Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: October 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



DI MANA UMNO KETIKA ISLAM DIHINA?

2 Dzulhijjah 1432 H | 30 October 2011

KUALA LUMPUR, 30 Okt: PAS mempersoal adakah benar kononya Umno mahu memperjuangkan Islam sedangkan parti itu hanya diam membisu ketika MCA sedang berpesta menghina Islam.

AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, kenyataan menghina Islam terbaru dari Presiden MCA, kononnya hukum Islam menjejaskan ekonomi dan membawa kemunduran, seperti "direstui" Umno dan NGO yang pro mereka.


"Di mana suara Umno ketika MCA biadab dengan Islam? Di manakah NGO Pro-Umno ketika pemimpin MCA menghina Islam degan penuh emosi? Kenapa mereka menikus? 


"Apakah MCA berani menghina Islam kerana diberi lesen oleh Umno? Kenapa Umno tidak memberi amaran kepada MCA?" soalnya bertubi-tubi melalui satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.


Beliau mengulas kenyataan terbaru Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendakwa jika hukum Islam dilaksanakan, ekonomi negara akan terjejas dan akan membawa kemunduran kepada negara.


Menurutnya, adalah tidak mustahil tindakan 'tutup mulut' oleh Umno itu kerana ada kepentingan politik tertentu disebaliknya walaupun sanggup melihat sahaja Islam dihina.


"Apakah kerana takut kehilangan pengaruh dan meraih undi, maka Umno membisu, asalkan matlamat politik mereka tercapai walaupun Islam dihina.


"Cuba bayangkan jika kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin DAP atau pemimpin PKR, maka sudah tentu akan diadakan demontrasi di KOMTAR Pulau Pinang oleh tukang juak-juak mereka," ujar bekas ketua penerangan PAS itu lagi.


Kenyataan menghina Islam oleh presiden parti komponen BN itu menurut Idris, bukan pertama kali malah ketika pilihanraya kecil Tenang beliau menghina Islam apabila menghina calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki.


Beliau turut mempersoal dimanakah suara NGO Umno yang berkobar-kobar untuk mempertahankan Islam ketika program HIMPUN di Shah Alam 22 Oktober lalu.
Katanya, amat malang jika kita marah kepada orang lain menghina Islam tetapi pada masa yang sama 'memberi lesen' pula kepada MCA berbuat demikian.


"Setakat hari ini kita belum dengar lagi suara Perkasa, YB Zulkifli Nordin, Dr Rhidwan Tee, Tan Sri Ibrahim Abu Shah dan kuncu-kuncu mereka.


"Amat malang kepada kita jika kita ada orang yang mempunyai otak asabiah yang membuta tuli seperti ini. 


"Kita akan dengar lagi selepas ini kenyataan yang lebih dahsyat kepada Islam, jika pemimpin MCA melihat sokongan orang bukan Islam masih tidak lari daripada menyokong Pakatan Rakyat menjelang PRU 13," katanya. - harakahdaily

HUDUD - PAS BIDAS TUDUHAN LIAR TUN M

1 Dzulhijjah 1432 H | 29 October 2011

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar Tun Dr Mahathir  Mohamad sambil menegaskan bekas perdana menteri itu tidak memahami hukum hudud secara mendalam menyebabkan beliau berpandangan sistem perundangan itu akan menyebabkan ketidakadilan.

Kelmarin, Dr Mahathir mempertikaikan hasrat PAS mahu melaksanakan hukum hudud kerana menurutnya, perundangan Islam itu akan membawa kepada sistem keadilan yang berat sebelah kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim di negara ini.


TG Haji Hadi
 berkata kenyataan itu membuktikan Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno tidak mengkaji secara terperinci undang-undang hudud.

“Dia (Tun) ini tidak baca habis undang-undang hudud, hudud bukan setakat potong tangan, orang kudung tangan, undang-undang ini lebih kepada memberi peringatan kepada masyarakat untuk tidak melakukan jenayah.


“Soal tidal adil ini, memang sudah ada perbezaan antara Muslim dan bukan Muslim, undang-undang perkahwinan, perceraian, semua berbeza,” jelas Hadi lagi.


Tambah Hadi, pelaksanaan hudud bukanlah semata-mata berkenaan hukuman, sebaliknya ia lebih kepada mencari jalan penyelesaian untuk membebaskan pesalah daripada dijatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.


“Hudud tidak menjatuhkan hukuman secara membuta tuli, ada beberapa faktor yang tidak akan dikenakan hukuman, mencuri ketika kelaparan, mencuri kerana kemiskinan, mencuri di kawasan lapang, ini semua tidak akan dikenakan hukuman.


“Sekiranya pesalah dibawa kepada hakim, mereka bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman, sebaliknya mencari jalan untuk mengelakkan pesalah daripada dihukum,” tegasnya. - themalaysianinsider

BAZIR WANG NEGARA SATU PENGKHIANATAN - A KADIR JASIN

29 Dzulka'edah 1432 H | 27 October 2011

A. Kadir Jasin


BUKANLAH tujuan kita sepanjang masa mencari salah Kerajaan. Kita juga harus mengiktiraf perkara-perkara betul yang Kerajaan lakukan. Tetapi kalau Kerajaan melalukan kesalahan, kita berhak mengutuknya kerana kita tidak memilih dan membiayai Kerajaan untuk melakukan kesalahan.

Atas prinsip itu, kita menyambut baik Laporan Ketua Juruaudit Negara yang memberi markah tinggi kepada kebanyakan Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan. Tetapi kita juga mengutuk kegagalan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang gagal menunjukkan prestasi baik.


Pada 24 Oktober, portal berita Malaysian Insider melaporkan yang Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) akan menyiasat tujuh Kementerian dan Agensi kerana pengurusan kewangan yang lemah. 
Mereka adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pengangkutan, Lembaga  Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Perbadanan Stadium.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid dipetik memberitahu pemberita bahawa ini adalah tujuh yang diperakukan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya yang terbaru. Kata Azmi, PAC akan memutuskan minggu depan kalau bilangan yang akan disiasat akan ditambah.


Azmi yang disertai Ketua Juruaudit Negara, Ambrin Buang, berkata, pengurusan kewangan Kementerian dan Agensi Kerajaan bertambah baik dengan 43 daripadanya mendapat skor tertinggi empat bintang, 60 tiga bintang dan dua mendapat dua bintang. Tidak ada yang memperoleh penarafan bintang merah iaitu satu bintang.


Saya tidak bercadang membuat analisis laporan Ketua Juruaudit Negara itu kerana media massa arus perdana dan baru telah banyak melaporkannya. 
Memadailah kalau saya katakan, kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar.

Penyalahgunaan, pembaziran dan kebocoran peruntukan kewangan negara bertentangan langsung dengan mantera 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan menggambarkan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menjadi wadah perjuangan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak.
Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan.

KEPINCANGAN LAPORAN AUDIT, HUKUM BN DENGAN KUASA UNDI

27 Dzulka'edah 1432 H | 25 October 2011

Kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada “peti undi.”

Inilah kesimpulan dari Laporan Audit 2010 yang sekali lagi menegur kelemahan ketara dalam pengurusan kewangan negara terutamanya dalam pengurusan projek dan membeli perkakas.


Walaupun Ketua Audit Negara (KAN) telah membuat pelbagai teguran setiap tahun, namun perkara yang sama terus dilakukan, yakni budaya ketirisan, keborosan dan pembaziran yang disemai BN terus subur tanpa sebarang kekesalan. 

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN ialah kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang. Sebagai contoh, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding.

Selain itu, juga dilaporkan kesanggupan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan. Antara yang paling menjengkelkan ialah pembelian sebuah binokular pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

MARA (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga MARA.

Selain itu, syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, hutang negara meningkat 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion di 2009, dan ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%.

Semua di atas menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN, jesteru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini. 

Kekecewaan ini akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab. 

RAKYAT TERBEBAN DENGAN CUKAI GST

25 Dzulka'edah 1432 H | 23 October 2011

KOTA BHARU, 23 Okt: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak ada kawalan ke atas perbelanjaan yang boros dan gaya hidup mewah.

Pada masa yang sama, rakyat pula katanya bakal dikenakan cukai barangan GST (Goods and Services Tax) yang sekaligus menyaksikan rakyat bawahan akan terus terbeban.


“Rang Undang-Undang berkaitan sudah diedarkan, tunggu masa hendak diluluskan dan akan dilaksanakan kutipan cukai baru itu ke atas segenap lapisan rakyat, tanpa mengira miskin atau kaya.


“Sedangkan dia tidak ada kawalan ke atas perbelanjaan yang boros dan gaya hidup mewah, bahkan memperkenalkan cukai baru," katanya.


Beliau berucap pada program Penjelasan Sidang Dewan Undangan Negeri dan Bajet 2012 Muslimat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lajnah Penerangan Muslimat PAS Negeri di JKR 10, Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini semalam.


Mengulas lanjut, Saifuddin mendakwa perbelanjaan negara terus bertambah akibat pemborosan, pembaziran, kebocoran dan ketirisan.


