Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: September 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

APA MUSLIHAT LAPORAN AUDIT DILEWATKAN?

7 Dzulka'edah 1433 H | 23 September 2012

Apakah kejutan yg menanti dalam Audit 2011?
KUALA LUMPUR, 24 Sept — Pembangkang melihat tindakan Putrajaya sengaja melengah-lengahkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2011, yang sepatutnya dibentangkan serentak ketika pembentangan Bajet 2013 pada Jumaat, 28 September ini adalah satu cubaan untuk mengelakkan pemimpin pembangkang merujuk kepada laporan audit berkenaan ketika pembentangan bajet.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan adalah sangat “tidak wajar” kerana beliau melihat tindakan itu sebagai taktik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno mengalihkan kesempatan ahli Parlimen membahaskan laporan kewangan tersebut.


“Ini sangat tidak wajar, kerajaan cuba alih kesempatan ahli Parlimen bahas laporan kewangan tersebut.


“Laporan itu sangat penting, ia menilai prestasi kewangan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Parlimen hari ini.


“Ini adalah taktik Umno-BN untuk elak ahli Parlimen melihat (laporan audit) ini dan menangguhkannya sehingga selepas belanjawan dibentangkan,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh ini lagi.


Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan laporan audit itu juga sengaja dilewatkan kerana kerajaan 
cuba untuk mengalihkan pandangan Ahli Parlimen daripada melihat fakta yang akan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

“Laporan audit itu perlu keluar serentak dengan pembentangan bajet... kerajaan sengaja (ingin) menutup kelemahan dengan lengahkan bentang Laporan Ketua Audit Negara 2011, kata Azmin lagi.


“Maknanya kerajaan cuba alih pandangan ahli Parlimen daripada melihat fakta, laporan ini penting, kita tak mahu bahas dengan tuduhan tidak berasas,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini.


Jelas Azmin, laporan audit berkenaan akan mendedahkan sama ada prosedur kewangan negara dilaksanakan dengan betul atau terdapat salah guna kuasa, justeru beliau mempersoalkan tindakan kerajaan melengah-lengahkan pembentangan berkenaan.


“Saya lontarkan pertanyaan kepada (Datuk Seri) Nazri (Aziz) kenapa ini berlaku, kerana ia dilihat ada agenda tersembunyi sedangkan kerajaan yang. melaungkan ingin melakukan transformasi perlu lebih terbuka dan tidak menggunakan alasan untuk tutup kelemahan dan penyelewengan pada tempoh kewangan tahun lalu,” tegasnya lagi.


Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kepada pemberita:


“Laporan itu sudah siap. Namun, ia tidak akan dibentangkan di Dewan Rakyat serentak (dengan Belanjawan 2013) kerana laporan audit ini akan mempunyai lebih banyak berita daripada belanjawan.


“Jadi, apa yang akan kita laksanakan adalah laporan audit ini akan dibentangkan seminggu dua kemudian namun masih ada masa lagi untuk ahli Parlimen bahaskannya,” kata ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi.


Laporan Ketua Audit Negara biasanya akan dibentangkan bersama-sama dengan belanjawan namun kerajaan telah melengahkannya tahun lalu, walaupun terdapat bantahan dan protes daripada pemimpin pembangkang.


Skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) juga turut didedahkan melalui laporan audit tersebut yang mana turut mengaitkan suami dan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil. - themalaysianinsider

TUN M BUKA 'PEKUNG DI DADA'

2006 - Tun M dan George Soros
7 Dzulka'edah 1433 H | 23 September 2012

KUALA LUMPUR 23 Sept: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menakutkan orang Melayu kononnya pembiaya asing mahu menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sebaliknya katanya, rakyat tidak lupa bahawa Mahathir sendiri sanggup membayar AS$1.2 juta kepada pelobi zionis, Jack Abramoff bagi membantu beliau menemui bekas Presiden Amerika, George Bush sekitar tahun 1998.


Menurut majalah Newsweek, wang yang dikutip Abramoff dalam aktiviti melobinya disalur kepada penduduk Yahudi bagi melawan kebangkitan rakyat Palestin serta mengaku bersalah di atas tuduhan rasuah, penipuan dan lain-lain pada 2006.
 

“Malah Mahathir juga pernah memohon pinjaman USD404 juta daripada Bank Dunia semasa beliau menjadi Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membiayai Pelan Pemulihan Ekonomi Negara yang diumum pada Julai 1998.


“Maka tindakan Mahathir mengait nama Anwar dengan Soros hanya taktik terdesak beliau yang bimbang orang Melayu terus bersama Pakatan Rakyat dan menolak Umno BN pada PRU akan datang,” katanya kepada Suara Keadilan.


Mengulas lanjut, Saifudin berkata, dakwaan Mahathir bahawa pembiaya asing bertujuan menjatuhkan beliau dan menaikan Anwar juga silap kerana Anwar sehingga kini bukan PM.


“Selepas berundur, Mahathir melantik Abdullah Ahmad Badawi dan turut berperanan menaikan Datuk Seri Najib Razak sebagai PM, maknanya apa yang dikata Mahathir itu menunjukan Abdullah dan Najib ialah boneka beliau,” katanya.


Selain Utusan malaysia, akhbar perdana termasuk Berita Harian dan New Straits Times sebelum ini mendakwa badan National Endowment for Democracy (NED) dan organisasi antarabangsa menyalurkan dana kepada NGO tempatan.


Laporan sama juga disiarkan di Buletin Utama TV3, yang mendakwa dana asing berkenaan, termasuk dari Open Society Foundation yang diasaskan George Soros, bertujuan menjatuhkan kerajaan.


George Soros sebelum ini digambarkan Mahathir sebagai penyangak mata wang yang menyebabkan krisis kewangan Asia pada 1997. 
Bagaimanapun, pada Disember 2006, Mahathir mengakui Soros tidak bertanggungjawab terhadap krisis tersebut dalam satu pertemuan dengan jutawan itu di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Saifuddin menyeru rakyat terutama orang Melayu mendapat maklumat dari sumber Pakatan Rakyat berhubung isu semasa yang tidak disiar media Umno BN. - keadilandaily

SEKAT SUARAM ANCAM UNDI BN

7 Dzulka'edah 1433 H | 23 September 2012

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Tindakan Putrajaya ke atas Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) nampaknya telah memberikan rangsangan kepada aktivisme masyarakat sivil di sini, mungkin menjejaskan usaha kerajaan Najib untuk mendapatkan undi dari golongan pertengahan Malaysia menjelang pilihan raya dijangka tidak lama lagi.

“Scorpene Never Dies”, kumpulan yang ditubuhkan 'pemuda dan rakyat yang prihatin' inginkan pentabiran Najib menghentikan siasatan yang bermotif politik terhadap SUARAM.

“Kami rasa kita perlu berdiri dengan SUARAM pada masa yang kritikal ini,” kata Ng Yap Hwa, koordinator kumpulan itu.

“Kalau kita sebagai rakyat tidak bersatu menyokong satu pembela hak asasi manusia, kerajaan boleh mengetatkan kawalan dengan mudah... tiada orang yang akan dapat menyokong kita pada masa hadapan,” katanya.

SUARAM telah memainkan peranan penting dalam siasatan pihak berkuasa Perancis terhadap pembelian berbilion ringgit dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia, skandal berprofil tinggi ramai yang percaya akan mencungkil keterangan daripada pegawai-pegawai kerajaan.

SUARAM baru-baru ini dipantau secara dekat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana sumber dana asing, dan agensi kerajaan itu berkata awal minggu ini bahawa ia merancang untuk mendakwa kumpulan aktivis itu kerana “akaun yang mengelirukan”.


Pembelian Scorpene Meragukan
NGO hak asasi manusia itu telah secara aktif mengikuti skandal Scorpene di mahkamah Perancis, berazam untuk mendedahkan dakwaan rasuah kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion ringgit pada tahun 2009 dan mungkin membuka semula kes pembunuhan model Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu, yang dikatakan ada kaitan dengan perjanjian tersebut.

Pada April tahun ini, Tribunal Grand Instance di Paris memulakan siasatan ke atas dakwaan bahawa firma Perancis DCNS telah membayar kira-kira RM452 juta sebagai rasuah kepada pegawai Malaysia untuk mendapatkan kontrak bagi dua kapal selam tentera laut. SUARAM telah memfailkan aduan ke mahkamah Perancis pada tahun 2009.


Dalam satu sidang akhbar di Bangkok pada 30 Mei, peguam Perancis SUARAM, Joseph Breham telah mendedahkan dokumen kerajaan tentang penilaian tentera laut Malaysia tentang kapal selam Scorpene yang mereka rancang untuk beli telah dijual oleh Terasasi (Hong Kong) Ltd kepada DCNS dengan harga RM142 juta.


Abdul Razak Baginda, bekas ketua pemikir yang menjadi watak utama dalam penyiasatan 2006 dalam kes pembunuhan Altantuya, disenaraikan sebagai pengarah Terasasi dengan bapanya, Abdul Malim Baginda. Abdul Razak dikatakan adalah rakan rapat kepada Najib.


“Ia adalah satu dokumen rahsia oleh tentera laut Malaysia, penilaian untuk kapal selam, yang merupakan laporan yang sangat sulit,” kata Breham dalam sidang media tersebut.

SUARAM terus mendapat sokongan

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International telah membangkitkan syak wasangka semalam tentang waktu kerajaan mengambil tindakan dalam operasi SUARAM berhubung dengan sumber dana. Ianya hanya empat minggu selepas organisasi tersebut mendedahkan dokumen menunjukkan sebuah syarikat bersekutu rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah didakwa menjual rahsia tentera laut Malaysia ke Perancis.

Manakalan koordinator kumpulan 'Scorpene Never Dies', Ng Yap Hwa pula 
berkata, kalau rakyat tidak bersuara sekarang, 'kita akan jadi (mangsa) seterusnya' suatu hari nanti. Menurut beliau,”mempertahankan SUARAM, berdiri di sisi Suaram” adalah untuk kebaikan dan manfaat semua.

“Mari kita sebarkan isu kapal selam Scorpene ini dengan jauh dan meluaskan untuk menyuarakan solidariti kami dengan pembela hak asasi manusia, dan dengan itu memberi amaran kepada kerajaan, walaupun mereka boleh jatuhkan SUARAM, isu kapal selam Scorpene tidak akan mati dan kita akan terus membawa perjuangan untuk mencari kebenaran di sebalik skandal Scorpene dan menegakkan keadilan untuk Altantuya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. - themalaysianinsider

MENGAPA PEMUDA UMNO MEMBISU KEBIADAPAN SOI LEK?

6 Dzulka'edah 1433 H | 22 September 2012

Kita sering mendengar ada orang Islam yang menghina Islam dengan pelbagai kenyataan yang sungguh menggerunkan. Antaranya :-

1) Kalau dilaksanakan hukum Islam nanti habis tangan orang Islam kena potong

2) Kalau dilaksanakan hukum hudud nanti habis batu digunakan untuk hukuman rejam

3) Orang mencuri tidak perlu dipotong tangan tapi kita bagi dia kerja supaya tiada tidak mencuri lagi

4) Hukum Hudud tidak sesuai di negara majmuk seperti Malaysia

5) Hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana ianya zalim

6) Janggut disimpan pada zaman Nabi sebab masa itu tak ada pisau cukur

7) Jubah dan tudung adalah pakaian tradisi Arab kerana mereka negara padang pasir nak lindungi pemakainya
8) Kalau hudud dilaksanakan kerajaan pusat akan bertindak.
9) Hukum Islam tidak adil kerana hanya orang Islam yang dikenakan hukuman sedangkan orang bukan Islam dilepaskan

............... dan bermacam-macam lagi penghinaan terhadap hukum Islam

Orang Islam yang mengeluarkan kenyataan mungkin sengaja membuat kenyataan itu untuk menafikan kewajipan melaksanakan Islam disamping untuk mempengaruhi rakyat khususnya orang Islam supaya tidak menyokong pelaksanaan hukum Islam. Amat malang sekali jika kenyataan itu dikeluarkan dengan secara sedar dan tahu bahawa hukum Islam wajib dan berusaha ke arah pelaksanaannya wajib bukannya memperkecil-kecilkannya.

Kita tidak hairan jika mereka yang menghina Islam adalah orang bukan Islam kerana mereka mungkin tidak tahu dan tidak faham. Cuma kita sebagai orang Islam wajib menegur dan memberikan penerangan dan kefahaman kepada mereka supaya mereka faham dan lebih cermat mengeluarkan kenyataan mengenai Islam pada masa hadapan.


