Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: TIADA TEMPAT UNTUK LYNAS DI MALAYSIA
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



TIADA TEMPAT UNTUK LYNAS DI MALAYSIA

11 Rabi'ul Akhir 1433 H | 5 March 2012
Rakyat terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan sisa buangan Lynas yang mengandungi radioaktif akan dibuang jauh dari kawasan penempatan penduduk, sedangkan lesen operasi sementara telah pun dikeluarkan.

Kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa setelah lesen dikeluarkan, barulah kita terhegeh-hegeh mengenalpasti tapak pelupusan baru? Ianya lebih mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dato Seri Liow Tiong Lai yang meminta syarikat Lynas menghantar sisa-sisa nadir bumi balik semula ke Australia.

Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak. Beliau juga menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang didakwanya cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.

Kenyataan PM ini langsung tidak meyakinkan!

Isu sisa kilang rare earth di Bukit Merah, Perak sehingga kini masih menjadi tanda tanya. Masih terdapat sekurang-kurangnya 3,000 tong sisa yang tidak terurus, manakala tapak sisa lama pula tidak diselenggara dengan baik sebagaimana yang dijanjikan.

Berlatarbelakangkan ini, adalah dangkal untuk meminta rakyat mempercayai kilang Lynas adalah selamat. Kenyataan PM tidak lebih hanya sekadar  ingin meredakan kemarahan rakyat tetapi rakyat telah memberi kata dua; tutup kilang Lynas atau terima hukuman PRU13 nanti.

Lynas seperti 'anak emas' - keluasan kawasan operasi 200 ekar, pelepasan cukai selama 12 tahun serta pelbagai kemudahan lain. Kalaulah layanan yang cukup istimewa ini diberikan oleh kerajaan Malaysia, takkanlah Australia tidak sanggup untuk menerima semula sisa buangan yang tidak mendatangkan sebarang bahaya ini? Tambahan pula benua Australia mempunyai ribuan hektar kawasan tanpa penghuni jika dibandingkan dengan Malaysia.

PAS ingin menegaskan, di mana sahaja sisa tersebut akan dibuang di negara ini, PAS akan bersama rakyat bangkit menentangnya habis-habisan.

0 comments:

Post a Comment