Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: February 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PAS TUNTUT PENJELASAN MB PAHANG

25 Rabi'ul Awal 1432 H | 28 Februari 2011
PAS menggesa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menjelaskan kelemahan pentadbiran kerajaannya kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau seperti mana dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.
"Kepincangan berdasarkan Laporan Audit, bukan tohmahan PAS!"
Gesaan itu dibuat ekoran kenyataan Adnan yang menyebut selama Barisan Nasional menerajui Pahang tidak ada isu untuk dibangkitkan oleh pembangkang dalam PRK Dun Kerdau.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pengarah Pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dalam sidang medianya hari ini berkata, Laporan Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini banyak menyentuh tentang kelemahan Kerajaan Pahang yang merangkumi pelbagai skop:
  • Kelemahan melibatkan pentadbiran dan pengurusan sehingga kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta ekoran kegagalan empat syarikat (GLC) membayar balik pinjaman mengikut jadual. Lebih teruk kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan terhadap GLC terbabit sekiranya GLC terbabit gagal membuat bayaran.

    "Jelas dan nyata bahawa inilah antara sebabnya mengapa pakar ekonomi meramalkan kerajaan negeri Pahang berpotensi bankrap," kata Tuan Ibrahim
  • Mengapa kerajaan negeri telah mengalami defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut dan kini menanggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion seperti mana Laporan Ketua Audit Negara.
  • Menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional mendedahkan prestasi semasa GLC negeri sebagaimana dilakukan oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat

KERDAU MASIH KETINGGALAN

24 Rabi'ul Awal 1432 H | 27 Februari 2011


PAS dan Pakatan Rakyat Pahang menyangkal kenyataan Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob yang menyatakan kononnya tidak ada isu yang perlu dibangkitkan pembangkang dalam pilihanraya kecil di Dun Kerdau sedangkan terlalu banyak masalah yang berlaku kata Pengarah Pilihanraya Pakatan Rakyat Dun Kerdau, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bercakap kepada media dalam sidang media hariannya di Markaz Induk PAS di Kerdau, pagi tadi Tuan Ibrahim mendedahkan terdapat banyak isu yang menyebabkan bandar Kerdau ketinggalan sejak puluhan tahun terutama dari aspek pembangunan.
Malah, lebih buruk lagi beliau mengkritik bagaimana berlakunya kelemahan perancangan dan pengurusan kerajaan menyebabkan adanya bangunan kuarters Polis yang terbengkalai dan kelihatan usang.
"Kita hairan bagaimana bangunan kediaman itu dibina cukup besar sedangkan jumlah keanggotaan Polis, saya difahamkan hanya berjumlah 16 orang. Ini menunjukkan kelemahan perancangan sehingga boleh membazirkan wang kerajaan," katanya.
Tambah Tuan Ibrahim keadaan fizikal bandar Kerdau yang tidak ada pembangunan yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa telah membayangkan kepada kita akan kegagalan kerajaan bertindak sewajarnya.
"Saudara lihatlah bandar Kerdau yang tidak membangun sejak puluhan tahun, keadaan klinik kesihatan yang kecil dan tidak selesa ini membuktikan bagaimana kerajaan mengabaikan tanggung-jawab mereka," kata Tuan Ibrahim.
Selesai sidang media, para wartawan dibawa melawat pekan Kerdau bersama calon PAS, Hassanuddin Salim bagi membuktikan kenyataan yang dibuatnya.

SEPETANG DI KERDAU

24 Rabi'ul Awal 1432 H | 27 Februari 2011

Penulis Tamu

Jika dilihat kiri dan kanan sepanjang laluan Temerloh sehingga persimpangan jambatan Kuala Krau, ianya meriah dengan pemasangan bendera khususnya UMNO-BN. Biasalah, belum pun lagi penamaan calon berlangsung, mereka sudah pun memasang bendera yang jelas melanggar peraturan pilihanraya. Dan seperti biasa juga, SPR hanya memandang sepi walaupun Pakatan Rakyat membantah.

