Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: June 2010
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



SALAM TAKZIAH

2 Rejab 1431 H | 14 Jun 2010

"Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah, mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan. Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan Alhamdulillah makin bertambah baik.
Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan.”

Al-Fatihah....

SINOPSIS UCAPAN TUAN GURU MURSYIDUL AM

28 Jamadil Akhir 1431 H | 11 Jun 2010

"Perjuangan Islam yang kita galas pada hari ini bukanlah satu pilihan, tetapi ia merupakan satu kewajipan yang terpikul di atas bahu kita semua."

"Sesungguhnya, ideologi PAS ialah Islam. Tanpa Islam, PAS umpama jasad tanpa nyawa. Justeru, saya sekali lagi ingin mengingatkan bahawa perjuangan kita bukan bermula pada hari ini, ia merupakan perjuangan yang dimulakan oleh para anbiya’ yang terdahulu. Kita hanyalah mata rantai di dalam perjuangan ini, kita mempusakainya dari generasi yang terdahulu, dan kita menyambung mata rantai itu serta akan mewariskannya pula kepada generasi yang terkemudian."

"Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat. Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah."

"Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir."

"Demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita di dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar diterima rakyat. Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran."

"Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam. PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh UMNO untuk menakutkan Nonmuslim. Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka UMNO-lah hantunya. Tinggalkanlah UMNO dengan labu-labu kebangsaannya. PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus."

"S
ebarkanlah keyakinan kepada masyarakat bahawa hidup ini tidak hanya tamat setakat di dunia sahaja, tetapi akan dinilai semua amalan di akhirat kelak. Jika masyarakat dapat diyakinkan dengan aqidah ini, saya yakin perjuangan PAS secara automatik akan diterima kerana inilah tujuan sebenarnya PAS bergerak."

Versi ucapan penuh Tuan Guru Nik Aziz sempena perasmian Muktamar Dewan Ulama', Muslimat dan Pemuda

'LEMBU PUNYA SUSU, SAPI YANG DAPAT NAMA'

25 Jamadil Akhir 1431 H | 8 Jun 2010

Bilamana syarikat perjudian sukan sanggup menyerahkan RM 525 juta kepada kerajaan, apakah ini merupakan habuan yang dijanjikan sehingga kerajaan sanggup menganugerahkan lesen perjudian tersebut, walau mendapat bantahan dari pelbagai pihak? Apakah ini elemen rasuah yang dijanjikan oleh syarikat tersebut, bagi mendapat lesen besar mangaut keuntungan hasil pertaruhan judi itu? Kalau inilah asas yang kerajaan BN fikirkan, bagaimana nanti kalau syarikat pengurusan pelacuran pula memohon lesen dan sanggup memberikan kepada kerajaan jauh lebih besar dari itu. Apakah ianya juga akan diluluskan oleh kerajaan?

Ternyata dalam kesempitan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sebelum muflis pada tahun 2019, kerajaan BN akan melakukan apa sahaja; tanpa mengira apakah ianya halal dan baik untuk rakyat atau haram yang mengundang kehancuran moral rakyat. Apa yang
malang bagi umat Islam negara ini ialah pengisytiharan pengurniaan lesen dilakukan oleh orang Islam, manakala yang mengisytiharkan pengharaman pula Lim Guan Eng yang bukan Islam. Ini juga agaknya antara tanda-tanda kiamat.

Dalam keghairahan kita membantah kekejaman
Israel dan kehebatan 12 orang yang ditahan Israel, jangan pula Najib yang jadi juara. Sikap mengambil kesempatan dengan peristiwa besar ini jangan pula kita melupai bahawa negara sedang berhadapan dengan kemelut lesen perjudian yang akan menghancurkan moral rakyat. Sikap UMNO/BN yang seolah-olah ‘memekakkan’ telinga dengan bantahan dari pelbagai pihak, nampaknya tidak banyak beza dengan sikap Israel yang memekakkan telinga dengan bantahan seluruh dunia. Apakah ini kaeadah yang dinasihati oleh APCO kepada pihak kerajaan?

Kita juga jangan lupa dalam keghairahan menyokong usul dalam Parlimen bagi menyokong kecaman ke atas
Israel, negara baru kehilangan dua blok L dan M kepada Brunei - bagaimana kawasan yang sangat bernilai boleh diserah begitu sahaja. Dan apa pula yang terjadi dengan tanah KTM di Singapura? Rakyat perlu tahu dan kerajaan jangan cuba menutup isu besar ini dengan mengambil kesempatan di atas kemarahan rakyat kepada Yahudi laknatullah.

PAS menyokong sebarang tindakan kecaman dan usaha mengheret
Israel ke mahkamah jenayah antarabangsa. Negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel mesti memutuskan hubungan segera; termasuk Turki. Semua tindakan biadab Israel mesti ditentang. Tapi jangan keghairahan kita membantah sehinga lupa apa sebenarnya sedang berlaku dalam negara yang cuba ditutupi oleh kerajaan BN.

