ini kita akan hilang lagi kedaulatan mana-mana wilayah kita? Dengan sikap pimpinan BN yang ada semuanya tidak mustahil. Rakyat kini menuntut satu tindakan ke atas semua pemimpin yang terlibat dengan tragedi malang ini.

Hilang Blok Minyak Atau Semangat Petrotisma Yang Hilang?

Kita sangat sedih dengan kehilangan ini. Namun lebih dukacita bilamana pemimpin seolah-olah melihat isu ini sebagai perkara remeh temeh, dan rakyat pula disibukkan dengan kempen Piala Dunia yang diulang setiap kali selepas berita utama. Andainya isu sebegini berlaku di negara lain, kita yakin kerajaan BN sudah hilang dari persada politik tanahair; bahkan mungkin pimpinannya sedang termenung di sebalik tabir besi. Ternyata sebenarnya rakyat semakin hilang petrotisma; sehingga kehilangan wilayah sebesar ini pun tidak menjadi satu isu yang membangkitkan amarah rakyat.

Kita perlu lakukan sesuatu. Saman awam perlu diteruskan, di samping tuntutan agar satu usul tergempar
perlu dibawa agar Parlimen mengadakan sidang khas bagi membincangkan isu ini. Rakyat perlu tahu dan perlu diberitahu apa sebenarnya telah terjadi. Kerajaan dituntut agar telus dalam sebarang isu besar negara kerana negara ini milik semua warga. Sikap menyembunyi apa yang berlaku; tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mewar-warkan sebagai sebuah negara paling pesat membangun.

Artikel-artikel berkaitan: