Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



HARUSSANI, JANGAN 'BIAS'!

1 Muharram 1434 H | 15 November 2012

SHAH ALAM - PKR menggesa Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria supaya mengeluarkan kenyataan lebih adil, bukannya membuat pendirian "selektif" seperti yang dikeluarkan terhadap Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, semalam berhubung kenyataan kontroversi kebebasan beragama.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Harussani sepatutnya mengeluarkan kenyataan lebih terbuka terhadap sesiapa sahaja yang didapati 'bersalah' berhubung isu agama termasuk bekas Perdana Menteri sebelum ini.

"Ada juga kenyataan dua orang bekas perdana menteri kita, seorang pada 2007 yang turut menyatakan 'orang Islam berhak tukar agama dan bebas berbuat demikian' tapi tidak disiarkan di media tempatan, dan satu lagi penghinaan mengenai sunnah Rasulullah s.a.w.

"Harussani perlu berlaku adil dan tidak selektif dalam memberi pandangan termasuk sesiapa sahaja yang menyimpang dari Islam.

"Saya yakin beliau seorang yang amanah sekiranya beliau turut memberi kenyataan serupa kepada kedua bekas pimpinan negara itu," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Harussani dilaporkan menasihatkan supaya Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai, bertaubat serta memohon keampunan daripada ALLAH SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini.

Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin PKR terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, jika Harussani boleh memberi kenyataan berhubung isu Nurul Izzah, PKR juga meminta beliau tegas memberi kenyataan kepada pemimpin lain.

"Jangan hanya berani bagi kenyataan kepada kita sahaja, beliau perlu amanah dalam menjalankan tugas dan tidak memilih kepentingan.

"Beliau juga perlu tegas kepada semua," katanya. - SinarHarian

HUDUD DAN MASYARAKAT CINA

20 Dzulhijjah 1433 H | 5 November 2012


4 NOV — Pendedahan tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL mengenai pemahaman masyarakat Cina terhadap hudud baru-baru ini, nyata membuka mata ramai pihak. Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. 

Lebih signifikan, bilangan peratusan mereka yang menerima pelaksanaan hukum hudud di negara ini meningkat dari 12 peratus dalam tinjauan terdahulu kepada 24 peratus dalam tinjauan terbaru. 


Ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus. Manakala peratusan masyarakat Cina yang tidak pasti dengan hudud telah menurun daripada 38 peratus sebelum ini kepada hanya 25 peratus. 


Apa yang menarik mengenai tinjauan pendapat tersebut ialah generasi muda Cina telah mempamerkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding golongan yang lanjut usia. 


Kesemua hasil tinjauan pendapat UMCEDEL itu jelas menidakkan tanggapan selama ini bahawa masyarakat Cina mempunyai persepsi serong terhadap hudud. 
Pastinya, pendedahan ini bakal mengundang perasaan gundah-gulana kepada parti MCA yang begitu lantang membantah pelaksanaan hudud.

Persoalannya, apakah pucuk pimpinan MCA di bawah kendalian Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan memberi perhatian kepada kajian ini, atau meneruskan agenda untuk menentang hudud dan menolak bulat-bulat kajian itu? 


Sekalipun bilangan responden Cina yang ditemuramah tidak sebanyak mana, namun bilangan kecil responden juga mewakili suara hati akar umbi. 


Nyata, beberapa mesej tersirat dapat disimpulkan menerusi tinjauan pendapat itu. Antaranya, masyarakat Cina kini sudah makin celik dan berpengetahuan. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki dan ditambah pula dengan pendedahan terhadap ICT, maka tidak mustahil orang Cina tidak akan menerima sebarang propaganda secara membuta-tuli. 


Orang Cina juga menghantar mesej kepada MCA bahawa hudud bukanlah isu utama yang dibimbangi mereka. Sebaliknya, isu-isu yang bersifat seharian seperti jenayah, rasuah, kos sara hidup dan keselamatan yang mendominasi pemikiran mereka. 


Dalam keadaan ekonomi global yang masih terumbang-ambing, soal kelangsungan hidup makin kuat kedengaran.  Jika kita meneliti kembali isu-isu yang mendominasi pada PRU ke-12 lalu, kebanyakan isu yang menjadi tumpuan masyarakat Cina bukannya hudud. 


Malah sebagai seorang pengundi, isu-isu yang bersifat seharian inilah yang  akan mempengaruhi pertimbangan parti politik yang akan disokong penulis kelak. 


Apabila MCA baru-baru ini beria-ia menghentam pelaksanaan hukum hudud atas dasar ia akan mengheret negara ke kancah kemunduran, ada baiknya isu berkenaan tidak dipanaskan sebegitu rupa. 


Walaupun bukan beragama Islam, penulis yakin dan percaya ada manfaatnya jika segala kekeliruan dan kecelaruan pihak berkaitan terhadap hudud diperjelaskan dengan sebaik-baiknya. 


Oleh itu, penjelasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh agama sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kekeliruan yang berbangkit. Walaupun secara prinsipnya MCA tidak akan berkompromi dalam isu hudud, tetapi sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan oleh tokoh-tokoh agama terlebih dahulu. 


Usahlah membuat tanggapan atau persepsi melulu bahawa hudud adalah negatif dan memudaratkan.  Isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibangkitkan secara sewenang-wenangnya. 
Apa faedahnya isu ini terus digembar-gemburkan hingga kecoh jadinya di seluruh negara? Mengapa tidak MCA mengambil pendirian yang lebih pragmatik dalam mendidik masyarakat Cina dalam isu hudud? 

Di manakah kewajaran untuk terus bertegas tetapi pada masa yang sama, kefahaman masyarakat Cina terhadap isu itu semakin meningkat? Tidakkah strategi sedemikian hanya memakan diri? Bukankah ini juga bercanggah dengan realiti semasa? 


Hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, menuntut kita semua untuk bertoleransi antara satu sama lain. Apa yang tidak difahami dan tidak jelas, maka diperjelaskan kepada golongan yang terbabit. 


Tidak rugi untuk MCA mendengar penjelasan tokoh-tokoh agama mengenai hudud. Tidak rugi juga untuk masyarakat Cina mendengar perkara yang sebenarnya. Soal untuk menerima atau membantah hukum hudud, itu soal kedua tetapi kesediaan mendengar itu adalah langkah permulaan yang baik.


Sama ada masyarakat Cina menerima pelaksanaan hudud atau tidak, masih terlalu awal untuk menentukannya. Tetapi apa yang pasti, masyarakat Cina perlu diberi kebebasan untuk menilai apa yang baik dan apa yang tidak baik.


Sebarang bentuk paksaan atau amaran yang dilakukan parti tertentu mungkin memberi kesan yang sebaliknya. Tidak semestinya semua strategi yang digunapakai akan memberi kesan yang dimahukan. 

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.