KOMPLEKS PAS IMPIAN KITA

23 Jamadil Akhir 1431 H | 6 Jun 2010


Mohd Rashidi Hasan

30 Jun lepas tercipta suatu lembaran sejarah baru buat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) apabila majlis pecah tanah Kompleks PAS di Paya Indah Wetlands, Dengkil dirasmikan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kompleks baru yang dianggarkan menelan belanja RM30 juta ini merupakan satu lagi mercu tanda yang menjadi titik tolak kesinambungan perjuangan Islam, yang dipelopori PAS sejak lebih setengah abad.
Kompleks yang bakal dibina, mengandungi Pejabat Agung PAS, Pusat Konvensyen, kompleks kediaman dan perniagaan dan sebagainya. Di majlis tersebut, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta sebahagian besar pemimpin tertinggi PAS Pusat, hadir sama menyaksikan majlis pecah tanah.

25 tahun lalu, di Lorong Haji Hassan, Jalan Batu Geliga, Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar didirikan. Pada ketika itu seluruh kawasan tersebut di kelilingi dengan kebun getah dan kebun buah-buahan.
Mantan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri yang pada ketika itu menjadi Setiausaha Agung PAS menjadi peneraju utama atau arkitek pembinaan Markaz Tarbiyyah.

PAS tidak mempunyai sumber kewangan. Maka setiap ahli dan penyokong PAS bertungkus lumus mengumpul dana dan membantu pembinaan secara gotong-royong, termasuk membuat jalan masuk ke Markaz Tarbiyyah.
Penulis masih ingat sewaktu PAS menganjurkan ceramah kali pertama di situ. Dalam suasana gelap gelita kepekatan malam, kami bersila di celah-celah kebun getah untuk mendengar ceramah. Dari situlah antara detik-detik mula kemanisan perjuangan dalam PAS.

Kami mengutip derma pada setiap kali ceramah. Mengumpulkan dana bagi membantu pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS sedikit demi sedikit.
Pembinaan Markaz Tarbiyyah dimulakan dengan membina sebuah pejabat dua tingkat, sebagai pusat operasi pentadbiran PAS Pusat. Bangunan dewan yang dinamakan Dewan Dato' Fadzil Noor dan perpustakaan Ustaz Yusuf Rawa dibina kemudian. Dalam tempoh 25 tahun Markaz Tarbiyyah PAS Pusat begitu nostalgik dan amat besar jasanya kepada pembangunan serta perkaderan aktivis PAS.

Sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008, PAS membuat satu anjakan baru. Pejabat Agung PAS dipindahkan pada penghujung 2007, ke bangunan baru di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Namun bangunan 7 tingkat itu tidak mampu menampung kepesatan operasi PAS lalu
sebuah jawatankuasa bangunan yang diketuai Dato' Husam Musa ditubuhkan. Beliau beserta beberapa orang AJK bertungkus lumus mencari dana, mencari lokasi dan menyediakan pelan pembangunan Kompleks PAS.

Alhamdulillah dengan kegigihan mereka dan keprihatinan seorang usahawan, PAS memperolehi tanah seluas 20 ekar di Paya Indah Wetlands.
Namun yang ada hanya tanah, dana untuk membina bangunan masih belum ada. Maka hari ini, penulis yang juga sebagai Pemeriksa Kira-Kira PAS Pusat menyeru semua ahli, pemimpin dan penyokong PAS, agar berjihad membantu PAS merealisasikan impian besar ini.

PAS memang tiada duit. PAS selama lebih setengah abad ini, hidup dan subur dengan infak fisabilillah. Kita harus kumpulkan wang sejumlah RM30 juta, jika boleh kita kumpulkan RM50 juta.
Tiada orang kaya atau usahawan yang harus kita harapkan. Saudara saudari, semua bertanggungjawab menghulurkan RM1, RM5, RM10, RM50 atau berapa yang termampu, secara tetap setiap bulan kepada PAS sehingga tertegaknya Kompleks PAS nanti.

Marilah sama-sama kita mencatatkan sejarah, memberitahu generasi akan datang, bahawa kita turut sama membantu membina sebuah kompleks yang bakal memartabatkan perjuangan Islam di Malaysia.
Ayuh kita kumpulkan RM30 juta sebagai saham akhirat yang kekal selamanya untuk kita!

* Lawati laman rasmi kompleks di
http://kompleks.pas.org.my untuk gambaran yang lebih jelas dan perancangan pembangunan kompleks ini

Jamaluddin Ilyas - menceritakan detik cemas serangan tentera Yahudi

23 Jamadil Akhir 1431 H - 6 Jun 2010

BACAAN QUNUT NAZILAH

RABU, 02 JUN 2010 | 18 J'AKHIR 1431H


Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka..

Ya Allah, Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka..


Wahai tuhan yang gagah perkasa,
Wahai tuhan yang penuh raksasa,
Wahai tuhan yang bersifat murka,
Ya allah Ya allah Ya allah Ya allah,
Wahai tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai tuhan yang mengarakkan awan
Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab
Kalahkan mereka Kalahkan mereka
Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka.