Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: December 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN - KALIMAH BERBEZA, ISI DAN ACUAN TETAP SAMA

5 Safar 1433 H | 31 December 2011

Dari Perspektif Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul AM PAS

Bersempena dengan Salam Mahabbah dengan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Awang (1 Safar/ 26 Disember lalu), saya rasa gembira kerana sempat bersembang dan menyatakan sesuatu demi memperkukuhkan semangat muhibah antara pimpinan parti.
Justeru saya merenung kembali perspektif Membangun Negara Berkebajikan yang menjadi ribut kecil sehari-dua ini. Seperti mana saya terangkan kepada pihak tertentu termasuk apa yang saya sebutkan sewaktu bersama program Anak Muda Kelantan di PUTIK, Pengkalan Chepa pada 28 Muharam (24 Disember) lalu.
Perspektif Membangun Negara Berkebajikan saya ulas kembali. Bagi saya, realiti Membangun Negara Berkebajikan tetap selari dengan prinsip Islam dan sesungguhnya ia tidak bercanggah  dengan pendirian PAS untuk menegak Negara Islam. Cuma kalimahnya berbeza, sedangkan isi dan acuannya tetap sama, iaitu untuk mencapai keredaan Allah SWT.
Di antara fakta yang harus difahami, Islam harus dilihat dari perspektif kepelbagaian sebagaimana dinyatakan Allah di dalam Al-Quran. Antaranya dalam surah Al-Fatihah ada kalimah yang menjadi isi Negara Islam, iaitu ‘ihdinassiraatal mustaqim’ – tunjukilah kami jalan yang lurus – iaitu jalan agama yang diredai Allah dan Rasul-Nya.

Demikian natijahnya, Allah SWT menyebutkan Islam itu dengan pelbagai nama. Antaranya:
  • Islam sebagai jalan yang betul (lurus), disebutkan juga (Surah Aali-Imraan : 103): ‘wa’tasimun bihablil Lah ijami’a’ – dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah – yang bermakna tali Allah itu ialah Islam.

    Demikian di dalam Al-Quran (An-Nisa : 174): ‘wa’anzalna ilaikum, nurann mubiina’  dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).

Justeru Membangun Negara Berkebajikan adalah kalimah yang diolah, sepertimana kalimah Islam itu diterangkan dalam pelbagai senario : bil-Islam (tali Allah) sebagai pengikat yang kukuh, penghubung di dalam menolong sesama insan dan Islam itu ibarat tali yang panjang dan insan beriman perlu berpegang kuat untuk sampai ke penghujungnya, iaitu syafa’at Nabi SAW dan keredaan Allah SWT.
Begitu pula, Islam sebagai cahaya iman yang membebaskan kehidupan manusia dari kegelapan (tidak beriman) kepada terang-benderang (mencapai keimanan). Oleh sebab itu, sesiapa sahaja akan menerima cahaya iman dengan izin Allah, tidak kira ia seorang Melayu atau Cina atau India. Semuanya menumpang atas cahaya iman itu, kerana akhirat kelak akan dibangkitkan bersama cahaya iman, jika sebenar-benar ia beriman.
Hakikat ini hanya ditemui dalam sebuah negara yang berkebajikan kerana kebajikan itu hendaklah difahami sebagai cahaya keimanan. Mana-mana negara yang melaksanakan program berkebajikan menurut acuan Islam, maka membolehkan rakyatnya mencapai tingkat berkebajikan berserta keimanan, iaitu mencapai tingkat keimanan disebabkan amal khairat kerajaan dan rakyat.
Demikian saya merenung sejenak perpsektif Membangun Negara Berkebajikan yang ada baiknya dapat difahami oleh semua pihak.

1/8 TIDAK JAMIN PILIHANRAYA TELUS


4 Safar 1433 H | 30 December 2011

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Walaupun  Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengumumkan pindaan peraturan bagi mewajibkan penggunaan dakwat kekal namun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia bukan jaminan pilihan raya negara akan dijalankan dengan bebas dan bersih.

“Namun demikian, perubahan kecil ini tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan kepada proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas dan bersih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain 10 cadangan yang disyor PSC untuk memperbaiki proses pilihan raya, jawatankuasa yang melibatkan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Bebas juga perlu mempertimbangkan secara menyeluruh lapan tuntutan dikemukakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Saya percaya demokrasi dan proses pilihan raya bebas dan adil sewajarnya turut didukung dengan amalan serta pendekatan yang menjurus kepada kebebasan media dan kempen terbuka.

