Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: November 2010
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



BELANJAWAN NEGERI PAHANG 2011 MENGECEWAKAN

23 Dzulhijjah 1431 H | 30 November 2010

Meneliti keseluruhan belanjawan Kerajaan Negeri Pahang yang dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini sangat mengecewakan rakyat Pahang. Ianya benar-benar mencerminkan sebuah kerajaan yang tidak mempunyai perancangan bagi membangunkan negeri yang mempunyai sumber hasil yang besar ini, kerana tidak mempunyai sebarang perancangan masa depan, selain daripada pergantungan kepada kerajaan persekutuan.

Kenyataan YAB Menteri besar dalam bahagian awal pembentangan jelas mengambarkan kerajaan BN Pahang kekeringan idea dalam memajukan negeri dan tidak mempunyai perancangan dalam menyusun pembangunan negeri. Kenyataan beliau bahawa “kedudukan kewangan negeri tidak mungkin, bahkan mustahil sehingga hari Kiamat, boleh menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan kerajaan Persekutuan’, benar-benar menggambarkan kerajaan UMNO/BN ‘menopause’!

Kenyataan ini adalah gambaran keseluruhan belanjawan kerajaan negeri yang hanya merancang dengan bantuan Pusat tanpa berusaha untuk merancang sumber baru bagi meningkatkan hasil negeri.

Dengan peruntukan sebanyak RM871,117,390.00 kerajaan membelanjakan 68.92% untuk belanja mengurus, manakala untuk pembangunan hanya RM270,693,250.00. Itupun sebanyak RM82,760,000 adalah pergantungan kepada pinjaman dari kerajaan pusat. Dengan peruntukan sebanyak RM27.06juta tentulah tidak banyak perkara yang dapat dilakukan. Ini mengingatkan kita kepada komisyen pembelian kapal selam sebanyak RM530 juta, ternyata melebihi keseluruhan projek pembagunan setahun kerajaan Pahang.
Peruntukan pembangunan yang kecil adalah kerana sumber kewangan yang terhad yang dapat dikutip oleh kerajaan.

Kegagalan kerajaan menjana sumber baru dan pergantungan kepada sumber sedia ada, menyebabkan kerajaan sebenarnya dilihat gagal membuat suatu perancangan besar bagi meningkatkan pembangunan di Pahang. Dengan belanjawan ini, ternyata Pahang akan terus gagal menjadikannya sebagai sebuah negeru maju bagi bersaing dengan negeri-negeri lain, yang terus berkembang dengan peningkatan sumber hasil negeri.

Kita telahpun diwar-warkan beberapa negeri telah mengisytiharkan untuk menjadi negeri maju menjelang 2020, tetapi di mana Pahang pada waktu itu? Apakah Pahang akan terus berada dalam kategori ‘negeri hampir bangkrap, dengan bebanan hutan yang berbillion, dan apakah Kerajaan Persekutuan mampu menanggung kerajaan negeri yang hanya tahu pinjam, tetapi’liat’ membayar hutang? Fikir-fikirkanlah…

Apa yang lebih mendukacitakan ialah tiadanya perancangan baru dalam meningkatkan sumber hasil negeri, selain rancangan jangka pendek kerajaan bagi memaksa anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) menyumbang 50% dari keuntungan kepada kerajaan negeri. Persoalannya berapa kerat anak syarilkat kerajaan negeri yang mencatat keuntungan. Setahu kita hampir semua anak-anak syarikat kerajaan negeri berada dalam keadaan kritikal, dan terus mengharapkan suntikan kerajaan.

PAS mencabar kerajaan bagi mendedahkan kedudukan kewangan semasa anak-anak syarikat kerajaan negeri supaya rakyat tahu sejauh mana anak-anak syarikat yang ditubuh untuk membantu kerajaan dapat mencapai hasil sebagaimana diharapkan oleh seluruh rakyat. Kalau gagal, maka hasrat meningkatkan hasil melalui sumbangan 50% keuntungan hanyalah angan-angan dalam belanjawan sahaja, dan ternyata strategi peningkatan hasil melalui sumbangan anak-anak syarikat kerajaan akan sangat mengecewakan.

Ke mana pergi hasil-hasil lain yang utama, hasil hutan? Pahang yang terkenal mempunyai keluasan kawasan hutan, dan kerajaan juga gagal mendedahkan berapa sebenarnya hasil kayu kayan yang diperolehi oleh kerajaan negeri, dan nisbah keluasan kawasan penebangan.

Dalam belanjawan yang dibentang kerajaan hanya menyatakan hasrat untuk meneruskan projek penanaman semula hutan yang telah gondol, tetapi rakyat juga perlu tahu berapa hasil yang diperolehi. Polisi penebangan sehinga 90% hasil hutan dalam tanah milik kerajaan perlu diubah segera. Kita lihat penebangan hutan yang melampau, sehingga menggondolkan kawasan pembalakan yang dibenarkan, adalah kerakusan kerajaan UMNO / BN tanpa memikirkan masa depan generasi akan datang.

Demikian juga hasil keluaran emas yang semakin banyak lombong dibuka - lombong di Lipis, Raub dan Cameron Highland yang difahamkan telah mengeluarkan hasil yang banyak, dan juga hasil dari bijih besi, di daerah Rompin, Maran, Jerantut, dan lainnya. Rakyat perlu tahu kemana hasil tersebut, berapa kerajaan perolehi dan juga usaha kerajaan meneroka sumber minyak di perairan Pahang, yang satu masa dahulu dimaklumkan Pahang berkemungkinan mempunyai hasil minyak. Demikian juga berapa hasil pelaburan luar yang melabur di Pahang; walaupun kita menyediakan hampir setiap daerah kawasan industri, ternyata masih kosong dan terbiar.

Seandainya tiada sesuatu perancangan segera dibuat, tidak mustahil Pahang akan muflis.