“Sebagai contoh, perbelanjaan perjalanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib mencecah RM17 juta, pembayaran bill utility rumah Perdana Menteri dan Timbalannya serta bill air menelan belasan jutaan ringgit.


“Perbelanjaan itu boleh dikawal jika sekiranya cara hidup mewah dihentikan,” katanya.



Pemberian one-off hasil hutang


Selain itu, beliau mendakwa pengumuman insentif dalam Bajet 2012 oleh Datuk Seri Najib yang bersifat ‘One Off’ adalah hasil daripada hutang. Neg
ara terpaksa menambah hutang bagi menampakkan BN membiayai rakyat pada masa yang sama mereka menambah defisit negara.

“Hutang yang terpaksa dibuat bagi menampung defisit dan hutang jugalah bagi membiayai rakyat,” dakwanya.


Mengulas laporan Ketua Audit Negara yang tidak dibentang biarpun perbahasan Bajet 2012 di peringkat dasar telah pun tamat, beliau yakin ada sesuatu yang tidak kena.


“Biasanya bukti-bukti salah urus ini akan dicatatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, setiap tahun.


“Peristiwa (kelewatan) ini saya lebih melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena walaupun penjelasan diberikan pihak Jabatan Audit,” katanya. - harakahdaily

STAF AKADEMIK UIA PERTAHAN AZIZ BARI


23 Dzulka'edah 1432 H | 21 October 2011

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.
Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

Beliau adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.

Ini adalah seperti yang dinyatakan didalam Al Qur’an: Surah al-Anbiya’ (21:7):

“Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui”.


Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi beliau ruang untuk berdebat secara lebih terbuka kerana proses konstruktif sebegini akan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat di negara tercinta ini.

Peringatan ini jelas berkait rapat dengan ayat Al Qur’an dalam Surah al-Baqarah (2:111):

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

WARGA ASING BAKAL USAHAWAN NEGARA!

17 Dzulka'edah 1432 H | 15 October 2011

1. Apabila Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat sesuatu kenyataan ataupun pendedahan, semaksimum mungkin kenyataan dan pendedahan tersebut akan dinilai agar tidak terjebak dalam fitnah ataupun penyebaran berita palsu, malah ia terlebih dahulu dianjur berlandaskan fakta, bukti dan nas.

Begitulah disiplin yang terpaksa dilalui oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia. 


Justeru setiap kenyataan dan pendedahannya akan sentiasa dipantau musuh politiknya dan pantas diseret musuh ke mahkamah andai ia adalah fitnah dan palsu.

2.  Mutakhir ini Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat yang dipengerusikan oleh Sdr Suhaizan Kaiat bersama Timbalannya Sdr Mohd Adram Musa, banyak membuat pendedahan berkait penyelewengan dan kepincangan sistem urus demokrasi serta sistem pengendalian pilihanraya. Pendedahan tersebut dituruti dengan penyerahan memorandum kepada pihak berwajib seperti SPR dan JPN, malah laporan polis turut dilakukan.

3. Sehingga kini Dewan Pemuda PAS belum disaman atau diheret ke mahkamah berkait semua pendedahan yang dibuat. Sebaliknya pihak SPR dan JPN hanya memberi jawapan melalui media dengan menafikan dakwaan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Lebih malang apabila penafian yang dilakukan itu sangat rapuh dan terkadang melucukan.

4. Sebelum ini SPR berulang kali menafikan dakwaan DPPM bahawa wujudnya nama pemilih yang bertindih, pemilih yang tidak dikenal pasti dan pelbagai lagi kekeliruan seperti mempunyai identity card yang hampir sama dalam keadaan yang sangat meragukan.

Tetapi beberapa hari selepas penafian dilakukan, 50 ribu senarai nama dikeluarkan dari senarai pemilih sedang peraturan yang ada, nama pemilih hanya boleh dikeluarkan apabila ianya dibantah dengan bayaran dan bantahan itu diterima.

5. Terbaru pihak Polis Diraja Malaysia pula dijangkiti sindrom penafian apabila OCPD Serdang Superitenden Imran Abdul Rahman menafikan sindiket penganugerahan ic kepada 240 warga asing dari Johor kononnya mereka dibawa ke Selangor untuk mengikuti Kursus Keusahawanan. Sedangkan mereka telah berjaya dikesan dan dikepung oleh Pemuda PAS,  dan akhirnya mereka terpaksa bersidai di Istana Dugang Country Resort.

'JANGAN BAGI PELURU UNTUK MUSUH MENYERANG'

15 Dzulka'edah 1432 H | 13 October 2011
PAS pusat akan mendapatkan penjelasan sebenar dari pengerusi DHPP berhubung beberapa kenyataan beliau yang dilaporkan dalam pelbagai perspektif.

