Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: October 2010
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



'AUDIT FINDING' - PAC TUMPU 10 ISU

23 Dzulka'edah 1431 H | 31 Oktober 2010

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat 10 masalah membabitkan ratusan juta ringgit dan menjadi antara faktor utama mengapa hutang kerajaan melonjak kepada paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun:
  1. Tindakan Kementerian Pertahanan menggunakan peruntukan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi untuk membeli sistem audio visual, lampu hiasan bernilai RM10,000 dan kerusi sofa berharga RM26,000.
  2. Mengapa kementerian yang sama terpaksa membayar lebih RM800,000.00 untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk projek yang menelan belanja RM1.27 juta.
  3. Mengapa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mengikat perjanjian dengan pihak ketiga dan sekali gus melanggar syarat bahawa kerajaan persekutuan tidak terikat untuk membayar RM240 juta dalam bentuk bon terbitan LKIM.
  4. Mengapa Kementerian Kewangan tidak menamatkan kontrak sebuah syarikat yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual untuk Pelabuhan Pulau Pinang Sdn Bhd (PPSB), mengakibatkan kosnya naik RM6.71juta. Syarikat itu diberikan kontrak berkenaan tanpa ditender. PPSB kemudian bertindak untuk menambah anggaran kos projek untuk fasa ketiga dari lebih RM400 juta kepada RM600 juta. Dua syarikat kontraktor kemudian dilantik secara terus untuk melaksanakan projek itu untuk RM682 juta.
  5. Mengapa Perbadanan Tabung Pusat Pengajian Tinggi PTPTN member pinjaman berjumlah RM23 juta kepada lebih 6,000 pelajar yang tidak memohon bantuan itu.
  6. Menapa program rawatan haemodialisis Kementerian Kesihatan dibelenggui masalah termasuk pesakit menunggu terlalu lama untuk rawatan, peralatan dan perubatan masih belum diterima walaupun pembayaran sudah dibuat. Malah Kementerian Kesihatan membayar hampir RM300,000.00 kepada Persatuan Haemodialisis Klang namun persatuan itu belum membuka pusat rawatan setakat ini.
  7. Program Makanan Tambahan kepada murid-murid Sekolah (RMT) membekalkan makanan jauh lebih kurang daripada syarat kontrak. Mereka hanya diberikan roti putih dan marjerin dan bukan sandwic sardin serta buah-buahan dan minuman berkhasihat .
  8. Mengapa Kementerian Pertahanan menyerahkan dua bidang tanah kepada sebuah syarikat yang kemudian mencagarkannya untuk mendapat pinjaman bank RM465 juta. Syarikat berkenaan hanya menyiapkan 18% daripada projek membina kompleks tentera bernilai RM256 juta.
  9. Mengapa projek Institut Politeknik Muadzam Shah di Pahang tiga kali bertukar tangan sejak ia dimulakan pada September 2001 dengan kontrak bernilai RM219 juta. Kos projek berkenaan kini meningkat 34.6 peratus kepada RM294.74 juta, dan ini tidak termasuk RM10.55 juta yang terpaksa dibayar sebagai kos perunding dan juga sejumlah RM130,000.00 yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi kos penyewaan bangunan untuk penuntut institut berkenaan.
  10. Mengapa Perbadanan Aset Keretapi (PAK) yang ditubuhkan pada 1992 iaitu selepas Keretapi Tanah Melayu diswastakan, hanya 30% aset tanah berkenaan telah dipindahkan kepada PAK. KTMB pula telah menjual lima lot kepada pemaju swasta sebelum PAK dapat mengambil semula hak milik menyebabkan PAK kerugian RM335.32 juta.

UMNO KELIRU DAN TERUS KELIRU

20 Dzulka'edah 1431 H | 28 Oktober 2010

Oleh : Tuan Guru Nik Abdul Aziz b Nik Mat

Tergerak
hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang disiarkan di bawah tajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut :
''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA."

Nampaknya PRK N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

Perbezaan kerjasama antara UMNO dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas sekali. Bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin UMNO sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.

Beberapa hari lepas, orang yang sama telah mencadangkan supaya Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM mulai tahun 2013, saya ingin menambah bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.

Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi.

Rupanya Barisan Nasional hanyalah merupakan perangkap bagi PAS. PAS bergabung dengan UMNO membentuk Barisan Nasional demi perpaduan, namun hasilnya PAS di Kelantan khususnya telah berpecah kepada empat :- PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Seterusnya peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan UMNO? Tangan UMNO yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat oleh PAS, lalu PAS pula ditendang supaya lemas keseorangan.

Dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, PAS tidak dikhianati. Jika Timbalan Perdana Menteri bertanya, apa bezanya kerjasama dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud. Islam tidak pernah diketepikan di dalam perjuangan PAS. Bahkan DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS.

Secara umumnya, pemimpin DAP tidak anti Islam dan hari ini beransur-ansur mengenali Islam. Sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim sebagaimana yang UMNO mahukan. Pemimpin DAP sekurang-kurangnya ada yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin UMNO pula semakin menjauhi al-Quran. Ingin saya bertanya, apa ruginya Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?

Sayang sekali, UMNO masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Jika demikian, kenapa UMNO membenarkan isteri Perdana Menteri sendiri menjadi penaung Islamic Fashion Festival? Pada saat umat Islam yang prihatin di seluruh Malaysia bangun menentang program maksiat yang dibuat atas nama Islam ini, di mana pula ’keris’ pemimpin UMNO? Tersimpan dalam sarungkah atau hanya menjadi hiasan di dinding? Manakala hari ini apabila pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), di pagar mana pula disangkut agenda Melayu Islam ala UMNO?

Hakikatnya, UMNO yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden UMNO sendiri sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mencadangkan supaya UMNO menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkan bagi UMNO politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit UMNO sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya dihentam begitu teruk kerana kononnya ingin berpolitik di atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan UMNO di Kota Bharu sudah terjual, UMNO sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..

Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja.

Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata.

NO MEGA TOWER - KINI LEBIH 100,000 MEMBANTAH

14 Dzulka'edah 1431 H | 22 Oktober 2010

Artikel sebelum ini berkaitan sekatan Facebook terhadap kumpulan anti Menara Warisan Merdeka, tetapi kini ia boleh di akses di alamat http://www.facebook.com/NoMegaTower


RELAKS MINDA : FIRAUN YANG ANGKUH

12 Dzulka'edah 1431 H | 20 Oktober 2010

(Admin : Kisah ini tiada kaitan dengan pembinaan Warisan Merdeka, tetapi hanya sebagai bahan bacaan untuk menyelami kisah dan tauladan para pesuruh Allah)

Dan berkatalah Firaun : "Hai Haman buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta...." (al-Mu'min; 36-37).

Pada suatu hari, Firaun menitahkan para menteri serta pemimpin di Mesir berkumpul di istananya. Firaun mengeluarkan perintah kepada Haman supaya mengetuai pertemuan tersebut.

Firaun tidak berpuas hati dengan seruan Nabi Musa yang menyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah. Firauan mahu semua rakyat menyembah dirinya sahaja. Dia mendakwa dirinya adalah tuhan yang memerintah seluruh alam.

Sebaik sahaja semuanya berkumpul, Firaun terus berkata : "Hai Haman, adakah aku ini seorang pendusta?"

"Tidak ada seorang pun yang berani menentang tuanku," kata Haman.

Firaun berkata dengan marah: "Tetapi Musa berani menentang aku. Musa pernah mengatakan bahawa ada Tuhan lain selain aku di langit."

"Wahai tuanku, sesungguhnya Musa itu berbohong," jawab Haman.

"Aku sudah mengetahui bahawasanya dia berdusta!"

Firaun menoleh ke arah Haman lalu mengeluarkan perintah kepadanya: "Aku mahu engkau membina sebuah bangunan yang tinggi mencakar langit. Tingginya itu haruslah mencapai pintu-pintu langit. Aku hendak naik dan melihat bagaimanakah rupa Tuhan Musa itu. Bukankah Tuhan Musa itu berada di atas langit?"

"Aku akan melaksanakan perintah tuanku itu. Aku akan segera mengumpulkan jurutera-jurutera, beribu-ribu tukang kayu dan batu untuk membinanya," janji Haman kepada Firaun.

Setelah bertungkus lumus membina bangunan itu, maka siaplah bangunan yang tinggi hinggakan puncaknya tidak kelihatan. Sebaik sahaja bangunan itu siap, Firaun pun segera naik ke tingkat yang paling atas dan memerintahkan supaya di bawa anak panah kepadanya. Anak panah itu di panah ke arah langit. Dengan takdir Allah, anak panah itu kemudian terjatuh semula di hadapan Firaun. Anak panah itu berlumuran dengan darah. Padahal panah itu telah dicelupnya dengan darah sebelum dia memanah langit.

Dengan bangganya Firaun berkata : "Lihat, aku sudah pun membunuh Tuhan Musa. Tuhan Musa telah mati di tanganku. Aku yakin Musa adalah pendusta kerana dia mendakwa ada Tuhan di langit yang dapat menolongnya dan melantiknya sebagai Rasul."

SKANDAL PEMBINAAN ISTANA NEGARA

11 Dzulka'edah 1431 H | 19 Oktober 2010

Anwaribrahimblog

Kontrakor utama – MAYA MAJU (M) SDN BHD

A. KONTRAK

  • Cadangan kos pembinaan yang ditawarkan oleh Maya Maju (M) Sdn Bhd di bawah konsep penswastaan ialah – RM 394,803,200.00
  • Harga yang di tawarkan oleh JKR secara rundingan terus – RM 649,995,507.51
  • Letter of Intent di keluarkan pada – 30 Mei 2006
  • Kontrak di tawarkan pada – 26 Oktober 2007
  • Jangkaan tarikh siap asal – 29 November 2010 dipinda ke Februari 2011
  • Kos meningkat kepada RM811.2 juta apabila kerja tambahan pembinaan flyover yang menyambung Jalan Duta ke Istana Negara dan kerja “upgrading” di Jalan Changkat Semantan yang diberi kepada Syarikat Ahmad Zaki


B. PERIHAL SYARIKAT
Semasa kontrak ditawarkan syarikat ini di takrif sebagai
“DORMANT” oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Ini bermakna syarikat ini tidak menjalankan apa-apa kegiatan perniagaan, tidak mempunyai ‘track record” dan pengalaman dalam pembangunan dan pembinaan. Hanya didaftarkan sebagai syarikat pembinaan pada Ogos 2008 setelah mendapat kontrak pembinaan Istana Negara pada Oktober 2007.Syarikat dikuasai oleh Dato Hj. Man bin Mat. Bekas Bendahari UMNO Merbok.

C. TIDAK BERDAFTAR DENGAN CIDB DAN TIDAK ADA LESEN PKK

  • Syarikat ini tidak mempunyai lesen “PKK” yang wajib untuk dipertimbang kontrak dari JKR.
  • Syarikat ini juga tidak berdaftar dengan “CIDB” sebagai syarat wajib kepada semua kontraktor pembinaan.

D. ADA DUA SYARIKAT YANG MEMPUNYAI NAMA SAMA

MAYA MAJU (M) SDN BHD – Kontraktor Istana Negara
MAYA MAJU SDN BHD

  • Kedua syarikat ini tidak ada kaitan langsung dan di kuasai oleh orang yang berlainan.
  • Semua pengumuman oleh kerajaan baik dari Menteri Kerja Raya, media maupun portal kerajaan menyebut hanya Maya Maju Sdn Bhd.
  • Begitu dengan permasalahan dan tindakan undang-undang yang diambil terhadap kontraktor pembinaan Istana Negara menyebut Maya Maju Sdn Bhd
  • Ini menjejaskan imej, prestasi dan persepsi syarikat Maya Maju Sdn Bhd.
  • Pada 23 Januari 2009, satu Perintah Injunksi telah dikenakan terhadap MAYA MAJU (M) SDN BHD dan pengarah2 nya daripada menggunakan nama “Maya Maju”. Walaubagaimanapun Mahkamah Rayuan “overrule” keputusan ini.

F. MASALAH-MASALAH LAIN

  • Pada 18 Disember 2008, pihak Abd Mohd Rejab/JR Design Works keluarkan notis menggulung/winding-up MAYA MAJU (M) SDN BHD atas kegagalan membayar fees kerja rekabentuk artitek,
  • Dalam akhbar The Star 27 Jun 2010 di laporkan ramai buruh asing digunakan untuk bina Istana Negara Baru tetapi TIDAK DIBAYAR UPAH.
  • Pada 6 July 2010 SUHAKAM dilarang masuk tapak pembinaan Istana Negara Baru ketika cuba menyiasat dakwaan pekerja asing dilayan dengan teruk dan ada juga dikatakan tidak menerima gaji bagi tempoh 3 bulan

FELDA - MENTERI ANGKUH, KETEPIKAN KELUHAN PENEROKA

11 Dzulka'edah 1431 H | 19 Oktober 2010

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Menteri dan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap FELDA bersikap angkuh dan semborono dengan mengetepikan sahaja keluhan peneroka yang mengadu berkenaan lembaga berkenaan.

Sebelum ini, pada 7 Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menyatakan Felda bersedia memberikan wang tanam semula sebanyak RM17,000 kepada peneroka tetapi dengan syarat peneroka perlu membuat tanaman semula mengikut panduan yang ditetapkan.

Dalam hujah beliau di Dewan Rakyat pagi tadi, Anwar menjelaskan tindakan ini bermaksud bantahan dan isu yang diketengahkan oleh para Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkenaan Felda selama ini berjaya menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab terhadap organisasi berkenaan.

“Saya tidak pertikai maksud baik awal Rancangan Felda dan beberapa faedah serta nikmat yang diperolehi, tetapi seperti mana yang kita tekankan, wajar diberikan penilaian dan pertimbangan semula kerana lebih ramai masyarakat Felda merasakan ada bentuk ketidakadilan berlaku,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Katanya lagi, wang tanam semula tidak diberikan sebelum ini bagi mengelakkan wang tersebut disalah gunakan oleh para peneroka.

“Persoalannya sekarang, adakah benar ini akan dilaksanakan? Kita menuntut, rakan-rakan kita nak tanya, bila nak laksanakan?
Kenapa ada peneroka yang telah menanam sendiri lima, malah sepuluh tahun, wang tanam semula tidak diperolehi?” kata beliau.

Anwar seterusnya menyatakan jika isu ini berkenaan membantu keluarga dan rakan Umno-Barisan Nasional(BN), segera dilakukan tetapi perihal membantu masyarakat kampung termasuk kaum Melayu sendiri tidak kesampaian walaupun menunggu sepuluh tahun.

Katanya lagi, para peneroka terpaksa menyaman Felda kerana kegagalan Felda membayar wang penanaman semula walaupun rundingan dibuat begitu lama.

“Ini keluhan yang mereka (peneroka Felda) keluarkan. Mengapa para peneroka Felda berani bawa kes ini ke makhamah?” tegasnya.

Sebabnya mudah dakwa Anwar, kerana mereka terdesak, bawa ke Felda tiada harapan.


Sumber : TVSELANGOR

UBAH SUAI RUMAH PM RM65,000,000.00 - RAKYAT DIPINGGIRKAN, PEMIMPIN DIUTAMAKAN

9 Dzulka'edah 1431 H | 17 Oktober 2010

Kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan diubah suai dengan belanja RM65 juta.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong, kerja-kerja pengubah suaian akan bermula tahun depan dan selesai pada tahun berikutnya.

Sri Perdana di Putrajaya mula di bina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya.
Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta. Keperluan untuk sekali lagi melakukan pengubah suaian kepada Sri Perdana dengan kos RM65 juta dipertikaikan, khususnya apabila rakyat dinasihatkan supaya berbelanja secara berhemah. Pengubahsuaian Seri Perdana dengan peruntukan yang begitu tinggi dianggap satu lagi pembaziran dana rakyat.

Mengulas isu yang sama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, apabila masuk sahaja Perdana Menteri baru semua nak ubah mengikut citarasa masing masing. Ini pembaziran dengan RM65 juta untuk ubah suai Sri Perdana ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana negara amat memerlukan kewangan itu untuk membangunkan modal insan dan sebagainya.


