Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: PAS KECAM KENYATAAN ANGKUH TPM
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PAS KECAM KENYATAAN ANGKUH TPM

4 Dzulhijjah 1432 H | 1 November 2011

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia membidas kenyataan ‘syok sendiri’ Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyebut bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan kerajaan yang lebih baik selain Barisan Nasional sempena perasmian Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri di Sabah baru-baru ini.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan Barisan Nasional sekarang sudah semakin terdesak untuk meraih simpati rakyat kerana telah ‘dimalukan’ oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah melondehkan segala kelemahan pentadbiran kerajaan mengurus tadbir kewangan negara sehingga menyebabkan berlaku ketirisan dan kebocoran yang cukup serius.

Selain itu juga, penyelewengan berterusan di dalam pengagihan projek yang berkisar di kalangan pimpinan Barisan Nasional turut mendapat teguran berulang kali dalam setiap Laporan Ketua Audit Nagara.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat lelucon terbaru Muhyiddin adalah agenda penerusan penafian kelemahan-kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional seperti yang telah didedahkan oleh Pemuda PAS sebelum ini.

Kejayaan Kerajaan Kelantan memerintah hampir 22 tahun tanpa rasuah dan penyelewengan kuasa, dan kejayaan Kerajaan Kedah mengurus negeri secara berhemah telah mendapat pujian oleh Ketua Audit Negara.

Begitu juga dengan kejayaan Kerajaan Selangor menguruskan kewangan negeri sehingga telah menambah aset dan simpanan negeri dan kejayaan Kerajaan Pulau Pinang mengurus tadbir negeri secara telus dan cekap adalah pembuktian yang terbaik yang menunjukkan kemampuan pemerintahan Pakatan Rakyat untuk memerintah negara Malaysia yang tercinta ini.

Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan sudah tiba masanya Rakyat Malaysia memberikan ruang dan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional daripada tampuk pemerintahan Negara pada pilihanraya umum yang ke 13 nanti.

Sudah 54 tahun Barisan Nasional diberi peluang memerintah Malaysia tetapi rakyat semakin dihimpit kesusahan, kesengsaraan dan ketakutan yang berterusan. InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan mempastikan satu pemerintahan yang cukup adil, telus dan berwibawa yang akan membawa kemakmuran, keamanan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan perbezaan fahaman politik.

MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment