Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: November 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



GELORA FELDA - MAMPUKAH PM NAJIB NYAHKAN ISA SAMAD?

3 Muharram 1433 H | 29 November 2011

Kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan FELDA adalah terletak di dalam pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF). Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FELDA Global Venture Holdings (FGVH),  yang dimiliki 100% oleh FELDA.

Perdana Menteri Datuk Seri Haji Najib Razak sewaktu bergegar-gegar membentang belanjawan negara memaklumkan bahawa peneroka bakal mendapat durian runtuh bilamana Felda disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada pertengahan bulan 2012 nanti.

Di bawah pentadbiran Najib, cadangan untuk menyenaraikan FGVH akan memperlihatan peneroka di bawah KPF terpaksa melepaskan 51% kepentingan mereka di FHB - yang mencatatkan keuntungan RM760 juta tahun lepas untuk duduk di bawah FGVH dan memegang 61 peratus dalam FGVH, yang anak-anak syarikat antarabangsanya telah dilaporkan kerugian RM500 juta sehingga 2010.

Bagaikan kedengaran guruh di langit dengan pengumuman Najib, maka Isa Samad yang menjadi 'key person' yang diharap menjayakan hasrat yang pernah dibantah rakyat era Tun Dr Mahathir ini terus mengisytiharkan beberapa langkah ke arah 'meruntuhkan durian' tersebut.

Antaranya memasukan dirinya menjadi pengerusi KPF, mengambilalih kesemua ladang Felda Plantation untuk dipajak selama 99 tahun, menggerakkan aset Felda di semua lot kosong dalam Felda dan pelbagai caturan lain untuk memastikan hasrat menjadikan saham Felda antara yang tertinggi apabila dilancarkan.

Namun, hasrat tersebut disedari oleh beberapa pimpinan peneroka yang terlihat ada agenda tersembunyi pihak berkepentingan dalam usaha ini. Mereka bangkit membantah bukan kerana menolak durian runtuh, tetapi demi masa depan generasi Felda, tanah milik Felda dan pendapatan peneroka yang menjadi ahli KPF.

Apa tidaknya, FGVH sebuah syarikat yang terus membuat kerugian beratus juta ringgit dan bergantung hidup pada Felda Holding Berhad (FHB) bakal ‘menelan’ telur emas peneroka, FHB di dalam struktur baru dari penstrukturan semula dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Pada minda mereka terfikir bagaimana syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang  maju dan terbukti ‘profitability’nya?

Belum reda desakan agar Isa Samad digugurkan daripada jawatan Pengerusi Felda, kini wujud pula tuntutan daripada warga Felda untuk mengetahui berapa gaji dan elaun yang dibayar kepada beliau dan ahli lembaga pengarah Felda yang ditugaskan bersungguh-sungguh ingin merampas tanah Felda Plantation untuk dipajakkan. 

Bantahan cara pentadbiran Isa Samad dalam mengurus Felda oleh beberapa pimpinan utama telah menimbulkan polemik cabar-mencabar. Terbaru, ialah tindakan menuntut permohanan maaf  dan terhadap Isa akibat penghinaan kepada pengerusi peneroka Felda Saudara Shamsuddin Othman.

Bukan itu sahaja, peneroka kini bangkit melalui Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) untuk memberikan amaran bahawa saman akan dikeluarkan jika mereka tidak diberi jaminan bertulis penyenaraian ke BSKL dapat menjamin pendapatan yang konsisten. Mereka amat sangsi kerana sepanjang tempoh pajakan tanah mereka seluas 360,000 hektar kepada FGVH dengan pelbagai syarat tidak munasabah, hasil pajakan hanyalah RM500 juta sahaja berbanding RM2 bilion yang diperolehi sekarang.

Mereka turut mempersoalkan mengapa mereka tidak dijemput untuk berbicara sebelum pengumuman dibuat, dan mengapa ada sesuatu yang cuba dirahsiakan daripada pengetahuan peneroka dalam usaha FGVH mengambilalih aset Felda khususnya KPF.

Senario ini membuktikan apa yang dibimbangi oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) ternyata ada kebenarannya, kerana apalah makna bagi peneroka dan persatuan peneroka bilamana mereka dikesampingkan dalam sebarang agenda besar berkaitan Felda.

Hura-hara yang timbul kini nampaknya akan menyebabkan hasrat Najib untuk 'meruntuhkan durian' tidak akan menjadi kenyataan. Persoalan besar kini ialah apakah haji Najib terus bersedia memikul 'biawak hidup' yang menimbulkan kemarahan warga pengurusan dan Felda, atau adakah beliau berani untuk menyahkan Isa dari Felda. Mungkin persoalan ini bukan hanya perlu ditanya kepada Haji Najib, tetapi elok juga ditanya kepada Hajah Rosmah.

WAHAI UMNO-BN, DENGARLAH NASIHAT KHALIFAH UMAR ABD AZIZ...

2 Muharram 1433 H | 28 November 2011
PAS mengingatkan kerajaan Umno-BN bahawa transformasi yang dicanang oleh PM mestilah ke arah lebih baik, bukan undur ke belakang. Jangan sesekali cuba memperkenalkan transformasi palsu yang berlindung di sebalik akta atau rang undang-undang (RUU) bagi menghalalkan tindakan zalim pemerintah.

PAS menegaskan pendirian bahawa RUU Himpunan Aman (RUUHA) 2011 mesti ditarik balik kerana mempunyai kecacatan melampau, dan ianya tidak langsung memberi gambaran “aman” sebagaimana dicanangkan.

Rakyat melihat RUU ini adalah gambaran kecelaruan dan kebimbangan parti Umno-BN yang kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat. Apakah Umno tidak belajar daripada pelbagai akta zalim yang dilaksanakan di Timur Tengah sehingga menyebabkan kemarahan rakyat? Bahkan, mereka bangkit bukan sahaja medesak undang-undang dipinda tetapi menumbang terus kerajaan yang zalim itu.

RUUHA merupakan kebimbangan pemerintah terhadap keputusan yang akan dibuat oleh rakyat dalam PRU13 akan datang, sekaligus membolehkan kerajaan bertindak menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang berhimpun menunjuk perasaan tidak puashati terhadap tindakan kerajaan.

Rakyat umum perlu disedarkan tentang implikasi RUUHA ini, kerana seandainya ia diluluskan, maka rakyat sudah pasti hampir tidak boleh langsung berhimpun bagi meluahkan bantahan terhadap sebarang isu yang tidak berpihak pada kerajaan Umno-BN walaupun ia jelas menindas mereka.

Ingatlah, kemarahan rakyat tidak akan dapat disekat dengan undang-undang. Ambillah pengajaran daripada sepucuk surat yang dihantar oleh Saidina Umar bin Abdul Aziz tatkala beliau menerima permohonan peruntukan kewangan bagi membuat benteng untuk menyekat sekumpulan golongan pemberontak.

Kata Umar bin Abdul Aziz: "Bentenglah kemarahan rakyat kamu dengan keadilanmu, payungi rakyatmu dengan kasih sayangmu, kerana itu lebih baik dari kamu membina benteng besi menyekat kemarahan rakyatmu.”

HINA PENEROKA - "ISA SAMAD, MINTA MAAF ATAU TUNGGU SAMAN!"



2 Muharram 1433 H | 28 November 2011

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Ketua peneroka Felda, yang juga seorang ahli lembaga pengarah agensi itu, memberi masa 14 hari kepada Pengerusinya Tan Sri Isa Samad yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina beliau dalam satu taklimat di Kuala Pilah awal bulan ini.

Shamsuddin Othman berkata mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda, selaku ketua kepada para peneroka, dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”, tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Isa selaku pengerusi agensi kemajuan tanah persekutuan itu.

“Ini kali pertama seorang Pengerusi Felda mengeluarkan kata-kata menghina seorang ketua peneroka, bukan sahaja pemimpin peneroka, saya kira keseluruhan peneroka rasa terhina dengan kenyataan Tan Sri Isa,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Rakaman ucapan Isa turut ditayangkan pada sidang media yang dihadiri oleh sembilan naib pengerusi JPP Wilayah dan Gerakan Persatuan Wanita.

Berdasarkan kandungan ucapannya, Isa didapati mendakwa bahawa Shamsuddin yang diturut dipanggil sebagai “Pak Sam” tidak faham-faham meskipun sudah berkali-kali dijelaskan mengenai proses penyenaraian Felda Global Ventures.
Shamsudin (gambar), 59, dari Felda Wilayah Johor Baru berkata, Isa mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian Felda Global Ventures di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu.

“Saya akan lantik peguam dan akan memberi masa 14 hari kepada Isa agar meminta maaf. Oleh kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka di khalayak ramai, maka saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka di lima akhbar tempatan,” kata beliau lagi.

Shamsuddin yang memegang jawatan Pengerusi JKPP sejak 15 tahun lalu dan sebagai ahli lembaga pengarah sejak lima tahun lalu berkata, beliau menyedari Isa mengeluarkan kata-kata berbuat mengaibkan itu pada sebelah malam 12 November.

“Tetapi saya tidak mengambil apa-apa tindakan, saya pun tidak menghubungi beliau... hanya berharap beliau akan akan menghubungi saya dan meminta maaf, saya harap beliau tahu kesilapan beliau dan tahu apa yang patut dilakukan, tetapi sehingga kini tidak berbuat demikian.

“Jadi, saya terpaksa mengambil tindakan ini, memaklumkan kepada media. Saya mahu beliau memohon maaf dalam 14 hari... saya rasa saya telah dihina dan diaibkan dengan kata-kata ini,” kata beliau yang akan memutuskan tindakan susulan selepas tempoh itu berakhir.

Shamsudin sambil menafikan tindakannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau parti politik berkata, “saya mahu beri beliau (Isa) peluang.”
Kenyataan media yang dikeluarkan menyebut Isa tidak layak menerajui Felda.

“Malah, boleh disimpulkan cakap-cakap beliau bahawa usaha-usaha beliau lakukan untuk kebaikan peneroka tidak lebih sekadar menanam tebu di bibir,” katanya. - themalaysianinsider


UMNO DAN GAGASAN WASATIYYAH - 'KULIT BERTUKAR, ISI TETAP SAMA'


1 Muharram 1433 H | 27 November 2011

Sempena perhimpunan Umno, parti yang terkenal dengan sifat perkauman yang tebal secara ironisnya cuba melancarkan gagasan wassatiyyah sebagai langkah ke arah mengambil jalan wassatiyah (pertengahan). Selepas gagal menjayakan konsep 1Malaysia kerana ketebalan sifat perkaumannya, Umno kini bertukar arah ke konsep gagasan wassathiyyah.

Namun, lebih daripada itu, adakah kemunculan gagasan wassatiyyah petanda Umno kini kian bergelora?

Ataupun ada pemimpin yang tidak sabar menanti untuk menonjolkan kepimpinannya kepada ahli Umno sehingga melancarkan slogan baru yang lebih mudah difahami untuk memalukan slogan 1Malaysia yang sehingga kini masih belum difahami oleh rakyat?