Penulis tidak ketinggalan untuk menumpang kemeriahan PRK di Kerdau. Pada suatu petang, sengaja penulis mencari kedai makan di mana para penyokong UMNO-BN berkumpul. Alhamdulillah, dipermudahkan Allah, tempat yang strategik berjaya ditemui iaitu berhadapan markas induk BN.

Sambil menunggu makanan yang dipesan sampai, penulis sempat mendengar perbualan tiga orang penyokong UMNO di meja sebelah. Bimbang mereka merasa curiga, penulis hanya buat macam biasa, tidaklah terlalu memasang telinga mendengar apa yang dibualkan. Namun masih ada beberapa perkara yang penulis masih ingat.
  • Mereka mempertahankan kreadibiliti PM sebagai pemimpin yang tidak makan rasuah..."Macam mana dia nak makan rasuah, duit gaji dia yang besar sekarang ni pun tak habis untuk dibelanja, buat apa lagi nak ambil duit lain (rasuah)?" (Bagaimana dengan isu komisyen kapal selam Scorpene, yang diterima oleh syarikat kroni DS Najib, Malaysa Perimekar bernilai ratusan juta dan pemberian tender yang meragukan semasa DS Najib jadi Menteri Pertahanan)

  • Kutipan derma ceramah PAS dipertikaikan..."Aku tak tau lah duit derma yang diorang kutip tu. Entah mana pergi pun tak tau, entah-entah masuk poket sendiri." (Hanya mereka yang terlibat secara langsung dengan program PAS tahu ke mana duit ini. Kadang-kadang duit derma pun tidak dapat menampung kos program. Dan orang PAS tidak berani untuk seleweng kerana mereka tahu apa itu dosa)

  • Penceramah PAS bersifat mentaliti..."Diorang (pemimpin PAS) ni, kalau tak bagi RM 300.00 jangan harap diorang nak datang. Mereka jadikan ceramah untuk dapatkan duit yang banyak." (Nak bagi banyak mana pun, atas penganjur. Mereka juga kena fikirkan kos perjalanan penceramah. Tiada pula kadar 'standard' yang ditetapkan. Mereka juga manusia yang perlukan duit untuk hidup, bukannya hidup untuk duit)

  • Pakatan Rakyat yang merancang kematian Teo Beng Hock.."Korang tahu tak, bimbang Teo Beng Hock tu dedahkan maklumat kepada SPRM, diorang yang rancang pembunuhan tu. Lepas tu pulak tuduh SPRM dan kerajaan yang bunuh." (Buat apa lah kerajaan negeri Selangor susah payah melantik peguam dan pakar forensik Thailand untuk mengendalikan kes ini. Lagipun mendiang mati semasa di dalam pengawasan SPRM. Dan pengendalian kes ini pun banyak menimbulkan keganjilan. Jika Pakatan Rakyat yang merancangnya, sudah pasti seminggu lepas kejadian, kes ini selesai!")
Begitulah pemikiran yang ditanam khususnya kepada orang-orang kampung yang terhad dalam mencari maklumat alternatif. Walaupun ianya berkisar kepada perbualan tiga orang, tetapi jika disampaikan dari satu generasi ke generasi lain pasti fahaman tersebut akan terus berakar di pemikiran mereka.

Menjadi tugas kita semua untuk menegakkan kebenaran, dan menumbangkan kebathilan..Wallahua'lam

CALON BN LETAK SYARAT...

24 Rabi'ul Awal 1432 H | 27 Februari 2011

Syed Ibra, calon 'favourite' MB Pahang

“Saya sendiri sudah mempunyai strategi membangunkan Kerdau sekiranya kemenangan berpihak kepada saya...” - Syed Ibrahim 


Kata-kata di atas dipetik sendiri dari laman rasmi Umno Online. Bukannya datang dari lidah pemimpin PAS mahupun penyokong-penyokong parti yang bekerja tidak kira siang malam, dan sanggup menggunakan wang sendiri menjalankan kempen memenangkan Hasanuddin Salim.

