Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: PAS PAHANG GESA MUIP BATAL PEMBELIAN MS GARDEN, UTAMAKAN KEMASLAHATAN UMMAH
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PAS PAHANG GESA MUIP BATAL PEMBELIAN MS GARDEN, UTAMAKAN KEMASLAHATAN UMMAH

2 Rabi'ul Awal 1433 H | 26 January 2012

Tinjauan awam mendapati rata-rata rakyat Pahang tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)  membeli Hotel MS Garden, walaupun tidak menggunakan wang zakat. 

Tindakan segera YDP MUIP, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan penjelasan segera terhadap isu ini harus dipuji.


Baginda bertitah urusan pengambilalihan hotel itu oleh MUIP akan dibuat menerusi pinjaman, tetapi sama ada akan menggunakan wang zakat bagi urusan itu belum dimuktamadkan.


"Bagi saya masa untuk selesaikan hal kewangan ini dahulu dan kita akan pastikan cuba tidak gunakan wang zakat," titahnya (dipetik dari Sinar Harian).


Dalam keadaan masih ramai umat Islam berada di tahap kemiskinan tegar, sebahagian besar rakyat Pahang sangat mengharapkan isu-isu utama dapat diselesaikan terlebih dahulu.


Kegagalan kerajaan negeri untuk memastikan seluruh institusi agama berjalan dengan sempurna telah menyebabkan banyak urusan pentadbiran masih berhadapan dengan pelbagai kepincangan.



Antara kepincangan yang dimaksudkan ialah seperti kegagalan melantik hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hakim Mahkamah Rayuan Syariah, pendakwaraya, Pengetua Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dan puluhan kekosongan naib Qadhi dan wali hakim. Kesemua ini telah membawa kesusahan kepada masyarakat Islam di Pahang. 


Apakah hujah kerajaan negeri Pahang dalam membeli hotel di tengah kota ibu negeri Pahang? Jika keutamaannya adalah untuk meninggikan imej MUIP, bukankah lebih baik selesaikan ratusan kes syariah seperti perceraian, tuntutan harta dan lain yang masih tertunggak akibat kekurangan pegawai daripada membeli hotel?


Ketika ini, rakyat Pahang masih menunggu tindakan kerajaan negeri untuk melaksanakan hasrat KDYMM Sultan Pahang bagi mewujudkan sekolah agama Bestari di Pahang. Bahkan, rakyat Pahang sedang tertunggu-tunggu usaha kerajaan negeri untuk mengatasi pelbagai kekurangan kemudahan di sekolah-sekolah agama yang tidak lagi kelihatan, daripada pengumuman untuk membeli hotel mewah. 


Rata-rata rakyat berharap kerajaan negeri Pahang dapat mengunakan puluhan juta wang zakat yang terkumpul kini bagi meninggikan syiar Islam terutamanya bagi memajukan bidang pendidikan.


Alangkah baiknya kalau setiap sekolah agama diperuntukan RM200,000 bagi membaikpulih kerosakan dan penyediaan kemudahan pendidikan, bantuan pendidikan kepada para pelajar miskin serta menigkatkan bayaran bantuan kepada pelajar agama di Timur Tengah kerana Pahang antara yang paling sedikit bantuan berbanding negeri-negeri lain.


Selari dengan tuntutan dan hasrat rakyat, PAS Pahang menyarankan kerajaan negeri Pahang khususnya MUIP untuk membatalkan hasrat membeli hotel mewah sebanyak RM50 juta itu. Dana tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat kepada rakyat Pahang dan Islam.

0 comments:

Post a Comment