Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: March 2010
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PINDAAN RUKUN NEGARA DISOKONG

KHAMIS, 25 MAC 2010 | 9 RABIULAKHIR 1431H

Gesaan Presiden PAS agar Rukun Negara dipinda bagi menyelaraskan dengan kehendak massa dengan menukarkan Kepercayaan Kepada Tuhan kepada Kepercayaan Kepada Allah sangat-sangat dialukan. PAS berpendapat bahawa penggunaan kalimah Allah lebih tepat bagi menggambarkan Tuhan yang sebenar; berbanding istilah Tuhan yang dapat diterjemahkan dengan pelbagai bentuk dan rupa. Keadaan ini tentunya bertentangan dengan konsep ketuhanan yang sebenar.

Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah dan diimani sebagai Tuhan yang sebenar bukanlah satu istilah yang sensitif bagi golongan bukan Islam, kerana selama bertahun-tahun mereka juga menggunakan kalimah Allah dalam menyanyikan lagu-lagu rasmi kebanyakan negeri.Bahkan para pelajar khususnya menyanyikan lagu-lagu negeri ini dengan menggunakan istilah Allah, tanpa menimbulkan sebarang polimik, kerana itulah hakikat ketuhanan sebenar. Bahkan dalam kehidupan seharian istilah Allah digunakan oleh kalangan bukan Islam
terutama dalam aspek penciptaan, kejadian, kehidupan dan kematian.

Gesaan Presiden PAS dilihat satu usaha bagi meletakkan Allah sebagai Tuhan yang dipercayai dan disembah, agar rakyat negara ini lebih merasai keperluan mempercayai Allah dalam kehidupan mereka. Hal ini dilihat dengan hanya menyebut kepercayaan kepada Tuhan lebih umum dan ianya dilihat
tidak mendatangkan keperluan kita mengimani sebagai tumpuan utama dalam setiap aspek kehidupan. Akibatnya ramai dari anggota masyarakat tidak mengikuti arahan dan perintah Allah dalam kehidupan mereka. Meningkatnya gejala sosial, rasuah, penyelewengan, ketidakadilan sosial, dan lainnya adalah menifestasi tiadanya penghayatan kepada konsep ketuhanan yang diimani.

Kini sampailah masa seluruh anggota masyarakat melihat isu ini dengan lebih terbuka, ilmiah dan rasional bagi membina satu masyarakat yang menjadikan Allah sebagai asas kepercayaan. Diharap dengan membuat pindaan ini juga, sebarang polimik yang
cuba dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu akan berjaya diatasi.