Apakah kerana ada pihak yang merasakan konsep 1Malaysia perdana menteri sudah hampir tenggelam sehingga mendorong mereka untuk mengemukakan idea gagasan wassatiyyah sebagai alternatif dan persediaan ke PRU13 tanpa slogan 1Malaysia?

Tidak menafikan bahawa wassatiyyah adalah satu asas penting selaras dengan gagasan Islam. Namun, harus tegas diingatkan bahawa  gagasan wassathiyyah  wajib dibina di atas asasnya yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

Gagasan wassatiyyah hanya akan dapat dicapai bilamana parti pemerintah melaksanakan sistem pemerintahan dengan adil dan saksama. Selain itu, parti pemerintah mesti melaksanakan amanah yang diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana seluruh dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

Parti pemerintah juga diwajibkan melaksanakan perjanjian seperti pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan menghormati dan menjunjung dasar federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mana mungkin parti yang bersifat tebal perkauman dan sering 'flip-flop' seperti Umno dapat mengambil jalan tengah dalam pendekatan politik dan urus tadbir negara?

Tindakan Umno membiarkan beberapa badan NGO pro-Umno, terutamanya Perkasa memainkan sentimen perkauman ekstrem bermotifkan politik selama ini jelas mencerminkan gagasan wassatiyyah yang diutarakan hanyalah slogan kosong, sebagaimana berakhirnya gagasan Islam Hadhari dan lainnya.

Walau apapun, gagasan wassatiyyah yang disebut Umno hanya sekadar pemanis bicara bagi memberi ruang kepada segolongan intelek berbicara. Gagasannya tidak lebih dari sekadar wacana dan seminar tanpa apa-apa tindakan dan pelan bertindak. Gagasan wassatiyyah hanyalah satu slogan kosong sebagaimana slogan-slogan terdahulu.

Selagi Umno terus dan masih gagal menunaikan amanah dan gagasan sistem federalisme yang telah diterima pakai dalam sistem politik negara, lancarlah apa-apa slogan sekalipun kerana ianya tidak lebih hanya fatamorgana, kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat selain sebagai satu cubaan baru untuk memperdayakan mereka.

LEBIH INDAH JIKA KELANTAN DIBAYAR ROYALTI

29 Dzulhijjah 1432 H | 26 November 2011

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa urusan kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan pasti menjadi lebih mudah dan "mengindahkan" jika PAS dan Umno boleh menjadi satu pasukan, disifatkan sebagai salah satu bukti jelas pengkhianatan Kerajaan BN terhadap rakyat Kelantan selama ini.

Sebaliknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau patut malu kerana membuat kenyataan seperti itu kerana ia jelas memperlihatkan sikap sebenar para pemimpin Umno BN yang tidak bertanggungjawab dan ingin lari dari melaksanakan tanggungjawabnya.  

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan kenyataan Muhyiddin itu jelas menunjukkan Umno BN sengaja tidak mahu membayar royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan disebabkan perbezaan parti, sekaligus bertentangan sama sekali dengan perjanjian yang telah dimetrai antara Kerajaan Kelantan dan Petronas.  

"Sememangnya amat memalukan jika seorang Timbalan Perdana Menteri tidak memahami perkara itu sehingga tergamak membuat kenyataan sedemikian.

"Disebabkan tidak berada dalam satu pasukan, BN sanggup menganiaya rakyat Kelantan sehingga tergamak memejamkan mata dengan perjanjian pembayaran royalti yang telah pun sah dimetrai sejak tahun 1975 lagi.

"Pada hal Kerajaan Persetuan tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Ini bukan sekadar satu pelarian tanggungjawab, tetapi juga satu perlanggaran terhadap konsep federalisme," tegasnya.

USAH TERPEDAYA POLITIK MURAHAN UMNO

29 Dzulhijjah 1432 H | 26 November 2011

Untuk menutup skandal besar yang tidak terjawab saban hari, Umno kini mengambil langkah mudah bersifat murahan untuk menipu rakyat bahawa mereka sedang bertransformasi dan juga giat memberikan gula-gula politik menjelang pilihanraya.

Selepas kegagalannya meningkatkan pendapatan kebanyakan rakyat jelata, kerajaan Umno-BN mengambil langkah mudah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia, kini muncul pula terbaru Kedai Ikan Satu Malaysia yang menjanjikan pelbagai jenis ikan dengan harga yang murah.

Umno turut mengambil langkah mudah dalam membendung kemarahan rakyat menuntut hak kebebasan berhimpun dengan percubaan membodohkan rakyat bahawa mereka sedang berubah dengan mengemukakan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011, yang hanya harum namanya, tetapi lebih kejam daripada akta sebelumnya.

Setelah melihat kemarahan para mahasiswa yang kian meningkat terutamanya setelah nasib yang melanda professor Aziz Bari dan keputusan mahkamah rayuan terhadap 4 pelajar UKM, kerajaan Umno dilihat sekali lagi mengambil langkah mudah untuk meredakan keadaan dengan mengumumkan pemindaan terhadap Seksyen 15 AUKU untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, tapi pada masa yang sama tetap merayu keputusan mahkamah rayuan yang mengistiharkan seksyen 15 AUKU tidak sah dari segi perlembagaan.

Semua langkah mudah yang diambil oleh kerajaan Umno telah memberikan signal jelas kepada rakyat bahawa para pemimpin Umno sememangnya tidak ikhlas, tidak ingin berubah, dan malah sedang bertransformasi ke arah lebih teruk kerana tidak berfikir panjang sebelum mengemukakan sesuatu.