"Duit itu boleh digunakan dengan cara yang lebih bermakna. Kita lihat bajet itu pun tetap juga merupakan satu bajet defisit ini bererti perbelanjaan seperti itu sebenarnya boleh dikurangkan untuk mengurangkan defesit.

"Inilah keutamaan pemimpin Umno-BN untuk kepentingan mereka sendiri, keselesaan sendiri ikut citarasa masing masing tanpa memikirkan rakyat jelata yang menghadapi kesusahan untuk membiayai kehidupan seharian.
Ramai yang tidak berkerja dan hutang piutang. Tetapi RM65 juta digunakan untuk ubahsuai Sri Perdana ini tindakan yang tidak wajar sama sekali," katanya.

FIRST LADY - TIDAK DINASIHAT ATAU MEMANG DEGIL?

7 Dzulka'edah 1431 H | 15 Oktober 2010

“Rosmah sepatutnya malu untuk menggunakan gelaran ‘First Lady’, kerana umum mengetahui gelaran itu untuk Permaisuri Agong. Walaupun isu ini telah dijelaskan oleh pelbagai pihak namun ianya berterusan berlaku, dan boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pimpinan asing.

Sehubungan itu pihak istana negara disaran mengeluarkan kenyataan rasmi agar kesilapan ini tidak berterusan dan gelaran ‘First Lady’ tidak digunakan sewenang-wenangnya.

Tindakan ini dilihat sebagai tidak memahami protokol rasmi dan juga konsep institusi Raja Berperlembagaan.

Kalau ini berlaku dalam Pakatan Rakyat, kita yakin media perdana akan terus melabelkan kita dengan label pengkhianat."

TANGGUH GST : PRU 13 MAKIN HAMPIR

7 Dzulka'edah 1431 H | 15 Oktober 2010

Keputusan penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seolah-olah mengesahkan kemungkinan kerajaan akan mengadakan Pilihan Raya Umum pada 2011.

OSK Research dalam nota penyelidikan meramalkan Pilihan Raya Umum akan diadakan pada separuh kedua 2011 selepas pilihan raya Negeri Sarawak pada awal tahun depan.
Selain isu GST, firma penyelidikan itu turut meramalkan pengurangan subsidi dan kenaikan tarif akan ditangguhkan sehingga pilihan raya berakhir.

''Keputusan tersebut mengambil kira sensitiviti politik berhubung pelaksanaan GST,'' katanya.

OSK Research berkata, ramalan berhubung pilihan raya itu dibuat selepas mengambil kira berita-berita positif yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur, sentimen pasaran yang dijangka meningkat pada separuh pertama 2011.

Sementara itu AmResearch tidak menolak kemungkinan kerajaan akan memperkenalkan GST pada tahun depan, setelah mendapat bantahan kuat daripada orang ramai.

''Tahun depan mungkin waktu terbaik kerana persekitaran ekonomi dijangka lebih stabil dan kondusif,'' katanya.

Menurut AmResearch, GST menerima banyak bantahan disebabkan kebanyakan orang masih belum mengetahui maklumat GST secukupnya.

Semalam, Kementerian Kewangan dalam kenyataan akhbarnya berkata, GST ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan berinteraksi dengan semua lapisan rakyat mengenai pelaksanaannya.
Kerajaan akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat bagi memastikan penguatkuasaan GST diterima dengan baik, kata kementerian itu. Bagaimanapun, ia berkata, kerajaan menyedari akan kepentingan GST dalam memastikan kedudukan fiskal yang kukuh dan mapan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Kerajaan kali pertama mengumumkan cadangan pelaksanaan cukai GST sebanyak empat peratus pada bacaan kali pertama di Parlimen pada 16 Disember 2009.
Namun, Rang Undang-Undang GST yang dijadualkan dibentangkan buat kali kedua di Parlimen pada Mac 2010 untuk pelaksanaan cukai tersebut menjelang suku ketiga 2011 ditangguhkan.

Pelaksanaan GST dicadangkan bertujuan untuk mengurangkan defisit bajet daripada tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2009 kepada 5.4 peratus pada tahun depan.

