Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: April 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



NUKILAN BUAT DSAI - FITNAH, MEHNAH PERJUANGAN

26 Jamadil Awal 1432 H | 29 April 2011
Saya tak tahu apa yg nak dikata dan nak diluahkan apabila mengenangkan akibat yang sedang ditanggung oleh DSAI dan keluarga. 11 tahun beliau diaibkan dan satu demi satu tuduhan dikenakan ke atas beliau, dan keluarga semata-mata kerana beliau berada di pihak pembangkang.

Andainya ia berada di pihak BN, tentulah ia akan dilayan macam tiada apa yang berlaku. Lihat saja Presiden MCA yg mengaku melakukan aksi tak bermoral, langsung tak disiasat dan tiada sebarang dakwaan pun. Demikian juga Razak Baginda, tiada rayuan dibuat dan beliau kini bebas lepas.


Tekanan ini bukan perkara baru dalam sejarah dunia. Firaun pernah melakukannya ke atas Nabi Musa dan pengikutnya yg beriman. Bahkan tukang sihir Firaun yg asalnya adalah petugas yang berusaha untuk menjatuhkan Nabi Musa, ia dilayan dan disanjung. Tetapi bilamana tukang sihir melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa, mereka kemudiannya beriman dengan Allah. Maka bermulalah penentangan dan penindasan sehingga mereka disalib pada kayu salib, mereka diseksa dengan kaki tangan mereka dipotong secara bersilang. Setelah segala rayuan dan tangisan tidak dipedulikan, akhirnya yang keluar dari mulut mereka ialah "Hukumlah apa yg kamu ingin lakukan, kerana kamu hanya berkuasa di dunia ini sahaja".


SKANDAL VIDEO - QAZAF JALAN TERBAIK

25 Jamadil Awal 1432 H | 28 April 2011

SHAH ALAM 28 APRIL : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini mengaku hanya beliau seorang sahaja akan mengambil sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul esok untuk memperkuatkan dakwaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah yang disebarkannya.

Eskay tidak memberitahu kenapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim enggan bersama beliau untuk mengambil lafaz itu, tetapi menegaskan beliau berbuat demikian kerana “agama, bangsa dan negara.”

Eskay turut mencabar Anwar untuk mengambil sumpah itu bersamanya di  Masjid Amru al-Aas, Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat esok.

Bagaimanapun dua tokoh agama iaitu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr Badrulamin Bahrom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syariat Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.

PENDUDUK MAHU SUARA DALAM PANEL BEBAS LYNAS

24 Jamadil Awal 1432 H | 27 April 2011

KUALA LUMPUR, 27 April — Penduduk sekitar Kuantan yang membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi mahu wakil mereka dalam panel bebas yang dibentuk kerajaan bagi mengkaji projek kontroversial bernilai RM700 juta itu.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan satu panel bebas akan ditubuhkan bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu ekoran kebimbangan ia akan mencetuskan ancaman radioaktif.


Bagaimanapun kumpulan yang dinamakan “Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas” memberitahu The Malaysian Insider bahawa orang ramai tidak dapat diyakinkan jika panel bertindak sebagai seolah-olah urusan tertutup tanpa membabitkan suara penduduk.


Pengerusinya Vincent Jiam juga menggesa Lynas Corporation agar menghentikan kerja-kerja di loji tersebut memandangkan publik berpandangan bahawa operasinya akan diteruskan memandangkan apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan tidak lebih daripada kerja perhubungan awam.


SELARAS FATWA AGAR TIDAK JADI BAHAN GURAUAN

23 Jamadil Awal 1432 H | 26 April 2011
PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan, kerana fatwa bukan untuk menjaga hati mana-mana pihak tetapi ia berdasarkan garispanduan yang mengikuti peraturan syarak.

Kita kesal bilamana golongan yang tidak mempunyai asas agama dalam memahami kaedah syarak mempertikaikan sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan. Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum, sehingga mempertikaikannya?