Segala langkah mudah yang diambil Umno bermotifkan keuntungan politik pendek semata-mata, dan hanyalah taktik murahan untuk mendapat undi rakyat dalam PRU13 yang semakin mendekat.

Kecelaruan dan kenaifan pemikiran pemimpin Umno dalam mengambil langkah mudah ini turut membuktikan kebimbangan mereka dengan perubahan kesedaran politik rakyat kini. 

Skandal National Feedlot Corporation dan RUU Perhimpunan Awam 2011 telah menyedarkan rakyat bahawa sudah tiba masanya untuk mengiatkan kempen ‘Asal Bukan Umno’ demi menyelamatkan negara.

Katakan ‘Cukup’ pada pembohongan Umno dan tunjukkan kepada para pemimpin Umno yang bermuka-muka ini bahawa rakyat Malaysia tidak sebodoh dan semurah yang mereka tanggapkan.

Kini rakyat hanya mempunyai satu jalan keluar untuk mendapatkan transformasi yang diharapkan untuk negara iaitu menunjukkan menunjukkan jalan keluar bagi Umno dalam PRU akan datang, insyaAllah.

HUDUD - ALASAN DICARI, KEBERKATAN DIJAUHI

27 Dzulhijjah 1432 H | 24 November 2011

Berlainan dan percanggahan pendapat dalam Islam adalah perkara lumrah dari dahulu hingga sekarang. Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa berlainan pendapat itu, ada yang diharuskan syarak dan ada yang dilarang. Malah ada yang amat-amat dilarang.

Yang diharuskan adalah pada perkara-perkara/ furu'iyyah (masalah-masalah cabang) yang tidak ada nas syarak yang memastikannya. Adapun yang diharuskan berkhilaf, adalah pada ruang berijtihad pada perkara yang ada tiada nas syarak, tidak ada ayat yang menetapkan hukumnya. Lebih-lebih lagi pada perkara yang baru timbul, di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Contoh jelas yang diharuskan berkhilaf. Seperti bila mana sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersependapat, sama ada hendak menghimpun dan menulis semula Al Quran. Abu Bakar As Siddiq R.A berpendapat tidak boleh dibuat kerana Rasulullah S.A.W tidak melakukannya dan tidak pernah ada suruhan melakukannya. Oleh kerana itu beliau berpendapat, ia tidak boleh dilakukan.

Manakala Umar Al Khattab R.A berpendapat, perlu dilaksanakan usaha pengumpulan dan penulisan Al Quran kerana dibimbangi akan hilang daripada hafalan ummah. Sebabnya pernah berlaku, ramai penghafal Al Quran yang terkorban syahid. Generasi kemudian akan kehilangan Al Quran. Setelah mereka bertelagah, akhirnya mereka bersetuju perlu dihirnpun dan ditulis semula Al Quran.

Demikian juga mereka bertelagah dalam memilih seorang ketua negara untuk menggantikan Rasulullah S.A.W, bagi meneruskan pemerintahan Islam. Mereka bertelagah pada memilih orang, yang akhirnya mereka bersetuju memilih Abu Bakar As Siddiq.

Dalam permasalahan hudud, perlu atau tidak melaksanakannya, telah dijawab oleh amalan Rasulullah S.A.W, para sahabat dan juga as-salafussoleh. Perlu melaksanakannya. Mereka tidak pernah bertelingkah kerana wujud nas-nas syarak yang amat jelas, menyuruh kita, khasnya pihak berkuasa agama, pada setiap generasi, pada setiap negara, wajib melaksanakannya.

Sepatutnya tidak berlaku pertentangan pendapat di kalangan ulama-ulama muktabar, khasnya ulama 'amilin (yang beramal dengan ilmunya), jika kesemua mereka benar-benar takutkan Allah dan melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun jika ada di kalangan mereka, yang takut akan kehilangan maslahat keduniaan, daripada kemurkaan Allah Taala dan azabnya, maka akan berlakulah apa yang anda ajukan pada persoalan di atas, bahawa ada ulama bertelingkah.

Setiap satu dalam kesalahan hudud (mencuri, merompak, berzina, menuduh zina, meminum arak, murtad) semuanya telah ditetapkan Allah hukumannya di dalam Al Quran (dan terang hukumnya) dan juga hadis-hadis sahih, maka pelaksanaannya adalah wajib.

LEMAHKAH MELAYU TANPA UMNO?


18 Dzulhijjah 1432 H | 15 November 2011

Mutakhir ini banyak penulisan meluahkan kebimbangan terhadap kekuasaan orang Melayu Islam – seolah-olah melihat dengan jatuhnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), maka kekuasaan orang Melayu juga akan turut hilang.

Kewujudan Pakatan Rakyat (PR) dilihat akan melemahkan kekuasaan orang Melayu dan juga akan menghakiskan kekuatan Islam di negara ini.
Pandangan sebegini bukanlah baru, malah semakin lumrah dalam pemikiran sebahagian besar penulisan dan cetusan idea di kalangan pemikir Melayu Islam.

Namun, apa yang penting ialah, adakah pemikiran ini bertolak kepada fakta dan realiti sebenar atau hanya satu luahan rasa tanpa berpijak kepada fakta yang nyata?

Bagi menjawab kebimbangan golongan ini, kita harus berpijak kepada sejarah negara dan kedudukan kekuasaan Melayu dan agama Islam selama ini.

Sejak negara ini merdeka, Umno adalah tunjang kekuasaan BN dan Umno-lah yang diharapkan memelihara maruah Islam dan kaum Melayu. Selama 54 tahun nasib Melayu dan Islam terbela, dan kalaulah Umno tewas maka orang Melayu akan hancur dan semakin lemah.

