Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: March 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



MANSUH PTPTN - MENGAPA KERAJAAN HANYA TAHU MENGKRITIK?

8 Jamadil Awal 1433 H | 31 March 2012

SHAH ALAM - Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menggesa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat (PR) berhubung cadangan kaedah mengurangkan bebanan pembiayaan pengajian tinggi dengan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bukannya dengan mengkritik idea di bawah perikatan pembangkang itu.

Naib Presiden I Gamis, Eikhwan Ali berkata, kedua-dua BN dan PR harus melihat isu berkenaan sejajar dengan agenda yang dibawa dalam Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) yang dilancarkan pada 25 Mac lalu iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.

Katanya, isu penghapusan skim pembiayaan pendidikan PTPTN bukanlah isu yang dipolitikkan, tetapi ia merupakan "isu yang dibawa untuk menjada hak dan kebajikan mahasiswa."

"Gamis menyokong iltizam Pakatan Rakyat untuk membatalkan PTPTN sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum akan datang.

"Iltizam PR untuk membatalkan pinjaman PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma dari sekolah rendah sehingga univerisiti boleh dilakukan sekiranya kerajaan berhemat dalam setiap perbelanjaan dan menghapuskan budaya rasuah dan kronisme yang merugikan negara," kata beliau dalam satu kenyaatan media.

Eikhwan berkata, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang menyatakan bahawa idea tersebut adalah tidak relevan buat masa ini menunjukkan kedangkalan bagi seorang yang ‘berkuasa’ terhadap sistem pengajian tinggi di Malaysia.

Sehubungan itu kata beliau, inspirasi yang didokong oleh Gamis bersama 13 barisan mahasiswa di seluruh negara juga akan bersama dalam  Himpunan mansuh PTPTN pada 14 April ini. - SinarHarian

SPR MASIH GUNAKAN ALASAN LAPUK

4 Jamadil Awal 1433 H | 27 March 2012

TINDAKAN MALAYSIA - kumpulan terbaru reformasi pilihan raya - hari ini membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berulang kali menggunakan "kesilapan manusia" sebagai alasan untuk menjelaskan kesilapan dalam daftar pemilih.

Menurutnya, bagi dokumen sepenting daftar pemilih yang boleh menentukan keputusan sesuatu pilihan raya umum, maka semua kemasukan (nama pemilih) perlu diperiksa dua kali dan diluluskan oleh pegawai yang lebih kanan.

"Selain itu, sistem komputer yang mengendalikan kemasukan (nama pemilih) sepatutnya dapat mengesan kesilapan mudah seumpama itu," kata pengasas Tindakan Malaysia, Wong Piang Yow (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Jika tidak, tambahnya, program itu perlu dibuang dan syarikat perisian yang membekalkannya perlu disaman kerana kecuaian, jika ia boleh dibuktikan.

Wong mengulas laporan portal berita Free Malaysia Today, yang memetik Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai berkata kesilapan dalam daftar pemilih adalah disebabkan oleh "kesilapan manusia".

Wan Ahmad telah ditanya oleh portal berita tersebut tentang kes-kes di mana tarikh lahir dan nombor baru MyKad pengundi berdaftar tidak sama.

Beliau menjawab bahawa kakitangan sementara yang diambil untuk membantu SPR telah membuat kesilapan semasa mendaftar pengundi baru tersebut.

Katanya, pegawai SPR akan membuat pendaftaran berdasarkan apa yang telah diisytiharkan.

Menurutnya, mereka mempunyai beribu-ribu borang untuk diisi setiap hari dan oleh kerana SPR tidak membuat pendaftaran dalam talian, maka mungkin berlaku kesilapan manusia. - malaysiakini

FAHAMI PERBEZAAN YAHUDI DAN ZIONIS

2 Jamadil Awal 1433 H | 25 March 2012
Isu perniagaan dengan orang Yahudi yang diketengahkan oleh Datuk Seri Presiden PAS bukan perkara yang sukar difahami oleh umat Islam. Beliau menjelaskan fakta sejarah dari perspektif sirah Rasullullah di mana Baginda menjalankan muamalah urusniaga dengan orang Yahudi di Madinah, kerana perkara ini jelas disebut dalam banyak buku-buku sirah.

