Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: SKANDAL VIDEO - QAZAF JALAN TERBAIK
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



SKANDAL VIDEO - QAZAF JALAN TERBAIK

25 Jamadil Awal 1432 H | 28 April 2011

SHAH ALAM 28 APRIL : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini mengaku hanya beliau seorang sahaja akan mengambil sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul esok untuk memperkuatkan dakwaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah yang disebarkannya.

Eskay tidak memberitahu kenapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim enggan bersama beliau untuk mengambil lafaz itu, tetapi menegaskan beliau berbuat demikian kerana “agama, bangsa dan negara.”

Eskay turut mencabar Anwar untuk mengambil sumpah itu bersamanya di  Masjid Amru al-Aas, Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat esok.

Bagaimanapun dua tokoh agama iaitu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr Badrulamin Bahrom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syariat Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.


“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja,  ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata Tan Sri Harussani kepada TvSelangor.

“Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina,  dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah. Menuduh orang berzina itu maknanya qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi perlu bawa bukti,” tambah beliau.

Mengulas lanjut sumpah laknat yang bakal dilakukan oleh Eskay, Harunsani berkata cara itu selalunya membabitkan pertuduhan zina antara suami isteri.

“Selalunya orang yang membuat sumpah laknat ini adalah kalau pertuduhan Li'an iaitu suami tuduh isteri. Qazaf ini,  kalau dia (trio 'Datuk T') tidak boleh mengemukakan bukti, ikut hukum Islam dia (trio 'Datuk T') yang kena sebat. Itu saja hukumnya. Sebab itu tidak semudah ini untuk menghukum orang berzina,” kata Harussani.

Penceramah bebas Badrulamin menegaskan sumpah laknat jelas tidak sesuai digunakan dalam isu video lucah dan ia akan hanya mengusutkan keadaan.

“Sumpah laknat dalam kes video seks ini tidak menurut ajaran Islam dan hanya menurut logik dan akal manusia. Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang berleluasa dalam masyarakat kerana andai kata kedua-dua pihak sanggup bersumpah ia tidak akan selesaikan sebarang masalah,” kata beliau. 

“Jika kita hendak menghentikan fitnah yang sedang melanda ummat ini hanya ada satu jalan iaitu melaksanakan hukum Qazaf,” kata beliau.


“Jamil Khir sepatutnya menyokong pelaksanaan hukum qazaf bukan sebaliknya menutup fail yang diajukan kepada mahkamah syariah di bawah kes qazaf  dan menyuburkan pula budaya sumpah menyumpah ini,” tegas beliau. - tvnews.net

1 comments:

Unknown said...

Salam...inilah masanya wahai umat ISLAM untuk menjelaskan pada masyarakat malaysia..apa itu hukum qazaf dan betapa adilnya ISLAM

Post a Comment