Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: October 2009
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PATUHI KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS

RABU, 28 OKTOBER 2009 | 09 ZULKAEDAH 1430H

Jawatankuasa Disiplin Parti memandang serius beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu. Semua laporan ini sedang dipantau bagi meneliti sejauh mana segala pertuduhan yang dilemparkan sehingga mencetuskan kegawatan, sebelum mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat pada malam ini.

Jawatankuasa Disiplin parti menyambut baik saranan Dewan Pemuda agar jawatankuasa ini dipertingkatkan. Namun perlu diingat bahawa Jawatankuasa Disiplin Parti hanya boleh bertindak sekiranya ada laporan rasmi kepada parti. Segala kenyataan umum melalui akhbar atau blog tidak boleh dianggap sebagai laporan rasmi. Semua pertuduhan yang dibuat mestilah disokong dengan pembuktiaan. Bukan hanya dengar cakap atau hanya melalui beberapa blog tertentu sahaja.

Sehingga kini, Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi, dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakala satu lagi yang sedang diteliti oleh jawatankuasa. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas.

Sehubungan itu, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada. Kita mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu dalaman parti. Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

Perlu diingat bahawa Jawatankuasa Disiplin memandang serius beberapa tindakan bagi membincangkan semula sesuatu yang telah diputuskan dan dianggap telah selesai. Lantaran itu, sekiranya ada di kalangan ahli biasa atau pimpinan yang
cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan.

Awasilah media perdana yang berusaha melaga-lagakan pimpinan, dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan seolah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain. Kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan kita dan merosakkan hubungan baik serta setiakawan kita dalam Pakatan.


Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti.

NIK AZIZ : MOGA KEMELUT SELESAI

ISNIN, 26 OKTOBER 2009 | 07 ZULKAEDAH 1430H

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap mesyuarat khas PAS pusat Rabu ini dapat menyelesaikan kemelut isu kepimpinan parti walaupun tiada Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata sama ada EGM ataupun mesyuarat khas PAS ia sama saja asalkan ia dapat dijadikan platform untuk menyampaikan hasratnya kepada kepimpinan parti.

"Tidak apa asalkan benda yang sama, dulu orang Arab tidak boleh ziarah kubur tetapi Nabi Muhammad ubah boleh ziarah kubur," katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata PAS tidak akan mengadakan EGM seperti yang dicadangkan Nik Abdul Aziz sebelum ini, sebaliknya mengadakan mesyuarat khas Pas pusat bagi membincangkan isu parti.

Jawatankuasa pusat PAS dengan barisan pesuruhjaya negeri akan membincangkan isu yang dibangkitkan oleh mursyidul am itu.

Lebih kurang 60 pemimpin parti itu, termasuk Datuk Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan, akan diundang ke mesyuarat khas Pas pusat itu.

PAS PAHANG : SIASAT PENYELEWANGAN PETROL


Hashim Abdullah
Mon | Oct 26, 09 | 6:38:04 pm MYT

TEMERLOH, 26 Okt:
PAS Pahang memandang serius Laporan Ketua Audit Negara berkaitan keraguan penggunaan minyak petrol oleh kenderaan kerajaan negeri dibawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di pejabatnya semalam mahukan kerajaan Umno BN Pahang melakukan siasatan terbuka dan telus bagi mendedahkan penyelewengan yang berlaku.

"Kerajaan Pahang perlu mendedahkan penyelewengan dan membersihkan kerajaan dalam kenyataan yang mengaibkan oleh laporan tersebut," katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS menuntut kerajaan Pahang tidak melindungi sebarang penyelewengan dan salah laku mana-mana pihak dalam usaha menjaga harta rakyat.

"Kerajaan seharusnya tidak cuba melindungi sebarang penyelewengan dan salah laku mana-mana pihak bagi kebaikan dan penjagaaan harta rakyat. PAS mengesa agar pendakwaan dibuat sekiranya terdapat salah laku dan penyelewengan sebagaimana yang dilapor.

"Tindakan lima buah kenderaan rasmi sebagaimana yang didakwa mendedahkan kepada tanggapan umum bahawa pihak kerajaan melindungi pihak yang melakukan penyelewengan.

"PAS Pahang melihat teguran yang dibuat Ketua Audit Negara seolah-olah tidak diambil tindakan oleh kerajaan sebagaimana teguran-teguran sebelumnya.

