Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: CORAT CORET AIDILFITRI - Ketupat Pulut Punya Angkara
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



CORAT CORET AIDILFITRI - Ketupat Pulut Punya Angkara

KHAMIS, 17 SEPTEMBER 2009 | 27 RAMADHAN 1430H

Kedatangan Aidil Fitri tentunya menggamit pelbagai ingatan pada masa lampau. Kerana itu ramai yang menitiskan air mata bilamana takbir bergema. Walaupun intipati takbir adalah laungan keagungan dan kebesaran Ilahi, diselang seli dengan ingatan peristiwa peperangan Ahzab; ternyata semua itu tidak menggambarkan alunan takbir yang mendayu-dayu, bukan bersemangat sebagaimana kandungan intipati takbir itu. Inilah nada yang telah tercipta , sebarang cubaan untuk mengubah alunan takbir dianggap ‘tak reti takbir’, lebih selamat kekalkanlah irama tersebut. Akibatnya berguguranlah air mata bukan kerana ketakutan kepada Allah dari ucapan yang dilaungkan oleh jamaah, sebaliknya pelbagai kenangan lalu benar-benar mengusik kalbu.

Ada
ingatan kepada arwah ibubapa, suami, isteri dan anak-anak serta sahabat seperjuangan yang telah kembali ke rahmatullah. Tak kurang juga ingatan kepada keseronokan zaman kanak-kanak menyambut hari raya. Bagi saya bila melihat kanak-kanak zaman kini menyambut hari raya, rasanya sangat jauh berbeza dengan zaman lampau. Rasanya tiada keseronokan perayaan zaman sekarang; mungkin kita yang dewasa cuba berfikir macam kanak-kanak. Lalu kita rasai apa yang sedang kita rasai. Saya harapkan ini hanyalah andaian.

Mungkin kerana saya lahir dan dibesarkan di kampung yang jauh dari arus pembangunan, namun hubungan dan ikatan kekeluargaan agak kuat, menyebabkan keseronokan menyambut hari raya sangat terasa. Suasana susah pada masa itu menyebabkan saya dan adik beradik hanya dapat kasut baru pada hari raya, itupun kasut sekolah putih, plastik yang diletak hujung kepala bila nak tidur. Malam berangan-angan pakai kasut baru, bolehlah tayang pada kawan-kawan esok. Bangun tidur hari raya, belum sempat mandi tengok kasut dulu. Awal-awal pagi dah bangun, malam tu bukan lelap sangat tidur, maklumlah irama takbir bergema. Kebetulan dalam kampung hanya beberapa rumah sahaja yang ada radio. Apa lagi. Bila musabaqah qur’an, rumah penuh dengan orang kampung yang datang mendengar siaran langsung. Hampir setiap malam rumah penuh dengan orang kampung datang mendengar pertandingan membaca qur’an, masa tu bukan guna istilah musabaqah lagi.



Ketupat Pulut Punya Angkara


Paling seronok bila pagi raya, keluar dari rumah jumpa geng mula berjalan dari rumah ke rumah kutip duit raya, kalau dapat sepuluh sen, banyak sangat dah. Maklumlah sebotol oren, baru 15 sen. Dapat duit berjalan kaki dekat 2 batu ke pekan Batu Balai, bukan nak apa. Beli oren, dan mercun. Sambil balik masing-masing tunjuk hero, bakar mercun dengan pegang di tangan. Satu kali lepas makan ketupat, masing-masing mula keluarkan mercun dari dalam poket. Pegang dan cucuh, dekat sumbu nak habis baru campak. Kalau campak awal tak power; apa nak dikhabarkan mercun dicampak tak mahu jatuh, sebab tangan tak berbasuh lagi, pulut ketupat punya pasal , akibatnya meletuplah ditangan. Rasa kebaslah juga sejam dua. Tapi tak adalah putus jari tangan macam sekarang..Sebab masa tu mercun kecik macam cili padi je.

Syawal banyak mengingatkan kita kepada zaman lampau, ianya telah berlalu dan tak mungkin datang kembali; terkadang seronok kalau jumpa geng-geng lama kawan sepermainan masa kecil, saling cerita kisah lama, tentunya ia akan mengeratkan silaturrahim yang telah lama tak berjumpa. Perjalanan hidup mendewasakan kita, perjuangan menempuh kehidupan membuatkan kita terpaksa berpisah antara satu sama lain, namun kemanisan menempuh kehidupan yang berlalu tanpa melakukan dosa dan noda amat indah untuk dikenang. Semoga Syawal yang menjelma nanti dapat mempertemukan dengan semua rakan-rakan lama yang sama-sama membakar mercun dulu.

4 comments:

al-aman said...

"Kalau campak awal tak power; apa nak dikhabarkan mercun dicampak tak mahu jatuh, sebab tangan tak berbasuh lagi, pulut ketupat punya pasal , akibatnya meletuplah ditangan. "

Kelakar... mungkin juga itu isyarat dari Allah, sebagai persediaan kepada ustaz untuk memegang tanggungjawab yg besar. Masa kecik pegang mercun yang sedang meletup... masa besar pegang ummah yang bakal meletup.

Takbir!

Selamat Beribadat, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

-Kota Seribu Menara, 1430 H.

Anonymous said...

allah hu akhbar...nostalgia betul cerita tuan guru

al-mankaraqi said...

Selamat hari raya, maaf zahir batin!

hamba said...

Assalamualaikum..
Selamat hari Raya Dato'
Semoga Dato dan Keluarga sentiasa dirahmati Allah..
Semoga sentiasa dalam kasih sayang dan perlindungan Allah..

Saya juga selalu terkenang waktu kecil saya.. macam Dato tulis penuh kenangan...

Post a Comment