Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: August 2009
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PERUTUSAN RAMADHAN

KHAMIS, 27 OGOS 2009 | 06 RAMADHAN 1430H

RAMADHAN menjelma lagi, ia datang dengan membawa rahmat dan keberkatan. Maka marilah kita mensyukurinya dengan mentaati segala perintah Allah, memelihara puasa dan menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah. Ramadhan bukan sahaja bulan puasa, tetapi ia juga bulan ibadah, bulan al-Qur’an, bulan silaturrahim, bulan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, bulan memisahkan antara hak dan bathil.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosanya yang terdahulu”. - Riwayat Bukhari.

Pada Ramadhan kali ini, saya menyeru agar kita memelihara ibadah puasa kita, bukan sekadar menjaga makan, minum dan perkara membatal pada lahiriyah sahaja, sebaliknya mari kita pelihara pakaian agar tidak mendedahkan aurat, kita pelihara mata agar tidak melihat perkara yang diharamkan, memelihara telinga dari mendengar perkara yang tidak mendatangkan manfaat, memelihara makanan, minuman sewaktu berbuka dan bersahur agar tidak dari tangan-tangan yang fasiq, dan tidak melakukan pembaziran. Awasilah apa yang akan disuap ke mulut, kerana ia akan menjadi darah daging, peliharakan ia agar hati tidak menjadi keras dan akhirnya menghilangkan kelazatan ibadah.

Negara kita sedang berhadapan dengan kemelut kegawatan sosial yang sangat serius, dengan kadar anak luar nikah mencecah 300,000 setahun, penagih dadah baru setiap setengah jam seorang, kadar bunuh diri antara 7-8 orang sehari, kematian akibat AIDS 6-7 orang sehari, masalah rasuah yang menakutkan, kadar jenayah yang makin meningkat serta wujudnya kelompok yang mula mempertikaikan persoalan asas Islam dalam masyarakat. Semuanya menuntut agar kita mesti tampil membawa negara kita kepada satu dimensi baru dalam sistem politik negara.

Kita perlu kembali kepada sistem Islam yang syumul bagi melahirkan pimpinan yang berwibawa, yang menjalankan pemerintahan negara mengikut dasar yang digariskan oleh Allah. Sabda Rasulullah s.a.w: “Manusia akan mengikuti corak hidup pemimpin mereka.” Lantaran itu, marilah kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai jalan bagi mendekati kita dengan keindahan sistem pemerintahan yang indah ini.

Ramadhan mendidik kita agar menjauhi maksiat kepada Allah sama ada melalui pancaindera atau pemikiran kita. Dalam kegawatan berhadapan dengan wabak H1N1, yang membimbangkan, Rasulullah s.a.w menegaskan: “Bilamana zina dan riba’ berleluasa dalam masyarakat, maka mereka mendedahkan diri mereka kepada azab Allah”. Maka di kesempatan ini saya menyeru agar kita memelihara aspek lahiriyah dalam bentuk mencegahan merebaknya wabak ini, dan dari sudut bathiniyahnya menjaga diri dari melakukan dosa dan maksiat kepada Allah.

Sekian, Selamat Melaksanakan Ibadah Ramadhan.


F.R.U YANG ZALIM

MAJORITI MAHU ISA DIHAPUSKAN!!!

Majoriti pengunjung laman web berita Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa akta ISA dimansuhkan kerana ia disifatkan sebagai kejam.

Daripada 522 responden, setakat ini, 481 atau 92 peratus mahu Akta ISA dihapuskan, sementara hanya 36 responden bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menyemak akta kontroversi itu.

Undian yang bermula hampir jam 9 malam tadi memuatkan lima soalan seperti berikut:

Akta ISA sering menjadi topik perbahasan hangat antara pemimpin kerajaan dengan pembangkang dan aktivis hak asasi.

Demonstrasi anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bersama Pakatan Rakyat, Sabtu lalu, mencipta rekod perhimpunan terbesar dalam sejarah negara menentang akta kontroversi itu.

AMARAN RASULULLAH KEPADA F.R.U

KHAMIS, 06 OGOS 2009 | 15 SYAABAN 1430H

Tragedi 1 Ogos merupakan pengulangan beberapa tragedi menyayat hati yang dapat dilihat di negara kita. Peristiwa tindakan ganas pihak polis, khususnya FRU bertindak ke atas himpunan aman rakyat, merupakan malapetaka kepimpinan BN yang masih tidak belajar dari kesilapan lampau. Tindakan rakus menyembur gas pemedih mata, semburan air kimia ke atas himpunan aman tersebut ternyata mengundang kemarahan masyarakat di negara ini dan badan-badan hak asasi antarabangsa.


