Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: February 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

PROJEK LEMBU - KENAPA NAJIB KETEPIKAN FELDA YANG LEBIH LAYAK?


5 Rabi'ul Akhir 1433 H | 28 February 2012

PETALING  JAYA 28 Feb: Pengarah Srategi KEADILAN, Rafizi Ramli mempersoalkan mengapa Pusat Fidlot Nasional tidak diserahkan kepada syarikat Felda yang lebih berkelayakan dan turut membida projek berkenaan.

Sebaliknya, kata Rafizi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan kontrak itu kepada syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Rafizi, Najib perlu menjelaskan perkara ini kerana beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan Syarikat peneraju bagi Pusat Fidlot Nasional yang menjemput enam syarikat, termasuk Felda Farm Product Sdn Bhd.

“Dari segi pengalaman, saiz kapital, pengurusan dan rekod industri, syarikat paling layak mendapat kontrak ini adalah Felda Farm Product Sdn Bhd,” kata Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini.

Dalam sesi pendedahan terbaru mengenai isu NFC itu, Rafizi turut menunjukkan profil syarikat-syarikat terlibat, yang diperoleh dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Beliau berkata, syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd, yang mendapat kontrak berkenaan hanya ditubuhkan setahun sebelum kontrak dianugerahkan.

“Ini menunjukkan lantikan Agroscience Industries Sdn Bhd melalui proses yang tidak telus dan mengabaikan pertimbangan asas kewangan dan pengalaman yang dimiliki Felda Farm Products Sdn Bhd,”  jelas Rafizi.

Rafizi berkata, Najib harus mendedahkan minit mesyuarat jawatankuasa pemilihan dan menerangkan kriteria yang digunakan sehingga Felda Farm Products Sdn Bhd yang paling layak, diketepikan.

“Perlantikan Felda Farm Products Sdn Bhd pasti akan dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan peneroka.

“Oleh itu, beliau harus memberi jawapan kepada ratusan ribu warga Felda yang lebih layak, tetapi diketepikan hanya untuk keluarga menteri,”  ujarnya lagi. - keadilandaily.com

JIKA IKHLAS, TAK PERLU TUNGGU 2/3 MAJORITI

5 Rabi'ul Akhir 1433 H | 28 February 2012
Dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah, seperti yang dicadangkan oleh lembaga penasihat SPRM, akan ditubuhkan untuk membolehkan badan pemantau anti-rasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawai-pegawainya, termasuk kuasa untuk melantik dan memecat mereka.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu ini perlu pindaan perlembagaan.

Sepatutnya, bukan sahaja kuasa pemantauan diberikan kepada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahkan kuasa pendakwaan juga sepatutnya diberikan kepada SPRM, dan bukan lagi tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara sebagaimana kini.

Apa yang penting bagi SPRM bukan semata-mata siasatan, tetapi turut mempunyai kuasa pendakwaan. Rakyat masih bertanya kemana pendakwaan kes berprofile tinggi yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Rais Yatim, demikian juga isu besar NFC dan sebagainya.

Sehubungan itu, PAS melalui Jawatankuasa Khas Parlimen akan meneliti dan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti-Rasuah yang dicadangkan PM dengan beberapa perkara yang disebut di atas.

PAS akan mengemukakan usul tersebut di dalam sidang parlimen akan datang.

PM tidak perlu menunggu untuk mendapatkan 2/3 majoriti dalam pilihanraya akan datang, kerana rakyat akan menilai sejauhmana kerajaan mendokong usaha membanteras rasuah dengan menilai sokongan BN terhadap usul yang akan dibawa PAS.

Rakyat sudah tentu masih ingat wayang ‘anti-rasuah’ yang dimainkan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia.

Jika PM ikhlas dalam membanteras rasuah, beliau tidak perlu mengambil usul ini sebagai satu lagi janji berbentuk ‘you help me, I help you’ untuk mendapatkan undi rakyat, kerana pihak PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentunya akan menyokong usul tersebut asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

NASIHAT UNTUK MUFTI PERAK - "JANGAN AMBIL BERITA DARI TEPI JALAN."


30 Rabi'ul Awal 1433 H | 23 February 2012

PAS menegur cara Sohibus Samahah Mufti Perak Dato Harussani Zakaria mengutip dan mengulas sesuatu berita. Sebagai seorang mufti, beliau tidak sepatutnya mengambil berita di tepi jalan yang tidak mempunyai sandaran yang sah atau tidak mengetahui hujung pangkal sesuatu berita, lalu terus membuat ulasan.

Sebagai seorang mufti beliau sepatutnya berpegang dengan Firman Allah:

"Wahai orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seseorang fasik membawa berita, maka hendaklah kamu menyiasat dahulu berita tersebut, agar tidak bertindak di atas kejahilan dan akhirnya akan membawa kepada kekesalan".

Banyak peristiwa dan kenyataan yang beliau ulas tidak mempunyai sandaran yang kukuh, dan hanya berdasarkan dengar cakap sahaja. Ini termasuklah dakwaan beliau bahawa lebih 200,000 umat Islam telah murtad, dakwaan bahawa Pulau Pinang tidak benarkan perarakan Maulid Nabi dan sebagainya.

Terbaru beliau cuba mengulas isu ba’iah, dalam keadaan beliau tidak memahami keadaan sebenar.

Ulasan beliau yang berbolak-balik adalah perkara biasa bagi yang mengikuti secara dekat kenyataan beliau.

Sebagai contoh, isu kehadiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke Batu Caves - pada awalnya beliau menyerang PM dengan tuduhan Syirik, rosak aqidah dan tidak mahu mendengar nasihat tiba-tiba bertukar kepada harus, dibolehkan dan tidak bercanggah.

Inilah yang menyebabkan ramai umat Islam berpendapat mufti seperti beliau, bukannya dirujuk oleh pemerintah sebelum sesuatu tindakan dibuat, sebaliknya dipergunakan untuk mencari dalil dan nas untuk menyokong sesuatu tindakan yang telah dibuat walaupun ia bercanggah dengan nilai Islam.

Demikian juga isu perjuangan bangsa dan raja-raja yang diulas bukan dari perspektif Islam. Kecintaan bangsa dan ketaatan kepada makhluk mempunyai batas sempadan yang sangat jelas. Tindakan beliau, dan disebabkan beliau adalah mufti negeri telah mengundang pelbagai kekeliruan di kalangan masyarakat umum. Keadaan ini jika berterusan akan menghilangkan thiqah masyarakat terhadap beliau dan dengan kedudukan beliau sebagai mufti, dan hal ini adalah satu tragedi yang sangat menyedihkan dan malang bagi beliau.

Demikian juga isu ba’iah dalam PAS. Ba’iah mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam. Al Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal ba’iah. Samada sewaktu Perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya membuktikan ba’iah ada asas kukuh.

PAS menggunakan kaedah ba’iah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka mengoncang iman lawannya dengan taburan duit.

Mereka yang telah memenangi kerusi samada DUN atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat. Kalau selepas mereka menang lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak? Peristiwa perampasan kuasa di Perak, adakah Harussani berasa ini adalah perkara yang harus?

Kerana itu PAS membuat ba’iah kepada semua calon, sekiranya mereka menang atas tiket parti mereka dilarang lompat parti, keluar parti bahkan sekiranya dipecat dari parti mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Kerana asas kemenangan mereka atas lambang parti yang diwakilinya. Tidak timbul soal perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kerana dalam ba’iah itu, jelas dinyatakan ia tidak diwajibkan taat kepada perkara bertentangan dengan syarak.

Sepatutnya Harussani membaca meneliti dan melihat secara dekat matan ba’iah yang dibuat di dalam PAS, bukan dengan mendengar cakap-cakap mereka yang diluar atau dikeluarkan PAS.

Beliau harus ingat ba’iah dalam PAS disediakan oleh Majlis syura yang terdiri dari para alim ulamak, bukan oleh DHPP atau dikutip di tepi jalan.

Soal akhirat memang ketentuan Allah, tetapi apa yang dijelaskan dalam ba’iah ialah sekiranya seseorang calon yang menang berba’iah dengan nama Allah lalu melanggari ba’iah tersebut, apakah salah kalau diingatkan mereka tentang azab Allah di akhirat?

Banyak hadis menggunakan kaedah ini, dan PAS kita menggunakan kaedah yang sama bagi memelihara perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS.

PAS TIDAK PERNAH KHIANATI PERJUANGAN RAKYAT PALESTINE

30 Rabi'ul Awal 1433 H | 23 February 2012

Pertemuan Al-Mursyidul Am PAS, YAB Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah berlangsung pada 21 Februari 2012, jam 9.30 pagi bertempat di PNB Darby Park adalah bertujuan untuk membuka ruang penjelasan kepada Anwar berhubung kenyataannya dalam Wall Street Journal pada penghujung Januari lalu.

Seperti yang ditegaskan Mursyidul Am PAS, PAS sekali lagi ingin menegaskan pendirian parti bahawa kita tetap bersama rakyat di Palestin yang berjuang bagi mendapatkan balik hak negara mereka yang telah dirampas oleh rejim Israel.

Keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama, kerana nyawa, harta dan tanah air mereka terus diganyang oleh Israel. Justeru semua pihak perlu memberi jaminan keselamatan kepada rakyat Palestin dari kebiadaban rejim Israel.

Sekali lagi ditegaskan, bagi PAS apa jua perancangan masa depan negara Palestin hendaklah mengambil kira pendirian Hamas yang telah menerima mandat rakyat.

PAS juga menolak road map yang ditaja oleh kuasa Barat dan mana-mana pihak yang terlibat, yang sedang memaksakan penyelesaian road map ke atas Palestin dan seluruh dunia.

Maka PAS bersama tangisan, air mata dan derita rakyat di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka.

PAS mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional yang berterusan berurusniaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel, ketika mana rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan.

PAS TETAP TIDAK IKTIRAF NEGARA HARAM ISRAEL

29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012

Pagi kelmarin, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.

Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama’ PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama.

Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’, iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestine yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.

Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestine. Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.

Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestine untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun.

Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.

KAPAL ISRAEL SERLAH WAJAH SEBENAR UMNO-BN

28 Rabi'ul Awal 1433 H | 21 February 2012

Harakahdaily

Kehadiran dua buah kapal dagang milik rejim Israel, Zim Atlantic dan Zim USA ke Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu benar-benar mengejutkan seluruh rakyat negara ini sehingga memperlihatkan wajah sebenar Umno BN di mata orang ramai.

Dewan Ulama PAS Pusat sehubungan itu menuntut Kerajaan Malaysia segera membuat penjelasan mengenai kedudukan sebenar perkara itu kepada rakyat.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, umat Islam yang cintakan akhirat sewajarnya tidak menjalin sebarang bentuk kerjasama dan perhubungan sosial atau ekonomi dengan mereka yang melakukan kezaliman sama ada kezaliman itu dilakukan oleh orang Islam sendiri atau bukan Islam.

"Negara haram Israel telah menzalimi umat Islam Palestin dalam tempoh yang panjang dengan merampas tanah air mereka dan membunuh ratusan ribu umat Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Menurut Khairuddin, sebarang kerjasama sosial dan politik dengan mereka yang terang-terang melakukan kezaliman adalah satu keredhaan terhadap kezaliman.

Katanya, Allah berfirman dalam surah Hud ayat 113 bermaksud: "Dan janganlah kamu cenderung hati terhadap orang-orang yang zalim, pasti kamu disentuh oleh api neraka."


"Jadi, sekiranya benar laporan yang menyatakan kapal-kapal yang dimiliki sebuah syarikat yang didakwa dikuasai oleh kerajaan Israel mempunyai akses bebas ke Westport, Pelabuhan Klang, ia memang benar-benar melukakan hati majoriti rakyat Malaysia beragama Islam," katanya lagi.


Baru-baru ini sebuah NGO, Jingga 13 mendedahkan pihaknya telah mendapat bukti jelas bahawa hubungan antara Kerajaan Malaysia dan rejim Israel telah wujud walaupun pemimpin Umno menafikan wujud hubungan dagang tersebut. 

Ianya terbukti dengan kehadiran dua buah kapal, Zim Atlantic dan Zim USA yang telah berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu yang dimiliki oleh ZIM Integrated Shipping Services Ltd hak milik rejim Israel.

"Kehadiran ZIM USA yang sebelum ini didaftarkan di Haifa, Israel pada 25 Oktober 2010 dan kini didaftarkan di Republic Of Liberia pada 2 Februari 2012 dan ZIM Atlantic yang turut didaftarkan di Republic Of Liberia adalah milik Israel melalui Israel Corporation dengan pegangan saham sebanyak 98 peratus iaitu salah satu syarikat besar dimiliki oleh Israel," jelas Koordinator Jingga 13, Fariz Musa .