Persoalan ini timbul akibat kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehingga golongan jahil berani mempertikaikan pandangan Majlis fatwa.


PAS juga mencadangkan agar sesuatu fatwa yang ingin diputuskan dapat diselaras terlebih dahulu, walau ianya berada dalam bidang kuasa negeri; kerana tindakan dan fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat. Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.

LANJUTKAN TEMPOH KAJIAN LYNAS


21 Jamadil Awal 1432 H | 24 April 2011

KUALA LUMPUR, 24 April — Badan mewakili peguam-peguam Pahang menggesa kerajaan melanjutkan tempoh sebulan untuk kajian ke atas loji pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation sehingga setahun bagi mengadakan pemeriksaan terperinci berhubung keselamatan dan kesihatan awam akibat kesan radioaktif.

Pengerusi Peguam Pahang, Hon Kai Ping mengakui gesaan badan itu kemungkinan menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan tetapi menekankan, Putrajaya tidak seharusnya tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai isu keselamatan dan kesihatan rakyat.


“Peguam Pahang berpandangan penelitian yang berhati-hati dan mendalam berhubung operasi nadir bumi sangat diperlukan dan keputusan tidak seharusnya diambil secara tergesa-gesa jika kerajaan serius berhubung kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia,” kata Hon dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.


LYNAS & 'SKETSA' MB PAHANG

20 Jamadil Awal 1432 H | 23 April 2011

Dalam isu kilang nadir bumi (tanah jarang) Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, sepatutnya sejak awal lagi pandangan rakyat harus didahulukan dan keselamatan mereka diutamakan sebelum kelulusan untuk membina kilang tersebut diberi, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ekoran bantahan hebat daripada semua lapisan masyarakat di Kuantan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah menukar pendirian sejajar dengan peningkatan bantahan daripada rakyat yang memuncak dari hari ke hari:

Kenyataan MB tidak konsisten
  • Memberi jaminan bahawa kilang Lynas selamat, kemudian
  • Melenting  untuk menutup semua kilang di Gebeng jika Lynas Corporation yang memproses ‘rare earth’ tidak dibenarkan beroperasi, akhirnya
  • Mengalihkan masalah kepada Putrajaya dengan mengatakan bahawa bukan kerajaan Pahang yang memberikan kelulusan.


JAGA ADAB BERKEMPEN

Jawatan satu amanah,
 bukan untuk dibanggakan
19 Jamadil Awal 1432 H | 22 April 2011
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan seluruh ahli PAS menjaga adab-adab jemaah sepanjang kempen pemilihan parti itu.

B
iarpun kempen adalah dibenarkan, namun ianya sesekali tidak boleh memperlekeh dan memperburuk pihak-pihak lain.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut mengingatkan bahawa jawatan kepimpinan dalam parti adalah amanah dan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Sehubungan itu tegasnya, calon yang hendak dipilih perlu mempunyai dua syarat penting iaitu layak dan kedua, mempunyai kemampuan untuk menunaikan tanggungjawab.


PAS DIKRITIK KERANA SAYANG

18 Jamadil Awal 1432 H | 21 April 2011
Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?

“Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.


“Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.


MENJAWAB PANDANGAN PROF AZIZ BARI

"PAS ada kaedah tersendiri memilih pemimpin..."
17 Jamadil Awal 1432 H | 20 April 2011
Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004, dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi, berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.
 
Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. 

Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

KUKUHKAN PERPADUAN PARTI - TG PRESIDEN

16 Jamadil Awal 1432 H | 19 April 2011
Para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gendang yang dipukul oleh pihak lawan, berhubung soal pemilihan sebarang jawatan dalam parti, yang memainkan sentimen kepuakan antara golongan ulama dan profesional.

