Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: ELAK SERANG PERIBADI CALON
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



ELAK SERANG PERIBADI CALON

22 Rabi'ul Awal 1432 H | 25 Februari 2011


PAS tidak bertanggungjawab berhubung serangan peribadi terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad bahawa kononnya beliau gagal menamatkan pengajian di Mesir.

Sebaliknya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tuduhan berkenaan kemungkinan dicetuskan melalui blog-blog politik yang tidak mewakili parti itu.

Hak calon untuk jelaskan..
"Saya ingin jelaskan bahawa tidak ada sebarang kenyataan daripada PAS dan kami tak pernah mengeluarkan kenyataan yang menuduh calon tersebut. Gagal atau tidak, bagi kami itu dia punya urusan. Mungkin yang menimbulkan isu ini di kalangan blog-blog yang bukan daripada PAS atau pimpinan PAS. Bagi PAS kita tidak akan menyerang peribadi calon, itu komitmen kami. PAS tak akan guna isu peribadi," tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kesal dengan tindakan PAS mempertikaikan kelayakan akademik calon BN bagi meraih sokongan rakyat.
Menurut Adnan, Syed Ibrahim berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar dalam bidang Bahasa Arab.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Kerdau berkata, kini hak untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan terletak di tangan calon BN itu sendiri.

Menurutnya rakyat mula tertanya-tanya mengenai kesahihan isu yang dibangkitkan itu.

"Cuma yang penting bagi kami ialah calon tersebut perlu bercakap jujur kerana hingga kini rakyat tertanya-tanya sama ada beliau lulus atau sebaliknya, itu hak calon BN untuk jelaskan. Walaupun Menteri Besar sudah buat kenyataan bahawa beliau sudah tengok sijil, tapi tak dinyatakan sijil apa yang beliau tengok," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengulangi komitmen yang dijanjikan PAS untuk tidak menggunakan isu peribadi bagi menyerang calon pada pilihan raya kecil ini.

1 comments:

Unknown said...

Saya setuju dengan kenyataan ustaz

Post a Comment