Mengapa tunggu sehingga PRK baru jalan dibaiki?
Sejak kebelakangan ini deretan lori membawa batu-batu jalan akan 'berhimpun' di jalan-jalan yang rosak. Alhamdulillah, rezeki yang melimpah ruah khususnya untuk masyarakat Kerdau. Bayangkan jam 12.00 tengahari berhadapan markas induk PAS, para pekerja sibuk menyiapkan jalan yang rosak sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang agak teruk. Jalan yang selama ini tidak terbela kini menjadi perhatian dek PRK ini. Para menteri juga turut berkampung untuk menjalankan aktiviti kementerian masing-masing, dan jentera-jentera kerajaan digunakan sepenuhnya sehinggakan para pelajar Pusat Giat Mara turut membantu 'kempen' BN kali ini.

Namun perlu difahami apa yang diungkapkan oleh Syed Ibrahim, yang mudah untuk kita fahami..."Kalau anda mahukan pembangunan di sini, kena undi saya. Kalau tak undi saya, jangan harap saya akan bawa pembangunan di Kerdau ini."

Begitulah, kalau dalam sebaris ayat mempunyai perkataan 'sekiranya', bermakna sebelum hendakkan sesuatu yang dihajati daripada si 'A', maka kena bagi dulu apa yang si 'A' mahukan. Jika si 'A' tak dapat, akan tahulah apa  akan terjadi seterusnya.

Teringat kata-kata keramat PM ..'You give me, I give you."...sehinggakan BN tersungkur di kubu kuat mereka, Sibu.

Untuk pengundi Kerdau, hayatilah kata-kata Tuan Guru Nik Aziz..."Bagi duit, ambil; bagi kain, pakai; bagi gula, kacau; bagi kertas undi, PANGKAH BULAN!"

DOKUMENTARI SUARA ANAK FELDA

23 Rabi'ul Awal 1432 H | 26 Februari 2011

Pembangkang diistilahkan sebagai pengacau keharmonian kehidupan di Felda. Dituduh juga menghasut dan menyebarkan fitnah demi kepentingan politik. Tidak kurang juga cuba memperbodohkan-bodohkan para peneroka yang rata-ratanya sudah berusia. Namun dakwaan-dakwaan ini tidak pula dibuat secara 'gentleman'. Di hadapan peneroka mereka berani, di dalam media merekalah juara tetapi apabila diajak berdebat oleh 'ANAK', 'BAPAK' hanya membisu.

Klip video ini mungkin mempunyai jawapan yang dicari:

ELAK SERANG PERIBADI CALON

22 Rabi'ul Awal 1432 H | 25 Februari 2011


PAS tidak bertanggungjawab berhubung serangan peribadi terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad bahawa kononnya beliau gagal menamatkan pengajian di Mesir.

Sebaliknya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tuduhan berkenaan kemungkinan dicetuskan melalui blog-blog politik yang tidak mewakili parti itu.

Hak calon untuk jelaskan..
"Saya ingin jelaskan bahawa tidak ada sebarang kenyataan daripada PAS dan kami tak pernah mengeluarkan kenyataan yang menuduh calon tersebut. Gagal atau tidak, bagi kami itu dia punya urusan. Mungkin yang menimbulkan isu ini di kalangan blog-blog yang bukan daripada PAS atau pimpinan PAS. Bagi PAS kita tidak akan menyerang peribadi calon, itu komitmen kami. PAS tak akan guna isu peribadi," tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kesal dengan tindakan PAS mempertikaikan kelayakan akademik calon BN bagi meraih sokongan rakyat.

BUKU JINGGA 'DISERANG'

22 Rabi'ul Awal 1432 H | 25 Februari 2011

"Ini bukan kerja Pakatan Rakyat!"
Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan penyebaran risalah bertajuk 'Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan' oleh pihak tertentu itu jelas menunjukkan bahawa pihak lawan amat takut dengan program 100 Hari Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.
Risalah propaganda
“PAS hari ini menerima satu risalah yang berbau hasutan dan melahirkan dukacita terhadap penyebaran. Risalah ini diletakkan logo Pakatan Rakyat yang saya fikir sebagai satu pencabulan atau hasutan kepada rakyat. Kita akan membuat satu laporan polis pada hari ini berhubung dengan penyebaran risalah yang berbau hasutan ini,” ujarnya pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Kerdau.