KALAU AURAT KELUARGA TAK DIJAGA, MACAM MANA NAK PIMPIN NEGARA? - RIDHUAN TEE

27 Rabi'ul Awal 1433 H | 20 February 2012

KUALA LUMPUR – Cendekiawan Islam, Profesor Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah kecewa dengan pemimpin yang ada sekarang kerana tidak berjaya membentuk sahsiah suami dan isteri dengan ajaran Islam sebenarnya.

Tanpa merujuk kepada tokoh itu sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, kata Ridhuan Tee, pemimpin ini tidak boleh dijadikan role model kepada generasi akan datang.

“Sekiranya ahli keluarga sendiri tidak menutup aurat misalnya, bagaimana dia hendak memim­pin negara dan menyuruh orang lain berbuat demikian. Begitu juga anak-anak mereka perlu terlebih dahulu dijaga kerana ini memberi imej kepada pemimpin berkenaan.

“Manakala bagi wanita bergelar isteri yang menerajui parti politik dan sesebuah pertubuhan, sekiranya mereka tidak boleh menegur suami sendiri, saya rasa ia juga memang pelik,” katanya semasa membentangkan kertas kerja berjudul 1Malaysia dan Penghayatan Islam sempena Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional berkata, seseorang pemimpin perlu utamakan agenda bangsa dan negara, namun sekiranya si isteri dan anak-anak kepada pemim­pin hidup bermewah, perkara ini menunjukkan­ ada tidak kena.

Beliau berkata, tidak kena jika rakyat disuruh berjimat sedangkan isteri sendiri atau suami tidak berbuat sedemikian.

Ditanya sama ada menegur peribadi pemimpin dikatakan satu kesalahan, katanya, dalam Islam, ia digalakkan dan apa dilakukan pemimpin itu menjadi perbualan.

Malah, kata Ridhuan Tee, menegur keluarga pemimpin tidak melanggar hak asasi manusia kerana sekiranya ia dibiarkan, lama-kelamaan pemim­pin itu menjadi sasaran musuh politik dan beliau tidak mahu berlaku.

“Begitu juga jika isteri atau suami mengetahui ahli keluarga­ mereka melakukan maksiat dan perbuatan tidak bermoral, mereka perlu menegur, bukannya mempertahankan apa yang dilakukan itu.

“Mesej saya cukup jelas. Kita tidak sepatutnya menegak benang basah dan mempertahankan yang salah. Inilah yang berlaku dalam dunia politik sekarang,” katanya.

Katanya, pemimpin itu tidak perlu bercakap mengenai integriti dan memberi nasihat kepada orang lain sekiranya diri sendiri tidak betul dan perbuatan itu tidak selamanya boleh menyelamatkan dirinya. - SinarHarian

APA MOTIF HASAN ALI? - PAS KELANTAN


26 Rabi'ul Awal 1433 H | 19 February 2012

KOTA BHARU - Pas Kelantan mencabar Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mengemukakan bukti siapa parasit sebenar yang dimaksudkan wujud dalam kepimpinan parti tersebut di peringkat negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, bekas pemimpin Pas Selangor ituperlu berhenti membuat sebarang tuduhan sekiranya tidak mempunyai bukti kukuh.

“Jangan buat tuduhan melulu, saya pun orang yang dekat dengan (Mursyidul Am Pas, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), jika betul ada,sepatutnya dia buktikan kepada pimpinan Pas.

“Apa niat dia (Hasan) yang sebenarnya sehingga sanggup mendedahkan perkara ini secara terbuka menerusi media dan tiada bukti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hasan semasa ditemu ramah dalam program bual bicara menyatakan dalam Pas Kelantan wujud parasit, yang dekat dengan Nik Aziz.

Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, tindakan Hasan yang mendedahkan perkara itu secara terbuka seolah-olah menunjukkan dirinya seperti menyebelahi pihak Umno.

“Dia bukan ahli Pas lagi, tetapi sekiranya dia jujur dan mahu menjaga Pas, tidak perlulah terus membuat tuduhan seperti ini,” katanya. - SinarHarian

NAJIB 'HINA' DIRI SENDIRI

25 Rabi'ul Awal 1433 H | 18 February 2012


Harakahdaily


Dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa Kelantan negeri paling miskin di negara ini, hanya membuka pekung dirinya sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara.


Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah 
(gambar) berkata, jika benar dakwaan itu, ia bermakna kegagalan kesemua enam perdana menteri termasuk Najib untuk memajukan kesemua negeri dalam Malaysia ini sejak BN memerintah lebih 50 tahun lalu.

