Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PINDAAN RUKUN NEGARA DISOKONG

KHAMIS, 25 MAC 2010 | 9 RABIULAKHIR 1431H

Gesaan Presiden PAS agar Rukun Negara dipinda bagi menyelaraskan dengan kehendak massa dengan menukarkan Kepercayaan Kepada Tuhan kepada Kepercayaan Kepada Allah sangat-sangat dialukan. PAS berpendapat bahawa penggunaan kalimah Allah lebih tepat bagi menggambarkan Tuhan yang sebenar; berbanding istilah Tuhan yang dapat diterjemahkan dengan pelbagai bentuk dan rupa. Keadaan ini tentunya bertentangan dengan konsep ketuhanan yang sebenar.

Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah dan diimani sebagai Tuhan yang sebenar bukanlah satu istilah yang sensitif bagi golongan bukan Islam, kerana selama bertahun-tahun mereka juga menggunakan kalimah Allah dalam menyanyikan lagu-lagu rasmi kebanyakan negeri.Bahkan para pelajar khususnya menyanyikan lagu-lagu negeri ini dengan menggunakan istilah Allah, tanpa menimbulkan sebarang polimik, kerana itulah hakikat ketuhanan sebenar. Bahkan dalam kehidupan seharian istilah Allah digunakan oleh kalangan bukan Islam
terutama dalam aspek penciptaan, kejadian, kehidupan dan kematian.

Gesaan Presiden PAS dilihat satu usaha bagi meletakkan Allah sebagai Tuhan yang dipercayai dan disembah, agar rakyat negara ini lebih merasai keperluan mempercayai Allah dalam kehidupan mereka. Hal ini dilihat dengan hanya menyebut kepercayaan kepada Tuhan lebih umum dan ianya dilihat
tidak mendatangkan keperluan kita mengimani sebagai tumpuan utama dalam setiap aspek kehidupan. Akibatnya ramai dari anggota masyarakat tidak mengikuti arahan dan perintah Allah dalam kehidupan mereka. Meningkatnya gejala sosial, rasuah, penyelewengan, ketidakadilan sosial, dan lainnya adalah menifestasi tiadanya penghayatan kepada konsep ketuhanan yang diimani.

Kini sampailah masa seluruh anggota masyarakat melihat isu ini dengan lebih terbuka, ilmiah dan rasional bagi membina satu masyarakat yang menjadikan Allah sebagai asas kepercayaan. Diharap dengan membuat pindaan ini juga, sebarang polimik yang
cuba dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu akan berjaya diatasi.

KRITIK IKUT SALURAN

Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Disiplin PAS terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, perlu mengikut saluran yang ada dan bukannya mengkritik secara terbuka.

Pengerusinya, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mengkritik jawatankuasa itu secara terbuka adalah tidak wajar memandangkan parti mempunyai saluran khas iaitu Jawatankuasa Rayuan bagi menerima sebarang bantahan.

"Kalau ikut prosedur parti, memang dilarang, kita tak puas hati kita bantah Jawatankuasa Disiplin, sepatutnya tidak berlaku. Mana-mana tak puas hati, ikut peraturan yang ada, pergi ke Jawatankuasa Rayuan yang ada," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Selain tidak sepatutnya berlaku, Tuan Ibrahim juga mengingatkan pihak yang tidak berpuas hati itu berhenti dari mengkritik secara terbuka kerana ianya boleh membentuk satu persepsi salah terhadap Jawatankuasa Disiplin dan PAS itu sendiri.

"Kita ada adab kita, ada akhlak kita dalam jamaah yang kita kena jaga, kalau tak boleh jaga akhlak, mengkritik tanpa adab, bukan sahaja menggambarkan kita tidak beradab tetapi yang lebih besarnya takut kita membentuk satu persepsi salah."

Jawatankuasa Disiplin, jelasnya hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan parti dan bertidak dengan asas yang kukuh. Tugas utama jawatankuasa itu, jelasnya adalah untuk melihat perjalanan parti dengan baik dan menyekat elemen-elemen yang dianggap merugikan parti yang dibuat oleh ahli.


"Kita bukan nak hukum orang, bagi kita, seseorang itu tidak akan bersalah selagi tidak dibuktikan dia bersalah. Bila ada kes, kita kena jatuh hukuman, biasalah kita jatuh hukuman, ada yang setuju dan tidak setuju tak boleh nak elak, memang akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita," katanya lagi.

Berhubung cadangannya agar anggota jawatankuasa disiplin bukan daripada AJK PAS Pusat, beliau berkata cadangan tersebut bukan bererti beliau mahu lari dari tanggungjawab, tetapi mahu jawatankuasa tersebut dilihat adil. Beliau turut mengakui, cadangan tersebut sukar untuk dilaksanakan dan akan memakan masa yang lama kerana melibatkan pindaan perlembagaan PAS.

"Bukan saya nak lari dari tanggungjawab, soalnya adalah Jawatankuasa Disiplin bukan sahaja hukuman adil, tapi dilihat adil, itu yang payah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli parti menumpukan kepada agenda lebih besar, iaitu gerak kerja pilihan raya berdepan Umno/BN daripada sibuk mengkritik PAS atau Pakatan Rakyat.