Gendang tersebut dibunyikan untuk tujuan memecahbelahkan perpaduan antara para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang seharusnya disambut dengan bijak, dengan tidak terpengaruh dengan rentak yang dipalu oleh mereka.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengingatkan perkara itu menegaskan, sebaliknya realiti sebenar di dalam PAS tidak timbul antara golongan ulama dan profesional kerana kesemua pemimpinnya berjuang atas landasan parti yang kukuh untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air.

TIADA TAHAP SELAMAT UNTUK RADIOAKTIF

15 Jamadil Awal 1432 H | 18 April 2011

Projek memproses nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng oleh firma Australia, Lynas akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Ini adalah 10 kali lebih kontroversial daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah yang ditutup 20 tahun lalu, kata pakar kesihatan awam Dr T Jayabalan.


Katanya, sisa radioaktif yang terhasil itu akan membawa nahas alam sekitar dan kesihatan kerana tahap radioaktif yang terhasil akan memberi kesan buruk.


Jelasnya, pendedahan langsung terhadap jumlah thorium yang besar, meskipun dibuktikan oleh Lynas dan Badan Perlesenanan Tenaga Atom (AELB) mempunyai tahap radiasi yang rendah, adalah bahaya apabila jumlah yang banyak mula terkumpul.


LYNAS@GEBENG - AELB, LYNAS BERCANGGAH

15 Jamadil Awal 1432 H | 18 April 2011

KUALA LUMPUR 18 APRIL : Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menafikan meluluskan rancangan Lynas Corporation untuk menyimpan sisa buangan radioaktif lojinya di Gebeng, Kuantan. 
Pihaknya juga turut menegaskan, Lynas Corporation tidak akan dibenar menyimpan ratusan tan meskipun ia masih menganggapnya selamat.

Ketua Pengarahnya, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan berkata, kawasan simpanan dalam loji yang telah diluluskan, yang bertujuan memudahkan kerja-kerja pemprosesan, adalah  sebagai “kawasan sementara untuk menyimpan sisa buangan.” 
Bagaimanapun, simpanan di kawasan loji itu bukanlah menjadi penyelesaian terakhir.

“Kami tidak akan membenarkan (ia) menambah sehingga ke tahap itu. Kami akan menghentikan. Mereka tidak boleh terus menambah (simpanan). Perlu ada proses yang seiringan,” kata Raja Aziz kepada The Malaysian Insider.

Raja Aziz berkata, Lynas perlu membuktikan bahawa ia boleh mengalihkan torium keluar dari kawasan lojinya dengan cara yang selamat ketika tempoh praoperasi yang dijadualkan selama tiga tahun. Katanya, jika syarikat itu gagal berbuat demikian, Lynas tidak akan diberikan lesen operasi sepenuhnya.

“Daripada pengalaman ARE, publik tidak akan membenarkan kerja-kerja menambah torium secara berterusan. 
Itu sebabnya apabila Lynas mengemukakan permohonan, kami memberitahu bahawa ia tidak lengkap. Jika anda tidak dapat mengalihkan sisa buangan, apa anda hendak lakukan? Ini sangat penting,” katanya.

“Kami akan bertanya pada mereka, apa akan jadi jika anda tidak dapat menjualnya? Jika sisa pembuangan terus bertambah, kami akan menghentikan pengimportan dan penambahan,” tambah beliau.


Sebelum ini, Lynas memberitahu bahawa ia tetap dengan pendiriannya mahu meneruskan operasi pemprosesan nadir bumi di Gebeng dengan kemudahan simpanan jika pelan untuk mengitar semula sisa radioaktifnya tidak dimuktamadkan.


Pengerusi Eksekutifnya Nicholas Curtis memberi jaminan kepada pengkritik bahawa lombong Mount Weld di Australia adalah salah satu daripada tiga kawasan yang unik dengan simpanan nadir bumi yang rendah tahap radiasi dan tidak sewajarnya dibandingkan dengan loji Bukit Merah yang sedang melalui kerja-kerja pembersihan menelan kos RM303 juta sejak dua dekad lalu selepas ia ditutup.