"Sekira benar Kelantan ini negeri miskin mengikut kata PM DS Najib, maka ini bermaksud benar-benar gagalnya enam orang Perdana Menteri dalam memajukan setiap pelusuk tanah air, setiap orang dari rakyatnya.


"(Ini) kerana negeri Kelantan ini adalah salah satu negeri dalam gabungan 14 negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia, dan sama sekali bukan sebuah negeri yang berada di Thailand, atau Indonesia, atau Brunei, atau Kemboja, dan tidak mungkin sebuah negeri di Benua Afrika," coretnya melalui Facebooknya Hassan Hayastani..


Beliau dipercayai mengulas kenyataan Najib ketika berucap di Lahad Datu semalam kononnya Kelantan adalah negeri miskin tercorot dan bukan lagi Sabah.


Najib berkata kedudukan tercorot itu bermula sejak negeri tersebut berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS Kelantan. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Akuakultur Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu di sini semalam.


Mengulas lanjut, Abu Hassan berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memerintah untuk memajukan mana-mana negeri dan tugas itu berada di atas batu jemala seorang perdana menteri.


"Negeri mana pun yang dikatakan miskin selagi dia adalah negeri di dalam Malaysia maka tanggungjawab memberi kekayaan, kemajuan, kesejahteraan dan kebajikan masadepan itu berada di atas kepimpinan seorang Perdana Menteri.


"Ini bukan zaman penjajah British dengan polisi kejadah pecah dan perintah!," tulis beliau.

SELAMATKAN SYIRIA, AMALKAN QUNUT NAZILAH

Kekejaman tidak mengira usia...

25 Rabi'ul Awal 1433 H | 18 February 2012 

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh resolusi mengecam pelanggaran hak asasi manusia di Syria dan menggesa agar Presiden Bashar al-Assad meletakkan jawatan yang dikemukakan oleh Mesir kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan disokong oleh 137 negara.

Justeru, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri menggesa umat Islam melakukan Qunut Nazilah dalam solat-solat mereka mendoakan kemenangan bagi pejuang Islam di Syria yang menentang kezaliman.


“Serta berdoa agar Allah Taala menurunkan hukuman selayaknya di dunia terhadap pemerintah yang zalim,” ujarnya.


Mengulas perkembangan terkini yang berlaku di Syria yang menyaksikan penyembelihan rakyat yang tidak berdosa oleh rejim Bashar, beliau berkata, kezaliman itu telah mencapai kemuncaknya sejak 8 bulan lalu yang menyaksikan pembunuhan ribuan rakyat yang tidak bersenjata.


Menurut laporan Al Arabiya.net, serangan tentera Syria yang telah masuk hari ke 13 menggunakan peluru berpandu dan kereta kebal terhadap rakyatnya di bandar Hims telah membunuh 678 orang Islam termasuk kanak- kanak di samping menghancurkan sepenuhnya puluhan bangunan.


Satu laporan menjelaskan sejak kebangkitan di bandar Hims pada bulan Mac 2011 seramai 3,370 penduduk Hims telah dibunuh. 
Jumlah yang terbunuh dicampur dengan bandar-bandar lain sehingga kini melebihi 8,380 orang.

MENJELANG PRU13 - APA SUMBANGAN ANDA?

24 Rabi'ul Awal 1433 H | 17 February 2012

Apakah sumbangan yang anda dan ahli PAS boleh lakukan untuk kejayaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13?

Abang Mat:

Saya nasihatkan setiap ahli PAS hendaklah berjumpa untuk besembang, berdialog dengan bukan ahli PAS dan mengajak mereka membuat perubahan.

Dengan memberikan contoh-contoh penyelewengan dan korupsi kerajaan BN, kita sama-sam memberitahu mereka untuk selamatkan negara dari muflis dan gantikan dengan negara berkebajikan.

Saya juga sarankan agar ahli PAS menggunakan Buku Jingga dan Negara Kebajikan terbitan PAS untuk mendekati mereka.

