Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: January 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

YANG DIKATA AKAN DIKOTA, AYUH 'SELAMATKAN PAHANG'


3 Rabi'ul Awal 1433 H | 27 January 2012

PAS komited dengan janji untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah tanah yang telah diusahakan puluhan tahun tetapi belum mendapat hak milik.

Azam, niat ikhlas dan keyakinan Pakatan Rakyat (PR) Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi setelah hasil kajian mendalam oleh pelbagai pihak.

PR yakin dengan tindakan bersepadu antara semua agensi berkaitan, kita mampu mengatasi masalah tapak rumah dan isu tanah yang menjadi isu utama rakyat.

Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempuhi dan dicari sehingga mencapai hasrat yang diinginkan. Tanpanya, mustahil kini manusia dapat menikmati kemudahan kapal terbang dan juga menjelajah ke bulan.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut, PR telah membuat keputusan untuk membuka Felda Plantations seluas 143,000 hektar di Pahang untuk membolehkan pemberian tanah dan tapak rumah kepada lebih 40,000 orang peneroka.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut,  PR juga telah memikirkan cara untuk membuka kawasan penempatan baru, dan pemberian hak milik kepada penduduk yang mendiami tanah tol sebagai tapak rumah. 

PAS PAHANG GESA MUIP BATAL PEMBELIAN MS GARDEN, UTAMAKAN KEMASLAHATAN UMMAH

2 Rabi'ul Awal 1433 H | 26 January 2012

Tinjauan awam mendapati rata-rata rakyat Pahang tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)  membeli Hotel MS Garden, walaupun tidak menggunakan wang zakat. 

Tindakan segera YDP MUIP, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan penjelasan segera terhadap isu ini harus dipuji.


Baginda bertitah urusan pengambilalihan hotel itu oleh MUIP akan dibuat menerusi pinjaman, tetapi sama ada akan menggunakan wang zakat bagi urusan itu belum dimuktamadkan.


"Bagi saya masa untuk selesaikan hal kewangan ini dahulu dan kita akan pastikan cuba tidak gunakan wang zakat," titahnya (dipetik dari Sinar Harian).


Dalam keadaan masih ramai umat Islam berada di tahap kemiskinan tegar, sebahagian besar rakyat Pahang sangat mengharapkan isu-isu utama dapat diselesaikan terlebih dahulu.


Kegagalan kerajaan negeri untuk memastikan seluruh institusi agama berjalan dengan sempurna telah menyebabkan banyak urusan pentadbiran masih berhadapan dengan pelbagai kepincangan.


ENGGAN ISYTIHAR HARTA - UNTUK KESELAMATAN ATAU MENYELAMATKAN DIRI?

1 Rabi'ul Awal 1433 H | 25 January 2012


SHAH ALAM, 24 JAN : Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mempersoalkan mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terlalu bimbang sekiranya aset menteri kabinet dan keluarga wajib diisytihar kepada umum.


Ia ekoran kenyataan Nazri yang mempertikai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyifatkan tindakan itu ‘mengundang bahaya'.


Saifuddin ketika dihubungi TV Selangor menyifatkan kenyataan Nazri itu adalah alasan paling lemah dan memberi gambaran bahawa beliau cuba menyembunyikan sesuatu selain mahu melindungi Menteri Kabinet yang menikmati kemewahan di luar kemampuan.


"Salah satu cara untuk membuktikannya adalah dengan membandingkan harta yang dimiliki seseorang (pemimpin) itu sebelum dan selepas memegang jawatan.



NUKILAN TAHUN BARU CINA - KISAH NAGA JAHAT DAN BAIK

27 Safar 1433 H | 22 January 2012

Negara dan media antarabangsa heboh dengan bunyi mengerikan yang dirakam di Aaborg, Denmark dan terbaru di Malaysia, yang berlaku di Kota Samarahan, Sabah pada 11 dan 12hb lalu. Pelbagai spekulasi dibuat mengenai sumber bunyi tersebut, namun apa yang jelas ialah bunyi tersebut berbentuk bunyi dengkuran kuat yang diulang berkali-kali. 

Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang berkebetulan tahun naga air, ada juga “suara nakal” yang menyatakan apakah bunyi itu bunyi dengkuran 'naga yang sedang tidur'?


Kerana apabila naga sedang tidur, memang ia tidak akan mengancam sesiapa pun. Namun, bilamana ia terjaga, naga air yang baik akan melawan naga jahat.

APA MAKNA JAWATAN UNTUK ORANG AGAMA TAPI TIDAK AMANAH?


25 Safar 1433 H | 20 January 2012

Pemikiran Umno yang masih berada dalam kotak lama, apabila menganggap exco agama mesti diberikan kepada PAS, seolah-olah orang lain tidak layak; atau PAS hanya layak pegang exco agama, sedangkan portfolio lain tak layak.

Jawatan apa bidang sekalipun merupakan amanah yang perlu ditunaikan.

Dalam satu peringatan Rasulullah kepada Abu Zar r.a, baginda menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini adalah amanah, dan ianya adalah penyesalan di hari akhirat, melainkan kamu menerimanya di atas kelayakan kamu dan kamu menunaikan hak kepada yang berhak menerimanya (tunaikan amanahnya)…”

PAS NAFI DAKWAAN HASAN ALI

22 Safar 1433 H | 17 January 2012 

SHAH ALAM, 17 JAN : Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali yang di pecat 8 Januari bebas untuk membuat sebarang kenyataan dan tindakan peribadi memandangkan beliau bukan lagi menjadi ahli PAS.


Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hasan tidak mempunyai halangan melancarkan siri ceramahnya ke seluruh negara bagi mendedahkan kononnya terdapat kumpulan 'parasit' dalam PAS.

"Kita berlapang dada untuk Hasan meneruskan ceramahnya, kerana beliau bukan lagi ahli PAS dan tidak ada kena-mengena dengan kepimpinan PAS.

"Terpulang kepada orang ramai untuk percaya atau tidak dengan dakwaannya itu, kita tidak boleh halang kerana jelas beliau bukan lagi Ahli PAS," katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim tidak menafikan hak Hasan Ali untuk membuat sebarang keputusan, dan pada masa sama perlembagaan PAS memperuntukkan ahli yang dipecat boleh merayu kepada Majlis Syura dalam tempoh 30 hari, namun terserah kepadanya untuk membuat keputusan.

APABILA DATO' HARUN DIN BERBICARA...


16 Safar 1433 H | 11 January 2012

PIHAK yang memperkatakan kononnya PAS telah melencong dan terbabas dari perjuangan asalnya, dengan meninggalkan Islam dan berbagai-bagai lagi, adalah dakwaan media massa yang memusuhi perjuangan PAS. Tugas utama mereka adalah untuk mempromosikan parti pemerintah dan memburuk-burukkan lawannya terutama PAS. Dengan apa mereka hendak memburuk-burukkan PAS?

Itulah kerja media yang tidak senang dengan PAS. Selagi PAS teguh memperjuangan Islam, selama itulah Umno-Barisan Nasional tergugat dan akhir-akhir ini semakin tergugat. Oleh kerana itu mereka berusaha melemahkan PAS dengan apa cara pun.

Sebenarnya PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah kepada yang tidak Islam.

Bukti yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah.

Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pada Perlembagaan PAS, Fasal 3, tujuan PAS ialah:

Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Di dalam PAS ada Majlis Syura Ulama, yang di antara tugas utamanya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 7 (B):

“Mengeluarkan arahan dan perintah, supaya dasar dan ketetapan itu, dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara, supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan gerakan dan pentadbiran PAS.”

Semua yang saya nyatakan berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik, tanpa berlaku penyelewengan dan kelencongan.