“Kami mempunyai kebenaran (daripada kerajaan) untuk simpan di kawasan loji sendiri, buat selama-lamanya
,” katanya.


Curtis memberitahu empangan simpanan yang khas boleh menerima sisa buangan selama enam tahun dan pendedahannya kepada rakyat adalah “sifar.”


“Dua pertiga atau lebih adalah gipsum. Tiada isu bahawa ia digunakan sebagai papan plaster dan pasaran-pasaran lain. Malaysia adalah pengimport gipsum, jadi sudah pasti kami akan menggunakannya untuk kuantiti komersial. Jadi ini akan meningkatkan (kapasiti) simpanan (sisa radioaktif) kami sehingga 24 tahun,” kata beliau.

Lynas Corporation yang melabur RM700 juta bagi mendirikan loji pemprosesan nadir bumi, akan memulakan operasinya akhir tahun ini.-tvnews.net

MASIH ADA SINAR DI BUMI KENYALANG

14 Jamadil Awal 1432 H | 17 April 2011

Walaupun tewas di kelima-lima kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri Sarawak hari ini, tetapi berdasarkan jumlah yang diperolehi, menunjukkan PAS "sudah diterima dan tidak asing lagi" di negeri itu. Oleh itu, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar), berkata parti itu akan memikirkan langkah lebih serius untuk terus bertapak di Sarawak.

"PAS tidak kecewa dengan kekalahan itu kerana kita parti baru. Ini kerana jumlah majoriti yang meningkat seratus peratus (di Beting Maro) berbanding pada 2006. Di Beting Maro kita dahulu kalah (majoriti) lebih 800 undi, kali ini kita kalah majoriti lebih 300. Ini menunjukkan ada peningkatan undi (kepada kita). Lebih penting semua kerusi yang kita bertanding, tidak ada yang hilang deposit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurutnya, selepas ini parti akan membuat bedah siasat untuk mengkaji kelemahan dan kekuatan jentera di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata walaupun kalah, tetapi beliau "positif" bahawa PAS akan terus membuat anjakan bagi meningkatkan sokongan rakyat. Malah, katanya, PAS juga mendapat jumlah undi yang membanggakan, khususnya di Muara Tuang dan Tanjong Datu - yang kali pertama ditandingi dalam dalam pilihan raya negeri kali ini.

"Ini merupakan petanda bahawa rakyat Sarawak tidak menolak secara total. Keputusan itu membuktikan mereka menerima kehadiran PAS bagi melangsungkan perjuangan untuk rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Katanya, PAS akan terus menyusun program bagi menarik sokongan pengundi di negeri itu khususnya di kawasan yang ditandingi parti itu.

"Ini satu petanda bahawa tanah Sarawak subur untuk PAS," katanya sambil menambah PAS menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya ini.

Berdasarkan keputusan rasmi, jumlah undi yang diterima oleh calon PAS adalah seperti berikut:  
  • Abang Ahmad Kardee Abang Masagus (Beting Maro - 2,678 undi) 
  • Abang Eddy Allyanny Abang Fauzi (Sadong Jaya -1,074 undi) 
  • Noraini Hamzah (Muara Tuang - 3,196 undi) 
  • Adam Ahid (Sebuyau - 1,769) 
  • Nani Sahari (Tanjong Dato - 1,002 undi).

PRN SARAWAK YANG SARAT UJIAN

Moga pengorbanan arwah mendapat
ganjaran-Nya... Al Fatihah

12 Jamadil Awal 1432 H | 15 April 2011
Seorang petugas PAS dari Kelantan, yang bertugas sejak hari pertama kempen di sini, meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang ini.


Allahyarhan Mohammad Izan bin Yaakob, 56, didakwa meninggal ketika sedang berbual bersama rakan-rakan di bilik gerakan PAS Beting Maro.


Beliau adalah petugas PAS dari Machang dan juga Ketua Cawangan PAS Lubuk Simpul machang. 
Urusan membawa pulang jenazah sedang diusahakan oleh petugas di sini.

Sementara itu, hasrat PAS untuk 'melahirkan anak sulung' tidak kesampaian. Sehingga kini, keputusan yang diperolehi adalah: 
  • Beting Maro (PAS 2578 BN 3014)
  • Sadong Jaya (PAS 1072 BN 3949) 
  • Sebuyau (PAS 841 BN 2387)
  • Muara Tuang (PAS 728 BN 2389)
  • Tanjong Datu (PAS 655 BN 2940).
Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPP) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pimpinan, warga petugas, pengundi  serta penyokong yang memberikan komitmen untuk pilihan raya ini.

"Sumbangan serta kerja kuat menjayakan gerak kerja kempen PRN Sarawak,  Insya-Allah kita semua akan memperolehi limpahan ganjaran Allah swt," kata Mohd. Nasir Daud, Setiausaha JPP  dalam satu kenyataannya selepas keputusan tidak rasmi PAS kalah kelima-lima Dun keluar.- Harakahdaily

SIASAT AKUAN BERSUMPAH RPK

"Siasat akuan sumpah saya!" - RPK
12 Jamadil Awal 1432 H | 15 April 2011

Rakyat bukan terkejut dengan kenyataan Raja Petra Kamaruddin, tapi terkejut bagaimana TV3 dan Perdana Menteri Najib Razak sanggup mengambil kata-kata seorang yang mempunyai waran tangkap, sehingga kini masih menjadi buruan polis sebagai muktamad.


Begitulah reaksi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ekoran media tradisional Barisan Nasional yang hangat mempermainkan dan memutarkan kenyataan Raja Petra yang di wawancara bersama TV3 untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap pilihanraya negeri Sarawak, di mana Barisan Nasional kini amat tertekan untuk mempertahankan dua pertiga majoriti DUN Sarawak.


Dalam tulisan terbarunya, Raja Petra menegaskan bahawa beliau hanya menerangkan apa yang didakwanya selama ini seperti mana yang tertera di dalam pengakuan bersumpah beliau, di mana beliau diberitahu secara yakin oleh beberapa individu bahawa Najib dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan ngeri Altantuya pada tahun 2006 dan menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut.


Namun, TV3 melaporkan seolah-olah Raja Petra, seorang yang masih diburu polis sehingga kini telah membersihkan nama Najib dan Rosmah daripada kemelut Altantuya.


Turut melucukan, kenyataannya disambut baik oleh Najib, sebagai ayat sakti dalam membersihkan namanya.


“Raja Petra yang diburu polis beberapa waktu dan waran tangkapnya masih sah, kini tiba-tiba menjadi hero sehingga PM dan FLOM (Wanita Pertama Malaysia, Rosmah) pun rasa bersih, lebih bersih daripada baru macam iklan sabun. 
Dengan hanya satu kenyataan saja dah jadi bersih, dengan sesudu sabun sahaja dah jadi macam baru,” tegas Tuan Ibrahim.

LYNAS@GEBENG - 'HANYA KERANA SEEKOR NYAMUK, KELAMBU PULA NAK DIBAKAR'

12 Jamadil Awal 1432 H | 15 April 2011

MB Pahang menyarankan agar semua kawasan perindustrian di Gebeng ditutup sebagai satu langkah yang 'adil' jika isu pembinaan kilang pemprosesan bahan kimia, Lynas Corporation Ltd masih mendapat tentangan.

"Kita lihat nanti reaksi keluarga serta 20,000 pekerja di Gebeng sekiranya kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan menutup seluruh kawasan perindustrian tersebut. Satu sesi penerangan akan diadakan  dan rakyat berhak membuat pilihan sama ada inginkan pelaburan yang memberikan manfaat kepada rakyat atau tunduk kepada suara yang menentang pelaburan," jelas beliau ketika Persidangan DUN Pahang ke-12 semalam.

Komentar:


Mengapa hendak 'dikorbankan' kawasan industri yang tentunya sudah banyak menyumbang hasil kepada kerajaan negeri? Di mana pula slogan 1 Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' apabila lebih 20,000 pekerja di kawasan industri Gebeng 'diancam'? Ini bukanlah penyelesaian terbaik! Saranan ini tidak ubah seperti marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar.

Rakyat menentang bukan hasutan pembangkang. MCA dan Pemuda UMNO sendiri pun turut mendesak ianya dikaji semula.

Sebaiknya cepat-cepat lah MB Pahang buat lah penerangan secara terbuka agar rakyat boleh menilai sebagaimana yang dikendakinya. Dan cara ini lebih 'gentleman' dan dekat di hati rakyat.

BIAR SURUHANJAYA DIRAJA 'BERSIHKAN' NAJIB

12 Jamadil Awal 1432 H | 15 April 2011
'Angkara' Scorpene,  timbul isu rasuah, tender yang
meragukan sehingga kepada kematian Altantuya...
masih gagal dijelaskan oleh orang yang dituduh
Saya merujuk kepada wawancara bersama Raja Petra Kamaruddin yang disiarkan di TV3 semalam yang bertujuan untuk memesongkan fakta di dalam Akuan Bersumpah beliau bertarikh 18 Jun 2008. Akuan Bersumpah tersebut telah mendedahkan dakwaan serius terhadap Perdana Menteri Mohd Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Kenyataan Raja Petra yang dibuat tiga tahun selepas Akuan Bersumpah tersebut kelihatan tidak begitu penting dan kurang bernilai. Satu-satu Akuan Bersumpah perlu dibaca dan ditafsirkan berdasarkan kandungan sepenuhnya.

Wawancara televisyen tidak sedikit pun menjejaskan isi atau kebenaran kandungan Akuan Bersumpah, melainkan wujud bukti berlakunya tekanan yang mana ianya tidak berlaku dalam kes ini. Adalah penting untuk dinyatakan bahawa Raja Petra telah mengesahkan Akuan Bersumpah beliau pada 18 Jun 2008 di mana beliau telah dimaklumkan oleh “sumber yang boleh dipercayai” berkenaan perkara ini.


Apa yang lebih mustahak adalah tiada penjelasan yang memuaskan dari Perdana Menteri Mohd Najib atau pihak Kerajaan berkaitan dakwaan oleh akhbar Liberation yang berpengkalan di Perancis tentang kaitan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dan penjualan tiga buah kapal selam oleh syarikat Amaris dari Perancis kepada kerajaan Malaysia. Pada ketika itu, Najib merupakan Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab ke atas pembelian tersebut. Persoalan ini adalah sangat mustahak dalam konteks kepentingan awam.


Juga tiada sebarang penjelasan yang jelas tentang mengapa syarikat Perimekar dari Malaysia menerima bayaran €114 juta dari urusan pembelian kapal selam. Urusan pembelian tersebut kini di dalam siasatan di Perancis kerana dipercayai melibatkan unsur rasuah. Adalah mengecewakan manakala pihak Perancis giat meneruskan siasatan ke atas perkara ini, namun di Malaysia ianya kelihatan “disapu ke bawah Permaidani”. Dakwaan dan isu yang menyelubunginya adalah sangat serius dan sewajarnya ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk melakukan siasatan. - anwaribrahimblog.com

N.Surendran, 
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

LYNAS@GEBENG - AHLI POLITIK AUSTRALIA BANTAH

11 Jamadil Awal 1432 H | 14 April 2011


KUALA LUMPUR 14 APRIL : Ahli politik Australia mengutuk cadangan syarikat Lynas Advanced Materials Plant mahu membuang bahan radioaktif ke kawasan komuniti perikanan di Gebeng, Pahang.

Robin Chapple (gambar) menegaskan kepimpinan Ketua Menteri Australia Barat, Barnett tidak harus bersubahat dalam membuang sisa radioaktif di negara lain, termasuk Malaysia.


