Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: May 2009
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PIMPINAN MENDAPAT HABUAN LUMAYAN???

AHAD, 31 MEI 2009 | 6 JAMADIL AKHIR 1430H

“Kalau nak tau banyak mana saya dapat saguhati ceramah, mari ikut saya!!” Demikian pelawa Dato' Tuan Ibrahim kepada ahli yang merasakan pimpinan yang pergi berceramah di luar kawasan mendapat imbuhan yang cukup lumayan setiap kali berceramah.

“Ada kalangan pimpinan PAS dari negeri Pahang ini pergi berceramah di Kuala Lumpur, bila nak balik sampai di Tol Bentong tak cukup duit untuk bayar tol kerana imbuhan yang diterima tak seberapa. Pemimpin itu terpaksa menelefon sahabat di Bentong minta datang untuk pinjam duit bayar tol."
“Janganlah persoalkan ustaz-ustaz yang menerima jemputan berceramah di luar, tapi gerakkanlah ustaz-ustaz yang masih ramai tak berceramah", tegur beliau lagi.

KEKUATAN PAS GAGAL DIGUGAT UMNO/BN

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan yakin kekuatan PAS gagal digugat melalui serangan media arus perdana, yang menjadi jentera propaganda Umno-BN. Antaranya, termasuklah akhbar arus perdana, majalah, televisyen kerajaan dan swasta, pasukan keselamatan, Cawangan Khas, unit garak saraf Umno dan sebagainya.

"Semua agensi-agensi berkenaan telah dikenalpasti sebagai jentera propaganda Umno-BN dan ahli parti PAS tidak perlu melayan sebarang adu-domba musuh," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.


Menurutnya, media berkenaan menjalankan propaganda dengan pelbagai cara tetapi semuanya menjurus ke satu arah iaitu memecahkan PAS. Maka ditimbulkan isu kononya pertembungan profesional dengan ulama. Isu ini dipilih kerana Umno-BN tahu kekuatan PAS berpunca daripada jalinan pelbagai latar belakang para pemimpinnya.

"Untuk merealisasikan cita-citanya, Umno-BN mereka cipta istilah dan dimainkan melalui media setiap hari untuk meracuni pemikiran mana-mana ahli PAS," katanya.

Beliau berkata, sepanjang dua dekad kepimpinan ulama, PAS sebenarnya telah berjaya melahirkan golongan 'profesional ulama dan ulama yang profesional' yang mempunyai kemahiran di dalam kedua-dua cabang ilmu. Malah, katanya ada pemimpin PAS yang mempunyai kepakaran di dalam bidang agama tetapi pada masa sama merupakan seorang peguam sivil, begitu juga sebaliknya mahir di dalam bidang profesional dan mampu memperjelaskan isu-isu agama dengan berkesan.

"Ini adalah suatu kejayaan yang tidak terdapat di dalam Umno tetapi ada di dalam PAS," ujarnya.


Tuan Ibrahim yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berpendapat, PAS sedang mengalami perubahan besar apabila ia semakin dipercayai rakyat pelbagai kaum.

"Kita telah mengalami perubahan besar dan mendapat sokongan rakyat. Jika sokongan rakyat terus meningkat, tidak musthil PAS dan rakan-rakan didalam Pakatan Rakyat mampu memerintah negara," katanya. - mns_

NASIHAT KEPADA YANG KALAH, WASIAT KEPADA YANG MENANG

Mesyuarat Agung Kawasan dan Dewan-Dewan baru berlalu, kini seluruh tumpuan dihalakan kepada pemilihan dalam muktamar PAS Pusat. Pelbagai cerita suka duka, tawa dan tangis didengar dalam keriuhan suasana mesra jamaah. Itulah keindahan perjuangan Islam. Kita membina ukhuwah Islamiah dalam jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Kemanisan perjuangan ini tentulah tidak lahir secara spontan, Bahkan ianya lahir melalui tarbiyah samada secara formal atau informal. Semua kita sangat sayangkan suasana ukhuwwah ini, kerana kita yang bersama dalam perjuangan di dunia mengharapkan agar Allah mengumpulkan kita dalam majlis yang diredhaiNya di akhirat.

Hakikat Pencalonan

Kita menyedari bahawa kita bukanlah insan terbaik dalam jamaah, kita bukanlah ahli yang hebat dengan keilmuan sehingga mampu menerangi cahaya bagi menyuluh jalan agar Allah redha kepada kita, kita bukanlah ahli ibadah yang hebat, mampu menangis di hadapan Allah setiap malam dikala manusia lain sedang nyenyak tidur, dan kita juga bukanlah pemimpin terbaik. Kita hanya menawar diri itupun setelah ada orang lain mencalonkan kita; terkadang kita malu dengan pencalonan itu, kerana kita mengetahui kelemahan diri kita, namun apa daya kerana kita tidak mampu menjawab hisaban di akhirat bilamana mengecewakan harapan jamaah.

Lantaran ianya hanya tawaran diri, tentulah kita tidak akan kecewa bilamana kita tidak dipilih. Apa yang nak ditangisi dan disesali diri, kalau ianya adalah satu keringanan hisaban di akhirat? Apa yang nak dikecewakan bilamana ahli tidak memilih kita, kerana apa yang berlaku dengan kehendak Allah semuanya, tangannya hanya memilih apa yang telah digerakkan hatinya oleh Allah.

