Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: ISU NFC - SEMUA YANG TERLIBAT MESTI BERUNDUR
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



ISU NFC - SEMUA YANG TERLIBAT MESTI BERUNDUR

16 Muharram 1433 H | 12 December 2011

Merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Ketua Umno Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur sebelum beliau diundurkan, PAS berpendapat adalah tidak adil untuk Dr Mahathir untuk menyerang Shahrizat, tetapi tidak pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada bulan Mac 2007, Kementerian Pertanian di bawah TPM kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memilih dua syarikat untuk menguruskan NFC.

Sehubungan itu, tidak pelik bilamana Muhyiddin mempertahankan projek tersebut, sedangkan beliau tahu ianya jelas bercanggah dengan kelulusan yang diberikan, dan  berlaku pelbagai penyelewengan dana rakyat tersebut.

Ya, keluarga Shahrizat menerima dan tidak mengendalikan projek tersebut dengan baik, bahkan terdapat unsur-unsur penyalahgunaan dana wang rakyat. Tetapi persoalan yang lebih besar adalah siapa yang meluluskan projek sebesar RM250 juta kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak layak mengendalikannya, sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat.

Muhyiddin, selaku Menteri Pertanian yang menganugerahkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Shahrizat adalah lebih bersalah daripada segi pentadbiran kerajaan dan etika kebertanggungjawaban seorang menteri.

Bayangkan sekarang, Muhyiddin ialah bakal PM sekiranya apa-apa terjadi pada Datuk Seri Najib Razak, berapakah banyak projek di bawah kelolaan kementerian dan kuasa beliau yang akan berakhir seperti tragedi NFC. Bolehkah rakyat Malaysia menerima seorang bakal PM yang sedemikian?

Sudah terbukti bahawa Muhyiddin tidak lagi insaf dengan kesilapannya apabila menyatakan bahawa ‘NFC hanyalah isu politik yang dicetuskan Pakatan Rakyat’ dan terus mempertahankan projek tersebut walaupun kewujudan penyalahgunaan dana awam yang susah dipertikaikan.

Dr Mahathir tidak sepatutnya pilih kasih dalam menegur Shahrizat dan tidak kepada Muhyiddin yang meluluskan projek ini. Sekiranya sikap Muhyiddin ini dibiarkan berterusan, berapakah lagi wang rakyat yang bakal terkorban?

Jika Perdana Menteri Najib tidak berani menegur timbalannya, Dr Mahathir selaku mantan dan mentor Umno kenalah berani menegur Muhyiddin atas dasar membantu Najib membetulkan pentadbirannya. Sekiranya Shahrizat disuruh berundur, Muhyiddin pun harus menerima nasib yang sama.

Apa yang pelik bilamana hanya Shahrizat sahaja yang diminta berundur, sedangkan Muhyiddin tidak diarahkan berbuat demikian. Begitu juga dengan beberapa orang yang lantang mempertahankan penyelewengan ini, juga sepatutnya merasa malu kerana ia nyata bertentangan dengan norma biasa.

Jika Shahrizat saja yang berundur, percayalah rakyat akan terus mencengkam isu NFC sehingga semua yang terlibat berundur.


0 comments:

Post a Comment