“Saya mengutuk sekeras-kerasnya cadangan Lynas untuk membuang bahan radioaktif itu ke kawasan komuniti perikanan di Pahang," ujar Chapple.


Chapple yang juga ahli Majlis Perundangan Australia Barat berkata, pengendalian yang tidak betul akan menyebabkan penduduk sekitar akan mengalami radiasi yang diakibatkan oleh mineral thorium.


Chapple menyuarakan kebimbangannya ekoran sebelum ini, sebuah syarikat perlombongan bahan radioaktif, syarikat Magellan Metal terpaksa menghentikan operasinya berikutan kebocoran plumbum yang merbahaya kepada penduduk.


LYNAS@GEBENG - MEREKA UNTUNG, KITA DERITA

Projek Lynas mendapat insentif pelepasan cukai
selama 12 tahun dari kerajaan negeri Pahang...
9 Jamadil Awal 1432 H | 12 April 2011

SHAH ALAM 12 APRIL : Dakwaan Lynas Corporation bahawa Loji Tanah Jarang di Gebeng, Kuantan hanya mendedahkan bahan radioaktif 'Thorium' pada kadar minimum tidak boleh diterima Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Menurut Fuziah, kadar 0.16 peratus Thorium atau 61 'becquerel atau Bq per gram memang rendah tetapi akan berakumulasi seiring dengan masa dan tahap pengeluaran tanah jarang terbabit.



TANDA KIAMAT - ILMU AGAMA BERANSUR HILANG...

9 Jamadil Awal 1432 H | 12 April 2011

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan tentang ilmu akan hilang dari atas muka bumi ini. 
Saya merujuk buku 40 Hadis Tanda Kiamat tulisan oleh Syeikh Banjari.


Sabda Rasulullah s.a.w:

عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي االله عنهما يقول : سمعتُ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم يقولُ : إن الله لا يقبضُ العلمَ انتِزاعاً ينزعُهُ من الناسِ ولكن يقبِضُ العِلم بقبضِ العُلم حتى إذا لم يترُكْ عالما اتخذ الناس رؤوسا جهالا فسُئِلوا فأفتَوا بغير علم, فضلوا واضلوا -مسلم

Daripada Abdullah bin 'Amru fin al 'Ash Rodiyallahu 'anhuma, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Bahawasanya Allah s.w.t tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah menghilangkan ilmu dengan mematikan alim ulama'. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka, dan apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang yang lain - (Riwayat Muslim)


Pengajaran Hadis :
  • Ilmu akan terhakis dari atas muka bumi dengan cara dimatikan para alim ulama; ataupun ulama itu dimatikan fungsinya, seperti digam, atau ditarik balik tauliah mengajarnya; atau memang ada orang yang mahu menyekat fungsi alim ulama.

  • Rasulullah s.a.w juga memberi amaran tentang golongan yang jahil yang akan mengambil tempat alim ulama setelah peranan mereka dimatikan, mereka adalah pemimpin yang tidak sedar akan kejahilan mereka sendiri. Sifat pemimpin ini ialah, mereka itu sesat, malah mereka juga menyesatkan orang lain.

Sekadar untuk pemerhatian setiap mereka yang subur dan segar jiwanya. - ustazshukriharun.blogspot.com

PRU 13 - SEMAKIN JELAS TANDANYA

8 Jamadil Awal 1432 H | 11 April 2011

KUALA LUMPUR 11 April : Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pada pertengahan tahun ini akan dipercepatkan dipercayai sebahagian daripada persiapan menghadapi hari pengundian kelak.

Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, kerajaan persekutuan telah mengedarkan satu notis yang meminta pihak sekolah supaya mempercepatkan peperiksaan kerana pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan juga telah menerima notis tersebut dan peperiksaan mesti diadakan pada bulan depan serta dewan sekolah pula tidak boleh disewakan kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.


