Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: HINA PENEROKA - "ISA SAMAD, MINTA MAAF ATAU TUNGGU SAMAN!"
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

HINA PENEROKA - "ISA SAMAD, MINTA MAAF ATAU TUNGGU SAMAN!"



2 Muharram 1433 H | 28 November 2011

KUALA LUMPUR, 28 Nov — Ketua peneroka Felda, yang juga seorang ahli lembaga pengarah agensi itu, memberi masa 14 hari kepada Pengerusinya Tan Sri Isa Samad yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina beliau dalam satu taklimat di Kuala Pilah awal bulan ini.

Shamsuddin Othman berkata mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda, selaku ketua kepada para peneroka, dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”, tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Isa selaku pengerusi agensi kemajuan tanah persekutuan itu.

“Ini kali pertama seorang Pengerusi Felda mengeluarkan kata-kata menghina seorang ketua peneroka, bukan sahaja pemimpin peneroka, saya kira keseluruhan peneroka rasa terhina dengan kenyataan Tan Sri Isa,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Rakaman ucapan Isa turut ditayangkan pada sidang media yang dihadiri oleh sembilan naib pengerusi JPP Wilayah dan Gerakan Persatuan Wanita.

Berdasarkan kandungan ucapannya, Isa didapati mendakwa bahawa Shamsuddin yang diturut dipanggil sebagai “Pak Sam” tidak faham-faham meskipun sudah berkali-kali dijelaskan mengenai proses penyenaraian Felda Global Ventures.
Shamsudin (gambar), 59, dari Felda Wilayah Johor Baru berkata, Isa mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian Felda Global Ventures di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu.

“Saya akan lantik peguam dan akan memberi masa 14 hari kepada Isa agar meminta maaf. Oleh kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka di khalayak ramai, maka saya mahu beliau meminta maaf secara terbuka di lima akhbar tempatan,” kata beliau lagi.

Shamsuddin yang memegang jawatan Pengerusi JKPP sejak 15 tahun lalu dan sebagai ahli lembaga pengarah sejak lima tahun lalu berkata, beliau menyedari Isa mengeluarkan kata-kata berbuat mengaibkan itu pada sebelah malam 12 November.

“Tetapi saya tidak mengambil apa-apa tindakan, saya pun tidak menghubungi beliau... hanya berharap beliau akan akan menghubungi saya dan meminta maaf, saya harap beliau tahu kesilapan beliau dan tahu apa yang patut dilakukan, tetapi sehingga kini tidak berbuat demikian.

“Jadi, saya terpaksa mengambil tindakan ini, memaklumkan kepada media. Saya mahu beliau memohon maaf dalam 14 hari... saya rasa saya telah dihina dan diaibkan dengan kata-kata ini,” kata beliau yang akan memutuskan tindakan susulan selepas tempoh itu berakhir.

Shamsudin sambil menafikan tindakannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau parti politik berkata, “saya mahu beri beliau (Isa) peluang.”
Kenyataan media yang dikeluarkan menyebut Isa tidak layak menerajui Felda.

“Malah, boleh disimpulkan cakap-cakap beliau bahawa usaha-usaha beliau lakukan untuk kebaikan peneroka tidak lebih sekadar menanam tebu di bibir,” katanya. - themalaysianinsider


0 comments:

Post a Comment