Penangguhan GST gambaran pilihan raya tahun depan

UMNO, 'KAPAL YANG SEDANG ROSAK' - KU LI

2 Dzulka'edah 1431 H | 10 Oktober 2010

(Admin : Sedang mencari-cari bahan untuk blog ini, terjumpa artikel daripada Tengku Razaleigh Hamzah, menarik untuk dibaca)

- Petikan ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kelantan, Semasa Merasmikan Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang, Bertempat Di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang Pada Hari Jumaat 4hb April, 2008, bersamaan 27hb Rabiulawal, 1429 Jam 10.00 pagi


"
Masalah UMNO bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli UMNO. UMNO bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’. UMNO ialah parti politik kebangsaan Melayu. Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti ‘Tanah Air’.

Apabila UMNO tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat UMNO akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akan ditinggalkan oleh bangsa Melayu.


Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota UMNO sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya."


Artikel penuh di sini

KERAH SELURUH PETUGAS - PRESIDEN PAS

2 Dzulka'edah 1431 H | 10 Oktober 2010

Berikutan dengan kekosongan kerusi di Dewan Undangan Negeri
(DUN) N.45 Galas, Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan DUN untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November 2010.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di DUN Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di DUN Galas.

Saya menyeru kepada seluruh ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas dari Pakatan Rakyat
yang berada di seluruh negara dengan kepakaran yang berbagai itu supaya dapat turun ke DUN Galas, Kelantan untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di DUN Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti. Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak
dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi.

Saya percaya bahawa kita semua akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan kita menyusun strategi dan gerakerja yang kemas, serta kita sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun. InsyaAllah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

TAZKIRAH SUBUH : AMALAN MUDAH, GANJARAN YANG BESAR

28 Syawal 1431 H | 7 Oktober 2010

Antara amalan-amalan harian yang mudah dilakukan tetapi kadangkala tidak diamalkan:
  1. Bacalah doa selepas selesai sahaja azan dikumandangkan nescaya akan dikurniakan syafaat Rasulullah s.a.w : "Ya Allah, Tuhan telah mensyariatkan seruan azan dan solat yang akan didirikan. Kurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w kedudukan yang tinggi dan terpuji yang telah Engkau janjikan.."
  2. Sentiasalah berzikir 'Allahumma ajirna minannar' sekurang-kurangnya 7x sebelah pagi dan 7x sebelah petang - agar Allah mengampuni dosa-dosa dan menjauhkan azab neraka
  3. Lamakanlah sujud dan berdoa kepada Allah kerana ketika sujudlah waktu yang amat mustajab doanya
Mudah-mudahan dengan sedikit peringatan ini dapat sama-sama kita amalkan dan sebar luaskan kepada sahabat-sahabat lain untuk kebaikan semua.

TAPAK MASJID BABRI DIBAHAGI DUA

22 Syawal 1431 H | 1 Oktober 2010

NEW DELHI – Sebuah mahkamah India semalam memutuskan tapak Masjid Babri abad ke-16 di Ayodhya dibahagi dua dengan dua pertiga menjadi milik penganut Hindu dan satu pertiga untuk masyarakat Islam.Keputusan mahkamah itu disiarkan oleh stesen televisyen di negara itu.

“Semua tiga pihak iaitu Muslim, Hindu dan Nirmhoi Akhara (pertubuhan agama Hindu) diisytiharkan pemegang bersama hartanah dalam perbalahan itu,” kata Hakim S. U Khan dalam satu penghakiman yang disiarkan di laman web Mahkamah Tinggi Allahabad.

Masjid Babri yang dibina pada kurun ke-16 itu dimusnahkan penduduk Hindu pada 1992 sehingga mencetuskan rusuhan terburuk di India sehingga mengakibatkan 2,000 orang terbunuh.

Lebih 200,000 anggota polis dikerah di seluruh India semalam bagi membuat rondaan dan kawalan sebelum mahkamah membuat penghakiman.

Peguam Jawatankuasa Bertindak Masjid Babri, Zafaryab Jilani berkata, pihaknya akan membuat rayuan berhubung penghakiman itu.

“Kami tidak menerima formula satu pertiga itu dan kami akan (mengemukakan rayuan) ke Mahkamah Agung,” katanya. – Agensi

Sumber : Kosmo