Antara pemimpin yang sering menghina Islam ialah Presiden MCA, Chua Soi Lek. Malangnya tidak ada seorang pun kawan-kawan baik Soi Lek dari Umno yang berani menegur Pelakon Video tersebut.. Berbeza dengan PR, pemimpin PAS sentiasa menegur kawan-kawannya tentang apa juga isu yang berkait dengan Islam.


Contoh terbaru ialah kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang dikatakan menghina Islam melalui twitternya. Pemimpin PAS bertemu dan berbincang dengan beliau dan Ngeh telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang dikatakan menghina Islam itu.

Tetapi pernahkah anda mendengar Pelakon Video, Chua Soi Lek memohon maaf dan menarik balik kenyataannya menghina Cikgu Mala yang tidak bersalam dengan lelaki semasa PRK Tenang. Pernahkah anda mendengar Soi Lek memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau menghina hukum hudud baru-baru ini.. - mutaligat.blogspot.com

KES LIWAT ANWAR - KONSPIRASI TERANCANG?

1 Dzulka'edah 1433 H | 17 September 2012


Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad, yang memainkan peranan penting dalam dalam pemecatan timbalannya pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin boleh disiasat kerana bersubahat dengan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan atas dakwaan mereka dan menyembunyikan fakta material.

Melainkan, Mahathir boleh menunjukkan bukti bahawa beliau mengambil langkah perlu untuk menghalang Gani dan Musa daripada berbuat demikian, kata bekas ketua CID Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim, yang bertanggungjawab ke atas siasatan kes mata lebam Anwar.

Mat Zain berkata, beliau menyatakan demikian berdasarkan pengakuan Musa dalam satu wawancara dengan Malaysiakini bahawa bekas ketua polis itu mengambil sampel darah Anwar daripada siasatan mata lebam untuk ujian DNA bagi satu kes lain – melibatkan dakwaan liwat.

Musa merupakan penyiasat untuk kes dakwaan liwat tersebut.

Mahathir dalam memoirnya A Doctor in the House (bab 53, halaman 684) menulis bahawa beliau yakin bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Musa dan ketua polis negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Perkara itu, dan juga soalsiasat ke atas mangsa yang didakwa, menyebabkan Anwar dipecat dan kemudiannya ditahan.

Anwar kemudiannya didakwa atas tuduhan liwat, yang digelar Liwat I, melibatkan pemandu Azizan Abu Bakar.

Mat Zain juga mempersoallkan keperluan Musa untuk "mencuri" sampel darah Anwar daripada Hospital Kuala Lumpur untuk menjalankan ujian DNA, sedangkan Musa – yang merupakan penyiasat untuk kes dakwaan liwat dan penyalahgunaan kuasa – didakwa telah menyiapkan siasatannya untuk dua kes tersebut.

Katanya lagi, pengakuan Musa kepada Malaysiakini juga mengesahkan pengakuan Dr Zahari Noor dari HKL semasa perbicaraan Anwar pada Disember 1998, bahawa Musa dan ASP Mohd Rodwan Mohd Yusof pada 15 Oktober 1998 secara paksa mengambil sampel darah Anwar yang disimpan di HKL – yang bertujuan untuk ujian HIV tetapi secara salah digunakan Musa untuk ujian DNA.

"Ini menimbulkan persoalan sama ada Musa benar-benar telah menyiapkan siasatan dalam dakwaan liwat dan mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan Anwar bersalah, atau ada tangan ghaib yang menghasut atau memaksa beliau mereka bukti DNA pada tilam, yang menyebabkan Musa mengambilnya (DNA Anwar) dari HKL.

