Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



"YANG MENANG TULIS SEJARAH, YANG KALAH BUAT PUISI"

4 Syawal 1432 H | 3 September 2011


Tajuk 'posting' yang sinis ini menggambarkan betapa sukarnya mencari penulisan sejarah oleh manusia yang jujur, kerana majoriti penulis sejarah menulis dari perspektif di pihak mana mereka berada dan ada yang menulis di bawah kawalan ketakutan dan telunjuk golongan berkuasa.

Umum menyedari bahawa penulisan sejarah akan menyebelahi golongan yang akhirnya mendapat kuasa iaitu golongan yang menang. Manakala bagi golongan yang kalah pula, sejarah yang ditulis, walaupun bercanggah dengan fakta, mereka tidak berani untuk berterus-terang untuk menyerang kerana kebesaran risiko dan tekanan yang mereka terpaksa hadapi.

Bahkan, jika ada mereka yang berani, lazimnya sejarah yang ditinggalkan mereka akan dihapuskan oleh golongan yang menang supaya generasi seterusnya hanya terus mengagong dan mengenang jasa golongan yang menang demi kepentingan masing-masing.

Akibatnya golongan yang tertewas ini lebih selesa menulis puisi, cerpen dan novel bagi meluahkan bantahan dan penentangan mereka terhadap satu-satu isu atau tohmahan yang dilemparkan kepada mereka. Maka lahirlah kata-kata sinis "yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi". 

Sejarah, sifatnya ialah peninggalan untuk dinilai, difahami, dipelajari dan diambil iktibar terhadap sesuatu yang pernah berlaku. Jarang sekali ia adalah untuk mencari kesalahan mana-mana pihak ketika peristiwa sejarah tersebut berlaku.

Namun, segalanya menjadi terbantut apabila fakta sejarah yang ditinggalkan tidak boleh dibahaskan, tidak boleh dicabar dan tidak boleh dibincangkan secara akademik, terutamanya apabila muncul dua-tiga versi fakta sejarah yang bercanggah mengenai sesuatu peristiwa.

PAS SANGGAH 'THE STAR'

Maklumat yg sahih hanya melalui saluran rasmi parti
3 Syawal 1432 H | 2 September 2011

PAS tiada hasrat untuk menukarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan dengan ini secara tegas menafikan berita sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star, September 2 dalam satu berita bertajuk ‘‘Azizan resists PAS leadership’s moves to replace him" tulisan Joceline Tan.

Bahkan perkara ini tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat tertinggi parti, samada dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian atau Mesyuarat Lujnah Politik parti. Sekiranya ada perkara penting sebagaimana yang dilaporkan, tentulah ia akan dibawa dalam mesyuarat penting  parti.

PAS melihat ini adalah salah satu usaha melaga-lagakan kepimpinan PAS oleh pihak-pihak tertentu kerana melihat perpaduan yang kukuh dalam PAS.

Menjelang pilihanraya umum akan banyak isu yang sengaja ditimbulkan oleh musuh bahkan akan ada pula perisytiharan keluar parti beramai-ramai sebagai petanda pilihanraya umum bertambah hampir.

Saya menyeru seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar mendapatkan maklumat parti melalui saluran rasmi parti agar kita tidak terperangkap dengan mainan musuh.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
2 SEPTEMBER 2011