“Agensi media awam sewajarnya bersikap lebih adil dalam memberikan liputan untuk semua parti politik dan kempen politik parti-parti pembangkang sewajarnya tidak didiskriminasi menerusi tapisan melampau yang tidak munasabah serta mencabul hak kebebasan bersuara,” katanya.

Anwar menambah Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP komited dan menuntut agar PS turut menumpukan perhatian kepada cadangan transformasi Bersih 2.0.

Kata beliau, PSC perlu mengkaji cadangan-cadangan itu sekiranya serius dalam menjamin pilihan raya yang bebas dan adil.

PSC akan membuat rumusan bagi 10 cadangan baru termasuk penggunaan dakwat kekal, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen Mac depan. - themalaysianinsider

'CYBER WAR' - KUASAI MEDIA BARU HADAPI PRU13

29 Muharram 1433 H | 25 December 2011

Oleh Wan Nik Wan Yusoff, Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan


MESKIPUN banyak pihak sudah mengambil maklum akan pentingnya peranan media baru d
alam kempen plihan raya, masih berlaku sikap sambil lewa di kalangan pengurus kempen PAS dalam memanfaatkan ruang kempen media baru 
untuk memberi maklumat kepada pengundi.

Kelebihan era “24 hours news cycle” yang menyaksikan informasi yang bersimpang siur tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.


Paling mudah diukur ialah sikap lewa pengurus kempen PAS, antaranya dari segi sejauh mana memanfaatkan telefon bimbit yang sentiasa di sisi itu sebagai alat penggempur maklumat.


Pengurus kempen PAS didapati tidak memberi tumpuan serius, terutama dari segi melengkapkan profil pengundi sasar dengan nombor telefon bimbit, gagal memanfaatkan SMS berkelompok dan online SMS. Agak minimum pula menggunakan SMS bergambar (multimedia message) atau pemberitahuan secara twitter.

Penggunaan telefon bimbit bukan hanya sekadar untuk bersembang dan ber'sms' sahaja tetapi harus diperkasakan lagi dengan pengurusan perang media yang dijana oleh teknologi maklumat internet atau komunikasi maya.

Justeru setiap pengurus kempen PAS hendaklah turut menguasai dan berkuasa mencorakkan maklumat internet menerusi pelbagai jaringan komunikasi maya bersifat laman sosial seperti blog,facebook dan twitter.


Kesemua laman sosial ini boleh dicapai secara mudah oleh setiap pengguna telefon bimbit, kerana pelbagai peranti telefon bimbit sekarang sudah dilengkapi dengan aplikasi sistem laman sosial. Sementelah pula, budaya pengguna peranti komunikasi (termasuk kalangan pengurus kempen PAS) sekarang sedang berkembang ke arah penggunaan dwi-fungsi peranti atau dua-dalam satu, iaitu telefon dan iPad.


Kecanggihan peranti yang seharusnya dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh pengurus kempen PAS demi memakmurkan kempen pilihan raya pascaledakan maklumat internet.


Kempen menerusi telefon mengambil peluang pengguna telefon bimbit di Malaysia kini sekitar 15 juta orang (daripada 28,908,795 orang) sudah tentu kempen media/isu menerusi peranti ini boleh memberi nilaian positif yang meyakinkan. Tinggal lagi, sejauh manakah usaha dan upaya itu dapat dilaksanakan?


Di sinilah peri pentingnya pendekataan perang media dirancang dengan kemas dan berstrategi. Apakah pengurus kempen PAS bersedia atau sudah melaksanakannya?


Menyelesaikan persoalan ini, pihak jentera kempen PAS perlu mengambil langkah-langkah berkikut:
  • Melatih dan membiasakan para pengurus kempen dengan budaya bestari perang media (smart culture of the media war). Ia bermaksud, suatu perancangan strategik berasaskan maklumat dengan teknik dan taktik serangan berorientasikan media baru. Ia perlu bermula dengan tindakan melengkapkan profail pengundi yang akses media baru.

  • Menyediakan medium dan bahan atau isu untuk disampaikan kepada pengundi menerusi peranti seperti telefon bimbit, mahupun iPad.

