Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



WAWANCARA EKSKLUSIF BERSAMA DATO' TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN

SELASA, 17 NOVEMBER 2009 | 29 ZULKAEDAH 1430H



Ikuti temubual wartawan Sidangonline sejurus sebelum keberangkatan Dato' Tuan Ibrahim ke Mekah

Ada orang beranggapan Datuk kurang bernasib baik apabila diberi amanah duduk di kerusi panas sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin PAS Pusat. Sedangkan amalan dalam parti lain mereka terdiri daripada tokoh veteran, berpengalaman yang tidak berjawatan. Apakah sebenarnya yang Datuk rasakan?

Sesiapa yang pegang kerusi ini memang panas. Tapi pertamanya, perlembagaan parti mengkehendaki jawatan ini mesti terdiri daripada ahli jawatankuasa pusat, ini termaktub dalam perlembagaan parti. Kemudian mesyuarat memutuskan saya memegangnya, walaupun saya sendiri pernah bangkitkan supaya perkara ini diteliti semula kerana berlaku pertindihan. Bila seseorang dihukum jawatankuasa disiplin dia boleh merayu kepada jawatankuasa PAS Pusat, jadi sekali lagi di situ… maknanya dah dua kalilah. Selepas itu dia boleh merayu kepada majlis syura.

Bagi saya apa yang lebih penting ialah mempertahankan prinsip keadilan itu sendiri. Saya akur menerima jawatan ini setelah diputuskan dalam mesyuarat. Soal yang penting bagaimana kita boleh wujudkan satu sistem disiplin kepada ahli kita. Mengenai cadangan pengerusi lembaga disiplin dipilih daripada merka yang dihormati tetapi di luar kepimpinan saya fikir itu langkah yang baik cuma ini perlukan pindaan Perlembagaan.


Selama ini lembaga disiplin kurang diperhatikan sangat. Tetapi akhir-akhir ini tiba-tiba mendapat perhatian luar biasa pelbagai pihak. Apakah Datuk fikir ahli-ahli PAS sudah mulai kurang disiplinnya sekarang?

Saya fikir tidak juga… sebenarnya lembaga disiplin ini dulupun pernah menggantung ahli contohnya dalam konteks Pahang, pada zaman Pesuruhjaya Rusdi Arif PAS ada ahli PAS yang digantung keahlian. Cuma kali ini saya tengok yang jadi panas dalam kes ini dia di’highlight’ secara luar biasa oleh media seluruh negara berhubung dengan kenyataan mursyidul am yang mahukan EGM. Bayangkan, isu-isu berbangkit berkaitan bajet negara pun jadi kecil. Kebetulan pula dia melibatkan nama tokoh-tokoh besar iatu Exco kerajaan negeri dan Pesuruhjaya PAS Selangor. Sebenarnya banyak lagi kes-kes lain dan tokoh-tokoh lain juga yang sedang disiasat.


Ada yang berpendapat isu asalnya yang menjadi kontroversi selama ini sudah dikecilkan. Mula-mula EGM ke mesyuarat khas dan kemudiannya dia jadi seminar. Jadi seolah-olah cerita atau masalah begitu besar, tiba-tiba cuba diselesaikan melalui medium yang kecil sehinggakan kononnya ada yang tidak bersetuju. Betul begitu Dato'?

Pertamanya Mursyidul Am sendiri dalam mesyuarat khas itu bersetuju tidak ada EGM dan beliau sendiri sangat puas hati. Kalau Mursyidul Am pun setuju, takkan ahli lain tak setuju.

