Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: November 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PAS TETAP SAMA SEPERTI DULU

11 Muharram 1434 H | 25 November 2012


25 NOV — Telah timbul isu PAS dikatakan tergelincir dari dasar Islamnya dan kepimpinan ulama gara-gara dikatakan setelah ditembusi oleh para parasit. Justeru itu PAS telah ditohmah mulai leka mengutamakan untuk berkuasa dari memajukan politik dakwahnya sambil meningkatkan dakwah politiknya.

Mungkin yang dikatakan PAS tergelincir dari pimpinan ulama kerana Mohamad Sabu yang bukan ulama telah mengalahkan dua calon ulama dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden dalam Muktamar sebelum ini. Tetapi i
a tidak cukup untuk mengatakan ulama telah dipinggirkan kerana sistem kepimpinan PAS bertunggakkan kepada Majlis Syura Ulama, pimpinan bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Dr. Harun Din. Wibawa Mursyidul Am dan Presidennya yang ulama belum tercabar.

Seperti Iran, Presidennya boleh ulama dan boleh juga bukan ulama. Pernah bukan ulama menjadi Presiden seperti Bani Sadr, Rajai seorang guru matematik dan Ahmadenejad sekarang. Ia juga pernah ada Presiden ulama seperti Ayatullah Ali Khaminae, Hojatul Islam Mashimi Rafsanjani dan Khatami. Tetapi tidak pernah Iran terlucut dari pimpinan ulama.


Adapun kerjasama dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dibuat mengikutkan lunas siasah syariyah yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama. Kerjasama politik atau tahaluf siasi sudah PAS jalani sebelum Anwar Ibrahim dipecat dari Umno sejak tahun 1985 menjelang PRU 1986. Uztaz Ibrahim Libya yang terkenal keras itu sebelum terbunuhnya tidak menentang tahaluf itu kerana ia diputuskan mengikut kaedah siasah syariyah.


Politik PAS itu ada turun naiknya, tetapi tidak pernah ia tergelincir dari pejuangan Islamnya. Ketika ia berada dalam kerajaan BN telah merasa sedap dengan nikmat kerajaan, tetapi PAS mengambil langkah sedia ditendang dari mengikut arahan Hussein Onn dan Dr Mahathir. Ia kembali kepada perjuangan tulinnya.


PAS telah selamat dari tergelincir tetapi dari semasa ke semasa, orang ada yang tergelincir. Hatta dua orang yang pernah menjadi Presidennya tergelincir — Haji Ahmad Fuad dan Dato Asri. Sejak pimpinan Dr. Burhanuddin Alhilmy hinggalah ke zaman Ustaz Haji Abdul Hadi ada yang bertaraf pimpinan tergelincir baik tergelincir dari parti mahupun pemikiran Islam yang dibawa PAS.


Sebagai sebuah parti yang terbuka ia disertai oleh semua lapisan rakyat yang pelbagai latar belakang pendidikan. Maka tidak terlepas ia dari dibolosi oleh orang yang dikatakan parasit. Tetapi para parasit yang tidak dapat menjadikan dirinya benar-benar PAS, maka satu demi satu telah gagal menjadi ahli yang baik.


Ada parasit yang melarikan diri dan ada juga yang disuruh lari. Mereka juga tergelincir. Jika jenis itu belum hari, mereka juga akan tergelincir pula.


PAS pernah berkawan dengan Tengku Razaleigh, Rais Yatim dan Datuk Harun Idris. Mereka juga tergelincir. Tetapi PAS tetap seperti ketika ia ditubuhkan dulu.

* Subky Latif - pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

HARUSSANI, JANGAN 'BIAS'!

1 Muharram 1434 H | 15 November 2012

SHAH ALAM - PKR menggesa Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria supaya mengeluarkan kenyataan lebih adil, bukannya membuat pendirian "selektif" seperti yang dikeluarkan terhadap Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, semalam berhubung kenyataan kontroversi kebebasan beragama.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Harussani sepatutnya mengeluarkan kenyataan lebih terbuka terhadap sesiapa sahaja yang didapati 'bersalah' berhubung isu agama termasuk bekas Perdana Menteri sebelum ini.

"Ada juga kenyataan dua orang bekas perdana menteri kita, seorang pada 2007 yang turut menyatakan 'orang Islam berhak tukar agama dan bebas berbuat demikian' tapi tidak disiarkan di media tempatan, dan satu lagi penghinaan mengenai sunnah Rasulullah s.a.w.

"Harussani perlu berlaku adil dan tidak selektif dalam memberi pandangan termasuk sesiapa sahaja yang menyimpang dari Islam.

"Saya yakin beliau seorang yang amanah sekiranya beliau turut memberi kenyataan serupa kepada kedua bekas pimpinan negara itu," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Harussani dilaporkan menasihatkan supaya Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai, bertaubat serta memohon keampunan daripada ALLAH SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini.

Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin PKR terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, jika Harussani boleh memberi kenyataan berhubung isu Nurul Izzah, PKR juga meminta beliau tegas memberi kenyataan kepada pemimpin lain.

"Jangan hanya berani bagi kenyataan kepada kita sahaja, beliau perlu amanah dalam menjalankan tugas dan tidak memilih kepentingan.

