Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: July 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



APA SALAHNYA ARTIS SERTAI PAS?

1 Ramadhan 1433 H | 21 Julai 2012 

SHAH ALAM – PAS mengakui memanfaatkan penglibatan artis dalam politik bagi menarik golongan muda untuk terus bersama memperjuangkan politik baru dan sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) tidak perlu mempertikaikan perkembangan tersebut.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penglibatan artis dalam politik terutamanya penyertaan mereka dalam Pas telah memberi kesan positif bagi menarik golongan muda bersama pihaknya mengubah kerajaan.


Menurutnya, artis adalah golongan yang mempunyai peminat dan pengikutnya yang tersendiri serta boleh dimanfaatkan dengan tujuan yang baik.


“Ya memang benar penglibatan artis berkesan untuk menarik anak-anak muda pada masa sekarang yang lebih menggemari hiburan dan seni sertai PAS.


“Apa salahnya kita manfaatkan artis untuk menerapkan nilai-nilai murni yang berlandaskan Islam kepada anak muda yang mengikuti golongan tersebut,” kata beliau kepada
 Sinar Harian Online.

Beliau berkata, PAS tidak pernah menawarkan penglibatan artis dalam politik untuk menyertai Pas, tetapi mereka sendiri mengambil inisiatif untuk berubah menjadi seorang yang mengikut landasan Islam, antaranya menutup aurat.


“Alhamdulillah, penglibatan artis itu bukan kita paksa atau kita ajak, tapi mereka terikut budaya tutup aurat. Golongan muda bersama PAS gembira apabila artis kegemaran berjaya untuk yakinkan mereka dengan PAS telah membawa dimensi baru,” kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.


Tuan Ibrahim berkata, kerjaya seni artis tidak dihalang dan mereka perlu bijak memilih sesuatu lakonan dan sebagainya dengan lebih baik selaras dengan budaya yang diamalkan mereka selepas menyertai Pas.


“Artis sudah ada program dan aktiviti sendiri, kami tak halang, malah aktiviti tersebut berjaya menarik golongan muda menyokong Pas dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya lagi.


Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, penglibatan artis dalam Pas telah memberi kesan kepada golongan muda dan berjaya menarik mereka menyertai parti pembangkang itu.


Katanya, PAS tidak menggunakan artis sebagai jalan menarik golongan muda tetapi mereka secara tidak langsung telah membawa golongan tersebut bersama-sama merubah kerajaan.


“Memang benar artis bagi kesan menarik anak muda sertai PAS dan PR, tapi kami tak ajak, mereka sendiri yang datang kepada PAS.


“Barisan Nasional (BN) tak sepatutnya prejudis tentang perubahan ini, biar kami buat cara kami dan mereka buat cara mereka,” katanya.

Mahfuz berkata, walaupun artis telah menyertai PAS, namun pejalanan seni mereka tidak akan terbatas tetapi akan menjadi salah satu perubahan kepada industri seni tanah air. -
SinarHarian

TUDUHAN SB BUKTI MEREKA ALAT KEPADA BN

1 Ramadhan 1433 H | 21 Julai 2012 


PAS memandang berat kenyataan bersifat politik yang dikeluarkan oleh Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin yang bertentangan dengan etika kepolisian dan perkhidmatan awam.

Pendedahan awam yang dibuat jelas bersifat tidak berasas, berat sebelah dan tidak profesional.

Sebagai Pegawai Risikan Cawangan Khas, tindakan beliau kini mengesahkan bahawa Cawangan Khas kini menjadi alat kepada BN untuk menjamin kesinambungan kuasa BN.

Pendedahan beliau dilihat untuk menakutkan rakyat yang kini mulai muak dengan gaya hidup melampau, pembaziran, rasuah, serta salahguna kuasa kerajaan BN.

Apakah ini cara untuk mendedahkan maklumat risikan sulit kepada awam? Jelas tidak! Maka motif ledakan ini amat mencurigakan.

Sepatutnya ia mesti bertindak terus bukan mendedahkan maklumat tanpa bertindak. PAS mencabar beliau mendedahkan siapa yang beliau maksudkan kerana ia kini menjadi tandatanya kepada orang  awam.