PAS dukacita dengan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan pelbagai pihak yang menganggap kenyataan Presiden PAS bermotif politik kerana beliau menjelaskan dari sudut ilmiah perbezaan antara bangsa Yahudi dan gerakan Zionis, yang telah merampas tanah umat Islam di Palestine dan sentiasa memberi amaran kepada umat Islam.

Yahudi adalah bangsa yang disebut dalam Quran. Al Quran banyak menyatakan kecaman dan juga pujian kepada Bani Israel. Bangsa adalah ketentuan Allah. Manakala yang kita tentang ialah gerakan Zionis yang sentiasa mewujudkan tindakan huru-hara dalam dunia, khususnya tindakan ganas mereka terhadap umat Islam di Palestine.

Lantaran itu, PAS mengecam tindakan kerajaan berurus niaga dengan negara Israel kerana tindakan itu nyata bercanggah dengan dasar dan polisi negara yang tidak mengiktiraf tanah rampasan Zionis yang dijadikan negara Israel.

RAKYAT PAHANG BERSEDIA UNTUK BERUBAH



Fokus Panah-UBAH Pahang yang panelnya terdiri daripada pimpinan tertinggi PAS Pahang akan berbicara setiap dua minggu sekali khusus mengenai suasana dan isu-isu semasa politik negeri Pahang Darul Makmur.

Ahli-ahli panel terdiri daripada:

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan PJ Pahang 1, Ustaz Yusof Embong
Timbalan PJ Pahang 2, Ustaz Hamzah Jaafar
Timbalan PJ Pahang 3, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad


Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan kepada ahli-ahli panel kita, sila emailkan kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini mereka berbicara mengenai topik berikut:

Adakah rakyat Pahang sudah bersedia berubah pada pandangan anda? Beza mood perubahan di kawasan berinternet dengan tidak berinternet dan cara nak tingkatkan mood perubahan rakyat Pahang.

Ustaz Tuan Ibrahim:

Secara umumnya rakyat Pahang dilihat tidak ghairah untuk membuat perubahan, khususnya di kawasan luar bandar dan di kalangan golongan tua. Mereka dilihat masih kekal dengan sokongan kepada UMNO-BN, tetapi keadaan ini agak berbeza di kalangan masyarakat bandar dan pinggir bandar dan di kalangan generasi muda di kawasan Felda dan luar bandar.

Keghairahan untuk berubah dari tinjauan umum adalah daripada kalangan golongan bermaklumat, khususnya orang bukan Melayu dan mereka yang ada membaca dan menganalisa berita daripada sumber alternatif dan yang bersifat intelektual.

Rakyat Pahang umumnya berhadapan dengan isu utama iaitu isu Lynas di kalangan masyarakat intelek dan isu penyenaraian Felda bagi kawasan Felda. Kedua-dua isu ini besar tapi agak teknikal jika dibandingkan dengan isu lembu National Feedlot Corporation.

Namun, secara keseluruhannya pandangan agak berbeza ini dipengaruhi oleh media baru atau media alternatif. Persoalan utama ialah fokus perubahan kepada pengundi sasaran iaitu generasi 40an ke bawah yang membentuk 52 peratus pengundi Malaysia.

Seandainya mood perubahan di kalangan generasi muda dapat ditingkat 7-10 peratus dari pencapaian PRU yang lalu, maka InsyaAllah perubahan akan turut berlaku di Pahang dalam PRU akan datang.

Ustaz Yusof Embong:

Saya yakin pasti akan berlaku perubahan di Pahang terutamanya di kawasan Felda. Isu-isu hangat yang menjejaskan nasib dan masa depan peneroka seperti isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH), tuntutan harga perah sawit yang kini ada kes di mahkamah dan kawasan tanah yang diberi kurang daripada 10 ekar seperti yang berlaku di Panching Selatan.

Masyarakat di pinggir bandar dan bandar mempunyai mood perubahan yang tinggi kerana mereka terdedah kepada konsep good governance yang dicanangkan PAS dan PR. Golongan ini mempunyai akses internet dan boleh membuat perbandingan sendiri antara pentadbiran BN and PR di negeri yang dikuasai masing-masing.

Disebabkan itu, masyarakat di bandar, pinggir bandar terutamanya Kuantan dilihat lebih memihak kepada PR.

Bagi kawasan yang tidak mempunyai internet, PAS perlu tingkatkan usaha untuk menyebarkan maklumat melalui risalah dan ceramah kepada golongan ini kerana mereka hanya bergantung kepada suratkhabar dan TV yang dikuasai media perdana sebagai sumber maklumat.

PAS KELANTAN JAWAB ISU TANAH RIZAB MELAYU, CABAR UMNO BERDEBAT

26 Rabi'ul Akhir 1433 H | 20 March 2012

Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu, Dato Mohd Fatmi Che Salleh seperti yang tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini Selasa 20 Mac 2012 (muka 10) berkenaan dengan isu Tanah Rizab Melayu yang didakwa tergadai di Kelantan. Dalam kenyataan tersebut beliau menyatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan tidak mempunyai perancangan yang teliti di dalam membangunkan negeri sehingga menyebabkan tanah rizab Melayu tergadai.

Sukacita saya memaklumkan bahawa kenyataan Fatmi tersebut yang tidak disertakan dengan fakta sangatlah tidak tepat dengan hakikat yang sebenar. Saya amat hairan bagaimana seorang Setiausaha Politik yang paling kanan kepada Perdana Menteri Malaysia boleh mengeluarkan kenyataan tanpa menyebut sandaran fakta yang kukuh.

Suka saya memaklumkan bahawa sekiranya Fatmi merujuk kepada Laporan Khas Utusan Malaysia pada 19 Mac 2012 yang meletakkan isu Tanah Rizab Melayu yang tergadai di Kelantan di muka hadapannya, terdapat beberapa kekeliruan yang sengaja ditimbulkan di dalam laporan tersebut. Ini termasuklah dakwaan bahawa beberapa projek pembangunan seperti Lembah Sireh, bandar Baru Tunjong, Muzium Pasir Pekan, Pelabuhan Darat Kuala Krai, Pusat Membeli Belah KB Mall, Tune Hotel serta Ladang Rakyat kononnya melibatkan tanah rizab Melayu yang digadaikan.

Saya melihat bahawa kekeliruan ini sengaja ditimbulkan oleh UMNO melalui Utusan Malaysia dalam misi untuk menghakis kepercayaan orang-orang Melayu terhadap kerajaan negeri Kelantan. Kebanyakan projek yang disebut itu ialah tanah kerajaan yang yang diberi milik kepada agensi-agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Perbadanan Bandar Baru Tunjung, Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Ia kemudiannya dimajukan dengan kerjasama syarikat swasta secara pajakan dalam tempoh tertentu misalnya 66 tahun. Ia sama sekali tidak diberi milik kekal kepada pemaju terlibat dan dilaksanakan berdasarkan pegangan ekuiti kebiasaannya 30 peratus agensi kerajaan dan 70 peratus pemaju.

Barangkali UMNO lupa bahawa merekalah yang telah menggadaikan tanah rizab melayu di bandar Baru Kubang Kerian ketika memerintah Kelantan. Ini boleh dirujuk melalui Warta Kerajaan Kelantan 22 April 1990 (ketika Kelantan masih diperintah oleh Barisan Nasional). Ini hanya sekelumit dari pengkhianatan UMNO terhadap tanah rezab Melayu.

Fakta ini belum lagi mengambil kira pengkhianatan Umno kepada orang Melayu yang telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun.

HEBAT 'LAKONAN' UMNO-BN

24 Rabi'ul Akhir 1433 H | 18 March 2012

Tindakan pimpinan Umno-BN menaburkan propaganda bahawa wujudnya ancaman asing dalam bentuk pemberian bantuan dana kepada Pakatan Rakyat menggambarkan pimpinan kian Umno-BN ketandusan idea, dan semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata tindakan pimpinan Umno-BN itu sebenarnya adalah untuk menutup segala kepincangan dan salah laku parti itu berhadapan serangan bertali arus Pakatan Rakyat yang mempersoalkan urus tadbir negara dan salah laku pimpinan Umno-BN yang menggunakan wang rakyat untuk kepentingan mereka sendiri.

“Pimpinan Umno-BN sudah tiada daya upaya untuk menyakinkan rakyat dengan dasar-dasar dan polisi yang dilaksanakan selama ini. Dan kini rakyat telah hilang kepercayaan kepada mereka dan melihat kegagalan yang teramat sangat dalam urus tadbir negara,” tegas Mahfuz yang dihubungi TVSelangor.

