Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: June 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

FAHAMI PERLEMBAGAAN, KETAHUI HAK ANDA

29 Rejab 1432 H | 30 Jun 2011

PAS menggesa orang awam yang menyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)  2.0 untuk mengambil inisiatif untuk membaca dan memahami Perlembagaan Persekutuan negara untuk mengetahui hak masing-masing untuk berdepan dengan fobia Kementerian Dalam Negeri yang dikawal Barisan Nasional menjelang perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai ini.

Dengan memahami Perlembagaan Persekutuan negara, orang awam boleh mengenal pasti dan sedar apabila batasan hak mereka yang termaktub di dalam perlembagaan telah dicabuli.


Sebagai contoh yang muktahir, dengan adanya pengetahuan mengenai perlembagaan persekutuan, orang awam akan tahu bahawa kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa ia
satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju Bersih 2.0, adalah sesuatu yang tidak berlandaskan undang-undang dan juga perlembagaan negara.


Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia telah menegaskan bahawa Bersih 2.0, Pemuda Umno, Perkasa dan orang ramai mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.


MENTERI, POLIS JANGAN ATASI PARLIMEN

28 Rejab 1432 H | 29 Jun 2011

"Menteri dan pasukan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kesalahan yang tidak disebut oleh mana-mana undang-undang bertulis," tegas Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato Seri Hishamuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini.

Hishamuddin memberi amaran sesiapa yang memakai baju T kuning Bersih adalah melakukan kesalahan dan boleh ditangkap. 
Sementara Ismail pula menambah, sesiapa yang memakai kasut, menaiki kereta dan bas untuk mempromosikan perhimpunan itu  juga akan ditahan kerana  melakukan kegiatan menghasut.

Aziz berkata, kuasa untuk membuat undang-undang telah diletakkan di tangan parlimen.


“Menteri dan kakitangan awam seperti polis tidak mempunyai kuasa berbuat demikian. Jika ada pun kuasa itu ia mesti disebut secara jelas dalam akta yang berkenaan.


“Apa yang dilakukan oleh menteri dan polis ialah membuat kesalahan atau jenayah baru yang di luar bidang kuasa mereka”, kata pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  itu.

Tiada undang-undang yang meletakkan perkara itu sebagai perbuatan jenayah, seperti yang disebut oleh Hishamuddin dan Ismail. 
Dengan itu, katanya, orang ramai bebas melakukan apa yang dilarang oleh mereka berdua. - keadilandaily.com

BERSIH 2.0 - WUJUDKAN ZON PENAMPAN, ELAK PERTEMBUNGAN

Bersih 2.0 tuntut pilihanraya yang adil

27 Rejab 1432 H | 28 Jun 2011

“Tindakan polis kebelakangan ini yang menangkap orang yang memakai baju Bersih 2.0 sewenang-wenangnya akan menyebabkan rakyat yang asalnya tidak puas hati dengan SPR, akan bertukar kepada polis,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau turut mengecam tangkapan polis terhadap aktivitis yang memakai atau menjual baju Bersih 2.0 sebagai satu yang amat bertentangan dengan hak asasi manusia dan dengan nilai undang-undang.

“Tindakan menangkap mereka yang memakai baju bersih atau menjual baju bersih adalah nyata bertentangan dengan peraturan dan undang-undang.   Atas alasan apa mereka ditangkap dan peruntukan mana yang digunakan (untuk menangkap mereka)?” soal beliau.

Sehingga kini, 81 orang telah ditahan polis dan jumlahnya dijangka meningkat ketika BERSIH memperhebatkan lagi kempennya dalam tempoh dua minggu sebelum perhimpunannya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan polis bahawa perhimpunan ini bukan perhimpunan untuk menentang polis, tetapi untuk membaiki sistem pilihanraya. Seharusnya pihak polis melaksanakan tugas dengan adil dan saksama kepada semua rakyat.

Mengenai kekhuatiran ramai bahawa akan wujud pertembangan tiga kumpulan yang berhimpun pada 9 Julai ini iaitu Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa, Tuan Ibrahim berkata ia adalah tugas polis untuk mengelakkan pertembungan itu daripada berlaku.


“Sekiranya mereka dapat melakukan (mengasingkan dua kumpulan penyokong) di hari penamaan calon, mengapa tidak di Bersih 2.0?

“Kalau polis gagal mewujudkan 'buffer zone' maka rakyat akan menganggap polis gagal menjalankan tugas sebenar iaitu menjamin keselamatan rakyat,” kata beliau.