    Ia memerlukan simulasi isu berupa agenda setting. Misalnya isu korupsi, kronisme dan nepotisme Umno yang terjelma melalui ‘politik lembu’ NFC boleh dijadikan modal awal untuk di- SMS-kan.

    Selepas itu, diikuti dengan isu berikutnya. Antaranya isu isteri PM yang suka bergaya sebagai First Lady, dan isu-isu yang seterusnya. Apa yang penting penyediaan agenda setting secara berterusan sehingga pilihan raya adalah teknik penting untuk disesuaikan dengan penggunaan peranti telefon bimbit.

  • Wujudkan pasukan penilai dan penarafan hasil atas kempen menerusi telefon bimbit. Penilaian adalah penting untuk penarafan setiap respons pengundi, apakah sikap pengundi bersetuju atau menolak isu-isu yang dibangkitkan? Atau, apakah sesuatu isu yang dibangkitkan oleh PAS mendapat sambutan popular di sisi pengundi atau sebaliknya.
Justeru itu, pendekatan kempen media baru seumpama pendekatan SMS telefon bimbit adalah salah satu teknik dan taktik untuk menguji peluang PAS sama ada menang atau sebaliknya. Ia suatu medium sosial yang memberi kesan politik serta establishment politik baru yang semestinya dimanfaatkan oleh pengurus kempen PAS.

'JANGAN BAGI PELURU UNTUK DISERANG' - TGNA

26 Muharram 1433 H | 22 December 2011

Saya ingin memberikan sedikit ulasan berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Saya menyokong sepenuhnya keputusan ini dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

Selaku Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak. Justeru, dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan. Dalam hal ini, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS ini.

Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti. Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-allah.

PAS TUNTUT PENJELASAN HASAN, NASHA DAN SAARI

26 Muharram 1433 H | 22 December 2011
PAS hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir masa parti.

“Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti.

“Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.

"Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura,” tegasnya.

Menggunakan media lawan milik Umno, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini.
Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS.

Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah.

“Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam,” tegas beliau.

Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS kepada ungkapan ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi'.

“Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu  dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti,” nasihat beliau. - harakahdaily

YAKINILAH KEMENANGAN YANG DIJANJIKAN ALLAH


25 Muharram 1433 H | 21 December 2011

Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatulah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di  negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya. Namun, parti  terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, samada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.

"Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.”

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumarah dan sunnatullah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya di awal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri,  kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sangat sedih. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada dipuncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bilamana seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w: "Siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya?"

Lalu baginda menjawab : "Yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi-nabi (para sahabat) dan mereka yang mengikuti  dibelakangnya (tabieen)."

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tertib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

NAJIB, FAHAMI MESEJ MAHASISWA - AZIZ BARI

24 Muharram 1433 H | 20 December 2011

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan kumpulan mahasiswa SMM dan Bebas tidak perlu dan tidak boleh dikenakan tindakan berhubung insiden menurunkan ‘bendera’ berbentuk banting berwajahkan Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.

“Saya tidak nampak mereka melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merosakkan harta benda... tidak. Mereka menurunkan dan kemudian menaikkan semula bendera (banting).


“Mereka hendak siasat di bawah undang-undang apa? Nak ambil tindakan di bawah peruntukan apa?” kata beliau mengulas perkembangan di pekarangan ibu pejabat Umno di sini, Sabtu lalu.


Sebaliknya kata pakar perlembagaan ini, Najib selaku Perdana Menteri perlu menerima mesej yang disampaikan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan, yang mengadakan demonstrasi memprotes AUKU.

“Universiti-universiti sudah wujud sebelum AUKU  diperkenalkan pada 1971, jadi mengapa perlunya AUKU.


“Kerajaan perlu mendengar suara mahasiswa... jadi mereka tidak perlu meminta, saya tidak perlu memohon maaf, jangan sombong, dengar suara mereka,” katanya.

Aziz Bari yang menjadi sasaran siasatan polis, pengurusan UIA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dua bulan lalu menegaskan, selagi kerajaan tidak memansuhkan AUKU, pelajar-pelajar universiti akan terus memperjuangkan perkara berkenaan.

Menjawab soalan sama ada tindakan itu sesuatu yang tidak beradab, Aziz berkata, “Kalau nak kata beradab tidak beradab, kita pun saksikan banyak perbuatan dan tindakan pemimpin-pemimpin Umno yang tidak beradab, tidak sopan sebelum ini.