Sementara itu, saya akan memokuskan usaha bersama parti PAS dan Pakatan Rakyat untuk mengeratkan perpaduan antara parti dan ahli untuk berusaha membentuk kerajaan persekutuan dengan mengalahkan kerajaan BN di PRU-13 dan menzahirkan good governance dalam  pemerintahan negeri dan juga persekutuan.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man:

PRU ke 13 adalah pilihanraya paling penting dalam perkembangan politik  negara kerana  umum akan melihat sejauh mana Pakatan Rakyat mampu mempertahankan kemenangan di negeri yang telah dimenangi, serta perkembangan politik di negeri yang belum dimenangi.

Perubahan mood rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama serta pola politik dijangka mengalami perubahan menjelang PRU akan datang. Senario ini menuntut peranan semua pihak bagi memastikan BN tumbang dalam PRU ini.

Antara peranan yang boleh dimainkan ialah meningkatkan daftar pemilih pengundi baru dan membantu dalam memastikan pengundi luar khususnya di Lembah Klang kembali untuk mengundi pada hari pengundian nanti.


Di samping itu, rakyat perlu didedahkan dengan isu semasa yang berlaku yang mempunyai implikasi langsung ke atas rakyat, samada penyelewengan dana negara dalam isu NFC, teguran audit negara dalam pengurusan kewangan, isu Lynas, SPBA, penyenaraian Felda, penyalahgunaan dana zakat, dan lain-lain.

Insya Allah semua ini dapat dilakukan saya bersama dengan jamaah PAS.

TUN M HIPOKRIT - AZIZ BARI


23 Rabi'ul Awal 1433 H | 16 February 2012

KUALA LUMPUR 16 Feb: Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa undang-undang di Malaysia akan ditukar sewenang-wenangnya jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, sebagai tidak berasas.


Pakar perlembagaan itu  turut mengulas kenyataan Mahathir baru-baru ini  kononnya Amerika Syarikat dan Israel mahu melihat kerajaan Malaysia sekarang ditukar seperti yang berlaku di Asia Barat.


“Saya fikir dia ini (Mahathir) mengarut dan tak tahu apa yang dikatakannya. Bukan mudah nak buat undang-undang; ia memerlukan draf dan akan dibincangkan di parlimen.


“Mungkin dia ingat pentadbiran Pakatan Rakyat sama dengan Umno-BN di mana rang undang-undang dibentang dan diluluskan secara tergesa-gesa, manakala ahli-ahli parlimen tak diberi peluang untuk membahas dengan terperinci.

“Dia juga lupa bahawa ruang kebebasan untuk rakyat akan lebih luas jika Pakatan mentadbir negara kerana ia akan memansuhkan undang-undang yang mengekang yang dia buat dulu,” ujar pakar perlembagaan itu.

Katanya lagi, kenyataan Mahathir itu menunjukkan sikapnya yang hipokrit terhadap dasar luar kerajaan  semasa beliau menjadi perdana menteri sehingga sekarang.

“Dia berlagak anti-Barat, anti-Yahudi dan lain-lain tapi kita tahu siapa Mahathir yang sebenar,” ujarnya yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa.

Mahathir dan Pimpinanan Umno yang diketuai Datuk Seri Najib Razak kebelakangan ini menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya pro Israel, dengan memutar belitkan kenyataannya di Asian Wall Street Journal.

Sebaliknya, pimpinan KEADILAN membawa bukti yang menunjukkan sikap sebenar kerajaan pimpinan Umno-BN terhadap Israel dan Amerika Syarikat, antaranya, perjanjian dengan APCO yang menerima bayaran RM77 juta setahun dari kerajaan.

Kelmarin, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa kerajaan tidak konsisten terhadap perjuangan Palestin dan tidak mengiktiraf kerajaannya yang sah akibat tunduk kepada tekanan Amerika dan Israel.

Kerajaan BN katanya, membelakangkan kehadiran menteri luar Palestin yang sah, Dr Mahmoud Al Zahar yang dilantik perdana menteri ketika itu, Ismail Haniyeh semasa Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada 2006. - keadilandaily.com

 

MAJLIS FATWA PERLU RESPON 'FATWA' HARUSSANI

19 Rabi'ul Awal 1433 H | 12 February 2012

SHAH ALAM - Datuk Dr Ismail Ibrahim meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah “menggadai akidah” apabila menghadiri sambutan Thaipusam, Selasa lalu.

Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini berkata, jawapan rasmi terhadap "fatwa" dibuat Harussani harus disegerakan kerana ia mungkin mengelirukan umat Islam jika tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan Majlis Raja-raja sendiri.


Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata, isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja seperti perbezaan pentafsiran dalam hal-hal ranting dalam agama Islam.


"Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang," kata beliau dalam entri terbaru blognya.


Ismail yang yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, beliau tidak berniat hendak menyokong atau membangkang kenyataan Mufti Perak yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah menggadaikan akidahnya dengan  menghadiri perayaan Thaipusam.


Justeru soal beliau, "menggadai akidah adakah bermakna mencemarkan akidah? Menggadaikan akidah adakah bermakna terkeluar dari akidah Islam, dan seterusnya menjadi syirik?"


Katanya, "kalau inilah maksud menggadaikan akidah yang disebutkan oleh Mufti Perak itu, maka hal ini telah menjadi satu fatwa yang amat berat dan serius kepada umat Islam, terutamanya kepada batang tubuh Perdana Menteri sendiri, dan pihak bertanggungjawab tentang agama di negara kita haruslah memberikan perhatian yang serius juga kepada fatwa ini."


Tambah beliau, hal yang berhubung dengan akidah bukan perkara mudah kerana akidah merupakan keimanan kepada agama Islam itu sendiri dan akidah yang tergadai sekiranya dimaksudkan akidah yang telah tercemar atau terkeluar dari akidah Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi tidak mukmin dan tidak Islam, syirik dan kafir.


"Apakah pengertian ini yang dimaksudkan oleh Mufti Perak dengan ungkapan menggadaikan akidah itu? Juga kenyataannya tentang perbuatan syirik yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu," ujar beliau.


Malah katanya, hal itu perlu diperjelaskan supaya umat Islam tidak menjadi keliru dengan fatwa Mufti Perak tentang orang Islam yang menyertai perayaan tersebut.


"Mungkin Jakim, Majlis-majlis Agama Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, malah Raja-raja Melayu sendiri sebagai Ketua Agama Negeri perlu segera mengambil tindakan bagi membincangkan fatwa Mufti Perak ini dan memberikan keputusan yang muktamad dalam isu ini," katanya lagi. -
sinarharian

NAJIB 'GADAI AQIDAH' - HARUSSANI

"Najib tak dengar nasihat saya." - Mufti Perak
17 Rabi'ul Awal 1433 H | 10 February 2012

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya Perdana Menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan. - themalaysianinsider

"SHAHRIZAT, JANGAN REKA CERITA!" - KETUA UMNO CHERAS

"Mengapa susah sgt nak letak jawatan?" - Syed Ali
13 Rabi'ul Awal 1433 H | 6 February 2012

Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak sewajarnya menyalahkan pihak lain berhubung isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang kini menjadi kemarahan rakyat, kata Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.

"Jangan reka cerita kononnya ada yang nak jatuhkan beliau, realitinya beliau tidak seharusnya menjadikan wanita Umno sebagai perisai untuk melindungi kelemahan dan kepincangan yang berlaku," tegasnya.

Beliau yang beberapa kali menggesa Shahzirat berundur mempersoalkan sama ada menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu sayangkan jawatan atau ikhlas berjuang dalam Umno.

"Mengapa susah sangat nak letak jawatan menteri, tak perlu bercuti dan salahkan orang lain kononnya ada agenda peribadi nak jatuhkan beliau," ujarnya, seperti dilaporkan dalam blog Umno bahagian itu semalam.

Syed Ali berkata, tidak ada pemimpin Umno yang secara peribadi memusuhi Shahrizat tetapi mereka bersuara kerana tidak mahu Umno dicemuh rakyatberkaitan isu NFC.

"Sampai bila mahu cakap tak serupa bikin, kononnya Umno menentang segala bentuk penyelewengan, rakyat sedang memerhati sejauh mana ikhlasnya kerajaan hari ini," ujarnya. - malaysiakini

PAS PAHANG KESAL TANAH KUBUR DIRAMPAS

11 Rabi'ul Awal 1433 H | 4 February 2012
PAS Pahang melahirkan rasa dukacita terhadap pencerobohan tanah perkuburan Islam Hutan Setali, Kuantan.

Kawasan rezab perkuburan tersebut telah dibangunkan lot-lot kedai, dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan, sedangkan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Pahang pada 20.9.2000 telahpun meluluskan tanah tersebut sebagai rezab kawasan Tanah Kubur Tambahan di Hutan Setali yang mempunyai keluasan 1.206 hektar (3 ekar) di lot 338.