Katanya, risalah yang diedarkan kepada para pengundi itu menggambarkan satu hasutan yang melampau, seolah-olah akan berlaku satu suasana huru hara dan kekejaman yang disertai gambar potong kepala.

“Belum pun Buku Jingga dilancarkan, serangan terhadapnya telah dibuat,” ujarnya.

HASANUDIN SANDARAN PAS

Pemilihan Hasanudin kehendak pengundi di Kerdau
22 Rabi'ul Awal 1432 H | 25 Februari 2011 

Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim hari ini diumumkan sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Pemilihan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di hadapan ribuan penyokong parti itu yang tetap setia menunggu hingga berakhirnya majlis walaupun hujan turun membasahi Kompleks Darul Hikmah, Kerdau malam tadi. 

Pengarah pilihan raya kecil PAS bagi DUN Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam sidang media, menyifatkan Hassanuddin, 43, sebagai calon terbaik parti itu.

“Beliau lebih dikenali di DUN Kerdau dan saya percaya rakyat akan memberikan undi kepadanya. Walaupun beliau pernah bertanding di sini dahulu dan tewas, namun kita yakin kali ini beliau boleh menang," kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dan Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Hassanuddin berkata beliau akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di Kerdau sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

KENYATAAN MEDIA - PEMBETULAN KEPADA LAPORAN SINAR HARIAN

20 Rabi'ul Awal 1432 H | 23 Februari 2011

Saya merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 23 Februari 2011, di muka surat N6 bertajuk PAS SEDIA BERDEPAN SYED IBRAHIM.

Pada artikel 'Syed Ibrahim juga pernah menghubunginya (merujuk kepada diri saya) sebelum ini dan bertanyakan pendapat sekiranya beliau dinamakan sebagai calon.'

Saya ingin menjelaskan, wartawan Sinar Harian ada bertanya mengenai sejauh mana saya mengenali Syed Ibrahim. Saya memaklumkan memang mengenalinya, dan di saat beliau ingin menerima jawatan sebagai Pegawai Agama MB Pahang sekembalinya dari Mesir, beliau ada bertanyakan pandangan saya adakah perlu untuk menerima jawatan itu, dan  saya nyatakan kepada beliau:

"Sekiranya anta boleh menasihati MB untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam urusan pentadbiran negeri, maka terimalah. Jika tidak mampu, maka jangan terima jawatan itu."

Oleh itu ingin saya tegaskan, saya tidak pernah dihubungi oleh Syed Ibrahim untuk mendapatkan pandangan jika beliau menjadi calon, dan berharap agar akhbar Sinar Harian dapat membuat pembetulan agar ianya tidak disalahtafsirkan.

Moga penjelasan ini dapat memberikan gambaran yang jelas atas situasi sebenar yang berlaku.


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man,
Pesuruhjaya PAS Pahang

PAS PAHANG SIAP SIAGA


20 Rabi'ul Awal 1432 H | 23 Februari 2011

"Kita memang sudah menjangkakan Syed Ibrahim dicalonkan. Bagi PAS, kita sudah bersedia berhadapan dengan jentera BN. Sesiapa pun jua calon PAS nanti, pastinya mampu mencipta kejutan.

Kita juga berharap agar SPR lebih telus menangani isu penggunaan jentera kerajaan oleh BN untuk berkempen agar mengikut peraturan yang digariskan."


Roslan Zainal, S/U Perhubungan PAS Pahang
"Kami tidak rasa tergugat dengan pencalonan beliau walaupun statusnya sebagai Pegawai Agama MB. Sikap ulama UMNO yang berdiam diri terhadap isu berbangkit sebenarnya tidak disenangi oleh majoriti umat Islam.

Calon PAS yang akan diketengahkan nanti mempunyai kelebihannya tersendiri dan saya yakin pengundi sekarang sudah bijak memilih pemimpin."

MENGAPA TUAN GURU NIK AZIZ DISERANG?