“Saya tidak melihat menurunkan bendera Najib ini sesuatu yang tidak beradap, seteruk tindakan mereka sebelum ini,” katanya lagi. - themalaysianinsider

BLOGGER UPAHAN UMNO DIBAYAR RM 10 JUTA?

23 Muharram 1433 H | 19 December 2011

KUALA LUMPUR 19 Dis: Umno didedahkan membayar RM10 juta kepada sekumpulan blogger sebagai kempen perang saraf menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Datuk Najib kian terdesak untuk meraih undi kaum Cina dan ini terbukti apabila beliau memperuntuk sekurang-kurangnya RM10 juta kepada sekumpulan wartawan dari media arus perdana untuk menyerang pemimpin PakatanRakyat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.


“Malah, SKMM juga sudah diberi amaran agar jangan mengganggu blogger upahan ini walaupun tulisan mereka menimbulkan api perkauman dan agama,” katanya kepada Keadilandaily.


Beliau difahamkan, kumpulan blogger itu diketuai Setiausaha Media Najib, Tengku Sarifuddin dan bekas wartawan kanan The New Straits Times, Ahiruddin Atan atau lebih dikenali sebagai Rockybru.
Menurutnya, peruntukan itu juga akan ditambah dari semasa ke semasa dengan bloggers upahan ini akan mengeluarkan artikel bertujuan menaikkan imej Najib sebagai tokoh yang patut diundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina.

Beliau bagaimanapun yakin, taktik kotor itu akan gagal malah memburukkan lagi imej Najib.


“Rakyat bijak dalam menilainya dan masyarakat Cina saya yakin tidak terpengaruh dengan taktik kotor ini,” katanya. -
keadilandaily.com

BUKTI PINJAMAN MALAYSIA KE BANK DUNIA TERBONGKAR


22 Muharram 1433H | 18 Disember 2011

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilihat berada dalam keadaan terdesak dan tertekan apabila tindakan beliau meminjam dari Bank Dunia sudah terbongkar walaupun selama ini beliau menafikannya.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Mahathir sekarang terkedu dan terdesak dan sedang cuba mencari alasan untuk mengalih pandangan rakyat dari isu beliau meminjam wang dari Bank Dunia pada tahun 1999.

"Rekod yang mengatakan beliau melakukan pinjaman juga telah didedahkan oleh laman web Bank Dunia dan sekarang Mahathir memikirkan cara terbaik untuk menutup pembohongan beliau iaitu memfitnah Anwar yang merupakan Menteri Kewangan krtika itu.

"Kenapa beliau takut dan kalau betul baik mengaku sahaja jangan melepaskan apa yang beliau lakukan kepada orang lain," katanya.

Tambahnya lagi pendedahan pinjaman itu menunjukkan ianya berlaku pada tahun 1999 iaitu selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Laman web Bank Dunia mendedahkan bahawa Malaysia membuat pinjaman sebanyak tiga kali pada tahun 1999 dan sekali pada 1998 yang berjumlah AS$400 juta dan pinjamam itu dibuat setelah Anwar dipecat dari kabinet.

Pinjaman Mac 1999 itu atas nama projek "Malaysia Education Sector Support Project", "Malaysia Social Sector Support Project" dan "Malaysia Year 2000 Technicial Assistance Project" manakala pada 18 Jun 1998 bagi projek "Malaysia Economic Recovery and Social Sector Loan".

"Dulu beliau cuba tunjukkan dirinya sebagai 'hero' yang tidak akan tunduk kepada Bank Dunia yang bersikap 'kapitalis'.

"Tetapi sekarang segalanya terbukti bahawa Mahathir diwaktu siang beliau bermusuh dengan Bank Dunia tetapi malam menjadi teman perbualan telefon.

'Screen shot' dari laman web Bank Dunia
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat sendiri boleh melihat sikap berpura-puraan dan berbohong Mahathir hanya untuk kepentingan sendiri.

"Beliau sepatutnya bersumpah yang beliau tidak pernah memohon bantuan dari Bank Dunia, dan jika laporan tersebut itu tidak benar maka beliau perlu mengambil tindakan undang-undang.


"Tapi adakah beliau seberani itu untuk bertindak, yang saya pasti beliau akan terus menyerang Anwar kerana baginya isu Bank Dunia sewaktu Anwar berada dalam kabinet beliau," kata Mahfuz. - harakahdaily

MASA UNTUK JATUHKAN UMNO-BN, BUKAN BERTELAGAH

"Ingatan tanda sayang kepada sahabat..."
21 Muharram 1433 H | 17 December 2011
TASEK GELUGOR, 17 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan teguran Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali terhadap Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin Mat Isa umpama pemimpin yang sayangkan sahabatnya.

Beliau ketika ditemui di majlis Tawaran PAS Negara Berkebajikan di Dewan Orang Ramai Pajak Song, Kepala Batas pagi tadi menambah, apa yang diperkatakan oleh Mustafa itu bukan untuk memanjangkan isu sebaliknya untuk memberitahu kedua-dua tokoh tersebut bahawa mereka telah terjerat dengan agenda Umno.


"Apa yang ditegurkan oleh Datuk Mustafa Ali umpama teguran seorag pemimpin yang sayangkan sahabatnya yang dilihat sudah memasuki zon musuh.


“Jika tidak ditegur mungkin mereka terperangkap terus dalam kancah untuk merosakan PAS dari dalam, tambahan lagi ketika berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang," jelasnya dalam program anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang.


Sambungnya, fenomena itu tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan mendahului kepimpinan.


Sekarang ini, katanya masa lebih memerlukan kepada kerja untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN), bukan pertelagahan sesama sendiri dalam isu yang kecil.


“Masa ini kita patut memperkasakan kedudukan menjadi lebih mantap bersama Pakatan Rakyat agar rakyat lebih percaya Pakatan Rakyat yang dibarisi parti seperti PAS, PKR dan DAP daripada Umno dan BN yang jelas meruntuhkan negara dalam jangka masa panjang.


"Marilah kita bersatu hati merancang menjatuhkan Umno dan BN dengan memperkemaskan semua jentera parti dalam Pakatan Rakyat, mudah-mudahan PR dapat mengulang kejayaan nanti," kata Tuan Ibrahim lagi. - harakahdaily

HOT DOG BABI - RAMLY BURGER NAFI, DAKWA DISABOTAJ

21 Muharram 1433 H | 17 December 2011

IPOH: Kumpulan Syarikat Ramly yang terkenal dengan produk daging burger Ramly menafikan sekeras-kerasnya dakwaan hot dog keluaran syarikat itu mengandungi DNA babi berikutan kenyataan Jabatan Kesihatan Kedah baru-baru ini mengenai keputusan persampelan produk franfurter lembu dengan jenama Ramly dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Yan mengesahkan ia mengandungi DNA babi.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly, Datuk Ramly Mokni berkata, ia adalah cubaan pihak tertentu mensabotaj syarikatnya.

Menurutnya, terdapat penggunaan pembungkusan bukan milik Ramly Food Processing Sdn Bhd dengan nombor batch yang tidak tepat dan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi mengenal pasti pihak yang melakukan sabotaj terhadap produk syarikatnya.

“Saya, isteri dan keluarga adalah pemilik 100% kumpulan syarikat Ramly dan tanda niaga RAMLY. Sebagai Muslim, kami amat menitik berat soal hukum halal haram.

“Perniagaan kami sudah bertapak lebih 30 tahun dan semua kakitangan beragama Islam. Kami tidak akan sesekali melakukan perkara ditegah agama,” katanya. 

Beliau menegaskan, proses pembuatan produk syarikat diselia rapi Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan lain yang berkaitan bagi mengekalkan kredibiliti sebagai pembekal produk halal.

Katanya, syarikat juga mempunyai jabatan halal diketuai Mohamad Rafizie Kastor (berkelulusan dalam bidang syariah Universiti Sains Islam Malaysia) dan turut menubuhkan jawatan kuasa halal dalaman dianggotai semua jabatan terbabit dalam pemprosesan untuk mengeluarkan produk mengikut standard manual Jakim.

Sehubungan itu, Ramly memberi amaran kepada pihak yang cuba memfitnah produk Syarikat Ramly supaya memberhentikan perbuatan ini.

Jabatan Kesihatan Kedah ketika diminta membuat penjelasan perkara itu mengesahkan ada mengambil sampel terhadap produk franfurter lembu jenama Ramly untuk dianalisis. - Harian Metro

(Komentar : Harap pihak yang berwajib dapat mengeluarkan kenyataan rasmi bagi meredakan kegelisahan umat Islam)

KEPADA SIAPA MUNCUNG SENJATAMU DIHALAKAN?