Itulah pemikiran yang hendak diterapkan di kalangan rakyat, agar umat Islam dan kaum Melayu akan sentiasa was-was dan ketakutan untuk kehilangan Umno.
Tetapi, wajarkah ketakutan sebegitu? Sekali imbas, atas permukaan ada terasa seperti benar, namun fikirkanlah selepas membaca hujah-hujah di bawah ini.
  • Kalau betul Umno pentingkan kekuasaan Melayu Islam, kenapa tiada tambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah - sehinggakan ada kawasan Parlimen yang jumlah pengundinya mencecah hampir 100,000 orang.

  • Dan mengapa pula tambahan kerusi banyak pula dilakukan di Sarawak dan Sabah?

  • Umno sudah tewas lebih  20 tahun di Kelantan, apakah kuasa Melayu dan Islam hilang di Kelantan? Bahkan Islam bertambah megah di Kelantan dengan pelaksanaan pentadbiran sifar rasuah, dan terus memperjuangkan perlaksanaaan undang-undang Islam di sana.

  • Kalaulah benar Umno ikhlas untuk menjaga Melayu dan Islam, kenapa royalti minyak Kelantan tidak dibayar sehingga kini walaupun ada perjanjian jelas yang mewajibkan Petronas melalui kerajaan pusat membayar royalti tersebut.

    Apakah orang Kelantan yang memilih PAS dan penyokong Umno di Kelantan yang majoritinya Melayu Islam, bukan Melayu Islam sebenar pada kaca mata Umno sehingga pelbagai penindasan dilakukan sejak tahun 1990?

  • Kenapa Umno sanggup serahkan beberapa kerusi Parlimen yang dahulunya ditandingi oleh Umno kepada parti lain seperti yang berlaku di Kuala Selangor, Kuantan, Raub, Port Dikson dan puluhan kerusi yang lain. Bukankah ini bukti yang Umno sendiri melakukan pengkhianatan kepada Melayu?

  • Siapakah yang membuang tulisan Jawi dari sistem pendidikan kalau bukan kerajaan Umno dan menteri yang mencadangkannya pun dari Umno?

  • Siapa yang meluluskan pelbagai jenis loteri dan judi 'halal' untuk berakar umbi di negara ini kalau bukan pemimpin Umno?

  • Apakah hanya Melayu Umno (yang pandai mengampu sahaja, yang mengkritik tak termasuk) dianggap sebagai Melayu Islam, sedangkan kalau Melayu dari PAS, PKR dan DAP mereka ini bukan Melayu Islam?
Kebimbangan hilangnya kekuasaan orang Melayu dilihat tertunjang dengan kekuasaan Umno – seolah-olah tiada parti lain dalam Malaysia yang akan memelihara kuasa Melayu dan agama Islam.

Namun hakikatnya, dalam soal membela Melayu, Umno selama ini tidak mampu menaikkan martabat dan sosio-ekonomi mereka dengan ketara walaupun sudah 54 tahun memerintah negara. Begitu juga, dalam soal membela Islam, berapa kali Umno melacurkan Islam dan menggunakan Islam hanya apabila keadaan perlu untuk memelihara kepentingan politik semata-mata?


Janganlah rakyat Melayu Islam terus membuta tuli menyokong kerajaan yang sengaja menakut-nakutkan mereka dengan propaganda, “Tanpa Umno, mereka hilang tempat bernaung.” Sebaliknya, mereka harus menuntut Umno untuk berubah dan sekiranya tidak, slogan ‘Asal bukan Umno’ akan menjadi laungan dan pilihan mereka pada pilihanraya akan datang.  

Pemikiran sempit dari era sebelum merdeka dilihat masih dianuti oleh parti perkauman sehingga hari ini. Namun, pemikiran sedemikian diyakini akan bakal berakhir dengan kemunculan gabungan politik berbentuk majmuk seperti PAS-PKR-DAP, di mana ketiga-tiga parti ini boleh menerima semua bangsa sebagai ahli mereka tidak seperti gabungan Umno-MCA-MIC.

Kini, rakyat negara ini dilihat sudah bersedia berhadapan dengan era baru yang lebih terbuka.

Harus diingat, kaum dan bangsa seseorang bukanlah pilihan seseorang manusia - ianya ketentuan Allah. Lantaran itu, Islam melihat kemuliaan bukan kepada bangsa dan warna kulit tetapi pada ketaqwaannya.

Apakah yang rakyat Melayu Islam nak bangga kalau rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa berleluasa dalam negara diketuai oleh sebuah kerajaan yang majoriti ahlinya mendadik dada sebagai pembela orang Melayu dan Islam?

Rakyat Melayu Islam mesti melakukan perubahan besar untuk melahirkan umat Islam yang kuat akidahnya dalam berpegang kepada ajaran Islam. Mereka perlu segera menyelaraskan tindakan mereka dengan ajaran Islam dan menterjemahkan sifat sebenar Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, tanpa mengira apakah mereka Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Kerana itu, janganlah mereka terus mempertahankan kerajaan korup, rasuah dan pelbagai penyelewengan dengan berselindung semata-mata atas nama mempertahankan Melayu dan Islam. Ini bukan sahaja memalukan umat Melayu Islam malah mencemarkan agama Allah kerana penganutnya bersifat sebegitu rupa.

MANTAN NAIB PRESIDEN KANAN FELCRA BIDAS PENYENARAIAN FELDA KE BURSA MALAYSIA

16 Dzulhijjah 1432 H | 13 November 2011

KUALA LUMPUR, 13 Nov ― Bekas Naib Presiden Kanan Felcra, Datuk Ramleli Buyong menyifatkan penyenaraian Felda Global Ventures Sdn Bhd di Bursa Malaysia sebagai “projek gali kubur peneroka.”