19 Rabi'ul Awal 1432 H | 22 Februari 2011

Serangan bertubi-tubi Umno terhadap Mursyidul Am PAS menggambarkan ketakutan Umno terhadap pengaruh beliau di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga merupakan usaha Umno bagi menjatuhkan imej PAS di mata rakyat Malaysia.
Serangan peribadi kepada pemimpin tertinggi PAS bukanlah perkara baru. Beliau dituduh melakukan rasuah, menyampaikan ajaran salah, tidak pandai mentadbir, dan lain-lain. Cuma kali ini ianya lebih fokus dengan andaian bilamana imej Mursyidul Am jatuh, maka PAS tidak lagi mendapat tempat di kalangan pengundi.
"Fitnah, cercaan asam garam perjuangan.."
Bahkan di Kelantan mereka melantik dan membayar upah kepada 'tok guru' pondok bagi memperlekehkan Tok Guru Nik Aziz dengan pelbagai dakwaan bohong mereka.
Namun ianya masih gagal mengikis pengaruh beliau. Lantaran itu serangan peribadi begini merupakan asam garam bagi Tuan Guru dalam pengalaman perjuangan yang lama dihadapinya.
Bahkan beliau tidak takut dan bimbang dengan celaan mereka yang mencelanya kerana dengan ilmu dan pengalaman yang ada, beliau yakin akan berjaya menangkis fitnah buruk ke atasnya. Insya Allah.

Ikuti wawancara penuh bersama Naib-naib Presiden PAS di sini

PRK KERDAU - TIGA NAMA DICALONKAN

18 Rabi'ul Awal 1432 H | 21 Februari 2011

-paspahang.net

PAS Pahang sudah menyenarai pendek tiga nama sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau 6 Mac ini untuk dibawa ke mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat hari ini.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata:
“Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pahang hari ini sudah memutuskan tiga nama untuk dibawa ke mesyuarat PAS Pusat hari ini. Pada 24 haribulan nanti Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan mengisytiharkan calon PAS di tapak kompleks PAS Pahang di Kerdau,” katanya.
Mengenai strategi bagi memenangi PRK Kerdau, Tuan Ibrahim berkata jentera PAS akan turun ke segenap peti undi termasuk kawasan Felda bagi menyampaikan penerangan.
“Strategi kita ialah untuk mencapai kemenangan dan kita optimis melalui 'survey' yang dibuat baru-baru ini. Kita akan dedahkan janji-janji BN yang gagal dilaksanakan sedangkan ia terus menjadi rungutan rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim memberitahu, PRK serentak melibatkan Kerdau dan Merlimau (yang juga ditandingi PAS), tidak menjejaskan persiapan jentera kerana di peringkat PAS Pusat sudah mengagihkan tugasan kepada negeri-negeri.

“Pada peringkat ini PAS juga bersedia menghadapi sesiapa sahaja calon daripada BN termasuk tokoh agama. Malah ini mungkin memberi kelebihan kepada kita kerana tokoh agama dalam BN ternyata gagal berperanan sehingga negara hampir terjerumus ke kancah porak peranda,” ujarnya.

KEPENTINGAN MELAYU TETAP TERBELA

16 Rabi'ul Awal 1432 H | 19 Februari 2011

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS tidak akan mengetepikan kepentingan dan nasib orang Melayu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya menerusi gandingan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Justeru jelas Menteri Besar Kelantan itu, walaupun parti Islam itu tidak memberi keutamaan terhadap perjuangan bangsa namun ia bukan alasan untuk tidak mempertahankan orang Melayu yang merupakan masyarakat dominan negara ini.

"Islam tak jadikan agenda perjuangan Melayu sebagai keutamaan, adakah orang Melayu akan mundur tanpa bantuan Umno?

"Bagi PAS orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia)," kata beliau pada majlis perasmian Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di Dewan MBSA di sini pagi ini.

TERKINI : PRK KERDAU 6 MAC 2011

15 Rabi'ul Awal 1432 H | 18 Februari 2011

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari, yang diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau.


Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof malam ini dalam sidang media di Kuching.