Menurut Mahfuz tindakan kerajaan pimpinan Umno-BN yang menggunakan khidmat perunding luar, APCO membuktikan sikap hipokrit mereka terhadap dasar luar negara khususnya berkaitan dengan kepentingan Israel.

“Sebelum itu pada zaman Tun Dr Mahathir telah menggunakan syarikat Satchi And Satchi iaitu sebuah konsultan Yahudi yang dilantik untuk membantu kempen dalam pilihanraya Umno-BN pada zaman Tun Mahathir.

”Umno-BN 'memberi duit' melalui hubungan dagang dengan Israel termasuk membantu dalam minyak masak dan sebagainya. Secara tidak langsung memberikan kesihatan dan makan kepada Israel termasuk tentera mereka dan kemudiannya melanyak Palestin.

“Dan pada hari ini melalui Apco dan beberapa kabel-kabel gerakan zionist antarabangsa digunakan untuk kepentingan politik mereka sampai mereka menggunakan wang negara yang merupakan wang rakyat untuk dibayar kepada konsultan daripada Zionist,” kata beliau yang juga MP Pokok Sena.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa bahawa Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan khidmat agensi Yahudi bagi mengerakkan parti itu merancang kempen pilihan raya.

Justeru itu menurut Mahfuz, beliau yakin rakyat tidak akan termakan dengan hasutan dan dakyah pimpinan Umno-BN dan menegaskan supaya mereka menumpukan kepada usaha memperbaiki institusi negara yang rosak dan porak peranda.

”Apa yang penting bagi parti politik ialah menawarkan kepada rakyat dengan bersaing secara sihat daripada sudut mengemukakan dasar polisi tawaran yang baik kepada masa hadapan negara kita.

”Negara kita kini menghadapi kerosakan kepada institusi negara kita yang diakui oleh bekas ketua hakim negara, institusi kehakiman rosak apabila Tun Mahathir membuat pindaan terhadap artikel perlembagaan sehingga menyebabkan hakim-hakim takut.

”Hari ini terdedah bagaimana institusi Peguam Negara dan institusi Kepolisian yang diketuai oleh ketua polis negara terlibat dalam gerakan kongsi gelap. Ini yang mesti diperbetulkan,” kata beliau. - selangorku.com

RAFIDAH PERLEKEH 'NIAT SUCI' SHAHRIZAT

19 Rabi'ul Akhir 1433 H | 13 March 2012 

Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz membidas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dengan mendakwa Shahrizat tidak membuat sebarang pengorbanan sebenar apabila mengumumkan 'perletakkan jawatan'.

Bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa itu berkata tempoh jawatan menteri yang dipegang oleh Shahrizat akan luput pada hari lantikannya sebagai senator berakhir pada 8 April. Justeru, katanya pengumuman Shahrizat pada Ahad lalu langsung tidak membawa sebarang makna.

"Berundur? Apa berundur...? Tidak timbul isu berundur atau meletakkan jawatan! Tidak ada apa-apa untuk berundur kerana secara sah beliau tidak lagi menjadi menteri pada 8 April...

"Jadi, sebenarnya, tiada langsung pengorbanan kerana ia hanya satu urutan peristiwa," kata Rafidah yang dipetik akhbar Malay Mail hari ini.

Semalam, pemimpin BN termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji pada Shahrizat kerana membuat pengorbanan besar "dengan mengumumkan bahawa beliau akan 'meletakkan jawatan' apabila tempohnya sebagai senator berakhir.

Rafidah, antara pemimpin paling awal mendesak Shahrizat untuk berundur dari kabinet, berkata keengganan Shahrizat meletakkan jawatan semasa tempohnya sebagi senator masih sah telah mencemarkan nama baik Umno dan kerajaan.

Menurutnya lagi, keputusan Shahrizat untuk terus memegang jawatan Ketua Wanita Umno akan turut menimbulkan masalah. - malaysiakini

TERHAPUSKAH 'DOSA' UMNO-BN DENGAN HANYA SATU PERMOHONAN MAAF?

19 Rabi'ul Akhir 1433 H | 13 March 2012
Meminta maaf adalah sifat mahmudah, samada terhadap manusia apatah lagi dengan Allah. Sikap suka memohon maaf dan kesungguhan memohon maaf lumrahnya lahir dari rasa bersalah.

