Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: BAZIR WANG NEGARA SATU PENGKHIANATAN - A KADIR JASIN
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



BAZIR WANG NEGARA SATU PENGKHIANATAN - A KADIR JASIN

29 Dzulka'edah 1432 H | 27 October 2011

A. Kadir Jasin


BUKANLAH tujuan kita sepanjang masa mencari salah Kerajaan. Kita juga harus mengiktiraf perkara-perkara betul yang Kerajaan lakukan. Tetapi kalau Kerajaan melalukan kesalahan, kita berhak mengutuknya kerana kita tidak memilih dan membiayai Kerajaan untuk melakukan kesalahan.

Atas prinsip itu, kita menyambut baik Laporan Ketua Juruaudit Negara yang memberi markah tinggi kepada kebanyakan Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan. Tetapi kita juga mengutuk kegagalan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang gagal menunjukkan prestasi baik.


Pada 24 Oktober, portal berita Malaysian Insider melaporkan yang Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) akan menyiasat tujuh Kementerian dan Agensi kerana pengurusan kewangan yang lemah. 
Mereka adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pengangkutan, Lembaga  Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Perbadanan Stadium.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid dipetik memberitahu pemberita bahawa ini adalah tujuh yang diperakukan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya yang terbaru. Kata Azmi, PAC akan memutuskan minggu depan kalau bilangan yang akan disiasat akan ditambah.


Azmi yang disertai Ketua Juruaudit Negara, Ambrin Buang, berkata, pengurusan kewangan Kementerian dan Agensi Kerajaan bertambah baik dengan 43 daripadanya mendapat skor tertinggi empat bintang, 60 tiga bintang dan dua mendapat dua bintang. Tidak ada yang memperoleh penarafan bintang merah iaitu satu bintang.


Saya tidak bercadang membuat analisis laporan Ketua Juruaudit Negara itu kerana media massa arus perdana dan baru telah banyak melaporkannya. 
Memadailah kalau saya katakan, kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar.

Penyalahgunaan, pembaziran dan kebocoran peruntukan kewangan negara bertentangan langsung dengan mantera 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan menggambarkan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menjadi wadah perjuangan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak.
Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan.


Sebab itulah saya dari dulu lagi, berpegang kepada prinsip bahawa Perdana Menteri tidak wajar menjadi Menteri Kewangan. Tetapi, oleh kerana Perdana Menteri memilih untuk turut menjadi Menteri Kewangan, maka  beliau perlulah menanggung padah “the buck stops here” seperti yang diungkapkan oleh Presiden Amerika, Harry S. Truman.


Dalam ingatan saya, hanya Tunku Abdul Rahman Putra tidak pernah menjadi Menteri Kewangan. Yang lain semuanya menjadi Menteri Kewangan, kalau tidak lama, sekejap. Mohd Najib menjadi Menteri Kewangan sejak beliau menerajui negara pada awal 2009. 
Elok disebutkan yang dua daripada agensi yang akan disiasat oleh PAC terletak di bawah Kementerian Kewangan iaitu Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Itu belum diambil kira 9 Kementerian dan Jabatan yang terlebih berbelanja sebanyak RM3.73 bilion. Antaranya Kementerian Pelajaran, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Secara peribadi, saya tidak membantah keras kalau kejadian terlebih berbelanja oleh Kementerian-Kementerian sosial dan ekonomi seperti Pelajaran, Kesihatan dan Pertanian bukan berpunca daripada pembaziran atau penyelewengan. 
Dalam suasana ekonomi yang lembap dan inflasi yang meningkat, adalah lebih baik Kerajaan berbelanja ke atas rakyat jelata daripada untuk kesenangan beberapa kerat Menteri dan pegawai tinggi. Jadi, eloklah dijimatkan perbelanjaan mengubahsuai rumah dan pejabat Menteri, perjalanan dan keraian yang tidak perlu.

Satu lagi, saya bimbang sikap sambil lewa sesetengah pegawai awam terhadap kewangan negara bukan sahaja merugikan rakyat jelata, malah akan membawa nama buruk kepada Kerajaan. 
Golongan yang paling dianakemaskan dan dijaga ibarat menatang minyak yang penuh adalah kakitangan awam. Tetapi, bukan sahaja perkhidmatan awam masih tidak cemerlang seperti yang dijanjikan di bawah GTP, malah (dengan ampun) wujud tanda-tanda ketidakpedulian dan sabotaj oleh elemen-elemen tertentu dalam perkhidmatan awam. 

Akar umbi kepada kewujudan unsur-unsur negatif ini perlu didalami, difahami dan ditangani segera. Kepastian perlu dicari sama ada ia kebetulan atau disengajakan. 
Antara yang sering kita dengar adalah ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap campur tangan pihak luar dan pihak-pihak dalam Kerajaan yang diberikan kuasa eksekutif yang mengatasi kuasa Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi.

0 comments:

Post a Comment