Ia merupakan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008 dan kali pertama di Pahang.
- Malaysiakini

'PRODUK' BARU INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA


14 Rabi'ul Awal 1432 H | 17 Februari 2011

Menteri Pelancongan melahirkan kebimbangan dengan tindakan Dewan Pemuda PAS melaksanakan pemeriksaan ke atas remaja yang melakukan maksiat sempena 'Valentine Day' pada malam 14hb Feb lalu. Di antara alasannya ialah kebimbangan tindakan ini akan mengurangkan kehadiran pelancong ke Malaysia.

Memandangkan industri pelancongan domestik berkembang dengan pesat kini, dicadangkan satu lagi produk baru industri negara, iaitu pelancongan politik.

Selepas PRU ke 12, kita dapati telah ada 14 kali PRK dan dua lagi menunggu di Merlimau dan Kerdau. Setiap kali PRK diadakan menyaksikan pelbagai aktiviti yang turut sama menjana ekonomi setempat, dan ini merupakan tarikan baru bagi menjana ekonomi.
Semua bersetuju bahawa budaya politik Malaysia ialah menimbunkan pelbagai projek bila mana adanya PRK dan keadaan ini sangat menggembirakan penduduk di kawasan terbabit. Projek yang sukar diperolehi pada waktu biasa dengan pelbagai alasan, akan dapat dengan mudah bila mana adanya PRK. Bahkan pemimpin dengan bangga mengisytiharkan peruntukan jutaan ringgit bagi mendapatkan sokongan pengundi pada waktu ini. Maka tidak hairan kalau ada penduduk berdoa agar wakil rakyat di kawasannya meninggal dunia lebih awal, kerana ini akan menguntungkan mereka.

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL TGNA

12 Rabi'ul Awal 1432 H | 15 Februari 2011

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kita keizinan untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita maklum merupakan bulan di mana umat Islam khususnya di Malaysia menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah SAW.

Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda Rasulullah SAW tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di negara ini.

Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini menumpukan kepada isu-isu semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa ini perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri yang merupakan sumber hokum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan senario semasa yang sedang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.


WUJUDKAN WEB RASMI PAKATAN RAKYAT

8 Rabi'ul Awal 1432 H | 11 Februari 2011

Wawancara Harakahdaily bersama Naib-naib Presiden PAS di sini
Berikan penilaian terhadap jentera PAS dan Pakatan Rakyat di PRK Tenang. Apa kekurangan yang harus diatasi sebelum PRK Merlimau?

Pada keseluruhannya jentera parti PAS telah melakukan kerja yang sangat baik, dan penghargaan harus diberi kepada mereka bahkan seluruh jentera dari DAP dan PKR. Kita boleh lihat bagaimana mereka telah memulakan tugasan seawal pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Tenang.

Pada peringkat awal kita memang menjangkakan agak sukar untuk memenangi kerusi Tenang, kerana kelemahan jentera dan organisasi PAS di sana; dan majoriti yang melebihi dua ribu dalam mana-mana PRK adalah sesuatu yang sukar di atasi.

Kelemahan utama ialah kerja yang bersifat umum, dan tidak fokus kepada undi sasaran. Oleh kerana terdapat kawasan yang dianggap kubu bagi BN, (Felda , Felcra dan kampung tradisi), maka jentera parti banyak menumpukan di kawasan ini, dan kegagalan mendapat undi sasaran menyebabkan kita gagal.

Di samping itu, faktor banjir juga menyebabkan ada pengundi yang tidak dapat ke tempat pengundian dan kesibukan menghadapi banjir disebabkan ketidakmampuan kita dalam menyediakan boat dan kenderaan yang sesuai.

Daftar Pemilih Baru Dipamer Mulai 09/02/2011

5 Rabi'ul Awal 1432 H | 8 Februari 2011


INFO Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Keempat 2010:

  • Dipamerkan mulai 09 - 15 Februari 2011 di 1,006 tempat pameran seluruh negara

  • SPR menerima 292,444 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi

  • Mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.

  • Pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam rang daftar pemilih itu pula boleh mengisi Borang C

  • Borang-borang tuntutan itu hendaklah diserah kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan itu dipamerkan

  • Nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab telah meninggal dunia, lucut hak kewarganegaraan dan telah bersara daripada angkatan tentera atau polis, yang bermakna mereka hilang kelayakan sebagai pengundi pos juga akan dipamerkan.

  • Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti serta maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR melalui sistem aduan SPR di www.spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke ibu pejabat SPR di Putrajaya. 

KENAIKAN HARGA MINYAK - SATU ANALISIS

Wawancara Prof di Sinar Harian, 05/01/2011
1 Rabi'ul Awal 1432 H | 4 Februari 2011


Setiap kali berlaku kenaikan harga minyak, rakyat akan mendapat penjelasan dengan sebab yang hampir sama, iaitu kenaikan harga di pasaran dunia. Adakah ianya benar, atau pun hanya sekadar ingin meredakan amarah rakyat? 'Posting' kali ini membandingkan jawapan daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE) dengan Prof Madya Dr Hamid Yeop Yeop Zainuddin (Prof), seorang ahli akademik berkaitan isu kenaikan harga minyak ini.

Mengapa berlaku kenaikan harga minyak?


UPE : 
 Ini disebabkan berlaku kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Kenaikan harga minyak adalah disebabkan permintaan tinggi minyak mentah dunia berbanding bekalan menyebabkan pasaran tertekan


PROF
Di pasaran dunia, harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun, asyik naik sahaja. Sesiapa pun faham. Ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia.


Negara kita menghasilkan minyak. Jadi kenapa minyak di Malaysia perlu naik juga?


UPE : 
Malaysia mengeluarkan minyak jenis Tapis, namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal dan lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan tempatan. Dengan ini Malaysia mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak yang lebih mahal dan mengimport minyak yang lebih murah. Harga minyak ditentukan pasaran dunia, Malaysia tidak mempunyai kawalan. 


PROF
Untuk mudahkan orang awam faham ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda. Begitu juga minyak mentah Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai OPEC. Pada Jun 2008, harga minyak telah naik kepada  kepada AS$138 iaitu RM483 setong. Justeru perolehan setahun hingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 bilion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 bilion berbanding tahun sebelumnya. Jika benar rakyat didahulukan masa sudah tentulah jual murah di dalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati bersama. 



Kenapa kerajaan perlu kurangkan subsidi? Bagaimana penjimatan subsidi akan dibelanjakan?


UPE
Sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, tanggungan subsidi Kerajaan juga turut meningkat. Apabila jumlah subsidi dan pengecualian cukai jualan semakin meningkat, wang yang ada untuk tujuan pembangunan serta subsidi sektor lain terpaksa dikurangkan.  Pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan yang tidak berhemat akan meningkatkan perbelanjaan mengurus Kerajaan dan seterusnya memburukkan keadaan defisit akaun Kerajaan.


PROF
Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Ke mana perginya untung RM78 bilion ini? Lagilah tidak logic kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain. Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut, mustahil  mereka mahu menjual  dengan harga seperti dijual Petronas.



Patutkah kerajaan menggunakan keuntungan Petronas untuk membiayai subsidi?


UPE
Walaupun Kerajaan boleh membiayai sepenuhnya subsidi yang kian meningkat tetapi ini bukanlah langkah yang terbaik kerana akan menjejaskan pelaksanaan program lain yang lebih produktif. Oleh itu, jika rakyat dan Kerajaan dapat berkongsi kos kenaikan harga keluaran petroleum dan mengurangkan jumlah subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan, sebahagian daripada sumbangan PETRONAS boleh dilaburkan ke dalam aktiviti yang menjana pendapatan baru demi kesejahteraan negara dan rakyat.


PROF
Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak yang dijual di dalam negara. Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan Petronas menjual petrol dengan harga lebih rendah secara langsung akan meningkatkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan jualan minyak.

Baca artikel asal di Perakini.net

TGNA - "TUN MAHATHIR, BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT..."

29 Safar 1432 H | 3 Februari 2011

"Sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?"