Lagi banyak rasa bersalah seseorang itu, maka lagi keraplah dia akan memohon maaf. Memohon maaf dengan manusia atau rakyat teramai jarang dilakukan oleh mana-mana kerajaan atau pimpinan kerajaan. Kerana itu, apabila ada yang lakukan tentulah ianya menjadi bahan perbincangan awam.

Memohon maaf tanpa sebarang niat dan tindakan untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan di atas membuka ruang kepada rakyat untuk menilai tahap keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam permohonan maafnya kepada rakyat baru-baru ini.

Memohon maaf kepada rakyat bermakna bersalah dengan rakyat. Apakah kesalahannya mungkin besar kerana ia melibatkan rakyat teramai. Lantaran itu soal rakyat ingin memaafkannya atau tidak terpulang kepada rakyat. Cuma Islam mengajar kita agar memaafkan kesalahan orang lain, agar Allah memaafkan kita.

Meminta maaf dan memaafkan suatu kesalahan adalah sifat terpuji, tetapi bukan bermakna kerajaan harus diberi terus mandat untuk melakukan semula kesalahan, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa.

PAS yakin persoalan-persoalan mengenai penyelewengan dana negara, ketirisan sehingga berbillion ringgit serta kegagalan kerajaan membina sebuah negara yang berdaya saing, samada dalam pendidikan, ekonomi, sukan, keselamatan sosial dan pelbagai isu lain tetap akan kekal di minda rakyat Malaysia.

Ini kerana mereka sedar bahawa Perdana Menteri (PM) mereka hanya memohon maaf tatkala kerana pilihanraya umum ke 13 bakal menjelang tiba demi memohon rakyat terus memberi mandat kepada BN.

SBPA - KESILAPAN BARU KERAJAAN PIMPINAN NAJIB

15 Rabi'ul Akhir 1433 H | 9 March 2012
Pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menonjolkan sekali lagi kegagalan transformasi yang diwar-warkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan akhirnya terpaksa berbalik kepada sistem lama.

Isu SPBA diwujudkan secara gopoh-gapah sebagai reaksi segera PM kepada janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga. Bahkan pemerhatian umum yang dilakukan terhadap banyak perkara yang dikatakan transformasi kerajaan hanyalah berkisar di sekitar Buku Jingga PR.

Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings, sebuah syarikat yang tiada aset selain hutang diberi amanah untuk mengambil aset Felda Plantation, Koperasi Permodalan Felda dan lain sebagai modal penyenaraian. Kini ia berhadapan dengan pelbagai bantahan peneroka Felda dan kakitangan Felda yang tidak bersetuju.

Demikian juga isu kegagalan kerajaan mengawal harga barangan pengguna, yang akhirnya kerajaan sekadar mampu mewujudkan kedai-kedai 1Malaysia yang disubsidikan duit berjuta ringgit untuk menjual barang pada harga yang diwar-warkan lebih rendah.

Sedangkan tugas kerajaan bukan mewujudkan kedai murah. Bayangkan pekedai lain terpaksa bersaing dengan kedai kerajaan, dan ini sangat tidak adil bagi peniaga dan rakyat yang jauh dari kedai 1 Malaysia, yang terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal. Ini juga membuktikan kegagalan Najib dan kerajaan sekali lagi menggunakan cara yang tidak munasabah untuk mengawal harga barangan kepada pengguna.

Isu SPBA berkait-rapat dengan janji PR kepada kakitangan awam dan skim gaji minimum yang dijanjikan dalam belanjawan alternatif 2012 PR. Isu penyenaraian Felda pula mengambilkira janji PR untuk memastikan hak peneroka terpelihara di semua ladang Felda.  Dan lainnya, hanyalah gambaran sebenar sikap menggelabah PM dalam menghadapi janji Buku Jingga.

Dalam flip-flop terbaru ini, jelas ia adalah akibat daripada sikap gopoh-gapah pentadbiran Najib tanpa perancangan teliti, kajian mendalam dan sikap mengenepikan pandangan kesatuan sekerja dan badan berkaitan. Akhirnya, kerajaan berhadapan bantahan umum kakitangan sehingga terpaksa kembali kepada sistem lama.