Sehubungan itu, atas dasar mengeratkan muafakat dan sangka baik, Jawatankuasa PAS Pusat akan memanggil beliau dalam masa terdekat untuk memberi maklumat sebenar berhubung beberapa kenyataan terbuka beliau di media yang dilaporkan tidak selari dengan dasar parti.

Sebagai sebuah parti politik yang besar, kita memahami terdapat kadang-kala berlaku salah lapor dalam media berhubung beberapa kenyataan pimpinan. Oleh kerana itu, jalan terbaik ialah mendapat penjelasan langsung dari yang terlibat.

Tidak dinafikan, PAS sebagai parti yang besar juga tidak dapat lari daripada dilanda pelbagai isu dalaman. Atas dasar itu, PAS sudahpun mempunyai pelbagai saluran parti untuk mendapatkan maklumbalas dan penjelasan tentang sesuatu isu dalaman.

Ruang demokrasi dalam PAS adalah besar, namun apabila ia melibatkan isu dalaman, disarankan agar semua ahli selesaikan secara demokrasi di dalam parti.

PERLANTIKAN ISA SAMAD TIDAK SAH

13 Dzulka'edah 1432 H | 11 October 2011
Malaysiakini
Pelantikan Isa Samad baru-baru ini sebagai ketua Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF) adalah tidak sah kerana beliau tidak layak untuk menjadi ahli dalam persatuan itu, kata setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution.

pkr congress pc 271110 saifuddin nasutionSaifuddin yang mendakwa memetik sumber-sumber dalam gergasi perladangan negara itu berkata lembaga pengarah KPF telah meluluskan kemasukan Isa sebagai ahli lembaga berkenaan tanpa mengambil kira undang-undang dan peraturan-peraturan yang mengawal koperasi.

Beliau berkata pihak pengurusan KPF yang tidak senang dengan pelantikan yang didakwa dilakukan sewenang-wenangnya telah meminta nasihat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Ia (SKM) menyatakan bahawa apa-apa pelantikan ke lembaga mana-mana koperasi tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Koperasi 1993 dan undang-undang yang mengawalnya," kata Saifuddin kepada Malaysiakini.

"Oleh kerana Akta itu dan undang-undang berkaitan menyatakan bahawa hanya ahli-ahli  (koperasi) yang telah disahkan (keahlian mereka) selama dua tahun layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah, pelantikan beliau (Isa) juga tertakluk kepada peruntukan ini."

azlanDifahamkan cadangan Isa yang juga pengerusi Felda - sebagai ahli lembaga pengarah KPF dan menjadikan beliau pengerusi koperasi berkenaan telah diluluskan pada mesyuarat khas lembaga pengarah pada 22 Jun lalu.

Tindakan itu didakwa menimbulkan kekeliruan kerana di sebalik keputusan lembaga pengarah, pengurus besar Felda dan ketua KPF sebelumnya, Zukifli Wahab telah mempengerusikan mesyuarat lembaga pada 8 September lalu untuk membincangkan kerusinya untuk diisi oleh Isa.

Ini menimbulkan tandatanya sama ada pelantikan Isa sememangnya telah berkuat kuasa.

NEGARA BERKEBAJIKAN VERSI NAJIB : CADANG NAIK ELAUN AP DI SAAT RAKYAT TERBEBAN

13 Dzulka'edah 1432 H | 11 October 2011


Di saat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen (AP) membincangkan keperitan kehidupan rakyat dan mewar-warkan kehidupan berjiwa rakyat sehingga ada sanggup naik bas (walaupun mewah), naik basikal dan melawat rakyat yang menderita kemiskinan untuk menyelami keperitan mereka, tiba-tiba timbul pengumuman kenaikan elaun-elaun AP, yang telahpun dianggap besar bagi golongan rakyat yang perit.

Kenaikan elaun AP biasanya akan diikuti dengan kenaikan elaun para menteri, timbalan menteri dan lain-lain. Keadaan ini bakal menyebabkan negara terpaksa menanggung kos kekal (fixed cost) yang semakin bertambah. Kos kekal ini hanya boleh diatasi dengan peningkatan pendapatan negara, sekiranya gagal ia akan menambah bebanan kepada golongan bawahan pada masa hadapan.


Apakah kewajaran untuk menimbulkan cadangan menaikkan elaun AP yang telahpun mempunyai pelbagai kemudahan dalam menjalankan tugas sebagai AP, dalam masa yang sama kehidupan rakyat masih dalam keadaan perit?