"Jika tidak, apa tujuannya?," kata Mat Zain. - Malaysiakini

PILIHANRAYA ASING - SPR 'BERMADAH HELAH'

26 Syawal 1433 H | 14 September 2012

KUALA LUMPUR: "Apabila dia rasa ia baik untuk Umno dan BN dia sokong dan senyap, tetapi bila rasa susah untuk Umno dan BN, dia beri alasan," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau mengulas kenyataan SPR yang memberikan alasan perbelanjaan akan meningkat sehingga RM50 juta jika pilihan raya umum diadakan berasingan. 
Namun begitu, SPR tiada halangan untuk mengadakan pilihan raya berasingan itu.
Selangor menunggu sehingga mandat tamat

"Semasa BN memutuskan ada pilihan raya berasingan di Kelantan pada tahun 1978, SPR tidak kata apa dan bersetuju. 
Ini kerana, ia kehendak Umno dan BN ketika itu. Tetapi apabila ia bukan kehendak Umno dan BN, SPR beri macam-macam alasan," katanya lagi.

BN telah menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) di Kelantan pada tahun 1978 dan mengadakan pilihan raya untuk DUN Kelantan saja pada bulan Mac 1978. 
Selepas kerajaan Kelantan pimpinan PAS jatuh melalui pilihan raya itu, pilihan raya umum pula diadakan pada Julai 1978.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada halangan jika Pakatan Rakyat (PR) mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) negeri berasingan jika Barisan Nasional (BN) membubarkan Parlimen tahun ini atas alasan badan pengendali pilihan raya itu masih belum membersihkan daftar pemilih.


Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam berkata:

"Undang-undang dalam pilihan raya sendiri benarkan buat PRU secara berasingan, tetapi jika mahu teruskan mereka hanya boleh buat dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) saja," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya lagi, SPR tidak akan menghalang kerajaan negeri Selangor kerana ia melibatkan Dun saja, tetapi tarikh rasmi PRU13 tetap berada di tangan SPR untuk menentukannya. - Harakahdaily

JANGAN TERPERANGKAP AGENDA MUSUH

22 Syawal 1433 H | 10 September 2012

Janganlah kemarahan kepada sahabatmu menyamai kemarahanmu kepada musuh, kerana kemarahan kepada sahabat atas sebab kecintaanmu kepadanya. Sedangkan kemarahan kepada musuhmu adalah kerana kemurkaan Allah kepadanya. Lantaran itu menghadapi kesilapan sahabat tentulah tidak  sama kadarnya menghadapi musuh. Perasaan kita turut berubah dan seluruh citarasa akan berbeza.

Lantaran itu janganlah kita bergembira di atas dukacita sahabat, dan jangan pula bersedih di atas kegembiraan musuh. Pelbagai isu yang sengaja diperbesar dan dibentuk pemikiran rakyat oleh media perdana untuk memerangkap ahli dan pimpinan berhubung pelbagai isu sama ada dalaman Pakatan Rakyat atau parti.

Mereka suka melihat Pakatan Rakyat berpecah dan bergolak. Mereka memasang pelbagai 'jerangkap' bagi memerangkap ahli dan pimpinan agar memasuki jerat yang mereka sengaja pasangkan.

Alhamdulillah, PAS dengan pengalaman lama dalam politik negara berjaya mengenali mana perangkap yang dipasang itu. Kebijaksanaan dalam mengurus perangkap yang dipasang oleh musuh, menyebabkan keputusan yang diambil oleh kepimpinan  benar-benar mengecewakan musuh.

Tindakan ini menyebabkan 'syaitan yang dikenali' menangis, manakala 'para malaikat yang tidak dikenali' insyaAllah akan bergembira.

Masa yang ada pada kita sedikit berbanding apa yang perlu kita lakukan. Kerana itu jangan habis masa, tenaga dan wang ringgit dalam menghadapi isu yang sengaja dilontar oleh musuh, kerana mereka sangat tidak senang dengan perkembangan dan sokongan rakyat kepada kita kini. 

Mereka memang dilatih untuk kerja jahat ini, dan janganlah keikhlasan kita menyebabkan kita gagal mengenali mana sahabat dan mana musuh.

1 MALAYSIA - NAJIB DIDAHULUKAN, KRONI DIUTAMAKAN?

21 Syawal 1433 H | 9 September 2012

RANTAU 8 Sept: Negara yang diperintah UMNO-BN mempraktik undang-undang berbeza untuk golongan penguasa dan rakyat terbanyak, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Rantau, Negeri Sembilan.
Sebaliknya, beliau berkata, polis tidak mengambil tindakan terhadap samseng yang sentiasa mencetuskan kekacauan di program Pakatan Rakyat sekalipun melibatkan kes kecederaan.