Penganalisis dan pemerhati politik berkata pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai dan mungkin pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.


SAMAN EKOR - HAPUS, BUKAN TANGGUH

6 Jamadil Awal 1432 H | 9 April 2011

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat pada 23 Mac 2011 bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menangguhkan penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen. Keputusan ini telah mengesahkan dakwaan dan desakan KASE selama ini iaitu penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Semasa mengumumkan perkara tersebut di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa keputusan penangguhan senarai hitam membabitkan Notis Pol 170A (Saman Ekor) tersebut adalah atas nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa terdapat suatu kes yang sedang dalam proses rayuan. 


MUFTI - MASA UNTUK BERTINDAK

5 Jamadil Awal 1432 H | 8 April 2011

PAS menyanjung tinggi beberapa kenyataan tegas yg dikemukakan oleh para Mufti berhubung isu klip video. Kenyataan begini amat dinanti oleh rakyat kerana ketegasan mereka akan dilihat sebagai pendirian rasmi para mufti. Sayangnya kenyataan sebegini jarang dikeluarkan oleh media perdana kerana ianya bertentangan dengan agenda tersembunyi UMNO.


Tindakan ini sekali lagi membuktikan isu video adalah agenda UMNO bagi mematikan karear politik DSAI, sekaligus merencatkan perubahan politik yang sedang berjalan di Sarawak. Lebih membimbangkan, ada ura-ura pihak tertentu akan mengedarkan klip video ini di Sarawak, khususnya di kawasan Melayu bagi tujuan jahat mereka ini. Memandangkan tiadanya sebarang tindakan pihak polis bagi mengambil tindakan kepada trio 'Dato T' yang menayangkan klip ini, ditambah lagi dengan tindakan media perdana menyiarkan klip ini, maka usaha jahat tersebut tidak mustahil.


KERJA PILIHANRAYA ADALAH JIHAD

"Kerja pilihanraya adalah jihad.."
2 Jamadil Awal 1432 H | 5 April 2011
KUCHING, 5 April: Petugas PAS diingatkan agar jangan membazirkan masa untuk menjawab dan terperangkap dengan isu remeh yang dirancang oleh lawan sempena pilihan raya negeri Sarawak.

“Dalam masa yang sama, jangan sekali-kali kita membiarkan kepayahan dalam melaksanakan tugas kita mengganggu tugas dan amanah kita dalam pilihan raya kali ini,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.


MB, DENGAR RINTIHAN RAKYAT

MB Pahang yang 'cool'
29 Rabi'ul Akhir 1432 H | 3 April 2011

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memberi jaminan bahawa pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi milik Syarikat Lynas Corporation Ltd. dari Australia di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, adalah selamat dan tidak akan memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar.

"Pembinaan kilang itu sengaja dijadikan isu politik oleh pihak tertentu yang didalangi pihak parti pembangkang.”

"Kita berharap penduduk terutamanya di Kuantan tidak merasa panik atau gusar apabila kilang itu yang dijangka beroperasi pada September ini kerana ia tidak akan membebaskan radiasi dan membuang sisa-sisa air yang digunakan untuk memproses bahan tersebut tetapi air itu akan dikitar semula.”

HUTAN GONDOL, TADAHAN AIR TERANCAM

28 Rabi'ul Akhir 1432 H | 2 April 2011


Penjelasan MB dinantikan...
Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato' Seri Adnan Yaakob dikritik kerana tidak mengendahkan perasaan rakyat sekitar kawasan Jerantut apabila meluluskan kawasan tadahan air untuk penebangan balak.

“PAS membantah keras kelulusan kawasan tadahan air yang telah digazetkan sebagai hutan simpan Jerantut (tambahan), petak 11A, 3A dan 15A sebagai kawasan pembalakan. Kawasan tadahan air ini melibatkan berpuluh kampung dan akan memberi kesan langsung kepada ribuan penduduk,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.