20 Muharram 1433 H | 16 December 2011

Peperangan bukan sahaja mengadu kekuatan pasukan berhadapan dengan musuh, tetapi apa yang lebih penting ialah musuh perlu dikalahkan dengan apa cara sekalipun.

Di zaman kuno, sebaik-baik peperangan ialah peperangan yang dimenangi tanpa menggunakan seorang askar pun – taktik minda, iaitu tulisan sebenarnya jauh lebih tajam daripada pedang mahupun keris.

Keupayaan mengalahkan musuh melalui senjata mereka atau mengelirukan mereka merupakan kaedah terbaik, sehingga musuh sudah tidak lagi dapat membezakan siapa sahabat dan siapakah musuh, dan akhirnya membenamkan diri sendiri.

Strategi mengelirukan ini  menyebabkan musuh akan menembak kawan mereka sendiri, bahkan tidak mustahil ia sanggup menghalakan muncung senjata kepada diri sendiri; terutama bilamana wujud kekeliruan luar biasa dalam diri. Inilah yang menyebabkan berlaku bunuh diri disebabkan wujudnya desakan dalaman agar menamatkan musuh yang sentiasa membisikkan dalam diri sendiri.

“Bunuh dia, agar kamu lepas dari bebanan ini” - lalu ia akan bertindak bukan membunuh musuh sebenarnya, kerana musuh itu tidak akan mati, tetapi ia bunuh dirinya.

Dalam detik perjuangan yang semakin genting, harus diingatkan musuh akan melakukan pelbagai cara untuk menimbulkan suasana huru hara dan konflik dalaman pasukan musuh, sehingga mereka sanggup menghalakan senjata kepada kawan sendiri. Teknik ini seringkali diguna oleh pelbagai agen sehingga berlaku pertembungan dalam pasukan.

Untuk berhadapan dengan konflik ini, setiap kita mesti menyedari plot sesuatu perkara, kerana modus operandi mereka hampir sama. Apa yang paling malang, bilamana wujudnya pengaruh besar dalam diri (senangnya ‘ego diri’) sehingga mereka sangat yakin bahawa tindakan mereka itu adalah betul dan semua tindakan yang lain adalah salah. Kekeliruan luarbiasa ini berlaku sehingga apa jua yang dinyatakan terus ditolak dan dianggap mengarut.

CUEPACS BANTAH SBPA, GESA PENJAWAT AWAM TUNGGU

20 Muharram 1433 H | 16 December 2011

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cuepacs hari ini mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada 19 Disember ini.

Seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa dua minggu mulai esok untuk menerima opsyen sistem SBPA.


Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda 
berkata, pihaknya akan menjelaskan kepada perdana menteri alasan-alasan membantah pelaksanaan opsyen dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adakan program jelajah, tetapi tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada maklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.


“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” kata beliau.


Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, “Kongres di Kuala Perlis khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.”


“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan, dan 
tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu si,gkat.” katanya.

“Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.


Tambah beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.


Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambah beliau. - themalaysianinsider.com

PENEROKA DAPAT DURIAN RUNTUH DISEBALIK 'KERUNTUHAN' FELDA?

18 Muharram 1433 H | 14 December 2011

KUALA LUMPUR, 13 DIS : Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) di bursa saham tahun hadapan bakal menyaksikan Felda kehilangan pendapatannya daripada RM 2.3 billion setahun kepada hanya RM508 juta sahaja.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman
menegaskan usaha kerajaan pusat itu akan menyebabkan tanah ladang kelapa sawit milik FELDA Plantation Sdn Bhd seluas 360,067 hektar bakal terkorban. Ini kerana ia akan dipajakan kepada FGVH selama 99 tahun sekirannya rancangan itu terus dilaksanakan.

"Dimana FGV ini diberikan hak sepenuhnya atau atas istilah lain, anugerah aman sentosa seperti nikmat masuk syurga.
Maknanya kuasa yang dimiliki oleh FGV begitu besar sehingga ia mampu menelan semua FELDA," tegas beliau.

Mazlan juga menyangkal pandangan yang kononnya para peneroka bakal menerima durian runtuh sekiranya FGVH disenaraikan di dalam pasaran saham. P
ihaknya difahamkan durian runtuh yang dimaksudkan itu adalah wang dan sejumlah saham dari tabungan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Selain itu, Mazlan turut mempersoalkan kewajaran kerajaan dan pihak pengurusan tertinggi FELDA mengenakan arahan untuk Ketua Pengarah Felda.