PAS PAHANG SERAH MEMORANDUM BANTAHAN KEPADA MUFTI PAHANG

27 Rejab 1432 H | 28 Jun 2011


MEMORANDUM MEMBANTAH PENYIARAN KARIKATUR MENGHINA ISLAM OLEH AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
  
KEPADA:

SOHIBUS SAMAHAH
YH DATO` HAJI ABD RAHMAN BIN HAJI OSMAN.
DSAP.DIMP.SMP.AMP.PKC

MUFTI KERAJAAN NEGERI PAHANG


OLEH
  PAS NEGERI PAHANG
 26 REJAB 1432 / 28 JUN 2011

Assalamualaikum w.r.t

Muqadimah
Merujuk kepada pelbagai isu yang mencemar kesucian agama Islam yang sering dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan yang terbaru, membabitkan penyiaran karikatur berbau penghinaan Islam oleh akhbar Utusan Malaysia pada 15 Jun 2011.

Memorandum bantahan diserahkan kepada
Sohibus Samahah Mufti Pahang
Oleh sebab kesan daripada penyiaran tersebut telah menimbulkan kegelisahan yang amat mendalam kepada umat Islam khususnya dan masyarakat keseluruhannya maka sesuatu tindakan yang wajar dan berkesan perlu diambil oleh pihak berwajib.

Ybg Datuk,

Sama ada penyiaran lakaran karikatur itu disengajakan atau tidak disengajakan atau sama ada mereka sedar ianya suatu penghinaan terhadap Islam atau pun mereka tidak menyedarinya, namun penyiaran karikatur tersebut telah menyebabkan berlaku kekecewaan, kegelisahan dan ketidaktenteraman masyarakat keseluruhan dan khasnya kepada umat Islam.

Akhbar Utusan Malaysia adalah akhbar antara yang tertua di negara ini dari segi penerbitannya. Penyebarannya begitu meluas. Namun akhir-akhir ini mereka menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap penyiarannya apabila menerbitkan banyak artikel sensitif membabitkan isu agama dan moral.

Penyiaran lakaran karikatur serta minat yang mendalam dengan menjaja bahan berunsur porno (kelucahan melampau) seperti isu video seks, memuatkan berita-berita yang boleh mendatangkan ketegangan kaum secara melampau telah merosakkan usaha memelihara kesucian agama Islam,  pembinaan akhlak umat serta perpaduan kaum di negara ini.

KENYATAAN ZAHID HAMIDI DISANGGAH

'Tembakan' dari Menteri Pertahanan ini tersasar jauh..
27 Rejab 1432 H | 28 Jun 2011

Kenyataan ini adalah respon kepada laporan laman Utusan Malaysia yang bertarikh 27 Jun yang bertajuk “Nik Aziz digesa solat istikharah”  yang memetik kata-kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ynag berkata :

“Saya fikir mereka (pemimpin Pas) perlu melakukan solat sunat istikharah untuk memohon hidayah Allah sama ada segala kebenaran di sebalik video seks itu berpihak kepada Anwar atau tidak?" 


UMNO semakin tersepit pada hari ini. Tidak cukup dengan kebiadapan Utusan  Malaysia yang menyiarkan karikatur yang menggambarkan persepsi yang negatif terhadap Islam, pada hari ini kita membaca pula kenyataan Naib Presidennya yang menggesa supaya pemimpin PAS melakukan solat istikharah dalam menangani isu seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang. 
Gesaan tersebut menyerlahkan lagi kejahilan beliau terhadap hukum feqah di dalam Islam.


Solat istikharah tidak dilaksanakan untuk bertujuan yang bertentangan dengan hukum syarak. Dalam isu ini, seseorang itu tidak dianggap bersalah melakukan kesalahan zina selagimana tidak didatangkan dengan empat orang saksi. Ini adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t secara jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Ianya merupakan kaedah keterangan yang dipegang di dalam Islam. Selagimana tidak di datangkan 4 orang saksi maka sesorang itu adalah tidak bersalah dan tidak melakukan zina. Tiada seorang Islam pun yang berhak untuk keluar daripada ketetapan Allah s.w.t ini.

Para alim ulama di dalam UMNO seharusnya menasihatkan pemimpin mereka supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan urusan agama sebelum masyarakat turut menjadi harubiru dek kerana kenyataan tersebut.

Dr. Khairuddin Aman Razali,
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat

KENYATAAN RASMI SUHAKAM - BENARKAN HIMPUNAN BERSIH 2.0

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam
26 Rejab 1432 H | 27 Jun 2011

"Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merujuk kepada perhimpunan aman yang dirancang oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang bakal diadakan pada  9 Julai 2011, dan juga perhimpunan-perhimpunan yang dilaporkan dirancang oleh Pemuda UMNO dan Perkasa, dan mengulangi pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat."