Ingatlah, andainya kita tahu betapa gembiranya nanti bilamana kita dihadapkan di hadapan Allah, tentulah kita tidak sedih, kecewa dan apatah lagi menyimpan dendam pada yang tidak memilih kita, bahkan ucaplah terima kasih kerana meringankan bebanan diakhirat, sedangkan bebanan dosa diri sendiripun kita dah tak mampu untuk menjawabnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang banyak ini.

Andainya kita rasa sedih di atas kekalahan kita, cuba tanya:
  • "Apakah ianya lahir dari rasa hebat kita berbanding orang lain?" atau
  • "Lekeh sangatkah orang yang berjaya bilamana ramai perwakilan memilih mereka?"

Aku sangat khuatir andainya ia lahir dari bisikan syaitan agar rasa kecewa, merajuk kemudian menyepi diri dari jamaah dan akhirnya gugur dari medan dakwah. Kerana inilah matlamat syaitan dan inilah yang menggembirakan musuh, dan inilah juga yang mengecewakan kita di akhirat.

Perjuangan dan bekalan

Ketewasan dalam merebut jawatan dalam parti, bukanlah berakhirnya sumbangan kepada kemenangan Islam dan lebih-lebih lagi bilamana kita rasa bahawa jamaah akan susah dengan ketiadaan kita. Perjuangan Islam terus berjalan, dan usia kita semakin hampIr. Apa rasa andainya kita yang telah menghabiskan usia dalam perjuangan yang sangat panjang, tiba-tiba berakhir dengan kita tiada dalam kelompok yang memperjuangkan Islam.

Aku sangat bimbang akan diriku dalam hal ini. Semoga Allah lindung kita bersama. Lantaran itu, teruskan perjuangan, kerana usia kita semakin hampir bertemu Allah, sedangkan perjuangan ini masih jauh. Inilah nasihat kepada yang ditipu oleh nafsu dan pujukan syaitan yang merasa kecewa dengan pemilihan yang kecil di dunia, agar kita tidak tewas dalam ‘pemilhan’ yang besar di hadapan Allah di akhirat.

Wasiat Kepada Yang Berjaya

Andainya kita tahu apa yang menanti kita di akhirat, tentulah kemenangan akan disambut dengan tangisan dan dukacita, kerana itulah wasiat Rasulullah: "Sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan ianya diakhirat adalah dukacita dan penyesalan." Kalaulah tidak kerana perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan di akhirat, tentulah tiada siapa yang teringin akan jawatan ini.

Kepada yang berjaya memenangi apa jua jawatan, berbanggalah di hadapan Allah andainya kita dapat melaksanakan amanah, mengangkat martabat Islam, memperjuangkan syariat Allah dan berada di hadapan di dunia untuk terus dipilih oleh Allah agar terus berada di hadapan di akhirat. Ingatlah “debu-debu yang melekat di kaki mereka yang memperjuangkan Islam, menyebabkan ia tidak akan disentuh oleh api neraka di akhirat”. Allahumma.. masukkan kami dalam kelompok tersebut.

Keindahan perjuangan Islam lahir dari dokongan semua pihak, perjuangan tidak akan bertemu dengan kerehatan dan keselesaan. Perjuangan adalah pengorbanan untuk Allah dan Rasul. Mencari redha Allah bukanlah dapat dicapai dengan merasa hebat dengan jawatan yang disandang, dan juga bukanlah merasakan akulah yang layak, berbanding orang lain.

Perjuangan bagi mendaulatkan Islam tidak akan berhasil andainya kita yang memegang jawatan ini jauh dari Allah, merasa kagum dengan kebolehan diri dan merasakan bahawa apa yang kita capai hasil kebijaksanaan kita dan kitalah penentu kepada kemenagan ini. Lantaran itu, kita dikuasai oleh nafsu merasa kehebatan diri sendiri dan memandang lekeh kepada orang lain.

Pimpinan yang berjaya bukanlah mengumpulkan manusia yang hebat sekelilingnya dan merasakan dirinyalah yang hebat dikalangan yang hebat. Tetapi pemimpin hebat ialah yang menghargai semua sumbangan, membaiki yang rosak, rawat yang terluka, memberi harapan bagi yang kecewa, agar semuanya terus memberi sumbangan kepada perjuangan ini. 

WARKAH BUAT SAHABAT LAMAKU, KAPTEN JAMIL KHIR BAHAROM


Assalamualaikum wrh wbt.

Kepada sahabat lama Jamil Khir Baharom,

Semoga Allah memberkatimu, walau lama kita tak bersua. Semoga Allah melimpah belas kasihanNya ke atasmu.

Terlebih dahulu aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredhai kezaliman khalifah. Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada.

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan terpaksa menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik. Engkau akan terpaksa meredhai kemungkaran yang diizinkan pemerintah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya. Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka. Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu.

Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman , tegaklah makruf dan tentanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilingkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan di akhirat.

Wassalam.

Sahabat Lama;

TUAN IBRAHIM TUAN MAN.

JAWATAN : Antara REBUTAN di dunia dan BEBANAN di akhirat

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya".

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti.

Muawiyah bin Abu Sufyan di saat kematiannya mengungkapkan kata-kata mahsyhur:

"Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan'’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya:

"Jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya".

Alhamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut. Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam.

Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada. Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh.

Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri (enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar. ( Nauzubillah).

Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harapTakut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah iniOleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun. Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang.

Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar Al-Khattab

Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.

Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.

Mau'izah untuk ana dan para sahabat;