Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: 'LEMBU PUNYA SUSU, SAPI YANG DAPAT NAMA'
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

'LEMBU PUNYA SUSU, SAPI YANG DAPAT NAMA'

25 Jamadil Akhir 1431 H | 8 Jun 2010

Bilamana syarikat perjudian sukan sanggup menyerahkan RM 525 juta kepada kerajaan, apakah ini merupakan habuan yang dijanjikan sehingga kerajaan sanggup menganugerahkan lesen perjudian tersebut, walau mendapat bantahan dari pelbagai pihak? Apakah ini elemen rasuah yang dijanjikan oleh syarikat tersebut, bagi mendapat lesen besar mangaut keuntungan hasil pertaruhan judi itu? Kalau inilah asas yang kerajaan BN fikirkan, bagaimana nanti kalau syarikat pengurusan pelacuran pula memohon lesen dan sanggup memberikan kepada kerajaan jauh lebih besar dari itu. Apakah ianya juga akan diluluskan oleh kerajaan?

Ternyata dalam kesempitan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sebelum muflis pada tahun 2019, kerajaan BN akan melakukan apa sahaja; tanpa mengira apakah ianya halal dan baik untuk rakyat atau haram yang mengundang kehancuran moral rakyat. Apa yang
malang bagi umat Islam negara ini ialah pengisytiharan pengurniaan lesen dilakukan oleh orang Islam, manakala yang mengisytiharkan pengharaman pula Lim Guan Eng yang bukan Islam. Ini juga agaknya antara tanda-tanda kiamat.

Dalam keghairahan kita membantah kekejaman
Israel dan kehebatan 12 orang yang ditahan Israel, jangan pula Najib yang jadi juara. Sikap mengambil kesempatan dengan peristiwa besar ini jangan pula kita melupai bahawa negara sedang berhadapan dengan kemelut lesen perjudian yang akan menghancurkan moral rakyat. Sikap UMNO/BN yang seolah-olah ‘memekakkan’ telinga dengan bantahan dari pelbagai pihak, nampaknya tidak banyak beza dengan sikap Israel yang memekakkan telinga dengan bantahan seluruh dunia. Apakah ini kaeadah yang dinasihati oleh APCO kepada pihak kerajaan?

Kita juga jangan lupa dalam keghairahan menyokong usul dalam Parlimen bagi menyokong kecaman ke atas
Israel, negara baru kehilangan dua blok L dan M kepada Brunei - bagaimana kawasan yang sangat bernilai boleh diserah begitu sahaja. Dan apa pula yang terjadi dengan tanah KTM di Singapura? Rakyat perlu tahu dan kerajaan jangan cuba menutup isu besar ini dengan mengambil kesempatan di atas kemarahan rakyat kepada Yahudi laknatullah.

PAS menyokong sebarang tindakan kecaman dan usaha mengheret
Israel ke mahkamah jenayah antarabangsa. Negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel mesti memutuskan hubungan segera; termasuk Turki. Semua tindakan biadab Israel mesti ditentang. Tapi jangan keghairahan kita membantah sehinga lupa apa sebenarnya sedang berlaku dalam negara yang cuba ditutupi oleh kerajaan BN.

0 comments:

Post a Comment