“Saya sendiri tidak setuju (hina gambar Najib) tapi mengapa kencing pada gambar Tuan Guru Nik Aziz, buat upacara pengebumian Lim Guan Eng dan baling batu pada bas (Merdeka Rakyat) dan kereta saya, tiada apa-apa (tindakan)?


“Apakah mereka ingat rakyat ini najis?” katanya yang turut mengecam kebisuan pimpinan umno BN terhadap tindakan samseng itu.


“Ia sama apabila rakyat ambil rasuah dikatakan ‘corruption’ tapi orang besar makan rasuah dipanggil komisen,” katanya lagi.


“Justeru, pemimpin yang tidak ikut ‘rule of law’ (kedaulatan undang-undang), sebaliknya ‘rule of the jungle’ (undang-undang rimba) mesti kita jatuhkan,” katanya diikuti sorakan hadirin.


Awal minggu ini, polis menyoal siasat beberapa individu yang didakwa menghina gambar Najib dengan menunjukkan punggung dan memijaknya dalam sambutan Janji Demokrasi 30 Ogos lalu.


Ia sama sekali berbeza dengan layanan polis terhadap samseng upahan umno dan Perkasa, yang terus berleluasa mengganggu program dan pimpinan Pakatan Rakyat.


Bermula dengan insiden di Sembrong, ia berterusan dengan beberapa siri serangan dan gangguan selepas itu tanpa ada sebarang tangkapan. 
Terbaru, cermin hadapan bas jelajah Merdeka Rakyat dipecah dan disimbah cat merah ketika jelajah pertama Merdeka Rakyat minggu lalu. Samseng Perkasa turut mengganggu tazkirah Anwar di Masjid Al-Hussain, Alor Setar hingga tergamak membaling kasut ke dalam dewan solat. - keadilandaily

BUKAN BENDERA, TAPI KERAJAAN UMNO-BN YANG AKAN DITUKAR

14 Syawal 1433 H | 1 September 2012


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat akan tetap menggunakan bendera Malaysia sebagai bendera rasmi biarpun ada cubaan daripada sesetengah pihak yang melakukan provokasi mengibarkan bendera 'Sang Saka Merah' semasa himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka, malam tadi.

Anwar menjawab pertanyaan pengikutnya di Twitter yang curiga ia akan dijadikan isu oleh Umno-APCO dan Barisan Nasional untuk menempelak Pakatan Rakyat kononnya gabungan itu akan mengubah bendera rasmi negara.

Respon Anwar melalui Twitter:

@anwaribrahim PR tdk jdkan ini sebgai isu! @_Joe__7: harap DSAI dpt selesaikan isu bendera itu....jika tidak pasti Dlm PR sendiri akan wujud perpecahan disebabkan isu yg remeh ini 

@anwaribrahim PR -bendera Msia @razzanismail: apa pendapat DS tentang mereka yg kibarkan 'sang saka malaya' malam tadi?

Beberapa individu yang kelihatan semasa himpunan Janji Demokrasi dilihat mengibarkan bendera Sang Saka Merah yang didakwa bendera asal Tanah Melayu sebelum bendera itu digantikan dengan Jalur Gemilang semasa negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957. 

Ia mendapat reaksi pelbagai di laman sosial Twitter selain blog pro-Umno-APCO cuba menjadikannya sebagai modal untuk menghentam Pakatan Rakyat. 

Pendapat Anwar turut disokong Ahli arlimen Sibu, Wong Ho Leng yang berkata ia hanyalah satu bentuk pembohongan mengalihkan cerita (spin) akibat kegagalan Umno-APCO menghalang himpunan Janji Demokrasi malam tadi yang dihadiri lebih 10 ribu orang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. 

Tambah Wong lagi, tidak ada makna sambutan kemerdekaan dirayakan kerana pemimpin BN langsung tidak menjemput pemimpin Pakatan Rakyat menghadiri sambutan tersebut yang diadakan tahun ini di Sibu bagi peringkat Sarawak. 

Jelas cubaan Umno-APCO menjadikan isu bendera sebagai modal untuk menempelak Pakatan Rakyat gagal lagi. -wargamarhaen