"Saya tampilkan bukti, ini adalah surat yang dihantar oleh Isa Samad kepada Perdana Menteri pada 21 November lalu, Isa Samad mengesyorkan kepada Perdana Menteri supaya Zulkifli mengambil cuti untuk belajar.

"Bagi saya, alasan diarahan cuti ini adalah satu alasan yang tidak masuk akal,kerana ini adalah proses penyingkiran terhadap beliau (Dzulkefli) kerana dirinya dianggap tidak mampu menjalinkan kerjasama, sebagaimana agenda yang dikehendaki oleh Isa Samad (senarai FGV kedalam bursa saham)," tambahnya. - tvsnews.net

MAJLIS SYURA PEMUTUS CALON PRU13

17 Muharram 1433 H | 13 December 2011

KUALA LUMPUR, 13 Dis:
PAS menggesa semua pihak tidak terburu-buru bercakap soal calon parti itu untuk PRU13 kerana ianya masih belum diputuskan.

Menurut Ketua Penerangannya Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, keputusan sama ada mana-mana individu dipilih menjadi calon hanya akan diputuskan di peringkat Majlis Syura PAS.

Mengenai kedudukan Dato' Hassan Ali beliau menjelaskan:

“Sekali pun nama beliau tidak dicalonkan di peringkat cawangan, ia tidak bermakna beliau tidak layak. PAS melihat kreadibiliti dan kepentingan ahli untuk menjadi calon," katanya dipetik Sinar Harian.

Menurutnya, sehingga kini Majlis Syura PAS hanya menerima  60% sahaja senarai pencalonan daripada setiap cawangan parti itu. Selain negeri Selangor, beberapa negeri lain juga masih belum menghantar senarai calon tersebut.

“Ia bermula peringkat cawangan di mana setiap cawangan memberi tiga nama calon dirasakan sesuai bertanding. Nama itu pula diserahkan kepada kawasan dan seterusnya kepada negeri.

“Pas negeri menghantar nama kepada Pusat iaitu Majlis Syura yang akan meneliti setiap nama diberikan. Seperti dikatakan, sekiranya tidak menepati kriteria dikehendaki, Majlis Syura berhak memilih ahli lain berdasarkan kepentingan parti," lapor akhbar berbahasa Melayu itu lagi.

Katanya, pandangan dan penilaian dibuat adalah berasas. Ia diputuskan presiden parti dan keputusan ini tidak boleh disanggah.

“Tidak wujud perebutan jawatan dalam PAS. Apa dipersetujui Majlis Syura disokong semua ahli,” katanya.

ISU NFC - SEMUA YANG TERLIBAT MESTI BERUNDUR

16 Muharram 1433 H | 12 December 2011

Merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Ketua Umno Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur sebelum beliau diundurkan, PAS berpendapat adalah tidak adil untuk Dr Mahathir untuk menyerang Shahrizat, tetapi tidak pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada bulan Mac 2007, Kementerian Pertanian di bawah TPM kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memilih dua syarikat untuk menguruskan NFC.

Sehubungan itu, tidak pelik bilamana Muhyiddin mempertahankan projek tersebut, sedangkan beliau tahu ianya jelas bercanggah dengan kelulusan yang diberikan, dan  berlaku pelbagai penyelewengan dana rakyat tersebut.

Ya, keluarga Shahrizat menerima dan tidak mengendalikan projek tersebut dengan baik, bahkan terdapat unsur-unsur penyalahgunaan dana wang rakyat. Tetapi persoalan yang lebih besar adalah siapa yang meluluskan projek sebesar RM250 juta kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak layak mengendalikannya, sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat.

SELAMATKAN ASET NFC SEBELUM TERLAMBAT

12 Muharram 1433 H | 8 December 2011

NFC tidak syak lagi sudah menjadi satu skandal. RM 250 juta wang rakyat ternyata sebahagiannya telah digunakan di luar skop pemberian/pinjaman ini diluluskan. 


Pembelian kondominium mewah, tanah di Putra Jaya, percutian, kereta mewah dan mungkin banyak lagi yang belum terdedah, sama sekali  tiada kaitan dengan 'core business' NFC dan tujuan pinjaman/pemberian itu diberikan. Selain tidak berkait dengan 'core business', ia mungkin juga bertentangan dengan MnA NFC atau anak-anak syarikatnya.