Keduanya, kalau hendak diadakan EGM kita kena tengok sebab apa. Keperluaan EGM ialah untuk membuat pindaan perlembagaan atau hilang kepercayaan kepada kepimpinan. EGM Umno untuk pinda perlembagaan EGM MCA kerana hilang kepercayaan kepada pemimpin mereka. Sedangkan apa yang berlaku dalam PAS ini masalah disiplin. Isu-isu yang dibangkitkan dan nama-nama melibatkan mereka yang berjawatan yang dilantik, bukan jawatan dipilih. Jadi dia isu biasa sahaja yang boleh diselesaikan melalui saluran parti. Jika mesyuarat penuh parti dan lembaga disiplin mendapati ada kes, kita akan bertindak. Betul atau tidak kita kenalah siasat dulu sebab Nabi sebut dalam Hadis pun lebih baik tersilap melepaskan orang bersalah daripada kita tersilap menghukum orang yang tidak bersalah.

Bagi Seminar Memperkasakan parti itu kita buat format seluruh kepimpinan PAS seluruh negara hadir dan dan konsepnya terbuka. Wakil tokoh-tokoh luar juga dijemput membentangkan pandangan dan kita bagi peluang perwakilan boleh berbahas ucapan dasar presiden. Jadi konsepnya hampir sama dengan muktamar agung cuma yang berbeza dia tidak ada pemilihan.


Jadi apakah Datuk sendiri berpuas hati dengan Seminar 7 November tempoh hari?

Ya… secara peribadinya saya sangat berpuas hati dengan seminar yang diadakan hari itu, perjalanannya… penghujahan peserta… yang tak puasnya cuma persoalan kekangan masa perlu diatasi pada masa akan datang. Beberapa pandangan akan diteliti oleh jawatankuasa pusat sebagai pelan tindakan. Bagi saya penggulungan presiden sangat baik untuk jadi sandaran perjuangan.

Apa-apapun yang orang cakap, PAS merupakan parti pertama yang berani dikritik dan dimuhasabah secara terbuka dan telus melibatkan semua pimpinan.


Umumnya pada anggapan ramai, Datuk dilihat seorang yang suka berlembut, sangat menjaga hati sahabat dan bertoleransi serta berhati-hati membuat keputusan. Ini satu persepsi. Kini Datuk diamanahkan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang berperanan menyiasat kesalahan dan menentukan hukuman. Persoalannya bagaimana Datuk menguruskan persepsi ini?

Kita tidak boleh lari daripada persepsi ramai, dalam apa-apapun keputusan persepsi itu tetap ada. Prinsip kita, kita harus balik kepada perlembagaan parti. Sekiranya dalam siasatan kita ada kes kita akan minta yang bersalah membela diri. Dan saya sebenarnya dibantu dalam jawatankuasa ini oleh dua orang peguam, dua orang tokoh ulamak dan seorang veteran bekas pemimpin parti. Jadi saya yakin lembaga disiplin akan berlaku seadil-adil mungkin.


Selama ini Dato' dianggap sebagai 'rising star' atau pemimpin PAS masa depan. Ada yang berpendapat dengan amanah menduduki lembaga disiplin ini boleh merencatkan potensi Dato' untuk masa depan. Contohnya belum dibuat keputusan sudah ada yang menganggap Dato' begitu dan begini, ini persoalan persepsi juga. Apa komen Dato'?

Soal kepimpinan masa depan itu soal lain, soal disiplin soal lain. Saya melihat dalam konteks jawatankuasa disiplin ini perlu diperkasakan sehingga menjadi satu badan dalam parti yang dihormati oleh ahli-ahli. Hingga setakat ini alhamdulillah, beberapa kes kita buat kenyataan baru-baru ini boleh reda. Sikap hormat ahli itu ada. Sebagai contoh bila kes ‘unity gorvernment’ dulu. Bila saya arahkan supaya semua diam dan minta jangan dibangkitkan sebarang kenyataan kontroversi, semua diam. Sekarang kita monitor beberapa orang yang dikaitkan dengan kes ini kerana dianggap boleh mengganggu siasatan.