Suruhanjaya mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada Kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun, seperti yang terkandung dalam, antara lain, Laporan Tahunannya kepada Parlimen, serta permintaan bagi pemansuhan sub-seksyen (2), (2A) - (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967, dan mengesyorkan agar pihak Polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.


Suruhanjaya menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut dijalankan, dan kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab. Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu sewajarnya. "

KENYATAAN MEDIA - PAS PAHANG ROMBAK JENTERA HADAPI PRU13

24 Rejab 1432 H | 25 Jun 2011
KENYATAAN MEDIA

PAS Pahang baru selesai mengadakan mesyuarat pertamanya, dengan memfokuskan agenda kepada penstrukturan jawatankuasa baru Badan Perhubungan Negeri. Perubahan beberapa jawatankuasa memperlihatkan penyertaan golongan muda sebagai barisan palapis mula ditonjol dalam menyediakan satu pasukan bagi menghadapi PRU 13. 

PAS Pahang membuat rombakan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dengan memasukkan Us Nasaruddin Hassan Tantawi sebagai Timbalan Pesuruhjaya. Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha memantapkan barisan pemuda negeri sebagai tenaga penting dalam persiapan pilihanraya.

Berikut senarai penuh Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Pahang:

Pesuruhjaya                  :   Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Timbalan PJ 1                :   Us Yusuf bin Embong

Timbalan PJ 2                :    Dr Hamzah Jaafar

Timbalan PJ 3                :    Us Nasaruddin Hassan Tantawi

S/U Perhubungan          :    Roslan Zainal

Bendahari                     :    Ir Musanif Abd Rahman

Ketua Penerangan        :   Us. Suhaimi bin Saad
Ketua D. Pemuda          :    Us Shahril Azman b. Abd Halim AlHafiz

Ketua D. Ulamak           :   Us Mokhtar Senik

Ketua D. Muslimat         :   Pn Salamiah bt Mohd Nor

Pengarah JPR                :   Abdul Majid Hassan


Ahli Jawatankuasa - 
Sdr Hasanuddin Salim; Yb Syed Hamid bin Sy Mohamad; Sdr Andansura bin Rabu; Yohanis bin Ahmad; Alawiyyah Abdullah; Siti Ruhani bt Abu Bakar; Ramli bin Awang Abd Rahman

Mesyuarat hari ini juga telah membuat komitmen untuk menggerakkan ahli dan penyokong PAS Pahang seramai 30,000 orang untuk menyertai Himpunan Aman BERSIH 02 pada 9hb Julai nanti. 


PAS Pahang akan membantu pasukan keselamatan bagi memastikan himpunan ini akan berjalan dengan aman, dan mengecam sebarang tindakan bersifat provokasi yang cuba dicetuskan oleh mana-mana pihak.


Mesyuarat juga menggesa agar ditingkatkan usaha bantahan terhadap projek Lynas yang mempunyai risiko kepada kehidupan penduduk dan alam sekitar. Mesyuarat dimaklumkan  beberapa himpunan bantahan yang berterusan akan diadakan di sekitar Kuantan, bersama dengan pelbagai NGO, dan menggesa ahli PAS turut sama dalam siri bantahan tersebut.

PERBICARAAN TRIO 'T' AMAT LUAR BIASA - MAJLIS PEGUAM

24 Rejab 1432 H | 25 Jun 2011

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee menegaskan Mahkamah Majistret tidak sepatutnya membenarkan tayangan semula rakaman video seks kerana tindakan itu "amat luar biasa."


“Tidak perlu buat macam itu sebab mereka sudah mengaku bersalah, saya hairan dan terkejut 
kenapa ia berlaku,” kata beliau lagi.

Pagi semalam, ketiga-tiga Datuk T telah mengaku bersalah menayangkan 
bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu. 
Shazryl didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Shuib dan Abdul Rahim masing-masing RM1,500 atau dua bulan dan RM1,000 atau satu bulan.

Mengulas lanjut, jelas Lim, tindakan mahkamah itu juga tidak selari dengan prosedur biasa yang dilakukan dalam kes sedemikian.


"Ini tidak selari dengan prosedur biasa, lagipun biasanya kalau mahu dedahkan bahan bukti ia dibuat ketika perbicaraan ketika pesalah tidak mengaku bersalah, sedangkan hari ini (semalam) mereka mengaku bersalah.


“Kalau kita ikut prosedur biasa, pesalah akan didakwa, kemudian hakim akan tanya sama ada mereka mengaku bersalah atau tidak, dan jika mengaku bersalah hukuman akan terus dijatuhkan. 
Hukuman pula berdasarkan dengan kesalahan yang mereka lakukan, jadi tidak perlu untuk mahkamah bawa bahan bukti,” katanya.
Seiras tidak semestinya segalanya sama  

Ditanya mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Datuk T, Lim berkata, keputusan tersebut relevan dengan kesalahan yang dilakukan.