Apa yang mendukacitakan bilamana kawasan ini dibangunkan lot-lot kedai dengan kelulusan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), sedangkan agensi tersebut sepatutnya tidak meluluskan kawasan tambahan ini untuk dibina lot kedai kerana ianya telah pun diluluskan sebagai tanah rezab perkuburan.

Sehubungan itu, diharapkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci terhadap hal ini. 

PAS mengesa satu siasatan rapi yang melibatkan pelbagai agensi seperti Pejabat Tanah Daerah, Majlis Perbandaran Kuantan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mesti dilakukan bagi mengembalikan semula kawasan tersebut sebagai kawasan perkuburan Tambahan sejajar dengan keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri.

TG PRESIDEN TETAP BERTANDING PRU13

10 Rabi'ul Awal 1433 H | 3 February 2012
PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihanraya ke 13 samada di peringkat DUN atau Parlimen, dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2hb Februari di Pejabat Agong PAS. Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke 13. 

PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat. Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.

Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti. Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agong abad ini.

Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah. Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bilamana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin.

PR BERSEDIA MATIKAN 'BOM JANGKA' LYNAS

9 Rabi'ul Awal 1433 H | 2 February 2012
PAS mendesak kerajaan dan Lynas menjelaskan kenapa firma AkzoNobel yang merupakan kontraktor utama dari Belanda menarik diri dari projek Lynas di Gebeng. Sedangkan ia adalah pembekal utama resin penting yang berfungsi sebagai pelekat untuk puluhan liners fiberglass bagi tangki pendinding konkrit.

Penarikan diri kontraktor utama ini menimbulkan kebimbangan awam berhubung soal keselamatan dan kesihatan. Kerajaan diharap tidak menyembunyikan fakta sebenar dan rakyat berhak mengetahuinya kerana kelulusan lesen sementara untuk syarikat ini beroperasi dengan lima syarat yang mesti dipenuhi, dilihat sebagai suatu keganjilan dan kesangsian.

Apa makna ribuan bantahan rakyat dibuat, kalau kerajaan langsung tidak memikirkan bantahan tersebut?

Lynas adalah bom jangka yang telah dipasang. Andai berlaku sesuatu yang tidak diingini, bagaimana nasib lebih 300,000 warga Kuantan, pencemaran air sungai dan lautan, kilang penapis minyak sawit yang hanya 2 km dari kilang.

Sampai hari ini, rakyat masih tidak faham mengapa kerajaan sanggup mengambil projek yang terlalu besar risiko untuk rakyat. Dengan kelulusan lesen pra-operasi telah semalam bermakna jarum jam 'bom jangka' telah bergerak. Jangan sudah terhantuk baru terngadah!

Rakyat diseru undilah Pakatan Rakyat pada PRU-13 yang tekad menghentikan operasi Lynas jika mendapat kuasa nanti. Nampaknya ini adalah jalan terakhir untuk kita bersama-sama menyelamatkan rakyat Kuantan, Gebeng dan sekitarnya daripada bom jangka Lynas yang telah dihidupkan ini. 

PAS KONSISTEN BANTAH LYNAS


8 Rabi'ul Awal 1433 H | 1 February 2012

PAS menyelar kenyataan Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis yang mendakwa bahawa PAS menyokong kilang Lynas, dan isu tersebut hanya merupakan pandangan sebelah pihak dari Fuziah dan PKR sahaja.

Dakwaan tersebut berniat jahat untuk memesongkan fokus rakyat berkenaan isu sebenar yang timbul berikutan pembinaan kilang kontroversi tersebut dan berniat untuk memecah-belahkan penentangan rakyat terhadap operasi mereka.

Perjuangan menentang pembinaan dan pengoperasian kilang tersebut adalah perjuangan semua golongan rakyat yang prihatin tanpa mengira kaum, agama dan bangsa demi memelihara alam sekitar dan masa depan generasi akan datang.

Malangnya sebahagian besar masyarakat Melayu disekat dari mendapat maklumat yang telus dan terbuka. Tidak sebagaimana masyarakat Cina yang bebas menilai maklumat dan membuat penilitian berdasarkan ilmu dan akal yang waras selepas menilai pelbagai kemungkinan dan kesan yang akan timbul kelak. Maklumat yang disampaikan kepada kebanyakan rakyat terutamanya orang Melayu lebih berbentuk satu hala dan lebih kepada momokan yang memburukkan mereka yang menentang kilang tersebut.