Selepas PRU 2008 dimana Pakatan Rakyat mendapat sokongan besar rakyat. Apabila berlaku lompatan ahli-ahli daripada parti dalam Pakatan, wakil-wakil rakyat PAS terus utuh dan istiqamah, tidak ada yang melompat. Ini sebenarnya menaikkan lagi imej PAS di mata umum. Malangnya dalam parti pula, berlaku sedikit kekeruhan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Faktor pertama, kekeruhan yang belaku ini dipengaruhi oleh media dan blog. Keduanya, bila isu yang dibangkitkan itu isu berijtihad jadi berbezanya dari sudut pandangan. Contohnya satu pandangan merasakan kalau begini-begini PAS untung, sedangkan pandangan satu lagi merasakan tindakan itu akan merugikan PAS dan Pakatan secara keseluruhan. Jadi saya tengok perbezaan pandangannya di situ.

Cuma saya cukup bimbang dalam konteks parti, saya harapkan supaya ahli-ahli parti tidak cuba mewujudkan kelompok atau kumpulan dalam parti. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita kena menghargai nilai-nilai akhlak jamaah kita kena utamakan nilai-nilai akhlak berjamaah. Kita tegur, kita kritik sahabat kadang-kadang over sangat lebih daripada kita kritik musuh kita.

Apa pun kita kita kena muliakan sahabat mungkin kerana usianya, kedudukannya… jadi perkara-perkara itu perlu kita hargai. Dalam jamaah Islam kita ada etika dan kita terikat dengan adab-adab yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti. Jadi jangan kerana kita tidak bersetuju dengan sekumpulan lalu kita membelakangi akhlak-akhlak berjamaah. Jadi saya fikir mungkin parti juga kena lihat supaya banyakkan majlis-majlis yang bersifat lebih merapatkan ukhuwah, sebagai contoh hidupkan semula mukhaiyam, rehlah, tamrin majlis-majlis zikir qiyamullail dan munajat bagi pimpinan dan keluarga masing-masing supaya kita tidak hanya berjumpa hanya dalam mesyuarat-mesyuarat saja. Sebab saya fikir cabaran masa depan kita pasti akan lebih besar, kelak apabila rakyat bagi mandat nanti itu ujian Allah yang besar. Jadi kalau kita tidak bina kemantapan jiwa yang kuat, ukhuwah jamaah yang tinggi dan toleransi antara pakatan rakyat jadi boleh diambil kesempatan oleh musuh untuk rosakkan Pakatan ini.


Datuk ada menulis menggesa ahli-ahli PAS agar tidak terperangkap dengan agenda musuh. Akhirnya apa nasihat kepada ahli-ahli PAS.

Saya fikir begini, kita habis masa, tenaga dan wang ringgit kita habiskan kepada isu-isu yang berlaku ini meletihkan kita dalam perjuangan. Kita perlu beri perhatian sekarang ini kepada agenda perubahan iaitu masa depan kita menghadapi PRU 13. Apa persiapan kita? Saya bimbang kadang-kadang kerana kita berbincang dan kritik sama-sama kita, kita gagal memberi tumpuan kepada soal-soal asas pilihan raya ini. Sebagai contoh daftar pemilih, soal pengundi, jentera dan sebagainya. Ini benda-benda asas kalau kita gagal beri perhatian nanti dia akan merosakkan tumpuan kita. Jadi itu yang saya timbulkan ada usaha untuk musuh menyelinap masuk di kalangan kita dan mencampakkan idea dan kita pun penat bergelut sesama kita. Dalam PAS ada dan dalam DAP pun ada. Sebenarnya isu ini isu mereka, perpecahan dalam Umno, MIC, MCA, PPP tapi isunya …. sepatutnya kita tidak habiskan masa yang panjang dalam isu ini.

Mudah-mudahan tidak ada lagi selepas ini kenyataan-kenyataan yang membuatkan ahli kita rasa letih dan kepimpinan kita habis tenaga kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jadi sebab itu kita tidak punya masa yang panjang.

