Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: June 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



SUBSIDI TR1MA - 'LAIN YANG SAKIT, LAIN PULA UBATNYA'

5 Sya'ban 1433 H | 25 June 2012

Malaysiakini

Lain yang sakit, lain pula ubatnya. Begitulah yang dapat ditafsirkan dalan subsidi TR1MA yang diberikan oleh kerajaan kepada pemandu teksi seluruh Malaysia.

Semua masyarakat sedia maklum, masalah sebenar perkhidmatan teksi di Malaysia adalah berleluasanya permit teksi yang diberi kepada syarikat-syarikat, berbanding kepada pengusaha teksi individu. Kebanjiran permit teksi yang diberi kepada syarikat-syarikat menyaksikan mereka untung ‘atas angin’ di atas penat lelah pemandu teksi.

Sebagai contoh, secara purata kadar sewa teksi sehari adalah RM50. Jika dikumpulkan selama sebulan, ia menjangkau RM1,500 (aama bayaran bulanan kereta 2.4 cc). Sedangkan syarikat hanya membayar sekitar RM 500-RM700 sebulan kepada bank untuk sebuah teksi.

Dengan kata lain, syarikat secara mudah mengaut keuntungan sebanyak RM800/bulan/teksi. Jika sesuatu syarikat itu memiliki 100 buah teksi, mereka secara mudah mereka mengaut keuntungan sehingga RM80,000 tanpa menumpahkan sebarang keringat di jalan raya.

Sedangkan daripada kerajaan berhempas pulas mengeluarkan peruntukan sebanyak RM32 juta setiap tahun kepada pemandu teksi, mengapa tidak kerajaan memansuhkan terus permit teksi kepada syarikat-syarikat dan bertindak sebagai pemudah cara kepada pemandu teksi ini untuk mendapatkan permit teksi individu.

Jika ini dapat direalisasikan pemandu teksi ini dapat menjana pendapatan tambahan sekurang -kurangnya RM800 sebulan dengan hanya membayar bayaran teksi secara sewa beli kepada pihak bank yang mana jauh lebih murah daripada kadar sewaan teksi oleh syarikat. Kerajaan juga dapat menjimatkan peruntukan RM32 juta tadi untuk perkara lain yang lebih penting.

Dengan wang lebihan tadi, pemandu teksi mampu melakukan penyelenggaran dan mencantikkan teksi mereka lagi. Jika teksi mereka cantik dan diselenggara secara sempurna, maka makin ramai akan memilih perkhidmatan mereka.

Dengan keadaan sekarang di mana limpahan pengangkutan awam seperti bas, komuter, LRT, monorail, teksi dilihat tidak lagi menarik untuk dinaiki, maka jika mereka ini diberikan permit individu, rasa kepunyaan atau ‘self of belonging’ akan dapat diterapkan kepada mereka.

Justeru itu, mereka akan merasa teksi itu adalah perniagaan mereka dan mereka akan mengusahakan perniagaan mereka secara bersungguh-sungguh dalam menghadapi persaingan semasa.

Akhir kalam, kerajaan perlu melihat pendekatan jangka panjang daripada melakukan pendekatan jangka pendek dan bersifat popular semata. Hanya kerana untuk membeli undi pemandu teksi, kerajaan sanggup berhabis RM32 juta, berbanding memberikan mereka permit teksi yang mana dapat memberi pendapatan tambahan sehingga RM10,000 setahun kepada pemandu teksi.

Adalah malang, selepas penubuhan Spad sebagai teraju kepada pengangkutan awam darat, kerajaan masih gagal menelusuri permasalahan sebenar pemandu teksi ini. Yang lebih malang lagi, yang sakitnya PERMIT, tapi ubatnya adalah TAYAR. Itulah pemikiran kerajaan 1Malaysia.


MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR adalah lulusan BBA (Hons) Transport,UiTM, DBS (Transport) UiTM. Beliau merupakan penyelidik untuk kajian pengangkutan awam dan bas henti-henti kerajaan negeri Terengganu.

PAS TOLAK MANIFESTO SECARA RAKAMAN

5 Sya'ban 1433 H | 25 June 2012

Merujuk kepada saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof kepada semua parti politik untuk memberi kerjasama dengan tidak mempertikaikan mekanisme yang hendak digunakan untuk menyiarkan manifesto menerusi RTM secara rakaman semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

PAS menyokong kenyataan Setiausaha Agong Datuk Mustafa Ali bahawa kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR tidak menepati tuntutan Bersih 3.0.

Rekod BN yang tidak jujur dan beramanah adalah penyumbang terbesar mengapa berkemungkinan besar manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagaimana video versi polis insiden Bersih 2.0.

Dalam hal ini, SPR secara terang-terangan gagal memberi tekanan kepada kerajaan BN untuk memberi ruang yang adil kepada pembangkang dan membuktikan kegagalan SPR bertindak dengan tepat dan adil.

Tindakan double standard inilah yang menimbulkan kemarahan rakyat bahkan tuntutan Himpunan Bersih 3.0 salah satunya ialah media yang adil.

Tindakan menyiarkan rakaman menifesto parti politik tidak lebih sekadar “gincu mulut” untuk mengaburi mata rakyat bahawa kerajaan BN sudah memberi ruang keadilan yang saksama pada pembangkang.

Kenyataan itu bakal menaikkan semula kemarahan rakyat yang hanya menunggu perisytiharan para pimpinan untuk himpunan selanjutnya menuntut pilihanraya bersih dan adil, kerana jelas kerajaan BN ini pekak.

Pelbagai persoalan kini berlegar di kepala rakyat dengan kenyataan Pengerusi SPR yang terbaru - apakah jaminan rakaman tersebut tidak diedit dan dipotong mengikut kehendak BN seperti video Bersih 2.0, bahkan perkara ini dijangka berulang di video Bersih 3.0 versi BN?

Abdul Aziz Yusof juga berkata cadangan manifesto dibuat secara rakaman adalah bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi seseorang, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

Jadi, soalan yang ingin ditanya pada beliau ialah bagaimana pula SPR nak bertindak terhadap BN yang berkempen setiap hari dalam media perdana termasuk melancarkan serangan peribadi?

Sudah menjadi tradisi BN yang secara terangan melanggar akta pilihanraya yang hanya membenarkan kempen sehingga jam 12 malam hari terakhir. BN terus berkempen menggunakan alat media kerajaan sampai hari menggundi.

PAS membantah siaran rakaman manifesto dan menuntut agar semua parti politik diberi ruang berkempen dalam media selama satu jam sehari dan membentang menifesto secara siaran langsung dan membanyakkan ruang debat dan dialog antara parti politik untuk dinilai oleh rakyat.

FGVH - SIRI PENGKHIANATAN MELAYU TERBESAR

"Kita tidak punyai masa yang lama lagi...."
30 Rejab 1433 H | 20 Jun 2012


UMNO meneruskan siri-siri menggagalkan bangsa sendiri setelah sekian lama menghapuskan tulisan jawi, bahasa Melayu yang dipinggirkan dalam PPSMI dan kegagalan dalam Dasar Ekonomi Baru.

Terbaru, aset Felda yang berharga milik rakyat Malaysia yang majoritinya orang Melayu menjadi mangsa penggadaian seterusnya. Ladang, tanah dan segala perniagaan milik sepenuhnya warga Felda dan negara, difaraidkan sesama sendiri dan syarikat asing melalui usaha penyenaraian di Bursa Malaysia.

Apa yang memilukan, peneroka dan kakitangan Felda yang berpuluh tahun membangunkan Felda, diberikan saham terkecil iaitu 2.5 peratus dan tiga peratus sahaja. Tetapi mereka sanggup memberi ruang kepada syarikat asing dari luar negara memegang sekitar 20 peratus saham dalam Felda Global Ventures ini.

Tidak mustahil pada masa akan datang syarikat asing atau mereka yang tidak kena mengena dengan Felda yang akan menjadi pemilik aset berharga Felda ini setelah saham-sahamnya terjual.

Bagi Pas, bukan sekadar masalah pengagihan saham tersebut yang utamanya, tetapi melibatkan tanah-tanah Felda dan aset berharga milik rakyat dan negara ini satu pengkhianatan. Apatah lagi menyerahkan urusan sebesar itu dikendalikan oleh individu yang terpalit dengan rasuah yang diakui partinya sendiri.

Ini adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu yang mendiami kawasan Felda dan seluruh negara. Pas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Felda supaya segera menggantikan Umno yang lama memerintah dan terus bertindak gagal dengan memberi undi kepada Pas dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Kita tidak punyai masa yang lama lagi untuk menunggu berapa banyak lagi aset negara berpontensi terjual di bawah pemerintahan Umno-BN hari ini. - 

ISU TANGGUH HAJI - MERUMITKAN SESUATU YANG MUDAH

24 Rejab 1433 H | 14 Jun 2012

Isu tangguh haji masih hangat diperkatakan oleh media-media pro Umno.

Kenyataan saya yang dibuat pada Jun 5 kepada Selangorku yang menyeru “ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya” – dalam kata yang lebih spesifik – “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya” telah diputarkan seolah-olah ia ditujukan kepada semua umat Islam di Malaysia 8 hari kemudian oleh Utusan Malaysia.

Namun begitu, ia tidak hairan – selepas kelakaran kontroversi PTPTN yang menampar muka sendiri, jawapan-jawapan menteri di parlimen yang memang susah untuk ditonjolkan di muka depan, bertambah pula laporan-laporan antarabangsa mengenai isu Scorpene – mereka perlu mencari sesuatu untuk mengalih pandangan rakyat.

Bajet 2013 yang disebut bajet pilihanraya akan diumum pada September 28, manakala tarikh Hari Raya Haji adalah pada 26 Oktober. Oleh itu sudah ada bayangan pilihanraya umum 1986 di musim haji bakal berulang.

