Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PATUHI KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS

RABU, 28 OKTOBER 2009 | 09 ZULKAEDAH 1430H

Jawatankuasa Disiplin Parti memandang serius beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu. Semua laporan ini sedang dipantau bagi meneliti sejauh mana segala pertuduhan yang dilemparkan sehingga mencetuskan kegawatan, sebelum mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat pada malam ini.

Jawatankuasa Disiplin parti menyambut baik saranan Dewan Pemuda agar jawatankuasa ini dipertingkatkan. Namun perlu diingat bahawa Jawatankuasa Disiplin Parti hanya boleh bertindak sekiranya ada laporan rasmi kepada parti. Segala kenyataan umum melalui akhbar atau blog tidak boleh dianggap sebagai laporan rasmi. Semua pertuduhan yang dibuat mestilah disokong dengan pembuktiaan. Bukan hanya dengar cakap atau hanya melalui beberapa blog tertentu sahaja.

Sehingga kini, Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi, dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakala satu lagi yang sedang diteliti oleh jawatankuasa. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas.

Sehubungan itu, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada. Kita mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu dalaman parti. Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

Perlu diingat bahawa Jawatankuasa Disiplin memandang serius beberapa tindakan bagi membincangkan semula sesuatu yang telah diputuskan dan dianggap telah selesai. Lantaran itu, sekiranya ada di kalangan ahli biasa atau pimpinan yang
cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan.

Awasilah media perdana yang berusaha melaga-lagakan pimpinan, dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan seolah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain. Kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan kita dan merosakkan hubungan baik serta setiakawan kita dalam Pakatan.


Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti.

NIK AZIZ : MOGA KEMELUT SELESAI

ISNIN, 26 OKTOBER 2009 | 07 ZULKAEDAH 1430H

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap mesyuarat khas PAS pusat Rabu ini dapat menyelesaikan kemelut isu kepimpinan parti walaupun tiada Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata sama ada EGM ataupun mesyuarat khas PAS ia sama saja asalkan ia dapat dijadikan platform untuk menyampaikan hasratnya kepada kepimpinan parti.

"Tidak apa asalkan benda yang sama, dulu orang Arab tidak boleh ziarah kubur tetapi Nabi Muhammad ubah boleh ziarah kubur," katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata PAS tidak akan mengadakan EGM seperti yang dicadangkan Nik Abdul Aziz sebelum ini, sebaliknya mengadakan mesyuarat khas Pas pusat bagi membincangkan isu parti.

Jawatankuasa pusat PAS dengan barisan pesuruhjaya negeri akan membincangkan isu yang dibangkitkan oleh mursyidul am itu.

Lebih kurang 60 pemimpin parti itu, termasuk Datuk Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan, akan diundang ke mesyuarat khas Pas pusat itu.