Ia dengan itu, juga adalah satu pecah amanah.

MENYERAHKAN ASET YANG TIDAK BERKAITAN 'CORE BUSINESS'

Dalam keadaan seperti ini, Kerajaan seharusnya bertindak cepat untuk menyelamatkan semaksimum mungkin jumlah wang yang telah diluluskan itu.

Aset-aset yang telah diletakkan atas nama persendirian atau syarikat persendirian oleh NFC harus segera diarahkan untuk diserahkan kepada Kerajaan.

Kondominium dan tanah di Putra Jaya, jika diserahkan kepada Kerajaan  sekurang-kurangnya membolehkan Kerajaan mendapat semula sebahagain wang yang telah diluluskan tetapi telah digunakan untuk tujuan yang tidak bersangkutan.

DAKWAT KEKAL - SPR 'KAMBING HITAM' MAJLIS FATWA?

Adakah SPR tidak sedar sudah ada fatwa pada tahun 2007?
6 Muharram 1433 H | 2 December 2011
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata alasan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bersedia menggunakan dakwat kekal pada pilihanraya umum akan datang tetapi perlu menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan adalah satu yang aneh.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily berkata, sedangan pada tahun 2008 penggunaan dakwat kekal telah diluluskan malah telah mempunyai kelulusan daripada Majlis Fatwa.
"Alasan SPR itu satu yang aneh serta menunjukkan sikap dolak dalik mereka untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum yang akan datang.
"Selain itu juga ia mempunyai motif tersendiri untuk cari alasan agar penggunaan dakwat kekal tidak dilaksanakan, kenapa kena tunggu kelulusan dari Majlis Fatwa sedangkan pada tahun 2008 sebanyak RM2.4 juta telah dibelanjakan untuk membeli dakwat kekal.
"Malah kelulusan Majlis Fatwa sudah diperolehi tetapi mereka mencipta alasan lain untuk menolak penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya tahun 2008," jelasnya.

ISU NFC - PROTES SENYAP WANITA UMNO DESAK SHAHRIZAT UNDUR

6 Muharram 1433 H | 2 December 2011

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menutup persidangan agung tahunan Wanita Umno kelmarin, kelihatan beliau berjaya mengetepikan kesalahan berkenaan kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) daripada diletakkan pada bahunya.

Bagaimanapun tepukan berdiri menyambut pendirian beliau ketika itu nampaknya tidak berkekalan. Kini wujud sentimen senyap yang sebaliknya, berkenaan dengan isu berkenaan yang dikaitkan dengan keluarga anggota Kabinet ini.


Bercakap kepada
 The Malaysian Insider selepas persidangan mereka, beberapa pemimpin Wanita Umno mengakui bahawa Shahrizat sudah menjadi “liabiliti” kepada parti tersebut dan beliau perlu keluar sebelum skandal NFC “menghancurkan kami semua.”

Bagaimanapun menurut mereka, kebanyakan perwakilan akan merasa “amat takut” untuk bercakap mengenai ketua mereka bimbang boleh hilang jawatan dalam parti.


“Beliau (Shahrizat) menggunakan Wanita Umno untuk melindungi beliau tetapi isu (NFC) bukan isu Wanita (Umno) tetapi adalah bersifat peribadi melibatkan beliau dan keluarganya.


“Sebagai ahli Wanita Umno, saya sangat kecewa. Ramai daripada kami kecewa. Mengapa mengheret kami ke dalam isu ini?” kata seorang perwakilan Wanita Umno dari Perak.


Perwakilan itu menambah beliau sebenarnya terus duduk apabila lautan perwakilan bangun memberi tempukan kepada Shahrizat ketika berucap menutup persidangan.


Katanya, Shahrizat sepatutnya menjelaskan isu berkenaan kepada perwakilan berbanding memikat sokongan dengan hanya mendakwa skandal itu adalah taktik pembangkang mahu melemahkan Wanita Umno.


“Jangan lupa, orang yang pertama mendedahkan isu mengenai kelemahan NFC ialah Ketua Audit Negara, bukannya pembangkang. Jangan menyerang pembangkang untuk menutup kelemahan kita sendiri,” kata beliau lagi. - themalaysianinsider