Ini kerana menurut Ramleli, pasaran saham tidak menentu dan keadaan akan berubah sekiranya harga jatuh.


Bercakap pada sidang meja bulat anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Ramleli berkata perkara sama berlaku ke atas Felcra selepas ia disenaraikan.


“Saya teringat gerakan dalam Felcra ketika itu Datuk Hamzah Zainuddin (pengerusi Felcra), saya dan kumpulan saya menentang keras cadangan itu.


“Penyenaraian adalah jahat, ada motif yang jahat... menggali kubur peneroka. Ia ada tujuan tertentu, dalam penyenaraian biasanya orang kata untuk cari modal tapi sebenarnya nak tampung biawak hidup yang ada.

Sama macam semasa Felcra hendak disenaraikan, ini projek gali kubur peneroka,” katanya.


Sementara itu dua panel sidang meja bulat iaitu bekas pegawai Bank Negara Dr Rosli Yaakob dan bekas penolong kanan pengarah Kastam Malaysia Razman Ramli menyifatkan penyenaraian itu boleh menyebabkan warga peneroka kehilangan  aset dan insentif yang dimiliki selama ini.


Selain itu Rosli berkata, penyenaraian Felda Global Ventures Holding dilihat “menyegarkan semula” idea membawa Felda Holdings Berhad ke Bursa Malaysia oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lapan tahun lalu, namun gagal kerana ditentang warga Felda.


“Nampaknya cadangan ini menggantikan cadangan Tun Mahathir untuk menyenaraikan Felda Holdings Berhad pada 2004, namun dibantah peneroka Felda. Kalau dulu Felda Holdings Berhad dicadangkan tapi kali ini syarikat yang memiliki 49 peratus saham dalam Felda Holdings Berhad pula dicadangkan,” katanya. - themalaysianinsider

ISU PENGUNDI DI LUAR NEGARA - 'RAKYAT SENDIRI DIHALANG, WARGA ASING DITATANG'

14 Dzulhijjah 1432 H | 11 November 2011

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak seharusnya menyekat hak rakyat Malaysia walau di mana mereka berada untuk mengundi sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Sebarang usaha menyekat hak mengundi adalah pencabulan prinsip demokrasi yang menjadi dasar politik negara.

Pandangan MCA bahawa rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara tidak dibenarkan mengundi dalam pilihan raya umum atas alasan mereka tidak tahu perkembangan dalam negara, dan mereka menerima maklumat yang "meragukan" adalah sangat cetek dan dangkal.


Kalaulah, atas alasan mereka tidak mendapat maklumat sebenar, maka apa beza dengan masyarakat pedalaman yang hanya mendapat maklumat sehala dari media perdana sahaja? Ia juga tidak seimbang dan meragukan.


Bahkan Rakyat Malaysia di luar negara samada sebagai pelajar atau pekerja, mereka mempunyai akses kepada media baru dan mengikuti perkembangan semasa dalam negara.


Andaian mereka bahawa rakyat Malaysia di luar negara tidak mengetahui apa yang berlaku dalam negara, seolah-olah menggambarkan MCA sendiri yang kolot kerana tidak mengetahui perkembangan media baru yang sudah melangkaui sempadan global.


Rakyat di mana mereka berada kini bebas mendapat maklumat, bahkan kemudahan media alternatif di luar negara lebih baik dari kawasan pedalaman, yang hanya bergantung kepada media perdana yang dikuasai oleh
 BN sahaja.

Daripada melahirkan kebimbangan terhadap hak undi rakyat Malaysia yang layak mengundi, lebih baik MCA memfokuskan bagaimana untuk menghalang konspirasi yang membolehkan warga asing mengundi di negara ini.

NUKILAN UNTUK HAJI NAJIB RAZAK & HAJJAH ROSMAH MANSUR - RAKYAT MENANTIKAN PERUBAHANMU

8 Dzulhijjah 1432 H | 5 November 2011

PAS mendoakan agar seluruh jemaah haji termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Haji Najib Razak dan isteri, Datin Seri Hajah Rosmah Mansor mendapat haji mabrur, kerana itulah yang menjadi cita-cita setiap orang yang mengerjakan haji.

Haji mabrur yang dijanjikan oleh Rasulullah ialah "haji mabrur tiada balasan lain di sisi Allah, melainkan syurga.” 
Inilah cita-cita yang mendorong setiap umat Islam menunaikan haji selain ianya sebagai rukun Islam.

Haji mabrur yang mengubah amalan seseorang dari sebelum mengerjakan haji dan selepasnya, dengan kata lain, mereka yang memperolehi haji mabrur dapat dilihat perubahan amalan sehariannya, daripada yang kurang baik kepada baik dan lebih baik.


Dalam erti kata lain, rakyat menaruh harapan tinggi dan menanti perubahan yang  bakal dihayati oleh PM dan isteri dalam melaksanakan amanah memimpin
 negara ini.

Antara agenda besar yang rakyat ingin lihat hasil daripada mendapat haji mabrur sudah tentulah ialah tindakan susulan PM terhadap banyak penyelewengan samada daripada kroni Umno, serta pelbagai pihak lain yang terlibat yang memperolehi pelbagai projek seperti yang ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya.


Rakyat benar-benar kecewa setiap tahun bilamana teguran Laporan Audit Negara langsung tidak menjadi bekas bagi kerajaan
 BN dalam usaha untuk memperbaiki pengurusan kewangan negara.