Oleh kerana sikap gopoh-gapah inilah rakyat dapati apa yang dicadang oleh PM berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa disemak, ditarik balik dan dibatalkan. Inilah transformasi 1Malaysia Najib – “Mulut didahulukan, Flip-Flop diutamakan.”

MANSUH SBPA - 'SUDAH TERHANTUK BARU TENGADAH'

15 Rabi'ul Akhir 1433 H | 9 March 2012

Bila SBPA akhirnya dimansuhkan, ternyata satu rumusan dapat disimpulkan iaitu keputusan telah dibuat melalui proses yang tidak teliti terhadap semua kemungkinan dan implikasi yang bakal dihadapi.

Dan kerajaan yang ada tidak punya integriti dan ketelusan untuk uruskelola pentadbiran yang  baik. Pokoknya ini melambangkan kelemahan kerajaan yang sangat ketara.
 
Bila pihak JPA mengumumkan setiap penjawat awam perlu menandatangani berhelai-helai dokumen, begitu banyak dokumen yang dicetak khas untuk ditandatangani oleh penjawat awam yang melebihi 1 juta orang. Setiap penjawat dan kerani di pejabat mengambil masa berhari-hari mengejar kakitangan supaya melengkapkan dokumen sebelum tarikh yang ditetapkan.

Ketika mana keputusan menguatkuasakan cadangan SBPA diumumkan, maklum balas negatif dari pelbagai pihak nampaknya terlalu lambat untuk diambil kira dengan serius. Malah teguran dan bantahan dilihat dari kaca mata politik pembangkang.

Sehingga JPA dan pejabat PM menerima lebih 1,000 memorandum bantahan yang bertalu-talu barulah akhirnya keputusan dimansuh diumumkan.

TERAS mempersoalkan kebijaksaaan dalam proses membuat keputusan di pihak kerajaan sejak awal lagi.

Apakah ketika sesuatu perubahan hendak dilancarkan, suatu kajian yang cukup mendalam tidak dilakukan terlebih dahulu sebelum pengumuman hendak dilakukan?

Setelah diumumkan pemansuhan SBPA, ramai yang  hilang kepercayaan kepada pentadbiran kerajaan kerana kelihatan seolah keputusan dibuat tidak dengan teliti.

Hanya bila menerima reaksi balas negatif dan setelah sedemikian banyak masa, sumber peruntukan dan tenaga terlibat, barulah keputusan ditarik balik.

Sekarang kerajaan terpaksa menanggung implikasi persepsi negatif penjawat awam terhadap kepimpinan kerajaan.

Apakah kerajaan di bawah Najib kembali mempamerkan kerajaan “flip-flop”?

Apakah kerajaan perlu mendapat tentangan yang meluas dari rakyat baru kerajaan cuba merasionalkan keputusan untuk merubah?

Kami berpendapat ini menunjukkan kelemahan dalam urus kelola yang sangat buruk.

Jika polisi boleh ditukar-tukar dalam masa yang singkat, tetapi sumber peruntukan wang dibelanjakan dengan sebegitu besar, ini  jelas menunjukkan kelemahan dan kepincangan.

TERAS juga memanjangkan penelitiannya terhadap banyak lagi projek gajah putih yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Betapa pembaziran yang bernilai ratusan juta di seluruh negara berlaku di hadapan mata rakyat menimbulkan pertanyaaan - adakah  kerajaan tidak mempedulikan lagi wang rakyat yang dibelanjakan? - Harakahdaily

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

AYUH BERSATU PERKASAKAN JAMAAH

13 Rabi'ul Akhir 1433 H | 7 March 2012
Saya merakamkan rasa tahniah kepada seluruh ahli PAS yang menerima berita gembira penyelesaian kepada ribut kecil di PAS Kedah. Tindakan kedua-dua exco Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh dan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mencerminkan satu akhlak jamaah yang tinggi, bilamana akur dengan pandangan parti.

Tahniah diucapkan kepada Jawatan Khas yang terdiri daripada Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan dua Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar yang bertungkus lumus menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut ini. Khususnya bagi YB Salahuddin, sememangnya anda dilayak digelar Kofi Anan dalam PAS.  

