Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: KOMPLEKS PAS IMPIAN KITA
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



KOMPLEKS PAS IMPIAN KITA

23 Jamadil Akhir 1431 H | 6 Jun 2010


Mohd Rashidi Hasan

30 Jun lepas tercipta suatu lembaran sejarah baru buat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) apabila majlis pecah tanah Kompleks PAS di Paya Indah Wetlands, Dengkil dirasmikan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kompleks baru yang dianggarkan menelan belanja RM30 juta ini merupakan satu lagi mercu tanda yang menjadi titik tolak kesinambungan perjuangan Islam, yang dipelopori PAS sejak lebih setengah abad.
Kompleks yang bakal dibina, mengandungi Pejabat Agung PAS, Pusat Konvensyen, kompleks kediaman dan perniagaan dan sebagainya. Di majlis tersebut, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta sebahagian besar pemimpin tertinggi PAS Pusat, hadir sama menyaksikan majlis pecah tanah.

25 tahun lalu, di Lorong Haji Hassan, Jalan Batu Geliga, Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar didirikan. Pada ketika itu seluruh kawasan tersebut di kelilingi dengan kebun getah dan kebun buah-buahan.
Mantan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri yang pada ketika itu menjadi Setiausaha Agung PAS menjadi peneraju utama atau arkitek pembinaan Markaz Tarbiyyah.

PAS tidak mempunyai sumber kewangan. Maka setiap ahli dan penyokong PAS bertungkus lumus mengumpul dana dan membantu pembinaan secara gotong-royong, termasuk membuat jalan masuk ke Markaz Tarbiyyah.
Penulis masih ingat sewaktu PAS menganjurkan ceramah kali pertama di situ. Dalam suasana gelap gelita kepekatan malam, kami bersila di celah-celah kebun getah untuk mendengar ceramah. Dari situlah antara detik-detik mula kemanisan perjuangan dalam PAS.

Kami mengutip derma pada setiap kali ceramah. Mengumpulkan dana bagi membantu pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS sedikit demi sedikit.
Pembinaan Markaz Tarbiyyah dimulakan dengan membina sebuah pejabat dua tingkat, sebagai pusat operasi pentadbiran PAS Pusat. Bangunan dewan yang dinamakan Dewan Dato' Fadzil Noor dan perpustakaan Ustaz Yusuf Rawa dibina kemudian. Dalam tempoh 25 tahun Markaz Tarbiyyah PAS Pusat begitu nostalgik dan amat besar jasanya kepada pembangunan serta perkaderan aktivis PAS.

Sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008, PAS membuat satu anjakan baru. Pejabat Agung PAS dipindahkan pada penghujung 2007, ke bangunan baru di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Namun bangunan 7 tingkat itu tidak mampu menampung kepesatan operasi PAS lalu
sebuah jawatankuasa bangunan yang diketuai Dato' Husam Musa ditubuhkan. Beliau beserta beberapa orang AJK bertungkus lumus mencari dana, mencari lokasi dan menyediakan pelan pembangunan Kompleks PAS.

Alhamdulillah dengan kegigihan mereka dan keprihatinan seorang usahawan, PAS memperolehi tanah seluas 20 ekar di Paya Indah Wetlands.
Namun yang ada hanya tanah, dana untuk membina bangunan masih belum ada. Maka hari ini, penulis yang juga sebagai Pemeriksa Kira-Kira PAS Pusat menyeru semua ahli, pemimpin dan penyokong PAS, agar berjihad membantu PAS merealisasikan impian besar ini.

PAS memang tiada duit. PAS selama lebih setengah abad ini, hidup dan subur dengan infak fisabilillah. Kita harus kumpulkan wang sejumlah RM30 juta, jika boleh kita kumpulkan RM50 juta.
Tiada orang kaya atau usahawan yang harus kita harapkan. Saudara saudari, semua bertanggungjawab menghulurkan RM1, RM5, RM10, RM50 atau berapa yang termampu, secara tetap setiap bulan kepada PAS sehingga tertegaknya Kompleks PAS nanti.

Marilah sama-sama kita mencatatkan sejarah, memberitahu generasi akan datang, bahawa kita turut sama membantu membina sebuah kompleks yang bakal memartabatkan perjuangan Islam di Malaysia.
Ayuh kita kumpulkan RM30 juta sebagai saham akhirat yang kekal selamanya untuk kita!

* Lawati laman rasmi kompleks di
http://kompleks.pas.org.my untuk gambaran yang lebih jelas dan perancangan pembangunan kompleks ini

0 comments:

Post a Comment