Pihak yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya, meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang zaman.

PAS tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan.

INGATAN UNTUK AHLI PAS - KUKUHKAN UKHUWAH, JANGAN MERUGIKAN JEMAAH

16 Safar 1433 H | 11 January 2012
Dalam suasana hampir dengan pilihanraya, pelbagai isu luaran dan dalaman yang akan timbul untuk mengganggu kelancaran gerak-kerja parti.

Gangguan ini melibatkan berita bohong/fitnah/mengelirukan/niat jahat/provokasi yang dihebah oleh media perdana dengan agenda untuk mengelirukan ahli-ahli PAS di samping melaga-lagakan antara pimpinan parti.


Terbaru media perdana dilaporkan sebagai membayangkan Dato Dr Harun Din, YB Ustaz Taib Azamuddin, dan Ustaz Ismail Kamus antara yang hadir dalam penjelasan di rumah Dato Dr Hasan Ali malam Ahad yang lalu.


Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.


Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Dato Dr Harun Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agong PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan.

Manakala bagi Ustaz Nasharudin Mat Isa, beliau yang baru kembali dari luar negara ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya ke rumah Dato Dr Hasan Ali.

Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.


Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti.

Semua ahli dan pimpinan parti juga diseru menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.


Dalam suasana mencabar ini,  semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir.

HASAN ALI DIPECAT BUKAN SEBAB ANWAR

15 Safar 1433 H | 10 January 2012

PAS menegaskan pemecatan keanggotaan Datuk Dr Hasan Ali sebagai ahli parti itu bukan berpunca daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kerana kesalahan sendiri.

Ketua Penerangan PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
 berkata, Anwar tiada kaitan dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat kelmarin.

“Banyak sebab lain dan untuk memecat keanggotaan ahli ia melibatkan barisan kepimpinan parti dan langkah ini diambil disebabkan tindakan-tindakan yang dianggap merugikan parti.


“Keahlian boleh dipecat jika melakukan tindakan merugikan parti... Anwar tiada kena mengena dalam membuat keputusan dan ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana keputusan ini dibincangkan dan dicapai secara bersama,” katanya kepada
 The Malaysian Insider.

Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dan exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang 'menongkah arus'.


Terbaru beliau menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda. 
Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan. Ekoran pemecatan itu Hasan berkata keputusan itu berpunca daripada Anwar.

Tuan Ibrahim menambah sekiranya Hasan tidak berpuas hati dengan keputusan itu beliau boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari.


“Keputusan ini sebulat suara... tiada pandangan berbeza.

 

“Kalau tidak berpuas hati beliau perlu hantar rayuan kepada Majlis Syura Ulama,” katanya. - themalaysianinsider

PASCA 901 - AYUH, FOKUS PRU13!


14 Safar 1433 H | 9 January 2012
PAS mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) daripada pertuduhan melakukan liwat terhadap Saiful Bukhari.

Dengan bukti yang cukup rapuh dari awal, sepatutnya tuduhan ini dibuang kes lebih awal. Namun begitu keputusan hari ini membuktikan DSAI hanyalah mangsa tohmahan tuduhan liar yang dibuat oleh beberapa pihak.

PAS mengharapkan dengan keputusan ini, nama baik DSAI akan dibersihkan dan segala tohmahan liar terhadap beliau dan keluarga beliau dihentikan. PAS menggesa semua pihak khususnya umat Islam kembali kepada peringatan Allah bahawa qazaf adalah kesalahan dan dosa besar yang mesti bertaubat dan memohon maaf kepada yang dituduh.

PAS juga mengingatkan petugas parti agar menumpukan kepada gerak kerja parti, kerana dengan keputusan ini dijangka pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat.

Keputusan ini juga boleh dilihat dari satu sudut yang boleh digunakan media milik Umno untuk berhabis-habisan menaikkan imej Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Sehubungan itu, seluruh jentera parti mesti menggandakan upaya bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam PRU akan datang.

