Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

AYUH BERSATU PERKASAKAN JAMAAH

13 Rabi'ul Akhir 1433 H | 7 March 2012
Saya merakamkan rasa tahniah kepada seluruh ahli PAS yang menerima berita gembira penyelesaian kepada ribut kecil di PAS Kedah. Tindakan kedua-dua exco Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh dan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mencerminkan satu akhlak jamaah yang tinggi, bilamana akur dengan pandangan parti.

Tahniah diucapkan kepada Jawatan Khas yang terdiri daripada Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan dua Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar yang bertungkus lumus menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut ini. Khususnya bagi YB Salahuddin, sememangnya anda dilayak digelar Kofi Anan dalam PAS.  

Ahli dan para pemimpin juga sangat gembira dan terharu dengan kepenatan Presiden PAS yang bergegas balik dari Bosnia, transit di Austria, Qaherah, Bangkok dan sesampai di KLIA terus bergegas ke Kedah. Tidak sempat menjamah makanan, terus menghadiri mesyuarat dalam keadaan demam sehingga jam 3 pagi.

Kegembiraan kerana seluruh ahli parti ingin melihat Kedah terus mantap, dan menjadi pangkalan kedua terkuat pemerintahan PAS selepas Kelantan. InsyaAllah apa yang dibincang dan dirumus akan dapat dilaksanakan, demi kebaikan dan masa depan PAS Kedah khususnya dan negara amnya.


PAS Pusat mengharapkan satu majlis munajat perdana dapat diadakan dalam masa terdekat. Mari kita himpunkan ribuan rakyat Kedah di stadium untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, meluahkan kasih sayang dan mahabbah antara kita.

Semoga Allah memperteguhkan jamaah ini. Allahu Akhbar.

TIADA TEMPAT UNTUK LYNAS DI MALAYSIA

11 Rabi'ul Akhir 1433 H | 5 March 2012
Rakyat terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan sisa buangan Lynas yang mengandungi radioaktif akan dibuang jauh dari kawasan penempatan penduduk, sedangkan lesen operasi sementara telah pun dikeluarkan.

Kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa setelah lesen dikeluarkan, barulah kita terhegeh-hegeh mengenalpasti tapak pelupusan baru? Ianya lebih mengelirukan kerana bercanggah dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dato Seri Liow Tiong Lai yang meminta syarikat Lynas menghantar sisa-sisa nadir bumi balik semula ke Australia.

Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak. Beliau juga menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang didakwanya cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.

Kenyataan PM ini langsung tidak meyakinkan!

Isu sisa kilang rare earth di Bukit Merah, Perak sehingga kini masih menjadi tanda tanya. Masih terdapat sekurang-kurangnya 3,000 tong sisa yang tidak terurus, manakala tapak sisa lama pula tidak diselenggara dengan baik sebagaimana yang dijanjikan.

Berlatarbelakangkan ini, adalah dangkal untuk meminta rakyat mempercayai kilang Lynas adalah selamat. Kenyataan PM tidak lebih hanya sekadar  ingin meredakan kemarahan rakyat tetapi rakyat telah memberi kata dua; tutup kilang Lynas atau terima hukuman PRU13 nanti.

Lynas seperti 'anak emas' - keluasan kawasan operasi 200 ekar, pelepasan cukai selama 12 tahun serta pelbagai kemudahan lain. Kalaulah layanan yang cukup istimewa ini diberikan oleh kerajaan Malaysia, takkanlah Australia tidak sanggup untuk menerima semula sisa buangan yang tidak mendatangkan sebarang bahaya ini? Tambahan pula benua Australia mempunyai ribuan hektar kawasan tanpa penghuni jika dibandingkan dengan Malaysia.

PAS ingin menegaskan, di mana sahaja sisa tersebut akan dibuang di negara ini, PAS akan bersama rakyat bangkit menentangnya habis-habisan.

PRU13, MASA UNTUK UMNO-BN DIHUKUM

10 Rabi'ul Akhir 1433 H | 4 March 2012
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf atas kesilapan lalu BN tidak membawa sebarang makna melainkan ia disusuli dengan langkah-langkah pembetulan.

Menurut beliau, antara keutamaan Najib kini ia menyelesaikan gejala rasuah dan salah urus dana awam, seperti yang melanda projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Sama ada memohon maaf atau tidak, kata Saifuddin, hukuman sedia menanti pemimpin BN dan sekiranya rakyat memutuskan bahawa Pakatan Rakyat berkuasa, mereka akan bertindak ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang korup dan menyalahgunakan kuasa.

"Kita akan heret mereka satu per satu untuk dibicarakan di mahkamah jika kita mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya akan datang," katanya pada ceramah di Sungai Petani, malam semalam.

Saifuddin mengulas kenyataan Najib semasa Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Baling, semalam yang memohon maaf atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Permohonan maaf secara terbuka itu adalah yang kedua dalam tempoh enam hari berhubung kepincangan pentadbiran BN, khususnya Umno sehingga membawa kepada kekalahan mereka di Selangor dan Kedah.

Kali pertama, Najib mengakui kesilapan BN dan Umno itu adalah pada 26 Februari lalu di Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas permohonan maaf itu, Saifuddin berkata, walaupun pengundi di Selangor, Kedah dan tiga lagi negeri lain telah "menghukum" BN pada tahun 2008, namun pilihan raya umum akan datang adalah peluang untuk menghukum Najib pula.

Ini, kerana menurut Saifuddin, Najib selepas mengambil-alih pentadbiran Putrajaya daripada Tun Abdullah Badawi yang digulingkan oleh Umno pada tahun 2009, tidak mengambil sebarang tindakan bagi memperbetulkan segala kepincangan BN.

"Kita masih belum menghukum Najib. Kita akan berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang ini," katanya, seambil disambut tepukan gemuruh oleh hadirin. - Malaysiakini