Mengikut laporan media, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Rahim berkata, lelaki dalam video seks adalah “99.99 peratus” Anwar. 
Shafee menunjukkan salinan laporan tersebut kepada wartawan tetapi enggan membenarkan salinan dokumen itu dibuat.

Dalam fakta kes yang dibacakan di mahkamah, mahkamah juga mendengar bahawa pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ia dirakam dengan perakam DVR milik Shazryl. - themalaysianinsider

TAWARAN LUMAYAN MENANTI PESERTA BERSIH 2.0

22 Rejab 1432 H | 23 Jun 2011

Berdasarkan pengalaman dalam himpunan-himpunan aman lalu, pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pelbagai tindakan provokasi bagi memburukkan PAS, penganjur dan para peserta. Tindakan tersebut mungkin akan dilakukan sekali lagi oleh mereka pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, malah mungkin akan lebih ketara lagi.

Bagi membolehkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu diketahui umum dan diambil pengajaran, tawaran lumayan akan diberikan kepada yang berjaya merakamkan gambar provokasi terbaik.


"Aksi-aksi yang dirakam itu pula tentunya pelbagai. Ada yang menarik, agak menarik, kurang menarik dan tidak menarik. Jadi untuk membolehkan kita mendapatkan rakaman insiden-insiden provokasi yang menarik, PAS akan menyediakan hadiah lumayan bagi mereka yang berjaya merakam gambar terbaik," kata Dato' Tuan Ibrahim pada sidang akhbar bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

"Ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak perlu takut untuk menyertai himpunan itu kerana ia diadakan atas tujuan yang murni oleh Bersih bagi menuntut perjalanan pilihanraya yang adil. Walaupun begitu, jangan sekali-kali membawa senjata.
"Himpunan itu adalah himpunan aman. Jika membawa senjata dibimbangi akan mencetuskan kejadian tidak diingini pula. Tujuan himpunan itu diadakan amat jelas, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita dan desakan itu mestilah didengar oleh kerajaan," tegasnya.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa himpunan ini akan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau menjelaskan dakwaan tersebut datang dari mereka yang tidak memahami apa itu demokrasi. 
Jangan bawa senjata, memadai
tuala basah, cuka dan garam

"Sesuai dengan perhimpunan aman yang diadakan, ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan negatif terhadap negara jika diadakan, malah ia akan menimbulkan penghormatan rakyat asing itu sendiri terhadap negara kita apabila mereka dapat melihat dengan jelas sikap rakyatnya yang sentiasa menjaga keamanan termasuk ketika berdemonstrasi.

"Manakala pelancong pula bukan hanya terdiri daripada warga asing. Malah rakyat di negara ini yang berkunjung ke sesuatu destinasi itu juga adalah pelancong," jelasnya.
Bagi keselamatan diri, beliau menasihatkan mereka yang ingin menyertai himpunan itu agar membawa tuala basah, cuka dan garam untuk digunakan sekiranya diserang dengan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa. - Harakahdaily

ISU PENGUNDI HANTU - SPR BERDALIH

   22 Rejab 1432 H | 23 Jun 2011

KUALA LUMPUR 23 JUN : Kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang mengheret cabaran Azmin Ali supaya beliau meletakkan jawatan dengan institusi raja, adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab sama sekali.

Malahan menurut ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, tindakan Wan Ahmad cuba mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara tersebut seolah-olah lari dari persoalan pokok yang dibangkitkan. 

“Isu yang dibangkitkan oleh Azmin Ali memang sangat penting sebab beliau persoalkan tentang kesahihan daftar undi. Ini satu isu yang pokok dan beliau beri keterangan yang cukup kuat dan terperinci berdasarkan kedudukan rumah ibunya sendiri,” katanya kepada TV Selangor ketika ditemui di lobi Parlimen di sini semalam.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR pada Konvensyen Pilihan Raya PKR yang lalu, mencabar Wan Ahmad supaya membuktikan bahawa daftar pemilih induk adalah bersih seratus peratus daripada pengundi hantu, dan jika gagal, beliau harus meletakkan jawatannya.

Beliau memberikan tempoh 48 jam kepada Wan Ahmad berbuat demikian kerana Wan Ahmad menuduhnya berbohong berhubung maklumat daftar pemilih di kawasan Parlimen Gombak yang diwakilinya.

Azmin mendakwa, rumah yang didiami ibunya di Kampung Klang Gate Baru mempunyai 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina.

Menurut Sivarasa, isu pengundi Cina yang didaftarkan di rumah ibu Azmin hakikatnya perlu dijelaskan oleh pihak SPR dan bukan mempertikaikan apa diperkatakan.