Isu tangguh haji ini sebenarnya mudah:
  • Betulkah PRU-13 akan diadakan di musim haji? = Masalahnya tiada yang tahu.
  • Apakah mungkin PRU-13 diadakan di musim haji? = Masalahnya ialah mungkin.
  • Apakah yang perlu dilakukan jika PRU-13 diadakan di musim haji? Salahkan perdana menteri? = Itu hak beliau, walaupun PAS memang membantah jika PRU-13 diadakan di musim haji.
  • Adakah orang-orang Umno yang terlibat dengan PRU-13 akan pergi menunai haji? Calon, wakil calon dan agen parti seperti pengarah pilihanraya akan terus juga dengan niat menunai haji? = Tiada yang bertanya.
Walhal, soalan yang patut difokuskan ialah WAJARKAH PERDANA MENTERI MENGADAKAN PILIHANRAYA DI MUSIM HAJI? Jawapannya jelas tidak.

Apakah jaminan ia tidak berlaku? TIADA!

Sebab itu PAS mendesak PM bagi jaminan. Dan tekankan “SEKIRANYA” Umno demi menang mengadakan PRU di musim haji, ahli PAS yang terlibat terus dengan PRU-13 yakni “calon atau wakil calon atau agen parti seperti pengarah pilihanraya” disarankan tangguh haji.

Golongan ini dalam PAS, ramai yang sudah menunaikan haji – mereka adalah veteran. Dalam UMNO tak pasti pula.

Kalau yang mencadangkan  itu ialah TPM atau menteri Umno, tentu keadaan dan komentar akan berubah menyokong habis-habisan. Jadi isunya bukan menangguhkan haji sebenarnya siapa yang buat cadangan itu.

Tapi UMNO merumitkannya kerana ia tahu, isu sebenar memberi tekanan kepada PM untuk menyatakan satu tarikh pilihanraya. Segalanya akan selesai jika tarikh pilihanraya diketahui lebih awal. Tiada yang risau ingin menunaikan haji. Tiada yang risau masa bercuti mereka sama dengan tarikh pilihanraya. Bahkan, untuk seluruh warga yang bekerja, samada di pihak swasta mahupun kerajaan boleh merancang sebaiknya apabila tarikh pilihanraya diketahui.

Namun penyelesaian yang mudah ini bukan fokus akhbar-akhbar UMNO. Mereka perlukan talian hayat – mereka menilai isu tangguh haji ini sebagai isu yang boleh mengalih perhatian.

Betullah juga, tapi mereka 'buta' untuk melihat bahawa perhatian kini beralih balik ke perdana menteri.

So, bila PM nak buat PRU13? Musim haji ke? Calon Umno pergi haji ke tak tahun ini? Boleh bagi jaminan tak buat PRU13 masa musim haji?

SURAT PERJANJIAN DEDAH PEMBOHONGAN NAJIB, ISA SAMAD

17 Rejab 1433 H | 07 Jun 2012


KUALA LUMPUR 7 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah berbohong dengan menyatakan tidak ada seinci tanah peneroka terlibat dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Katanya, pembohongan itu dibuktikan pada lampiran perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani di antara Felda dan FGV bertarikh 1 November 2011. 
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, prospektus penyenaraian FGV dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5 peratus sedangkan sejumlah besar saham diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan Bumiputra.

“Pendedahan perjanjian ini mengesahkan bahawa semua tanah tidak bergeran di dalam penempatan Felda seluruh negara telah pun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh pelabur swasta. Sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti kemasyarakatan ekonomi warga Felda.


“Pendedahan ini juga jelas membuktikan (Datuk Seri) Najib dan Tan Sri Isa Samad berbohong apabila mereka menyatakan tanah-tanah yang melibatkan warga Felda tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian FGV. BN telah memajakkan TRM yang dianggarkan seluas 105,382 ekar kepada FGV yang disenaraikan,” katanya dalam satu kenyataan.


Justeru, Rafizi menggesa Najib memberi jaminan kepada peneroka supaya tanah mereka tidak akan tergadai suatu hari nanti.


“Apakah jaminan Najib dan Isa bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak, atau kegunaannya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga Felda? Apakah jaminan bahawa kedai-kedai runcit yang didirikan di atas tanah tidak bergeran ini suatu hari nanti tidak akan dirobohkan oleh FGV?


“Ini menimbulkan persoalan penting status tanah-tanah ini kerana ia kini dimiliki dan kuasai oleh syarikat yang tidak dikuasai Bumiputra, lalu bertentangan dengan undang-undang TRM yang mengekalkan hak milik di tangan Melayu,” ujarnya.


Sebelum ini, Najib dilapor menegaskan tanah hak milik peneroka tidak terlibat dalam penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia. 
Beliau berkata, hanya tanah-tanah kerajaan negeri yang akan terlibat dalam penyenaraian tersebut dan menolak dakwaan tanah peneroka akan tergadai.

Tambahnya, tanah-tanah kerajaan negeri yang terlibat adalah tanah yang diberi hak memajukan kepada Kerajaan Persekutuan seperti peruntukan dalam Akta Kawasan Tanah Berkelompok (GSA 1960) yang selama ini diurus oleh Felda Plantations. - keadilandaily