Kalau tahun lalu, mungkinlah masih tak sedar kerana masa tersebut, PM tak pergi haji lagi. 
Namun tahun ini, sudah tentu tidak akan sama, kerana PM yang baru balik haji dengan semangat melontar jumrah sehebat melontar sifat mazmumah dalam diri, sudah pasti akan membawa pelbagai perubahan samada dalaman dan luaran, kerana ia antara tanda-tanda haji mabrur.

Lebih besar dari
 itu, rakyat yakin PM yang dapat haji mabrur akan hanya mengadakan pilihanraya setelah segala penyelewengan sistem pilihanraya dapat diperbaiki. Mana mungkin mereka yang dapat haji mabrur sanggup mengadakan pilihanraya dengan penipuan, ketidakadilan dan daftar pemilih yang tidak bersih?

Bahkan, demi membuktikan kesan haji mabrur, PM diyakini akan mencadangkan agar celup jari dilaksanakan dalam PRU akan datang untuk menghalang penyelewengan dalam bentuk undi hantu dan undi berganda. Kesemua ini petanda haji mabrur, selain amalan peribadi yang bertambah baik dengan amalan tahajud, zikrullah dan munajat berterusan.


Begitu jugalah dengan isteri PM, rakyat sudah pasti berharap dapat menyaksikan perubahan besar dari sudut kesederhanaan dalam kehidupan seharian beliau. Diyakini selepas pulang
 kali ini, diharap beliau tidak terpalit lagi dengan cerita beg tangan berjenama mahal, rantai mutiara, cincin mahal yang menjadi lambang persepsi rakyat terhadap pemborosan beliau, kerana semua ini diyakini akan dapat dikikis dengan haji mabrur.

Yang lebih penting, rakyat sedang menanti dengan penuh debar melihat keterampilan wajah baru isteri PM dengan bertudung sepanjang masa di luar rumah, selaras dengan kesan haji mabrur. Di samping itu, mungkin tiada lagi kedengaran desas desus campurtangan beliau dalam  dalam pentadbiran negara.


Perubahan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksana kerana sepanjang berada di Mekah dan
 Madinah, beliau sentiasa bertudung litup menutup aurat semasa menjalankan ibadah haji.

Kalau semua ini berlaku, jangan terkejut kalau ada rakyat yang
 cukur kepala, bayar nazar atau ada kambing yang kena sembelih sebagai tanda kesyukuran. Namun, jangan sembelih dahulu, sehingga kita dapat lihat tanda-tanda haji mabrur itu berlaku.

PERKHIDMATAN CEKAP, KEBAJIKAN TERBELA - JAMINAN PR KEPADA KAKITANGAN AWAM

8 Dzulhijjah 1432 H | 5 November 2011
Masalah utama yang melanda kakitangan awam kini ialah ketidakselarasan tenaga kerja menyebabkan wujudnya pertindanan tugas antara jabatan-jabatan kerajaan. Sebagai contoh, dalam penguatkuasaan di jalanraya sahaja, terdapat pelbagai agensi yang terlibat - antaranya polis, peronda lebuhraya, Jabatan Pengangkutan Awam, Jabatan Alam Sekitar dan lain-lain.

PAS yakin sekiranya tugasan tersebut dapat diselaraskan, ia akan dapat mewujudkan dan meningkatkan keberkesanan dalam perkhidmatan awam yang secara langsung juga akan meningkatkan daya saing kerajaan. Ia juga akan 
meningkatkan sikap kebertanggungjawaban dalam jabatan-jabatan kerajaan sekaligus dapat mengurangkan jumlah insiden ketirisan, keborosan dan elemen rasuah yang dilaporkan dalam Laporan Audit setiap tahun. 

Itulah fokus utama Pakatan Rakyat untuk mengubah nasib kakitangan awam sekiranya diberi mandat berkuasa nanti, dan bukannya soal mengecilkan jumlah kakitangan awam.


Dengan pentadbiran bersih dan kebolehan Pakatan Rakyat seperti yang ditunjukkan di negeri-negeri kuasaan mereka, sekiranya diberi mandat nanti, PAS yakin pendapatan dan bajet kerajaan akan bertambah sihat dengan pengurangan hutang
 negara secara berperingkat.

Pada masa itu, rakyat, terutamanya para kakitangan awam bakal mengecapi pulangan yang lebih baik berbanding zaman pemerintahan
 BN. InsyaAllah. Oleh itu, apa yang penting sekarang ialah untuk menyedarkan seluruh kakitangan awam bahawa mereka perlu bangkit membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik.

Soal pengecilan (
downsizing) atau penambahan (upsizing) kakitangan awam bergantung kepada kepentingan dan keperluan masa depan negara. Soal mengecilkan jumlah kakitangan awam tidak timbul kerana prospek keperluan mana-mana negara akan diselaraskan dengan keperluan pembangunan negara yang sentiasa bertambah tahun ke tahun. 

UMNO TERLENA DI SAAT ISLAM DIHINA

5 Dzulhijjah 1432 H | 2 November 2011

PAS mengecam tindakan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang akhir-akhir ini banyak menceroboh dasar-dasar Islam dalam komentarnya yang melampaui batas susila bermasyarakat yang menjamin kebebasan beragama dan saling menghormati antara agama.

Sikap hormat terhadap agama lain untuk mempraktik ajaran masing-masing tidak pernah dibantah oleh umat Islam dan inilah intipati kepada teras perpaduan negara. Namun PAS kesal sikap campurtangan melampau beliau akan mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama.