PAS juga mendesak Ketua Polis Negara bertindak di atas pendedahan maklumat sulit siasatan dan beranggapan beliau tidak layak berada di Cawangan Khas. Mungkin beliau lebih sesuai diletakkan di jabatan Biro Tatanegara atau KEMAS.

PAS ingin tegaskan bahawa kami menentang sebarang eleman ekstrem di dalam parti. Kita mengambil jalan politik demokrasi dengan menyertai pilihanraya dan menuntut sistem pilihanraya yang adil dan telus.

Sebagai contoh, himpunan rakyat yang disertai PAS samada dalam Himpunan Kuning atau Himpunan Oren adalah berlandaskan demokrasi dan penyataan rakyat yang menuntut sistem pilihanraya yang adil dan usaha menyelamatkan tanah ribuan hektar dari dicagar kepada Felda Global Venture Holding.

PAS kesal kerana himpunan pembangkang dilabel sebagai petanda resapan Jemaah Islamiah (JI) dan komunis. Sedangkan yang banyak mengadakan hubungan dengan parti komunis ialah Umno sendiri, samada secara rasmi atau tidak.

Namun, sikap double standard dan tidak profesional Sofian telah menyebabkan imej Cawangan Khas kini turut tercemar teruk seperti yang dialami polis atas tindakan ganasnya di himpunan-himpunan yang dianjurkan Bersih dan penyiasatan berat sebelah yang ketara dalam kes melibatkan BN dan Pakatan Rakyat.

BN MAKIN TERDESAK, GUNA HARI KEBANGSAAN PULIH IMEJ

Janji Ditepati - 'Buah tangan' terbaru BN
untuk raih undi menjelang PRU 13 
27 Sya'ban 1433 H | 17 Julai 2012 
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pimpinan Barisan Nasional (BN) membuat percubaan untuk mempersonakan pengundi bandar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan menggunakan pelancaran Hari Kebangsaan di tiga tempat bersejarah bagi tiga kaum terbesar - Brickfields, Kampung Baru dan Petaling Street, di tengah kota kata beberapa orang penganalisis politik.

“Mereka (BN) perlu lakukannya.


“Mereka tidak boleh meninggalkan pengundi bandar,” kata penganalisis politik, Karim Raslan kepada The Malaysian Insider.


Penganalisis lain berkata, sambutan hari kebangsaan memang telah selalu digunakan oleh BN untuk menonjolkan imej mereka dengan bendera Jalur Gemilang – dan akan tersebar ke seluruh negara dan menunjukkan sikap patriotik rakyat.

“Pada pendapat saya, tema hari kebangsaan, ucapan dan retoriknya telah selalu mengikut acuan parti pemerintah,” kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre.


Ibrahim juga mengatakan pilihan Najib untuk melancarkan program di Brickfields kerana mahu masyarakat India merasakan kehadirannya” dan ini adalah isyarat sokongan masyarakat India terhadap BN dalam keadaan kritikal.


“Ini juga adalah langkah untuk menutup berita negatif yang memberi kesan terhadap masyarakat India akibat daripada serangan media terhadap Ambiga, dan juga janji yang belum ditunaikan kepada mereka,” katanya merujuk kepada Datuk Ambiga Sreenevasan, pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).


“Pelancaran hari Hari Kebangsaan akan menjadi satu aspek dan satu lagi adalah untuk memastikan kekuatan parti pemerintah itu,” katanya lagi.


Menurut seorang lagi penganalisis politik, Ong Kian Ming, apabila memberikan komen tentang slogan baru “Janji Ditepati” berkata: “Slogan baru digunakan untuk PRU yang semakin hampir kerana slogan 1Malaysia telah digunakan dalam satu jangkamasa yang agak panjang.”

Beliau juga mengatakan langkah ini adalah “simbolik untuk mendekati” tiga kaum terbesar di mana BN memerlukan undi mereka menjelang PRU yang perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun hadapan. 

PM keenam itu sudah menjelajah seluruh negara di bawah program Jelajah Janji Ditepati yang dianjurkan oleh TV3, stesen swasta utama Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) – dibawah penguasaan partinya, Umno.


Program jelajah bertujuan untuk mengingatkan pengundi bahawa pentadbirannya telah menunaikan janji mereka semenjak mengambil alih pentadbiran Negara pada April 2009. Najib memerlukan mandatnya sendiri oleh kerana beliau menggantikan Tun Abdullah Badawi setahun selepas PRU 2008.


Pengarah Pusat Inisiatif Polisi (CPI), Dr Lim Teck Ghee dengan berterus terang mengatakan bahawa  pelancaran program “Kibarkan Jalur Gemilang”  adalah program pra pilihan raya bagi BN.


“Sambutan hari kebangsaan tidak seharusnya dieksploitasikan untuk tujuan politik.


“Cara BN memanipulasi hari kemerdekaan menunjukkan bahawa parti tersebut berada dalam keadaan sangat terdesak,” katanya sambil menambah kerajaan pusat kini “menggunakan apa sahaja peluang untuk menunjukkan kebaikan BN dan untuk memenangi undi.”


Katanya lagi, parti pemerintah dilihat “menggunakan hari kebangsaan, festival nasional dan jentera kerajaan untuk membeli undi”, akan tetapi menjelaskan keadaan yang berlaku sebagai “sisi kelabu dalam etika berpolitik.”


Sambil menjelaskan ini adalah 'acara yang dilakukan hanya sekali', Lim berkata pengundi tidak mudah 'digoda dengan kempen perhubungan awam ini' oleh kerana terdapat kontradiksi di antara apa yang mereka dengar dan apa yang mereka lalui dalam kehidupan sebenar. - themalaysianinsider

TOLAK HUDUD = PERTIKAI AL-QURAN


18 Sya'ban 1433 H | 8 Julai 2012 

JOHOR BAHRU - Hukum hudud perlu diterima semua umat Islam dan menolaknya boleh dianggap sama seperti mempertikaikan al-Quran kerana hukum berkenaan telah disebut di dalam kitab itu.

Pendakwah, Dr Mohd Sukki Othman berkata, perbincangan yang lebih terperinci mengenai perkara ini perlu diadakan bagi membentuk kefahaman yang jelas dalam kalangan masyarakat khususnya golongan bukan Islam.

“Hudud adalah sesuatu yang disebut dalam al-Quran dan kalau kita cakap ia tidak sesuai, maknanya kita telah menafikan kesahihan kitab itu.

“Umat Islam perlu terima hukum ini cuma pelaksanaannya perlu dibentuk dengan lebih efisien dan teratur agar ia mendatangkan kebaikan secara menyeluruh kepada semua pihak.

“Di samping itu, pendidikan dan kefahaman berterusan yang jelas mengenai hukum ini amat penting supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan rungutan di kemudian hari,” katanya.

Mohd Sukki yang juga Pensyarah di Universiti Putra Malaysia berkata, hukum hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara ini yang mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Apabila Islam dijadikan agama Persekutuan negara ini bermakna kita (Malaysia) menerima secara keseluruhan, jadi hukum hudud ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara,” katanya.

Katanya, cadangan yang dikemukakan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mengenai pelaksanaan hudud menunjukkan ruang untuk melaksanakan undang-undang itu lebih mudah.

“Melihat kepada senario hari ini menunjukkan hukum hudud mula diterima kedua-dua pihak (Umno dan Pas), jadi ada ruang lebih mudah untuk dibincang ke arah pelaksanaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Himpunan Ustaz dan Ulama (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, pelaksanaan hukum hudud di negara ini sentiasa relevan terutamanya dalam keadaan masalah sosial yang semakin membimbangkan dan makin meruncing pada masa ini.

“Saya percaya hukum hudud dapat membantu mengurangkan gejala negatif dan membentuk akhlak masyarakat dengan lebih baik.

“Namun pelaksanaan perlu diproses dengan penjelasan yang menyeluruh kepada masyarakat supaya tidak menimbulkan salah faham,” katanya.

Katanya, isu ketidakadilan dalam pelaksanaan hudud bagi bukan Islam tidak timbul kerana undang-undang itu merupakan pilihan bagi mereka, malah undang-undang sedia ada juga tidak terbatal setelah hudud diguna pakai.

“Saya yakin walaupun hudud dilaksanakan, ia hanya akan diguna pakai pada kadar minimum berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya. - Sinar Harian