Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: MUSIM 'JANJI ITU INI' KINI TIBA
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



MUSIM 'JANJI ITU INI' KINI TIBA

5 Dzulka'edah 1432 H | 3 October 2011

Bajet sempena musim pilihanraya datang kembali, dengan khabar bahawa sektor awam bakal menikmati kenaikan gaji sehingga 40 peratus.


Alangkah baiknya kalau pilihanraya boleh diadakan tiap-tiap tahun, sudah tentunya kesengsaraan mereka, yang terutamanya yang daripada sektor awam akibat tekanan hidup boleh dikurangkan dengan mendapat bonus dan kenaikan gaji tiap-tiap tahun.


Dan alangkah seronoknya juga jika seseorang itu ialah peneroka kerana pelbagai bonus bakal diterima apabila tibanya musim pilihanraya.


Jika dibandingkan dengan derita orang kampung yang terbiar tak dipeduli. terkenang alangkah peritnya mereka yang bekerja sendiri di kampung, yang hanya dapat mendengar kenaikan gaji orang lain, tapi dirinya dilupakan kerajaan dan terus menderita dengan kenaikan kos hidup.


Inilah senario negara yang tidak pernah dijajah oleh makhluk asing kecuali makhluk Umno yang terus menabur gula-gula “hanya dan jika hanya” tatkala musim pilihanraya, kecil mahupun umum bakal berkunjung.


Semenjak 8 Mac 2008, rakyat telah melalui banyak pilihanraya kecil sebelum ini. Sudah tentu pengalaman hebat mereka ditaburkan dengan pelbagai janji yang tidak pernah kunjung tiba masih segar di fikiran.


Sebahagian besar janji-janji tersebut masih belum ditunai lagi, bahkan sudahpun dilupakan. Sungguhpun begitu, kerajaan yang tidak segan-silu menipu ini akan menabur janji baru kerana sudah tiba musim pilihanraya.


Jika ditanya mana janji yang lama, rakyat bakal mendengar kerajaan akan berjanji ‘janji yang lama’ akan dilaksanakan bersama ‘janji yang baru jika ‘rakyat bantu BN sekali lagi’ terlebih dahulu untuk menang dalam pilihanraya.

Menang dulu sudah tidak dikira walaupun janji belum ditunaikan, itulah jenis kerajaan yang rakyat undi untuk 54 tahun.


Dalam pembentangan bajet pilihanraya, perkara yang menyayatkan hati ialah ke’lalai’an rakyat dalam mendengar perisytiharan angka jutaan dan billion ringgit walaupun kebanyakannya hanya janji kosong sahaja.


Ke’lalai’an itu bagaikan keseronokan menonton filem Hindustan - pelakon lawa, rumah besar, kereta hebat, taman bunga cantik… namun segalanya hilang apabila filem tamat.


Sesudah bangun daripada ke’lalai’an khusyuk beberapa jam mendengar angka berjuta, berbillion yang kononnya akan sampai kepada mereka sebelum pilihanraya umum seterusnya… rakyat kembali ke ruang kini… di mana yang ada hanyalah realiti kehidupan rumah rakyat yang menunggu rebah, anak-anak yang kurus kekurangan zat makanan dan suasana bebanan hidup yang semakin berat.


Diharap rakyat dapat sedar dan keluar daripada 'cycle' yang kejam yang muncul setiap kali musim pilihanraya bertambah dekat.


Tahun ini, julung kalinya rakyat dapat melihat dua tawaran bajet – satu daripada BN dan satu daripada Pakatan Rakyat.
Ambillah peluang ini untuk menilai bajet mana yang lebih menjamin kesejahteraan semua, daripada bajet yang sekadar menyuntik 'morfin' untuk me’lalai’kan rakyat daripada kesakitan hanya sehingga selepas pilihanraya umum.

Selepas kesan morphine hilang, segala kenaikan yang diberi akan diambil semula dalam bentuk kenaikan harga barangan dan GST yang sudah semestinya akan dilaksanakan jika Umno-BN memerintah lagi.


Jalan keluar hanya ada satu iaitu dengan mengundi “apa-apa sahaja selain daripada Umno BN” pada pilihanraya akan datang.

0 comments:

Post a Comment