Jelas beliau, kenyataan Wan Ahmad yang menyatakan Azmin tidak menghormati pelantikan oleh Yang Dipertuan Agung ke atas dirinya bagi jawatan Timbalan Pengerusi SPR adalah menyimpang dari isu sebenar.

“Pelantikan hampir semua jawatan besar dalam negara ini dibuat oleh Yang Dipertuan Agong tetapi itu tidak bermaksud nama Yang Dipertuan Agong boleh dibangkitkan bila kita kritikkan nama-nama jawatan besar ini, sama ada dia Ketua Polis Negara atau Peguam Negara atau Ketua Audit Negara. Mereka ada tanggungjawab kalau mereka salah, kita akan tegur,” katanya.

Tegasnya, SPR seharusnya menjalankan siasatan dan membetulkan keadaan yang tidak betul supaya tidak timbul sebarang isu hingga menyebabkan berlakunya tindakan mengadakan perhimpunan aman seperti Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

“Sebab itulah tuntutan Bersih 2.0 ini sangat wajar dan tepat pada waktunya. Rakyat Malaysia harus menyokong penuh usaha ini untuk jaminan masa depan bagi demokrasi kita,” katanya lagi. - tvnews.net

KENYATAAN MEDIA BERSIH 2.0 - MESTI HADIR TANDA SOKONGAN

21 Rejab 1432 H | 22 Jun 2011
Semua ahli dan penyokong PAS diwajibkan hadir dalam himpunan BERSIH bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Berparlimen.

Himpunan demonstrasi aman ini bukanlah perkara baru dalam konteks negara. Selepas PRU ke 12, UMNO ternyata lebih banyak mengadakan demo berbanding PR. Apa yang menarik demo ini dikawal oleh polis tanpa ada provokasi. Ia berjalan dengan aman. Bawa kepala lembu, bakar gambar, bakar bendera dan isytihar perang khususnya anjuran PERKASA; seolah-olah sebuah badan yg mempunyai kekebalan.


PAS mengucapkan tahniah kepada kebebalan PERKASA yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat provokasi, kerana ini tentulah memudahkan polis untuk menahan mereka yg melakukan provokasi. Kalau yang buat provokasi tentulah PERKASA, tapi jangan terkejut kalau yang kena tahan ialah PAS, PKR atau DAP.


PAS juga mengalu-alukan penyertaan Pemuda UMNO yang akan ikut sama demo pada 9hb Julai nanti. Keberanian Khairy kali ini agak luar biasa, cabar polis dan sedia ditangkap. Cuma PAS hairan Pemuda UMNO sertai demo untuk menuntut apa? Kalau tuntutan kita atas lapan perkara, maka Pemuda UMNO nak tuntut apa? 


Kata Khairy mereka menuntut penambahbaikan sistem Pilihanraya di Malaysia. Maknanya Pemuda nampaknya lebih faham berbanding UMNO tua yg berlindung di bawah dagu PERKASA. 


MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN


Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

HIKMAH DI SEBALIK ISRAK MIKRAJ

20 Rejab 1432 H | 21 Jun 2011

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.
Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w.

Peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.


Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.


Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)


Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19).


Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)


99% RESPONDEN SOKONG BERSIH 2.0

20 Rejab 1432 H | 21 Jun 2011

malaysiakini

Sejumlah 99% daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online.

Jumlah sebenar bilangan responden tidak dapat disahkan apabila portal berita berkenaan menghentikan banciannya kira-kira tengahari tadi.
NONE

Menurut skrin yang dirakamkan oleh seorang pengguna Facebook, jumlah responden mencecah 1.3 juta pada jam 12.25 tengah hari berbanding 527,330 yang dicatatkan pada jam 6.11 pagi ini, yang dirakamkan menerusi laman Google Cache.


Soalan yang dikemukakan berbunyi 'Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?

  • 1,312,917 responden menjawap 'Ia sepatutnya dibenar diteruskan' 
  • 14,222 responden memilih 'Ia harus dibatalkan'

TAZKIRAH - TITIAN SIRAT SUATU YANG PASTI

20 Rejab 1432 H | 21 Jun 2011

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Baqarah, ayat 2:
 

الذين يؤمنون بالغيب ويقيمون
 الصلاة ومما رزقناهم ينفقون  


Orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mengerjakan solat, serta menginfaqkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikankan kepadanya.

Salah satu dari cabang aqidah atau kepercayaan ialah mempercayai adanya titian sirat yang merentangi kawah api neraka dan menghala ke syurga. Setiap manusia akan melalui titian ini. Sesiapa yang selamat, maka berjayalah ke syurga, akan tetapi jika sebaliknya, maka dialah penghuni api neraka yang menyeramkan itu. 


Firman Allah Ta'ala :


وإن منكم إلا واردُها كان على ربِّك حتما مقضيا ثم نُنجى الذين اتقَوا ونَذَرُ الظالمين فيها جِثِيا


(
Dan tidak ada seorangpun daripada kamu (samada yang beriman atau kafir) melainkan akan sampai kepadanya dengan melaluinya (atas sirat). Yang demikian adalah satu perkara yang mesti berlaku yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan melutut) - Surah Maryam, ayat 71 & 72

Dua ayat ini menjelaskan bahawa semua manusia akan melalui titian sirat ini, siapapun pasti akan melaluinya. Inilah tempat penapisan antara ahli neraka dan ahli syurga. Sesiapa yang ditakdirkan menjadi ahli neraka akan jatuh dari titian ke kawah api neraka.
Sabda Rasulullah sollahu 'alaihi wasallam :

عن أبي هريرة رضي الله عنه, أن البي صلى الله عليه وسلم قال : يضرب الصراط بين ظهراني جهنم فأكون أولَ من يجَوز من الرسل بأمته ولا يتكلم يومئذ أحد إلا الرسل وكلام الرسل يومئذ الله سلم سلم وفي جهنم كلاليب مثل شوك السعدان هل رأيتَهُم شوك السعدان قالوا نعم فإنها مثل شوك السعدان غير إنه لا يعلم قدر علمها إلا الله تعالى تخف الناس بأعمالهم فمنهم من يوبق بعلمه ومنهم من يخردل ثم ينجو (رواه البخاري ومسلم والترمذي


(Ertinya : Diletakkan titian sirat di atas neraka jahannam, maka aku menjadi orang yang pertama di kalangan rasul-rasul yang menyeberangi bersama umat masing-masing, dan ucapan rasul-rasul pada hari itu ialah berdoa: "Ya Tuhanku selamatkanlah! Ya Tuhanku selamatkanlah!!!" 


Dan pada neraka jahannam itu ada pengait-pengait seperti duri pokok sa'dan, adakah kamu pernah lihat duri sa'dan itu ? 
Mereka menjawab, "Ya." 

Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya : "Maka sesungguhnya ia (pengait-pengait itu seperti duri pokok sa'dan, tetapi tidak diketahui betapa besarnya melainkan Allah Ta'ala. Ia mengait manusia bersama amalan-amalan mereka (yang jahat), di antaranya ada orang yang binasa disebabkan amalannya, dan ada pula orang yang dihalang-halang dan diputuskan perjalanannya, akhirnya ia terselamat juga - Riwayat Al Bukhari, Muslim & Termizi)


Begitu hebat ujian titian ini sehingga sesiapa melepasi akan terselamat dari kehinaannya, dan menjadi ahli tetap syurga. Semoga Allah menyelamatkan kita dari neraka, dan memberi kejayaan kepada kita meniti titian sirat ini. - ustazshukriharun.blogspot.com

TUBUH LEMBAGA PENGAWASAN SYARIAH KAWAL MEDIA

17 Rejab 1432 H | 18 Jun 2011
PAS menyarankan kerajaan menubuhkan satu panel khas pengawasan syariah yang berfungsi mengawal penyiaran dan memandu media perdana supaya tidak bercanggah dengan agama Islam. Ini berikutan insiden penyiaran karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dalam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Dialog : “Peralatan itu tak boleh jadi saksi,
sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata!
Dia hanya Besi.”
menghina hukum Islam dan
menimbulkan kekeliruan umat Islam
Lembaga pengawasan syariah ini bukan sahaja mengawal agar penyiaran tidak bercanggah dengan syarak, tetapi turut memandu media perdana agar setiap bahan penerbitan yang boleh merosakkan minda atau akhlak remaja dapat dikawal. Setiap bahan penyiaran perlu disaring kerana ianya mempunyai kesan langsung kepada rakyat.

Mutakhir ini pelbagai penulisan yang bersifat kontroversi, menjejas perpaduan masyarakat dan kaum, dan menggugat akidah seolah-olah menggambarkan bahawa sudah tiada langsung kawalan kepada etika dan tanggungjawab sosial terhadap pemberitaan.
Berkaitan isu penyiaran karikatur di Utusan Malaysia yang menghina Islam, saya menasihatkan pelukis karikatur dan editor Utusan Malaysia yang terlibat untuk meminta maaf dengan kadar segera.

Kesilapan mereka boleh dianggap sebagai satu penghinaan besar kepada hukum syarak dan juga telah mengelirukan orang ramai mengenai ajaran Islam yang sebenar dalam isu rogol. 