"Beliau juga perlu tegas kepada semua," katanya. - SinarHarian

HUDUD DAN MASYARAKAT CINA

20 Dzulhijjah 1433 H | 5 November 2012


4 NOV — Pendedahan tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL mengenai pemahaman masyarakat Cina terhadap hudud baru-baru ini, nyata membuka mata ramai pihak. Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. 

Lebih signifikan, bilangan peratusan mereka yang menerima pelaksanaan hukum hudud di negara ini meningkat dari 12 peratus dalam tinjauan terdahulu kepada 24 peratus dalam tinjauan terbaru. 


Ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus. Manakala peratusan masyarakat Cina yang tidak pasti dengan hudud telah menurun daripada 38 peratus sebelum ini kepada hanya 25 peratus. 


Apa yang menarik mengenai tinjauan pendapat tersebut ialah generasi muda Cina telah mempamerkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding golongan yang lanjut usia. 


Kesemua hasil tinjauan pendapat UMCEDEL itu jelas menidakkan tanggapan selama ini bahawa masyarakat Cina mempunyai persepsi serong terhadap hudud. 
Pastinya, pendedahan ini bakal mengundang perasaan gundah-gulana kepada parti MCA yang begitu lantang membantah pelaksanaan hudud.

Persoalannya, apakah pucuk pimpinan MCA di bawah kendalian Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan memberi perhatian kepada kajian ini, atau meneruskan agenda untuk menentang hudud dan menolak bulat-bulat kajian itu? 


Sekalipun bilangan responden Cina yang ditemuramah tidak sebanyak mana, namun bilangan kecil responden juga mewakili suara hati akar umbi. 


Nyata, beberapa mesej tersirat dapat disimpulkan menerusi tinjauan pendapat itu. Antaranya, masyarakat Cina kini sudah makin celik dan berpengetahuan. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki dan ditambah pula dengan pendedahan terhadap ICT, maka tidak mustahil orang Cina tidak akan menerima sebarang propaganda secara membuta-tuli. 


Orang Cina juga menghantar mesej kepada MCA bahawa hudud bukanlah isu utama yang dibimbangi mereka. Sebaliknya, isu-isu yang bersifat seharian seperti jenayah, rasuah, kos sara hidup dan keselamatan yang mendominasi pemikiran mereka. 


Dalam keadaan ekonomi global yang masih terumbang-ambing, soal kelangsungan hidup makin kuat kedengaran.  Jika kita meneliti kembali isu-isu yang mendominasi pada PRU ke-12 lalu, kebanyakan isu yang menjadi tumpuan masyarakat Cina bukannya hudud. 


Malah sebagai seorang pengundi, isu-isu yang bersifat seharian inilah yang  akan mempengaruhi pertimbangan parti politik yang akan disokong penulis kelak. 


Apabila MCA baru-baru ini beria-ia menghentam pelaksanaan hukum hudud atas dasar ia akan mengheret negara ke kancah kemunduran, ada baiknya isu berkenaan tidak dipanaskan sebegitu rupa. 


Walaupun bukan beragama Islam, penulis yakin dan percaya ada manfaatnya jika segala kekeliruan dan kecelaruan pihak berkaitan terhadap hudud diperjelaskan dengan sebaik-baiknya. 


Oleh itu, penjelasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh agama sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kekeliruan yang berbangkit. Walaupun secara prinsipnya MCA tidak akan berkompromi dalam isu hudud, tetapi sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan oleh tokoh-tokoh agama terlebih dahulu. 


Usahlah membuat tanggapan atau persepsi melulu bahawa hudud adalah negatif dan memudaratkan.  Isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibangkitkan secara sewenang-wenangnya. 
Apa faedahnya isu ini terus digembar-gemburkan hingga kecoh jadinya di seluruh negara? Mengapa tidak MCA mengambil pendirian yang lebih pragmatik dalam mendidik masyarakat Cina dalam isu hudud? 

Di manakah kewajaran untuk terus bertegas tetapi pada masa yang sama, kefahaman masyarakat Cina terhadap isu itu semakin meningkat? Tidakkah strategi sedemikian hanya memakan diri? Bukankah ini juga bercanggah dengan realiti semasa? 


Hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, menuntut kita semua untuk bertoleransi antara satu sama lain. Apa yang tidak difahami dan tidak jelas, maka diperjelaskan kepada golongan yang terbabit. 


Tidak rugi untuk MCA mendengar penjelasan tokoh-tokoh agama mengenai hudud. Tidak rugi juga untuk masyarakat Cina mendengar perkara yang sebenarnya. Soal untuk menerima atau membantah hukum hudud, itu soal kedua tetapi kesediaan mendengar itu adalah langkah permulaan yang baik.


Sama ada masyarakat Cina menerima pelaksanaan hudud atau tidak, masih terlalu awal untuk menentukannya. Tetapi apa yang pasti, masyarakat Cina perlu diberi kebebasan untuk menilai apa yang baik dan apa yang tidak baik.


Sebarang bentuk paksaan atau amaran yang dilakukan parti tertentu mungkin memberi kesan yang sebaliknya. Tidak semestinya semua strategi yang digunapakai akan memberi kesan yang dimahukan. 

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.