INGATLAH, HUKUMAN ALLAH PASTI ADIL

10 Safar 1433 H | 5 January 2012

901 menjadi hari yang dinanti oleh sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya yang mengikuti isu politik negara dan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Secara sedar dan tidak sedar, sebahagian pemerhati telah membuat pelbagai telahan berhubung keputusan mahkamah pada hari tersebut. Ramai penganalisa politik kini telah bertukar menjadi pak nujum semata-mata untuk lebih mensensasikan keputusan yang akan diumumkan nanti.


Dari pelbagai andaian, lebih ramai menjangkakan DSAI akan dihumban semula ke penjara Sungai Buluh kerana kalau bukan untuk itu, kenapa diteruskan perbicaraan walaupun disedari awal, terdapat banyak kelemahan yang boleh menyebabkan kes ini dibuang awal-awal lagi. Ini andaian pertama.


Kumpulan kedua yang sangat minoriti pula berpendapat bahawa DSAI akan dibebaskan kerana beberapa kelemahan dalam penghujahan sepanjang perbicaraan.


Manakala andaian ketiga lebih kepada untuk mengaibkan beliau, iaitu dengan andaian kes sodomi berlaku tetapi beliau dibebaskan kerana tiadanya unsur paksaan sebagaimana yang dituduh oleh pengadu.


Dalam duniawi, apapun, yang berharap akan terus menanti, yang tidak percaya akan terus tidak yakin, yang menang hari ini tidak semestinya akan terus menang, yang tewas hari ini tidak semestinya akan kalah selalu dan yang akan dihukum akan terus menjalani hukuman.


Namun, yang pasti kesemua kita akan dihukum semula dengan hukuman yang pasti adil di hadapan Allah di akhirat. Beringatlah pada Allah selalu.

TAZKIRAH 2012 - BERAMAL SEBELUM AJAL DATANG MENJEMPUT

7 Safar 1433 H | 2 January 2012 

Nukilan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Saya membaca dalam akhbar bagaimana kemeriahan sambutan tahun baru 2012, dan juga azam baru yang ditanam pada awal tahun. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan kita nafas yang panjang dan mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya sementara kita dijemput untuk mengadapNya dan pergi buat selama-lamanya.

Cuma ingin saya menukilkan sedikit rasa terkilan kerana umat Islam kini seolah-olah terpaksa menggunakan dua kalendar yang berlainan. Baru saja pada bulan lepas kita menyambut awal Muharram yang merupakan sambutan tahun baru 1433 H dan hari ini kita menyambut pula tahun 2012 yang merupakan tahun baru mengikut kiraan kalendar Masehi. 


Saya sering tertanya-tanya, kenapa perlunya untuk kita menggunakan dua kalendar ini dalam kehidupan kita pada hari ini? Apakah salahnya jika hanya menggunakan kalendar Hijrah dalam semua urusan hidup kita sehari-hari?


Penetapan awal tahun Hijrah berdasarkan kepada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib yang kemudiannya ditukar nama menjadi Madinah. Menggunakan kalendar hijrah bererti menyegarkan semula ingatan kita kepada perjuangan hijrah Rasulullah SAW dan 
pahit maung perjuangan baginda dalam menyebarkan dakwah. Ia bukannya sekadar satu catatan sejarah semata-mata, tetapi ia satu pengajaran kepada umat Islam agar berusaha terus-menerus untuk melaksanakan tuntutan dakwah. 

Adakah generasi muda kita pada hari ini arif dengan sejarah Rasulullah SAW dan Bani Hasyim yang pernah menghadapi pemulauan ekonomi dan sosial selama tiga tahun? 


Adakah generasi muda kita tahu bagaimana sejarah Rasulullah SAW yang pernah berdakwah ke Taif bersama-sama Zaid bin Harithah namun dilempar dengan batu?


