Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: CIRI-CIRI KERAJAAN PERPADUAN- KENAPA KITA BERPOLIMIK??
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

CIRI-CIRI KERAJAAN PERPADUAN- KENAPA KITA BERPOLIMIK??

SELASA, 09 JUN 2009 | 15 JAMADIL AKHIR 1430H
Bila mana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan. Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat.

Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden disamping mengikuti penjelasan darinya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya. Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan. Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini:

  • Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah “..dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-bir (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara Perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat. Apakah al-bir dari sistem begini? Kita mesti letakkan asas al-bir ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada di antara kita yang tidak inginkan kebaikan?

  • Asas kedua ialah TAQWA. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem Negara) tetapi mestilah wujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara Perpaduan. Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara. Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia ke arah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan di hadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.

  • Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sebuah kerjasama ke arah derhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar. Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat maksiat diberi ruang yang luas oleh pemerintah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala sosial, jenayah dan penyelewengan. Akibat negara yang tidak di asas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara Perpaduan. Apa makna perpaduan, kalau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk ke arah maksiat dan dosa.

  • Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia. Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang Melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan Cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gengstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke atas rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.


Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun. Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian.

Wassalam.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN

3 comments:

Anonymous said...

slm ustaz. tahniah dan takziah seb naib pres.. tapi hati2 dlm tndkn. bkn merisaukan, tapi krn sayang. ramai pimpinan ni yg byk org kelilingnya. namun byk juga yg tk terlibat dgn parti, tak dpt tarbiyah jemaah. jd ramai yang mnddahkan itu dan ini bila di blkg atau tak brkwn. keduanya ada yg dekat dgn pmpnn atas kpntgn diri, bisnes dll. jd hati2. pilihlah pembantu2 yg sanggup bg idea dan sama2 buat kerja. byk pncatur politik dlm pas skrg bukan ahli pas, atau ahli pinggiran yg tk terlibat. sayuti, kickdefella, bakaq haq dll. jd hati2...semoga Allah memelihara gerak kerja ustaz insya Allah. Pas parti Allah. Allah yg akan pelihara, yakinlah...

Anonymous said...

Salam Perjuangan,

Saya bersetuju dan menyokong penuh saranan Presiden PAS tentang Kerajaan Perpaduan, lontaran idea tersebut sepatutnya dibincangkan, dibahaskan dari pelbagai sudut.Idea tersebut sepatutnya disambut secara positif, terbuka kerana asas saranan atau idea tersebut untuk mewujudkan keharmonian, kestabilan, perpaduan dan kemajuan.

Saya bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan bukan kerana ia akan bekerjasama dengan UMNO dan saya juga tidak nampak PAS akan tunduk mengikut rentak UMNO/BN. Saya yakin Kerajaan Perpaduan mewujukan keadilan kepada semua pihak, BN dan PR dan manafaatnya kepada rakyat dan negara.

Saya berharap semua pihak berfikir dan memikirkan untuk melahirkan Bangsa Malaysia yang mengutamakan atau mendahulukan kebaikan daripada berfikir mengutamakan kelompok atau kumpulan.


afja02

hamba said...

Shukran ya Ustaz atas komentarnyaa..
saya amat sedih kerna terdapat segelintir mereka yang kononnya ahli Jamaah Islam Pas... tapi sangat keterlaluan menghina dan mengeluarkan kata nista kepada PIMPINAN... Seolah-olah pimpinan baru hari ini menyertai PAS..

Kesal... dimana adab & akhlak yang diajari Rasulullah...??

Masalahnya, mereka yg dibawah ini "LEBIH SUDU daripada KUAH".

minta izin utk saya copy artkel ustaz ini kpd blog saya.

Post a Comment