Cadangan ini ibarat kata pepatah ‘berat rakyat yang junjung, ringan wakil rakyat yang jinjing.’ Rakyat marhaen bolehlah menilai sendiri versi negara berkebajikan Datuk Seri Najib Razak yang diwar-warkan akan mengutamakan rakyat tapi sering kali hanya akan ‘mengutamakan yang senang.’


Namun kali ini, rakyat bernasib baik kerana hasil daripada kehendak AP Pakatan Rakyat, kerajaan BN terpaksa membatalkan cadangan kenaikan elaun AP. Inilah bukti sahih yang membolehkan membuat perbandingan wakil rakyat sebelah mana yang lebih prihatin dan sensitif kepada keperitan rakyat.


Rakyat marhaen yang terbeban dengan kos hidup samada yang bekerja di agensi swasta atau kerajaan, khususnya golongan yang terdedah kepada gejala rasuah yang menjadi-jadi yang mengakibatkan kos sara hidup mereka meningkat dan ditambah pula dengan peningkatan tanggungjawab dalam keluarga, sepatutnya perlu diberi lebih perhatian berbanding AP oleh kerajaan.


Apa yang perlu difokuskan sekarang bukannya menaikkan elaun AP, tetapi cara untuk menyalurkan semua peruntukan AP kepada rakyat tanpa mengira parti politik yang mereka wakili secara adil. Ini adalah lebih adil dan saksama dan berkesan kepada semua rakyat.


Sekiranya benar kerajaan BN ingin dilihat rakyat sebagai menjalankan negara kebajikan maka peruntukan mesti diberi secara adil kepada semua kawasan kerana setiap AP telah dipilih oleh rakyat dalam sistem yang diiktiraf oleh kerajaan.


Bilamana selama ini peruntukan hanya diberi kepada YB daripada parti pemerintah sahaja (samada di negeri BN atau PR yang menguasainya), maka ketidakadilan ini akan berterusan.

Diharap dua-dua pembahagi politik boleh bertindak adil dari segi memberikan peruntukan kerana yang akhir menanggung bala ialah rakyat bawahan yang memerlukan peruntukan ini untuk memudahkan urusan kehidupan mereka.

RAKYAT PERLU TERUSKAN AGENDA PERUBAHAN

11 Dzulka'edah 1432 H | 9 October 2011

Seperti yang dijangka, BN telah membentangkan satu bajet morfin yang bersifat kesenangan sementara. Kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morphine hilang.

Dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet oleh PM ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan mereka mengenakan tekanan kepada kerajaan BN dalam PRU lalu.

Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh-puluh tahun.

Kejayaan mengenakan tekanan politik kepada BN mesti diteruskan, kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai GST yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya. 

Kali ini keadaan dijangka lebih parah lagi kerana bajet kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak. Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini PM juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan. 

Duit tidak mungkin jatuh dari langit, dan dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas PRU13? Berapakah bajet susulan yang sudah ada dalam perancangan BN yang bakal dibentangkan lagi untuk menampung perbelanjaan morfin ini?

Yang pasti sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan – kemudian kemungkinan besar beban 6% cukai telefon prabayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas PRU13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas PRU13.

Selain itu, untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang PRU-13, tiada peruntukan yang diumumkan untuk PERMATA yang diketuai isteri kesayangan PM – akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang PRU13, peruntukan untuk PERMATA akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar di dalam bajet susulan.

Segala apa yang diberi sekarang yang kononya atas nama ‘negara berkebajikan ala Umno BN’ hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat. Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas PRU13 jika mereka terus berkuasa selepas PRU13, kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar.

Namun, semua langkah ‘menelan’ ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit, kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk 5 tahun akan datang.

Pengalaman lampau mengajar kita bagaimana setelah selesai PRU kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Walau apapun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno/BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini dan terus menggunakan kuasa dan peluang yang ada pada PRU13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia.

PAS mengingatkan rakyat agar meneruskan agenda perubahan politik negara sebagai kesinambungan PRU12.


ISU KPF - SIASAT SEGERA ISA SAMAD


7 Dzulka'edah 1432 H | 5 October 2011

PAS mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi menyiasat Tan Sri Isa Samad di atas tindakan melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Permodalan Felda Berhad (KPF) tanpa melalui mesyuarat agong sebagaimana peruntukan undang-undang koperasi.


Perlantikan ini bertentangan dengan Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil Koperasi kerana perlantikan itu sepatutnya dibuat dalam mesyuarat agung dan bukannya dalam mesyuarat lembaga.


KPF ini adalah milik peneroka dan pada pandangan mereka, kepimpinan Pengarah Besar Felda dan juga Pengerusi KPF, Datuk Dzulkifli Abd Wahad tidak perlu ditukar kerana sepanjang pimpinannya, KPF tidak pernah rugi bahkan berjaya memberikan dividen hingga 15 peratus tahun lalu.


Selain itu, tahun lalu, KPF telah dipilih antara 10 koperasi cemerlang di negara ini apabila menerima Anugerah Koperasi Cemerlang (Kluster Besar) 2011. KPF adalah sumber kewangan utama bagi kakitangan dan peneroka Felda selain gaji dan pendapatan mereka sebagai peneroka.


Hanya peneroka dan kakitangan Felda sahaja boleh menjadi ahli KPF. Oleh itu, Isa yang hanya dilantik untuk jangka waktu tertentu sahaja dan bukan kakitangan semestinya tidak layak jadi ahli.


PAS BIDAS RESOLUSI HUDUD MCA

6 Dzulka'edah 1432 H | 4 October 2011

Resolusi persidangan MCA berakhir dua hari lepas ternyata mendedahkan pelbagai kelemahan yang sangat ketara khususnya dari sudut maklumat dan pengetahuan asas tentang Islam dalam Umno-Barisan Nasional.

Menurut Bernama, MCA telah meluluskan satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud, bukan sahaja atas sebab ia  bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan, malah dituduh mereka hukum hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.


Kejahilan ini mencerminkan kepada rakyat betapa MCA yang menjadi komponen penting dalam BN selepas Umno, gagal menjaga perasaan umat Islam, sehingga meluluskan satu resolusi yang memalukan tentang Islam.


Tidak timbul soal Islam menyekat kebebasan agama lain, atau menyekat amalan dan penghayatan agama  lain.


Isu hudud ini bukan isu politik, ia adalah satu isu tuntutan agama untuk umat Islam, dan diharap tiada kengkangan dan campur tangan untuk mengutuk dan menghalang umat Islam dalam menghayati keperluan wajib agama mereka.


Sehubungan itu, di atas sifat saling hormat menghormati dan toleransi beragama, golongan bukan Islam boleh tidak menyokong hudud. Akan tetapi janganlah seperti MCA yang membuat tuduhan liar sedemikian rupa.


Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (1993) dan Terengganu (2003) yang telah diluluskan dalam kedua-dua Dewan Undangan Negeri harus diterima kerana ia telah melalui proses sistem demokrasi yang  diperakui oleh perlembagaan negara.


Kedua-dua enakmen ini hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, manakala golongan bukan Islam dikecualikan dari perundangan syarak. 


PAS melihat suasana saling hormat-menghormati, memahami dan tidak mencampuri urusan agama lain perlu dikekalkan demi keharmonian negara. Rakyat Malaysia mesti memahami bahawa di sisi umat Islam melaksanakan perundangan Islam adalah sebahagian dari ajaran Islam yang mesti dilaksanakan, sebagaimana kewajipan sembahyang, puasa dan lain-lainnya.


Perundangan Islam bersifat kawalan dan pencegahan agar masyarakat selamat dari anasir yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan negara, di samping menjamin keselamatan nyawa, harta benda, maruah manusia, akal dan agama.


Ia juga merupakan tujuan utama syariah Allah diturunkan. Kerana itu, melaksanakan peraturan Islam adalah tuntutan maqasid syariah, bukan sebalik sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian golongan yang kurang arif tentang Islam.


PAS juga menyeru dengan baik agar golongan yang tidak mengerti tentang perundangan Islam dan bukan ahlinya agar tidak membuat komentar  yang bertentangan dengan realiti perundangan Islam itu. Jangan kelirukan lagi benda yang suci yang diturunkan Allah ini. Lihatlah MCA, umat Islam boleh menilai sendiri kesan pemerintahan Umno terhadap nama baik Islam.


PAS mengharapkan pakar perundangan dan mereka yang berautoriti dari sudut syarak tampil memberikan pandangan mereka, seperti para mufti, alim ulamak dan lainnya agar membantu masyarakat memahami sistem perundangan Islam ini.


Kepada yang tidak menyokong perundangan Islam, anda boleh terus tidak menyokong. Namun ingin ditegaskan bahawa adalah amat tidak adil sekiranya anda juga menyeru umat Islam melupakan hasrat ini selama-lamanya.


Dalam konteks demokrasi negara, tugas melaksanakan syariat Allah kini bergantung pada keinginan – bak kata pepatah, 'nak seribu daya, tak nak seribu alasan'.


Antara PAS dan Umno, umat Islam kini boleh melihat dengan jelas siapa yang seribu daya, dan siapa yang mempunyai seribu alasan dalam melaksanakan dan menerangkan syariat Allah secara dakwah kepada semua lapisan masyarakat.