PENEROKA FELDA JENGKA TUNTUT PEMBELAAN

azlan
Saman dibuat demi keadilan kerana keringat
peneroka tidak dibayar dengan setimpalnya
16 Rejab 1432 H | 17 Jun 2011

FELDA berdepan dengan satu lagi saman - kali ini dari 711 peneroka rancangan Jengka, Pahang yang memfailkan saman RM344 juta berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany pagi ini, dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.


Dalam kenyataan tuntutan mereka, peneroka berkenaan mendakwa:

  • Terikat untuk hanya menghantar hasil kelapa sawit kepada Felda Palm Industries sahaja.

  • Sentiasa dibayar mengikut kadar perahan gred Kadar Perahan Asas (OER) sejak 15 tahun yang lalu - purata 18.5 peratus seperti yang dinyatakan dalam Akuan Penerimaan BTS - resit yang diberikan bagi setiap lori yang menghantar tandan buah sawit.

  • Tiada bukti jelas yang menunjukkan bagaimana Felda Palm Industries menetapkan kadar yang berbeza itu, yang diberikan setiap hari di setiap tempat penghantaran.
Peneroka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila mereka menyedari yang mereka tidak mampu menyamai kadar lebih tinggi yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
azlan

Peneroka, melalui wakil mereka, menghantar contoh rawak hasil buah kelapa sawit mereka kepada makmal bebas untuk menilai kadar sebenar OER.
 
Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadar purata lebih tinggi sebanyak 27%, yang bermaksud perbezaan purata 8.5% berbanding kadar yang digunakan oleh defendan kedua.


Peguam mendakwa mereka mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa pada 2008, 711 peneroka dari 16 rancangan Felda Jengka telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang. 

Peneroka terbabit dibayar oleh Felda pada purata harga RM560 setan pada tahun yang sama.

Dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30, 912 bagi tahun 2008 sahaja. - malaysiakini

BERSIH 2.0 - SESUATU YANG KOTOR MESTI DIBERSIHKAN

14 Rejab 1432 H | 15 Jun 2011

BERSIH 2.0 mempunyai matlamat yang baik dan murni bagi mendesak satu pilihanraya yang adil dan bersih.
Himpunan ini jelas dengan objektif dan matlamat demi kebaikan negara. Sebarang penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan untuk menjamin kemenangan parti pemerintah akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat.

Bila mana pelbagai salahguna kuasa mula dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), serta penyalahgunaan media secara berleluasa, maka penyelewengan ini mesti diperbetulkan.
PAS memilih jalan demokrasi bukan sahaja bersama Pakatan Rakyat  malah dengan sesiapa sahaja yang menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya. Hanya dengan satu sistem yang adil sahaja keadilan dan hak rakyat, yang juga termasuk rakan-rakan dan saudara mara pihak polis dapat dijamin.

Ibrahim Ali bebas bercakap apa sahaja
PERKASA cetus provokasi
Tiada tindakan pihak polis membuatkan seolah-olah negara ini tiada undang-undang kerana ada badan NGO yang mengatasinya sehingga pelbagai kenyataan yang terang-terangan bersifat provokasi boleh dikeluarkan dengan bebas.
Dato' Ibrahim Ali, secara lantang membantah perarakan aman Bersih 2.0 dengan mengerahkan ahli-ahli Perkasa-nya turut berarak pada hari yang sama, semata-mata untuk menentang dan bertembung dengan kumpulan Bersih 2.0.

Disebabkan itu, PAS menyarankan supaya pihak polis mesti menghalang perhimpunan Perkasa yang lebih bersifat provokasi dan memungkinkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Pertemuan dengan SPR  
PAS akan mengadakan dialog dan perundingan dengan pihak SPR sebelum perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung.
Pertemuan ini sangat penting bagi memastikan tuntutan Bersih 2.0 dapat dipenuhi, dan pihak kerajaan perlu faham kenapa rakyat membantah SPR. Ini juga membuktikan PAS bukanlah sebuah parti yang suka mencetuskan suasana gawat dengan demonstrasi aman.

Himpunan ini adalah jalan keluar terakhir bagi memperlihatkan kepada pihak kerajaan betapa seriusnya kemarahan rakyat kepada ketidakadilan sistem yang sedang berjalan kini.

Pengeluaran kad pengenalan kepada
warga asing gugat kedaulatan negara
Sebagai contoh, katanya tindakan JPN mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing di Selangor, Kedah dan juga Kelantan sebagaimana yang dilaporkan kepada pihak polis bukanlah satu isu kecil dan remeh yang boleh dipandang sebelah mata.
Begitu juga isu pendaftaran pengundi baru yang sangat luar biasa di Selangor, Kedah dan Pahang telah menimbulkan pelbagai bantahan dan kebingungan rakyat.
Semua usaha ini memperlihatkan seolah-olah SPR dan JPN mempunyai konspirasi bersama Umno dan Barisan Nasional bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.


Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat

KES FITNAH TGNA - UTUSAN MALAYSIA BAYAR GANTI RUGI

13 Rejab 1432 H | 14 Jun 2011
  1. Saya merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini 14 Jun 2011 di halaman 20 di bawah tajuk 'Kes Nik Aziz Saman Utusan RM20j Selesai Luar Mahkamah'. Laporan yang sama juga disiarkan oleh Sinar Harian hari ini di halaman N4.

  2. Sukalah saya mengesahkan laporan tersebut dengan sedikit penambahan berdasarkan kronologi berikut :
    • Pada 12 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel dengan petikannya di muka hadapan di bawah tajuk “Nasihat Saya Mesti Didengar” dengan beberapa isi kandungan yang memfitnah YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan. Antaranya menyebut, “Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO.”

    • Artikel tersebut mengundang kepada beberapa pandangan balas yang mengecam YAB Tuan Guru, antaranya ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar yang sama di muka surat 12 bertarikh 16 Jun 2009. Artikel yang ditulis oleh Ramli Abdul Halim itu mengecam YAB Tuan Guru dengan mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Islam.

    • YAB Tuan Guru telah menafikan kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 12 Jun 2009 dan penafian ini disiarkan oleh akhbar yang sama di muka surat dua pada  18 Jun 2009.

DASAR PAS TETAP SAMA - TGNA

13 Rejab 1432 H | 14 Jun 2011

Dasar PAS tetap sama selamanya...
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata PAS tidak pernah mengubah dasar dalam perjuangannya sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951 hingga kini. 

Menurutnya, apa yang diucapkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada muktamar baru-baru ini berhubung Negara Berkebajikan, adalah sebahagian intipati perjuangan parti Islam itu.


Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa pihak yang mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada perjuangannya sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian hari ini.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat PAS wajar menggugurkan perkataan Islam takut masyarakat keliru, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan nama Islam kerana PAS telah memperalatkan agama.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata konsep yang dibawa PAS iaitu Negara Berkebajikan, berpandukan ajaran Islam serta nas yang mana Baginda Rasulullah sendiri sebagai modelnya.


MENGAPA UMNO BOLEH, PAS TIDAK? - TGNA

12 Rejab 1432 H | 13 Jun 2011

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar pemimpin-pemimpin Umno yang menggesa partinya yang berusia lebih enam dekad agar menggugurkan perkataan Islam pada namanya hanya kerana mengetengahkan pendekatan negara berkebajikan.

Menjawab gesaan beberapa pemimpin Umno agar PAS menggugurkan nama Islam, Nik Aziz berkata, jika Umno boleh menggunakan singkatan Bahasa Inggeris pada namanya, maka tidak salah bagi parti Islam itu menyebut nama “kebajikan.”


“Hari ini ada pihak yang mendesak PAS menggugurkan nama Islam dari nama parti. Seolah-olah Islam langsung tidak boleh menyebut soal kebajikan.


“Bila menyebut kebajikan, maka ia tidak Islam. Peliknya, pihak itu sendiri pun masih menggunakan bahasa asing pada nama partinya yang mendakwa memperjuangkan Melayu
,” kata Mursyidul Am PAS dalam mesej yang dipaparkan pada laman sosial Facebook petang ini.


Isu negara berkebajikan menjadi bahan serangan Umno-BN sejak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada muktamar baru lalu menekankan soal negara berkebajikan. 
Ekoran itu pemimpin-pemimpin Umno mahu PAS menggugurkan perkataan Islam.

Umno ditubuhkan pada tahun 1946 ketika era British dan selepas negara merdeka, Umno menggunakan singkatan Bahasa Inggeris sehingga kini. 
Umno dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Malayu Bersatu. - themalaysianinsider

PRU13 - SPR BERSEDIA BILA-BILA MASA

11 Rejab 1432 H | 12 Jun 2011


KUALA LUMPUR, 12 Jun — Sementara pelbagai pihak membuat spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan bila-bila masa termasuk sebelum Ramadan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun memulakan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sudah memulakan persiapan sejak awal bulan lalu memandangkan Negara sudah memasuki tahun keempat mandat semasa.

“Lazimnya, apabila kita masuk tahun keempat selepas pilihan raya sebelum ini, persiapan akan mula dibuat, bila tahun keempat kita membuat persiapan awal... SPR menggunakan itu sebagai petunjuk,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
 

Wan Ahmad berkata tempoh tiga tahun untuk mengadakan pilihan raya kecil sudah pun berlalu dan kini masuk tahun keempat yang membolehkan suruhanjaya mengadakan persiapan menghadapi pilihan raya.