Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: August 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



HUDUD - UMNO KELANTAN 'MENANGGUK DI AIR KERUH'

8 Syawal 1433 H | 26 August 2012

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang menyebut bahawa Kerajaan Pusat menyokong pelaksanaan segera hudud di Kelantan sebagai satu sandirawa politik semata-mata. Ia hanya bertujuan meraih sokongan pengundi Melayu Islam yang merupakan golongan majoriti di Kelantan sedangkan pada hakikatnya hudud tetap terhalang dengan kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengecilkan bidang kuasa mahkamah syariah.

2. DPPNK ingin mempersoalkan hak Alwi untuk membuat kenyataan tersebut di atas kapasiti beliau yang hanya merupakan seorang Ketua Pembangkang di dalam DUN Kelantan sahaja dan tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kerajaan di peringkat pusat. Sekiranya benar UMNO ikhlas untuk memberikan laluan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan, DPPNK mencabar kenyataan Alwi ini diulangi dan disokong oleh pemimpin tertinggi UMNO di peringkat Pusat sendiri.

3. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO Kelantan kadang-kadang hanya bernada retorik sahaja. Ini jelas kelihatan dalam isu bayaran tunai atau royalti minyak yang habis-habisan dinafikan oleh pemimpin UMNO Kelantan, bahkan ada yang menyatakan bayaran royalti ini sudah dibayar melalui wang ehsan. Tidakkah mereka jelas berbohong apabila Perdana Menteri sendiri mengutuskan surat memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji bayaran tunai ini beberapa minggu lepas?


Dua kenyataan yang bercanggah...

4. DPPNK ingin bertanya kepada Alwi bahawa adakah kenyataan beliau sudah mendapat restu Presiden UMNO? Sedarkah Alwi bahawa Datuk Seri Najib Razak sendiri selaku Presiden UMNO telah mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan oleh akhbar The Star, 25 September 2011 yang lepas di bawah tajuk "Najib : No Hudud in M'sia"? Di dalam kenyataan tersebut, Najib dilaporkan membuat penegasan bahawa hukum hudud sama sekali tidak akan dilaksanakan di Malaysia. Siapakah yang bersandiwara di antara Alwi dan Najib? Atau kedua-duanya bersandiwara?

5. Perlu diingatkan bahawa surat yang dihantar oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap berkuatkuasa sehingga ke hari ini dan ia belum ditarik balik. DPPNK mencabar UMNO untuk mengeluarkan kenyataan bahawa surat halangan tersebut ditarik balik dan memberikan ruang seluas-luasnya kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud. Ini termasuklah memberikan jaminan bahawa agensi-agensi seperti polis, penjara dan sebagainya yang berada di bawah kekuasaan kerajaan Pusat akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Kelantan untuk menjayakan pelaksanaan ini.

6. Beranikah UMNO untuk menyahut cabaran ini?

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

KAFIR HARBI - UTUSAN MALAYSIA CETUSKAN PROVOKASI

23 Ramadhan 1433 H | 12 Ogos 2012

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka merupakan kafir harbi.

Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh.

Kafir harbi adalah merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka adalah halal ditumpahkan kerana ianya di dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam. Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan.

Di zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau dhimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden, memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan bukan Islam.

Pengkelasan Abdullah Sama'ah bahawa DAP adalah kafir Harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan. Beliau seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.

Bahkan di dalam DAP terdapat juga di kalangan pemimpin dan juga ahli mereka yang Muslim. 'Fatwa' Abdullah yang direstui oleh Utusanitu juga memberikan konotasi bahawa umat Islam di Malaysia sekarang hidup dalam suasana peperangan dan permusuhan dengan rakyat bukan Islam.

'Fatwa' liar dan membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga Utusankerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif untuk menumpahkan darah ahli-ahli DAP.

Saya menggesa agar pihak keselamatan segera menahan Abdullah dan membuat siasatan terhadap kenyataannya yang berbau ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman sekaligus menggerakkan para penggganas di atas nama Islam untuk bangkit melancarkan jihad membunuh ahli-ahli DAP. Sudah tentu kita tidak mahukan pertumpahan darah berlaku di antara kaum di Malaysia. Tindakan perlu diambil ke atas Abdullah.

Pihak media, terutamanya Utusan Malaysia sepatutnya lebih peka dengan laporan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi agen kekacauan dan ketegangan kaum, sebaliknya sepatutnya menjadi agen keharmonian dan perpaduan kaum.

Mengeluarkan tajuk berita utama di muka hadapan seperti yang telah berlaku hanya akan membuka ruang kepada pelampau perkauman untuk menghalalkan darah ahli-ahli DAP di atas nama jihad. Ini perlu dielakkan demi menjaga kesejahteraan negara Malaysia yang kita cintai bersama. - Malaysiakini

Dr. Maszlee Malik, Pensyarah UIA