Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PAS PAHANG DIROMBAK, PERKUKUH JPN HADAPI PRU13

ISNIN, 29 JUN 2009 | 06 REJAB 1430H

Mesyuarat Pertama Badan Perhubungan PAS Pahang yang diadakan pada 27 Jun lalu memperlihatkan perubahan kepimpinan utama PAS Pahang, khususnya bagi menghadapi PRU 13.

Tiga tumpuan utama yang diberi perhatian dalam rombakan kali ini, iaitu dengan melantik YB Tuan Syed Hamid sebagai Timbalan Pesuruhjaya bagi Zon Tengah - diharap dapat meningkatkan imej politik sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ADUN Semantan. Disamping itu Timbalan Pesuruhjaya Timur kekal diterajui oleh Ustaz Yusof Embong, manakala Dr Hamzah Jaafar sebagai Timbalan Pesuruhjaya bagi Zon Barat.

Ketua Penerangan PAS Pahang juga memperlihatkan perubahan bila mana Saudara Hasanuddin Salim dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala Syed Abd Rahman yang menjawat jawatan tersebut sebelum ini dilantik ke jawatan Pengerusi Lujnah Penyelidikan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

Rombakan ini dibuat kerana perkembangan politik baru negara memperlihatkan sokongan NGO amat penting kepada kemenangan PAS dalam pilihanraya akan datang. Disamping itu, Syed Abd Rahman yang juga Ketua Urusetia Dewan Negeri yang banyak terlibat dengan penyelidikan dan kajian terhadap pelbagai isu dilihat mampu menjana kekuatan maklumat yang diperlukan oleh PAS Pahang.

Selain perubahan Ketua Penerangan, Jabatan Pilihanraya PAS Pahang juga menyaksikan perubahan besar dengan saudara Abd Majid Hassan dilantik sebagai Pengarah, manakala Kapt (B) Ahyatuddin dilantik sebagai Timbalan Pengarah 1. Dengan pengalaman yang cukup luas dalam JPN, saudara Abdul Majid yang juga seorang pesara guru, mampu merangka stategi berkesan bagi menghadapi PRU 13 nanti.

Mesyuarat juga bersetuju melantik Sdra Abdullah Karim, Hjh Azizah Khatib Mat, YB Syed Mohammad Tuan Lonik, Us Abdullah Suhaimi Saat, Pn Aliwiyyah dan Dr Abd Wahab Ismail sebagai jawatankuasa tambahan yang dilantik.

Melihat barisan kepimpinan baru tersebut, PAS Pahang berkeyakinan mampu membuat kejutan dalam Pilihanraya nanti, terutama dengan kehadiran beberapa muka baru dalam barisan utama kepimpinan PAS Pahang.

BERSEMI UKHUWAH DIPUPUK KASIH

SELASA, 23 JUN 2009 | 29 JAMADIL AKHIR 1430H

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat petang ini mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.