PAS menyangkal keras kenyataan bahawa dengan pelaksanaan hukum hudud menyebabkan pelabur tidak akan datang, dan menakutkan masyarakat bukan Islam. Sedangkan Arab Saudi yang melaksanakan sistem perundangan Islam menjadi rakan pelabur utama China dan negara Barat.
 

Para pelabur sangat mengharapkan satu jaminan keselamatan terhadap pelaburan mereka dan ini dibuktikan dengan kejayaan pelaburan mereka di negara yang melaksanakan syariat Islam.
 

Apa yang mendukacitakan ialah kebimbangan beliau kepada pelaksanaan hukum Islam yang hanya akan dikenakan kepada umat Islam sahaja; yang bertujuan menyelamatkan masyarakat dan negara dari kejahatan penjenayah samada terhadap harta atau nyawa dan keselamatan masyarakat.


Kejahilan akibat berkawan dengan Umno menyebabkan beliau yang gagal menyelesaikan masalah dalaman MCA, kini cuba menyembunyikan kelemahan pentadbirannya dan menarik sokongan masyarakat Cina dengan menyerang hukum Islam.
 

Tindakan bacul ini akan hanya menambah kebencian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap MCA, sebab sebahagian rakyat sudah tidak terkejut kerana umum mengetahui ia datang daripada seseorang yang mempunyai latar belakang yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemimpin berwibawa.


Lebih malang kini, Umno yang menjadi tulang belakang BN bersikap diam membisu terhadap beberapa kritikan melampau parti-parti dalam komponan BN terhadap ajaran Islam. Sikap lepas tangan Perdana Menteri dan para pemimpin Umno mengambarkan Umno hanya berminat menjaja isu agama sebagai modal politik daripada menjamin sikap hak beragama dilaksanakan.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS KECAM KENYATAAN ANGKUH TPM

4 Dzulhijjah 1432 H | 1 November 2011

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia membidas kenyataan ‘syok sendiri’ Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyebut bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan kerajaan yang lebih baik selain Barisan Nasional sempena perasmian Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri di Sabah baru-baru ini.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan Barisan Nasional sekarang sudah semakin terdesak untuk meraih simpati rakyat kerana telah ‘dimalukan’ oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah melondehkan segala kelemahan pentadbiran kerajaan mengurus tadbir kewangan negara sehingga menyebabkan berlaku ketirisan dan kebocoran yang cukup serius.

Selain itu juga, penyelewengan berterusan di dalam pengagihan projek yang berkisar di kalangan pimpinan Barisan Nasional turut mendapat teguran berulang kali dalam setiap Laporan Ketua Audit Nagara.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat lelucon terbaru Muhyiddin adalah agenda penerusan penafian kelemahan-kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional seperti yang telah didedahkan oleh Pemuda PAS sebelum ini.

Kejayaan Kerajaan Kelantan memerintah hampir 22 tahun tanpa rasuah dan penyelewengan kuasa, dan kejayaan Kerajaan Kedah mengurus negeri secara berhemah telah mendapat pujian oleh Ketua Audit Negara.

Begitu juga dengan kejayaan Kerajaan Selangor menguruskan kewangan negeri sehingga telah menambah aset dan simpanan negeri dan kejayaan Kerajaan Pulau Pinang mengurus tadbir negeri secara telus dan cekap adalah pembuktian yang terbaik yang menunjukkan kemampuan pemerintahan Pakatan Rakyat untuk memerintah negara Malaysia yang tercinta ini.

Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan sudah tiba masanya Rakyat Malaysia memberikan ruang dan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional daripada tampuk pemerintahan Negara pada pilihanraya umum yang ke 13 nanti.

Sudah 54 tahun Barisan Nasional diberi peluang memerintah Malaysia tetapi rakyat semakin dihimpit kesusahan, kesengsaraan dan ketakutan yang berterusan. InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan mempastikan satu pemerintahan yang cukup adil, telus dan berwibawa yang akan membawa kemakmuran, keamanan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan perbezaan fahaman politik.

MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

KEMELUT PPSMI BUKTI KECELARUAN PERANCANGAN KERAJAAN BN

4 Dzulhijjah 1432 H | 1 November 2011
Kemelut PPSMI adalah ujian yang sedang diperhatikan betapa lemahnya kerajaan Barisan Nasional dalam membuat sesuatu keputusan penting bagi masa depan negara; sehingga sebuah badan NGO boleh membuat ugutan kepada kerajaan.

Sebelumnya, NGO Perkasa membuat ugutan dalam pelbagai transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bahkan, dalam isu novel Interlok pun, ianya jadi satu polemik.

Dalam kes PPSMI, PAS melihat isu ini berpunca dari dasar pendidikan yang bercelaru dan tidak konsisten dalam pentadbiran BN. Rakyat melihat bilamana bertukar seorang Menteri Pelajaran, maka pelbagai dasar baru pendidikan diperkenalkan sehingga ia mengganggu kelancaran Dasar Pendidikan Negara.

Dasar yang sentiasa berubah ini mencerminkan sikap kerajaan Barisan Nasional yang suka menjalankan sesuatu dasar tanpa satu kajian yang mantap dan tersusun.

Ini menyebabkan negara bukan sahaja berhadapan kerugian pembinaan generasi negara selaras dengan keperluan, bahkan ia turut membawa kesan kepada kewangan negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan pandai berfikir panjang, sepatutnya perkara ini tidak berlaku.

Namun, rakyat jangan terkejut seandainya kerajaan BN akan membuat U-turn lagi dalam hal ini kerana kerajaan yang ada sangat lemah dan menunggu untuk tumbang