Inilah sebenarnya mutiara-mutiara yang berharga dalam khazanah sirah Rasulullah SAW yang jarang sekali diperdengarkan di kalangan kita pada hari ini. Justeru, apabila kalendar hijrah digunakan, ingatan terhadap sirah ini pasti akan segar semula dan masyarakat pastinya tidak terada asing dengan sejarah Rasulullah SAW.


Sayangnya hari ini, kalendar hijrah hanya menjadi satu maklumat sampingan semata-mata diatasi oleh kalendar masihi sebagai kalendar yang utama. Paling tidakpun, pada bulan Ramadhan dan Syawal kalendar hijrah menjadi terkenal tetapi selepas itu, ia hanya tinggal tulisan yang kecil sahaja di tajuk-tajuk akhbar. 


Oleh yang demikian, sangatlah besar cita-cita saya untuk melihat kalendar hijrah ini dijadikan sebagai kalendar utama khususnya di dalam kehidupan umat Islam. Apatah lagi kalendar masihi inipun asalnya dari penjajah dan dibawa masuk ke dalam pentadbiran pada era penjajah. Saya tidak melihat sebarang sebab yang boleh menghalang kalendar hijrah ini digunakan sebagai kalendar utama dalam pentadbiran.


Apapun, saya berharap agar lembaran tahun baru ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk kepada Allah SWT. Sesungguhnya dunia hanyalah tempat kita menumpang, tiba masanya kita perlu pergi jua dari tempat kita menumpang sekarang. Jika hari ini kita bermusafir tetapi masih mampu untuk balik kampung, maka satu masa nanti kita bermusafir ke alam barzakh dan seterusnya ke alam mahsyar pada hari kiamat, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke kampung halaman kita di dunia ini.

MAHASISWA DIZALIMI, TRANSFORMASI PM HANYA RETORIK

6 Safar 1433 H | 1 January 2012

PAS mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan pihak FRU dalam meleraikan himpunan aman mahasiswa di UPSI semalam.

Tindakan menggunakan kekerasan yang ditunjukkan oleh FRU ternyata di luar batas susila anggota perkhidmatan awam. Mereka hanya sekumpulan pelajar yang ingin suara mereka didengar, mengapa harus bertindak keras sedemikian sehingga ada yang tercedera?


Ia membuktikan kenyataan Perdana Menteri untuk melakukan tranformasi dalam pentadbiran nyata hanya untuk pendengaran rakyat sahaja, kerana hampir jelas tiada niat bahawa apa yang dilaungkan Perdana Menteri direalisasikan akan berubah kepada tindakan.


PAS yakin insiden ini akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terhadap Umno/BN dan gerakan Asal Bukan Umno (ABU), menjelang PRU akan datang. 


PAS rasa kecewa tindakan
double standard pihak polis dan FRU dalam tindakan mereka. Sedangkan di waktu yang sama pelbagai himpunan dianjurkan NGO (Umno) di Selangor dan Pulau Pinang berjalan tanpa sebarang tindakan.

PAS mendesak satu siasatan rapi dibuat terhadap insiden ini, dan tindakan pengurusan dan perundangan mesti diambil. Pihak Suhakam dan pelbagai badan NGO lain dituntut mengecam tindakan melampau ini.

Apakah tindakan ini dibuat bagi menutup kemarahan Umno dan BN kerana gagal menghalang himpunan pertama yang berjaya menurunkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tempoh hari?


Polis dan FRU dinasihatkan tidak perlu menjadi pelindung kepada penyelewengan dan kekejaman akta zalim Umno BN. Mahasiswa yang bangkit menentang akta zalim ini sepatutnya disokong oleh semua. 


Tindakan kejam dan melampau batas ini akan pasti dibalas oleh Allah di akhirat nanti. Ingatlah sabda Rasulullah "Kezaliman adalah kegelapan di akhirat".