Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: STAF AKADEMIK UIA PERTAHAN AZIZ BARI
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

STAF AKADEMIK UIA PERTAHAN AZIZ BARI


23 Dzulka'edah 1432 H | 21 October 2011

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.
Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

Beliau adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.

Ini adalah seperti yang dinyatakan didalam Al Qur’an: Surah al-Anbiya’ (21:7):

“Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui”.


Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi beliau ruang untuk berdebat secara lebih terbuka kerana proses konstruktif sebegini akan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat di negara tercinta ini.

Peringatan ini jelas berkait rapat dengan ayat Al Qur’an dalam Surah al-Baqarah (2:111):

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".


Professor Abdul Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

Sebagai seorang ahli akademik, Professor Abdul Aziz Bari berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik. Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

Kami tidak mahu tindakan ini kelak dijadikan satu 'precedence' pada masa akan datang kerana ia boleh menyekat sumbangan intelektual dari ahli akademik terhadap isu-isu kenegaraan sama ada yang dianggap sensitif atau sebaliknya.

Sebarang tafsiran dan pandangan yang dibuat dari hasil kepakaran seseorang ahli akademik sewajarnya disambut secara lapang dada oleh mana-mana pihak.

Kritikan inteletek adalah sangat penting di dalam dunia akademik kerana dengannya budaya keilmuan di sesebuah universiti itu boleh berkembang dan menyumbang sesuatu kepada pembangunan anak bangsa dan negara.

Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam “Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel” yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi: “the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

PKA UIAM menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik. Keprihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia.

Sekian, terima kasih.
 

0 comments:

Post a Comment