"
Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baik kebijaksanaannya digunakan untuk Islam."

"Nasihat saya kepada beliau, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT."


Jawapan Tok Guru Nik Aziz kepada Tun Mahathir berkaitan isu nasionalisme:

  • Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..). Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – (Surah al-Nur, ayat 24)

  • Asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW.

  • Apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?
     
  • Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Suka saya jelaskan, Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Firman Allah SWT: “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)."(Surah al-Baqarah, ayat 36). Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. 
Ikuti  jawapan penuh Tok Guru Nik Aziz di sini

KRISIS MESIR - RINTIHAN SEORANG BAPA

28 Safar 1432 H | 2 Februari 2011


Kekecohan dan rusuhan masih berterusan di Kaherah dan tidak tahu bila akan tamat! Rakyat menjadi semakin marah dan pemberontakkan terus membara dan membakar jiwa rakyat Mesir selagi Hosni Mubarak tidak turun dari pemerintahan. 


Tetapi bagaimana dengan keadaan dan nasib pelajar-pelajar Malaysia di Kaherah??? Kenyatan akhbar dari setiap menteri iaitu dari PM, TPM @ Menteri Pelajaran, Menteri Pengajian Tinggi dan Tim.Menteri Luar adalah berbeza. Masing-masing  memberikan kenyataan yang mengelirukan dan mencemaskan semua ibubapa sanak saudara pelajar-pelajar. Pihak Kedutaan di Cairo langsung tidak dapat. 


i)    Kenyataan PM dalam Utusan Malaysia:

Pelajar-pelajar akan dibawa dengan kapal tentera TLDM di Lautan Merah ke pelabuhan Suez/Said untuk membawa pelajar-pelajar transir di Jeddah sebelum diterbangkan balik ke Malaysia.


ii) Kenyataan TPM@Menteri Pelajaran & Menteri Pengajian:
Tiada keperluan dan kepentingan untuk membawa pelajar-pelajar Malaysia balik. Keadaan tidak cemas dan membimbangkan, semuanya selamat. - Inilah dikatakan 'RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN' atau ‘RAKYAT DIKETEPIKAN , MENTERI DIUTAMAKAN’

iii) Kenyataan Tim. Menteri Luar @ Kohillan Pillay:
Pelajar-pelajar akan dibawa keluar esok (02.02.11) dengan apa jua penerbangan yang ada ke ........(tak tahu ke mana?????) kerana TLDM lambat dalam tindakan.

KRISIS MESIR - BERTINDAK SEBELUM TERLAMBAT

27 Safar 1432 H | 1 Februari 2011

PAS mendesak kerajaan bertindak segera sebelum terlambat dengan menghantar kapal terbang bagi membawa keluar seluruh pelajar dan rakyat Malaysia. Memandangkan keadaan di Mesir yang tidak menentu bahkan keadaan bertambah kritikal, sewajarnya tindakan segera perlu diambil.

Keadaan yang semakin tidak terkawal sekarang dan tiada tanda-tanda ianya akan reda dalam masa terdekat. Maka nasib dan keselamatan nyawa rakyat mesti diberi keutamaan. Sebagaimana  pihak kerajaan beria-ia menghantar misi pengaman ke beberapa negara utk keselamatan dan keamanan negara luar, apatah lagi keselamatan rakyat sendiri yang kini tidak menentu di bumi Mesir.

Sampai masanya kerajaan menghantar penerbangan khas bagi membawa keluar rakyat Malaysia, sebagaimana yg dilakukan oleh kebanyakan negara barat - 
Amerika Syarikat, Jerman, Iraq, Britain, India, Portugal, China, Kanada, Azerbaijan, Denmark dan Turki, bagi menyelamatkan warga negara mereka yg melancong ke Mesir. 

Demi keamanan negara jalan keluar hanya satu, iaitu seluruh rejim Mubarak harus meletakkan jawatan, dan satu pilihanraya bebas perlu diadakan. Kita tidak mahu nasib rakyat Mesir menjadi mangsa campurtangan luar, sebagaimana berlaku di Iraq akibat seorang pemimpin, maka negara hancur.