8 Jamadil Awal 1433 H | 31 March 2012
SHAH ALAM - Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menggesa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat (PR) berhubung cadangan kaedah mengurangkan bebanan pembiayaan pengajian tinggi dengan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bukannya dengan mengkritik idea di bawah perikatan pembangkang itu.
Naib Presiden I Gamis, Eikhwan Ali berkata, kedua-dua BN dan PR harus melihat isu berkenaan sejajar dengan agenda yang dibawa dalam Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) yang dilancarkan pada 25 Mac lalu iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.
Katanya, isu penghapusan skim pembiayaan pendidikan PTPTN bukanlah isu yang dipolitikkan, tetapi ia merupakan "isu yang dibawa untuk menjada hak dan kebajikan mahasiswa."
"Gamis menyokong iltizam Pakatan Rakyat untuk membatalkan PTPTN sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum akan datang.
"Iltizam PR untuk membatalkan pinjaman PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma dari sekolah rendah sehingga univerisiti boleh dilakukan sekiranya kerajaan berhemat dalam setiap perbelanjaan dan menghapuskan budaya rasuah dan kronisme yang merugikan negara," kata beliau dalam satu kenyaatan media.
Eikhwan berkata, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang menyatakan bahawa idea tersebut adalah tidak relevan buat masa ini menunjukkan kedangkalan bagi seorang yang ‘berkuasa’ terhadap sistem pengajian tinggi di Malaysia.
Sehubungan itu kata beliau, inspirasi yang didokong oleh Gamis bersama 13 barisan mahasiswa di seluruh negara juga akan bersama dalam Himpunan mansuh PTPTN pada 14 April ini. - SinarHarian