Tepuk dada, tanyalah iman...

MUSIM 'JANJI ITU INI' KINI TIBA

5 Dzulka'edah 1432 H | 3 October 2011

Bajet sempena musim pilihanraya datang kembali, dengan khabar bahawa sektor awam bakal menikmati kenaikan gaji sehingga 40 peratus.


Alangkah baiknya kalau pilihanraya boleh diadakan tiap-tiap tahun, sudah tentunya kesengsaraan mereka, yang terutamanya yang daripada sektor awam akibat tekanan hidup boleh dikurangkan dengan mendapat bonus dan kenaikan gaji tiap-tiap tahun.


Dan alangkah seronoknya juga jika seseorang itu ialah peneroka kerana pelbagai bonus bakal diterima apabila tibanya musim pilihanraya.


Jika dibandingkan dengan derita orang kampung yang terbiar tak dipeduli. terkenang alangkah peritnya mereka yang bekerja sendiri di kampung, yang hanya dapat mendengar kenaikan gaji orang lain, tapi dirinya dilupakan kerajaan dan terus menderita dengan kenaikan kos hidup.


Inilah senario negara yang tidak pernah dijajah oleh makhluk asing kecuali makhluk Umno yang terus menabur gula-gula “hanya dan jika hanya” tatkala musim pilihanraya, kecil mahupun umum bakal berkunjung.


Semenjak 8 Mac 2008, rakyat telah melalui banyak pilihanraya kecil sebelum ini. Sudah tentu pengalaman hebat mereka ditaburkan dengan pelbagai janji yang tidak pernah kunjung tiba masih segar di fikiran.


Sebahagian besar janji-janji tersebut masih belum ditunai lagi, bahkan sudahpun dilupakan. Sungguhpun begitu, kerajaan yang tidak segan-silu menipu ini akan menabur janji baru kerana sudah tiba musim pilihanraya.


Jika ditanya mana janji yang lama, rakyat bakal mendengar kerajaan akan berjanji ‘janji yang lama’ akan dilaksanakan bersama ‘janji yang baru jika ‘rakyat bantu BN sekali lagi’ terlebih dahulu untuk menang dalam pilihanraya.

Menang dulu sudah tidak dikira walaupun janji belum ditunaikan, itulah jenis kerajaan yang rakyat undi untuk 54 tahun.


Dalam pembentangan bajet pilihanraya, perkara yang menyayatkan hati ialah ke’lalai’an rakyat dalam mendengar perisytiharan angka jutaan dan billion ringgit walaupun kebanyakannya hanya janji kosong sahaja.


Ke’lalai’an itu bagaikan keseronokan menonton filem Hindustan - pelakon lawa, rumah besar, kereta hebat, taman bunga cantik… namun segalanya hilang apabila filem tamat.


Sesudah bangun daripada ke’lalai’an khusyuk beberapa jam mendengar angka berjuta, berbillion yang kononnya akan sampai kepada mereka sebelum pilihanraya umum seterusnya… rakyat kembali ke ruang kini… di mana yang ada hanyalah realiti kehidupan rumah rakyat yang menunggu rebah, anak-anak yang kurus kekurangan zat makanan dan suasana bebanan hidup yang semakin berat.


Diharap rakyat dapat sedar dan keluar daripada 'cycle' yang kejam yang muncul setiap kali musim pilihanraya bertambah dekat.


Tahun ini, julung kalinya rakyat dapat melihat dua tawaran bajet – satu daripada BN dan satu daripada Pakatan Rakyat.
Ambillah peluang ini untuk menilai bajet mana yang lebih menjamin kesejahteraan semua, daripada bajet yang sekadar menyuntik 'morfin' untuk me’lalai’kan rakyat daripada kesakitan hanya sehingga selepas pilihanraya umum.

Selepas kesan morphine hilang, segala kenaikan yang diberi akan diambil semula dalam bentuk kenaikan harga barangan dan GST yang sudah semestinya akan dilaksanakan jika Umno-BN memerintah lagi.


Jalan keluar hanya ada satu iaitu dengan mengundi “apa-apa sahaja selain daripada Umno BN” pada pilihanraya akan datang.

FACEBOOKERS - 7 KESILAPAN YANG MERUGIKAN PAKATAN RAKYAT

3 Dzulka'edah 1432 H | 1 October 2011

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Terlalu ramai penyokong Pakatan Rakyat yang bersemangat menyokong PR dan memerangi BN; tetapi hanya membazir tenaga dan masa dalam FB dalam kerja yang nampaknya bersungguh benar tapi hakikatnya hanya 'merosakkan' sokongan terhadap PR. Di samping terdapat segolongan besar lagi yang malas memanfaatkan peluang menyebarkan maklumat secara mudah yang terhidang dalam FB.