Himpunan yang berjalan secara aman dengan kawalan Unit Amal bagi memastikan tidak berlaku tindakan diluar batas yang dibenarkan oleh pihak penganjur. Himpunan hari itu tentulah akan berjalan dengan santai dan berakhir dengan baik seandainya mereka tidak disembur gas pemedih mata serta tindakan ganas pihak FRU. Sayang, himpunan aman ini akhirnya bertukar kelam kabut, bilamana sebilangan rakyat yang berhimpun dikejar, ditangkap, digari dan dijemur dalam trak berjam-jam lamanya.

Tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia menyaksikan kanak-kanak, remaja dari pelbagai kaum terpaksa berlindung di mana sahaja. Mungkin bagi pihak FRU dan polis, tindakan ini adalah lambang keegoan dan kemegahan. Megah kerana berjaya menghalang himpunan, berjaya memecahkan himpunan rakyat. Namun apakah ianya berakhir di situ sahaja?


Persoalannya, salahkah rakyat berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap akta yang zalim ini, setelah pelbagai cara dilakukan bagi menentangnya. Rakyat telah gunakan seluruh saluran lain. Bantahan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat, surat, kenyataan, seminar, resolosi bengkel bahkan tandatangan rakyat telah dibuat. Apa lagi bagi rakyat untuk menentang akta yang zalim ini. Kezaliman tiada kompromi dalam Islam, Nabi tidak mengaku umat mereka yang menyokong kezaliman, sehingga Baginda memberi amaran:

“Sesiapa yang berjalan bersama orang yang zalim bagi membantunya, sedang ia mengetahui kezaliman orang tersebut, maka telah terkeluar ia dari Islam” - Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi.

Kerana itu Imam Nawawi dalam syarahnya dalam juzuk 17, hal 190 sewaktu menghuraikan hadis :

Ada dua golongan dari ahli neraka, yang belum aku saksikan iaitu suatu kaum yang membawa cemeti seperti ekor sapi untuk memukul manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka bertelanjang, yang menanggalkan tutup kepala, yang menarik kepada maksiat. Kepala (rambut) mereka diikat seperti bonggol unta. Mereka ini tidak akan memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan bauannya dapat dihidu dari jarak sekian-sekian”. -(Hadis Muslim)


Imam Nawawi menyatakan yang dimaksudkan dengan golongan yang keluar rumah ditangannya ada cemeti, mengejar dan memukul manusia ialah polis ( FRU). Wallahu a'lam. Apakah itu sebenarnya dimaksudkan, namun mari kita meneliti sifat yang dinyatakan oleh Rasulullah dengan tidak menuduh sesiapa, kalau bukan FRU siapa lagi.


Lihat pula sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah sabda Baginda:

“Hampir sahaja sekiranya kamu panjang umur, maka kamu akan melihat sekelompok orang yang pada tangan mereka ada cemeti (cota) yang diikat seumpama ekor sapi mereka berangkat keluar dari rumah dengan kemarahan Allah dan mereka kembali ke rumah mereka dalam kemurkaan Allah”.


Apakah hati kamu puas bilamana kamu berjaya memukul orang-orang tua, membelasah kanak-kanak, menangkap muslimat dan menyemburkan gas kepada para ulamak. Demi Allah kalaupun kezaliman ini tidak dibalas oleh Allah di dunia, kita pasti bertemu di akhirat.

Apa yang berlaku di hadapan mata kita menyaksikan bagaimana rakyat yang tidak berdosa diterajang, dipukul dengan cota, digari, diheret setelah mereka ditembak dengan gas pemedih mata hanya kerana berhimpun untuk membantah akta yang zalim ini. Tindakan ini tentunya akan mengundang kemarahan rakyat, namun sekalung tahniah diucapkan kerana rakyat kerana tidak membalas bantahan dengan kekerasan, tiada satu pun tingkap kedai pecah, tiada sebuah kereta pun yang diserang, tiada sebarang kerosakan harta awam. Inilah akhlak yang dipamir oleh rakyat.


Lalu demi membenarkan tindakan kejam meraka dicari pelbagai alasan luar, kononnya demonstrasi tersebut menyebabkan berlakunya kesesakan jalan yang teruk. Sebenarnya puluhan himpunan yang dianjurkan melibatkan berlaku kesesakan jalan raya. Kalau kerajaan boleh mengisytiharkan penutupan jalan semata-mata bagi memberi laluan kepada pelumba basikal, pelumba jalan kaki, pesta perayaan pelbagai agama, perarakan pesta hiburan, bahkan beberapa orang artis pernah membuat konsert di tengah Chow Kit Road, apa payah pula untuk memberi laluan sekadar dua jam kepada rakyat untuk berhimpun menyerahkan memorandum rakyat kepada Istana, kamudian mereka bersurai dengan aman. Menyaksikan tindakan ganas yang ditunjukkan ini, maka benarlah kata-kata A. Samad Said:

“Kalau kerajaan tidak melayan tuntutan rakyat di jalan raya, kita mesti terjemahkannya dalam pilihanraya”.