Ahli dan para pemimpin juga sangat gembira dan terharu dengan kepenatan Presiden PAS yang bergegas balik dari Bosnia, transit di Austria, Qaherah, Bangkok dan sesampai di KLIA terus bergegas ke Kedah. Tidak sempat menjamah makanan, terus menghadiri mesyuarat dalam keadaan demam sehingga jam 3 pagi.

Kegembiraan kerana seluruh ahli parti ingin melihat Kedah terus mantap, dan menjadi pangkalan kedua terkuat pemerintahan PAS selepas Kelantan. InsyaAllah apa yang dibincang dan dirumus akan dapat dilaksanakan, demi kebaikan dan masa depan PAS Kedah khususnya dan negara amnya.


PAS Pusat mengharapkan satu majlis munajat perdana dapat diadakan dalam masa terdekat. Mari kita himpunkan ribuan rakyat Kedah di stadium untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, meluahkan kasih sayang dan mahabbah antara kita.

Semoga Allah memperteguhkan jamaah ini. Allahu Akhbar.

TIADA TEMPAT UNTUK LYNAS DI MALAYSIA

11 Rabi'ul Akhir 1433 H | 5 March 2012
Rakyat terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan sisa buangan Lynas yang mengandungi radioaktif akan dibuang jauh dari kawasan penempatan penduduk, sedangkan lesen operasi sementara telah pun dikeluarkan.

Kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa setelah lesen dikeluarkan, barulah kita terhegeh-hegeh mengenalpasti tapak pelupusan baru? Ianya lebih mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dato Seri Liow Tiong Lai yang meminta syarikat Lynas menghantar sisa-sisa nadir bumi balik semula ke Australia.

Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak. Beliau juga menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang didakwanya cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.

Kenyataan PM ini langsung tidak meyakinkan!

Isu sisa kilang rare earth di Bukit Merah, Perak sehingga kini masih menjadi tanda tanya. Masih terdapat sekurang-kurangnya 3,000 tong sisa yang tidak terurus, manakala tapak sisa lama pula tidak diselenggara dengan baik sebagaimana yang dijanjikan.

Berlatarbelakangkan ini, adalah dangkal untuk meminta rakyat mempercayai kilang Lynas adalah selamat. Kenyataan PM tidak lebih hanya sekadar  ingin meredakan kemarahan rakyat tetapi rakyat telah memberi kata dua; tutup kilang Lynas atau terima hukuman PRU13 nanti.

Lynas seperti 'anak emas' - keluasan kawasan operasi 200 ekar, pelepasan cukai selama 12 tahun serta pelbagai kemudahan lain. Kalaulah layanan yang cukup istimewa ini diberikan oleh kerajaan Malaysia, takkanlah Australia tidak sanggup untuk menerima semula sisa buangan yang tidak mendatangkan sebarang bahaya ini? Tambahan pula benua Australia mempunyai ribuan hektar kawasan tanpa penghuni jika dibandingkan dengan Malaysia.

PAS ingin menegaskan, di mana sahaja sisa tersebut akan dibuang di negara ini, PAS akan bersama rakyat bangkit menentangnya habis-habisan.

PRU13, MASA UNTUK UMNO-BN DIHUKUM

10 Rabi'ul Akhir 1433 H | 4 March 2012
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf atas kesilapan lalu BN tidak membawa sebarang makna melainkan ia disusuli dengan langkah-langkah pembetulan.

Menurut beliau, antara keutamaan Najib kini ia menyelesaikan gejala rasuah dan salah urus dana awam, seperti yang melanda projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Sama ada memohon maaf atau tidak, kata Saifuddin, hukuman sedia menanti pemimpin BN dan sekiranya rakyat memutuskan bahawa Pakatan Rakyat berkuasa, mereka akan bertindak ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang korup dan menyalahgunakan kuasa.

"Kita akan heret mereka satu per satu untuk dibicarakan di mahkamah jika kita mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya akan datang," katanya pada ceramah di Sungai Petani, malam semalam.

Saifuddin mengulas kenyataan Najib semasa Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Baling, semalam yang memohon maaf atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Permohonan maaf secara terbuka itu adalah yang kedua dalam tempoh enam hari berhubung kepincangan pentadbiran BN, khususnya Umno sehingga membawa kepada kekalahan mereka di Selangor dan Kedah.