Saya ingin mengguna kesempatan ruangan ini untuk membetulkan golongan yang hanya bekerja keras (work hard) tetapi tidak bekerja secara baik (work smart) di FB.

Berikut adalah senarai KESILAPAN yang dilakukan oleh rakan FB penyokong PR:
  1. Kesilapan terbesar jurukempen alam siber ialah tidak memokuskan tugas utamanya iaitu cuba mengubah minda sasaran. Ramai yang berminat menyindir, mengutuk, menghina, memperlekeh dan merendahkan pihak lawan.

    Pihak lawan membalas balik dengan serangan yang lebih ganas, memaki hamun, mencarut, memberi gelaran buruk. Atau pihak lawan yang memulakan dan kita memberi reaksi serupa. Apa hasilnya? Kita adalah penyokong PR tegar manakala mereka adalah penyokong BN tegar. Tiada siapa akan berubah.

    Yang akan terubah persepsi ialah rakan-rakan atas pagar yang melihat kedua belah pihak sama saja, 2x5, 5x2. Jadi, betulkan nawaitu serta tujuan kita: Hendak mempengaruhi orang ramai atau hendak melepas geram.

  2. Jangan termakan provokasi lawan. Berhujah dengan lunak berasaskan dalil dan fakta. Hujah kita akan dinilai oleh golongan yang rasional. Biarkan pihak lawan melakukan serangan kotor kerana semakin celupar mereka 'berhujah' semakin hilang wibawa mereka. Kita yang untung.

  3. Jangan guna gelaran buruk untuk lawan. Contoh: Najis Tun Razak, Wak Sembab (Muhyiddin Yasin), Hisham Aww, Khir Toyol. Ingat tugas anda ialah mempengaruhi golongan atas pagar dan golongan rasional. Pihak lawan sering menggunakan N.ajis, Pork Nick, Aljuburi, Peliwat Tegar, Anugay, Mat Sabun, Mat Shabu, DAPig, hamPAS.. Biarkan, kerana ia 'sangat membantu' kita.

  4. Jangan memaki hamun, eg. Babi, anjing, bodoh, bengap, keldai, haramjadah, celaka. Jangan mengejek, eg. Wakakaka, perghh, huahhh. Jangan mencarut. Tiada sasaran yang akan terpengaruh dengan maki hamun dan ejekan, tetapi manusia terpengaruh dengan hujah dan fakta.

  5. Jangan menyerang penyokong atau pengikut. Tahap kesetiaan penyokong mana-mana parti adalah berbeza. Penyokong yang lemah dan rasional mempunyai keupayaan untuk berubah tapi jika kita menyerang penyokong BN secara borong, yang lemah pun akan terasa kuat.

    Jadi elakkan mengguna perkataan puak-puak tu, penganut UMNO, pengikut buta tuli UMNO, geng songkok tinggi dll. Yang mesti diserang ialah para pemimpin mereka di semua peringkat.

  6. Bagi segolongan rakan FB dari kalangan penyokong PR, mereka hanya gemar menjadi pembaca, langsung tidak mahu berperanan sebagai penyebar maklumat. Di luar sana, kita sibuk menyalahkan BN kerana media yang berat sebelah tetapi di alam siber yang beratnya berbelah-belah kita tidak memanfaatkan peluang yang terhidang. Jadilah pencetus dan pengkomen, bukan hanya sekadar pembaca.

  7. Masing-masing pemegang akaun FB mempunyai rangkaian rakannya tersendiri. Terlalu banyak bahan kempen yang sampai berupa nota, banner, kartun ataupun klip video. Lakukan 'share' (kongsi), hanya dengan satu sentuhan beribu rangkaian rakan kita akan memperolehnya. Lagi banyak maklumat yang sama disebarkan, lagi teguh kepercayaan orang terhadapnya. Sangat mudah untuk dilakukan mengapa tidak buat?

Hari ini ceramah tidak lagi mendapat sambutan seperti satu atau dua dekad lalu. Maklumat yang mudah diperolehi dari media baru mungkin menjadi sebab. Tenaga dan masa yang diperlu untuk mengatur satu program ceramah sangat besar. Tapi Tuan Guru Nik Aziz boleh 'berceramah' kepada lebih 400 ribu rakan mayanya hanya dengan sentuhan jari.

Kelebihan FB ialah rangkaian rakan-rakannya adalah golongan menengah dan terpelajar dalam masyarakat. Cakap mereka berwibawa dan didengari. Pengaruhi mereka, lalu biarkan mereka mempengaruhi masyarakat.