KES SUMBANG MAHRAM MEMBIMBANGKAN

AHAD, 15 NOVEMBER 2009 | 27 ZULKAEDAH 1430H

MENAKUTKAN!!!

Itulah rumusan perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali (gambar), ketika mendedahkan statistik sepanjang 2008 dan 2009 berkaitan sumbang mahram yang dikumpulnya secara peribadi hasil aduan mangsa. Dari Januari hingga Disember 2008, beliau menerima 30 aduan daripada mangsa berbeza dan sepanjang 10 bulan pertama 2009, 15 kes dilaporkan kepadanya membabitkan sumbang mahram dengan mangsa paling muda berusia 14 tahun.

“Itu semua yang didedahkan kepada saya sepanjang mengadakan sesi motivasi. Selain mereka, pasti ada lagi yang mendiamkan diri kerana takut atau malu untuk mendedahkan apa berlaku. Gejala itu sungguh membimbangkan kerana ia kini bukan setakat haruan makan anak tetapi turut membabitkan adik, abang atau individu lain yang ada pertalian keluarga. Kebiasaannya pula, ia akan berulang,” katanya.

Menurut Md Izuddin, antara kes pernah ditanganinya ialah anak seorang ahli perniagaan yang menjadi mangsa abang kandung selepas berparti di kediaman mereka. Beliau berkata, ibu bapa mereka ke luar negara dan anak mengambil kesempatan mengadakan parti, termasuk mengambil minuman keras.

“Apabila sedar daripada tidur keesokan hari, si adik mendapati abangnya tidur bersebelahan dan berlaku sumbang mahram. Bagaimanapun, perkara terbabit didiamkan bagi menjaga nama baik keluarga. Satu lagi kes membabitkan bapa dengan anak. Alasan diberi bapa ialah dia yang membesarkan anaknya dan antara cara balasan budi selama ini ialah dengan mengadakan hubungan seks bersama,” katanya.

Md Izuddin berkata, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibu tetapi si ibu mendiamkan perkara itu kerana bimbang kehilangan tempat bergantung. Katanya, kejadian sumbang mahram itu berlaku berkali-kali hingga akhirnya mangsa terpaksa mengadu kepada pihak sekolah kerana tidak tahan diperlakukan seperti itu. Selain itu ada juga aduan membabitkan ayah cuba mengacah anak perempuan dengan sentuhan dan kata-kata meragukan ketika ketiadaan anggota keluarga lain di rumah.

“Saya pernah bersemuka dengan lelaki terbabit dan memberinya kaunseling selain motivasi. Syukur, dia sedar dan berjanji akan menjadi ayah yang baik. Selepas itu saya menghubungi remaja berkenaan dan dia memberitahu ayahnya sudah berubah dan tidak lagi mengacahnya,” katanya.

Bagi memastikan perkara seperti itu mampu ditangani, tiga perkara hendaklah dilakukan membabitkan keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa. Beliau berkata,
didikan agama penting dan kerana itu seawal anak berusia 10 tahun, tempat tidur mereka hendaklah diasingkan.

“Dalam masa sama, batasan hubungan antara adik beradik berlainan jantina juga perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia boleh menjurus kepada sumbang mahram. Faktor ekonomi, latar belakang keluarga dan persekitaran juga memberi kesan dalam sumbang mahram. Kerana itu keluarga adalah pemain utama dalam membanteras gejala negatif terbabit,” katanya.

Masyarakat pula hendaklah ‘jaga tepi kain’ jiran tetapi daripada sudut positif
. Jika melihat anak jiran dalam keadaan bermasalah, cuba tanya apa berlaku supaya perkara seperti itu dapat dibendung.

Selain itu,
pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah dan tidak menganggapnya sebagai masalah keluarga kerana jika dibiarkan, pemangsa mungkin melakukan lebih teruk lagi terhadap wanita lain pada masa depan.

Sumber :
Harian Metro