Kali pertama, Najib mengakui kesilapan BN dan Umno itu adalah pada 26 Februari lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas permohonan maaf itu, Saifuddin berkata, walaupun pengundi di Selangor, Kedah dan tiga lagi negeri lain telah "menghukum" BN pada tahun 2008, namun pilihan raya umum akan datang adalah peluang untuk menghukum Najib pula.

Ini, kerana menurut Saifuddin, Najib selepas mengambil-alih pentadbiran Putrajaya daripada Tun Abdullah Badawi yang digulingkan oleh Umno pada tahun 2009, tidak mengambil sebarang tindakan bagi memperbetulkan segala kepincangan BN.

"Kita masih belum menghukum Najib. Kita akan berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang ini," katanya, seambil disambut tepukan gemuruh oleh hadirin. - Malaysiakini

STOP LYNAS - RESPON NAJIB KECEWAKAN RAKYAT

Respon PM Najib langsung tidak masuk akal

10 Rabi'ul Akhir 1433 H | 4 March 2012

SHAH ALAM – Himpunan Hijau 2.0, yang membantah projek nadir bumi Lynas di Gebeng, kecewa dengan pendirian terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang semalam mengumumkan sisa-sisa operasi akan dibuang “di tempat jauh” atas alasan tidak melunaskan janji diberikan.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack mendakwa Najib bukan saja tidak mengotakan janji beliau, malahan turut memberi arahan melupuskan bahan sisa toksik dari Loji Lynas Bahan Termaju (LAMP) di lokasi jauh dari masyarakat setempat.

Beliau berkata, tindakan Najib itu tidak masuk akal kerana kesan pembuangan itu akan merosakkan ekosistem bumi dan alam sekitar.

“Ini terbukti menunjukkan bahawa Najib sama ada tidak menghormati kebimbangan rakyat atau dia telah sengaja mengabaikan hasrat rakyat yang disuarakan pada himpunan tempohari.

“Adakah beliau ada agenda dan muslihat lain? Apa pun, kita berharap Najib tidak membuat kesilapan dengan sengaja mengabaikan suara rakyat sebab selalunya pemimpin yang memekakkan telinga pekak kepada suara rakyat, tidak akan kekal,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, Najib sebagai pemimpin negara perlu sedar bahawa beribu-ribu ekar tanah yang digunakan untuk pelupusan kekal sisa toksik radioaktif berkenaan akan memberi kesan kepada anak-anak selama berbilion-bilion tahun.

“Idea Najib memang tidak boleh diterima akal, memang tidak masuk akal langsung. Ia sangat membahayakan. Setiap inci tanah kita adalah satu kekayaan semula jadi kepada negara. Hutan kita adalah ekologi kepada pengeluaran makanan.

“Justeru, bagaimana Perdana Menteri kita masih mempertaruhkan nasib rakyat semata-mata mencari situasi menang-menang,” katanya.

Sehubungan itu, Wong Tack menegaskan pihaknya sudah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan Himpunan Hijau 3.0.

“Akhirnya, kami menerima respons pertama daripada Perdana Menteri kita, tetapi malangnya, jawapan itu tidak seperti yang kami telah harapkan,” katanya. - SinarHarian

PAS AKAN LEBIH KUAT DI KEDAH

8 Rabi'ul Akhir 1433 H | 2 March 2012

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Semua ahli jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan pertemuan mahabbah dengan PAS Kedah malam esok bagi mendengar segala permasalahan di pihak kepimpinan parti negeri itu.

Naib Presidennya, Salahudin Ayub (gambar) berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

"Kami mengambil keputusan untuk mengadakan pertemuan pada Sabtu di Alor Setar, Kedah di mana kami akan mengadakan perjumpaan mahabbah di antara kedua-dua belah pihak iaitu Ustaz Azizan dan Datuk Phahrolrazi," kata beliau selepas mesyuarat khas jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung kira-kira empat jam di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Mesyuarat kira-kira empat jam itu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS Pusat yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik setelah mengadakan 'pertemuan mesra' dengan semua peringkat di Kedah.

"Malam ini kami telah mengadakan perjumpaan secara harmoni, dan mengambil berat apa yang berlaku.

"Oleh itu, PAS akan turun bermesra dengan semua peringkat iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan perhubungan negeri dan akan dengar semua pandangan dan penyelasaian sedang diatur dan saya yakin PAS akan muncul lebih kuat selepas ini," katanya.