"Akibatnya rakyat menanggung kerugian akibat daripada penyelewengan. Begitu juga dengan unsur penyelewengan pembinaan Hospital Pekan yang bernilai RM 81.59 juta memerlukan siasatan secara telus dan tindakan mesti diambil kepada pihak yang terlibat,"katanya. _

KENYATAAN MEDIA TUAN GURU PRESIDEN

ISNIN, 26 OKTOBER 2009 | 07 ZULKAEDAH 1430H



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Datuk Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009 _

PANDANGAN DR. ABDUL AZIZ BARI DIHARGAI

RABU, 21 OKTOBER 2009 | 02 ZULKAEDAH 1430H

Ulasan Dr Aziz Bari berhubung kekalahan PAS di Bagan Pinang adalah sebahagian daripada komentar ahli akademik yang perlu diberi perhatian, sebagaimana kita memberi perhatian kepada pandangan lain yang berada di luar kotak politik. Oleh kerana bidang politik bukan milik ahli politik sahaja, maka semua pandangan boleh diberi; walaupun tentulah agak berbeza mereka yang berada dalam gelanggang dengan yang berada di luar gelanggang. Perbezaan tersebut merupakan lumrah penilaian. Saya menghormati pandangan beliau sebagai ahli akademik, yang melihat dari sudutnya yang tersendiri. Walaupun saya sendiri mempunyai pandangan yang berbeza kerana mungkin saya berada dalam gelanggang dan sebahagian dari kepimpinan parti.

Ada
beberapa perkara yang mungkin tiada dalam maklumat beliau menyebabkan pandangan yang diberi agak bersifat kritis. Beliau mencadangkan agar parti mendisiplinkan Hassan Ali atau menyingkirkan terus, kemudian beliau menyatakan bahawa ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro umno dalam PAS seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa dan penyokong mereka. Saya ingin tegaskan ini pandangan beliau dalam posisinya sebagai ahli akademik. Tentulah banyak perkara dalaman yang dibincang dan dihalusi dalaman parti tiada dalam pengetahuannya.

Isu berlaku di Selangor bukan sahaja pertembungan untuk menarik sokongan, Bagi PAS isu utama bagaimana kita sebagai pemimpin yang akan bertanggungjawab terhadap rakyat dari dunia sampai akhirat. Kita memerlukan rakyat yang bermoral. Masyarakat menilai kita yang mewakili suara Islam dalam kerajaan. Apa tindakan kita untuk membina rakyat yang bermoral. Dr Hassan sebagai exco agama akan ditempelak tidak melakukan apa-apa bagi membela umat Islam, dalam isu arak. Tindakan beliau dengan dokongan Badan Perhubungan Negeri dan dibincang dalam exco kerajaan, bukan membuat peraturan baru, hanya sekadar melaksanakan enakmen yang sedia ada, yang tidak dikuatkuasakan selama ini.

Dalam keghairahan kita menjaga hati pengundi bukan Islam, jangan kita lupa bahawa pengundi Islam ingin melihat pembelaan kepada dasar Islam. Kita mengambil jalan tengah dengan tidak mengganggu golongan bukan Islam untuk mendapatkan minuman keras, cuma kita meminta agar penjualannya di kawasan majoriti umat Islam dihapuskan.

Mungkin Dr Aziz Bari melihat bahawa Dr Hassan Ali tidak perlu membuat kenyataan terbuka, sehingga dilihat wujudnya pertembungan antara PR. Saya ingn tegaskan bahawa isu ini telah dibincang dan beberapa kenyataan telah dikeluarkan dalam media berhubung perkara ini. Tetapi atas kedudukannya sebagai exco kerajaan yang menjaga agama dan Pesuruhjaya Negeri, saya fikir beliau juga mempunyai kekangan bila diajukan persoalan oleh pemberita, dan masyakakat juga ingin mendengar kenyataannya sebagai exco agama. Yang lebih adil ialah mendapatkan penjelasan sebenar terhadap kenyataannya, bukan hanya melalui media perdana yang tentunya lebih suka melihat pertembungan dalam PR, serta melihat juga pendirian Badan Perhubungan Negeri yang merupakan badan tertinggi parti di peringkat negeri.

Saya melihat kenyataan kontroversi bukan sahaja dari kalangan PAS, bahkan kenyataan serupa berlaku di Kedah oleh pimpinan DAP berhubung isu pusat penyembelihan, kouta perumahan, dan lainnya. Kita melihat perbezaan dalam PR adalah sikap keterbukaan kita, dan ternyata dalam beberapa pertemuan pimpinan PR, hubungan antara kita sangat kukuh, mesyuarat dwi bulanan PR merupakan
medan penting bagi pengukuhan ini.

Walau bagaimanapun pandangan Dr Aziz Bari bahawa agak sukar untuk dilakukan kerana beliau ( Dr Hassan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro Umno. Kenyataan ini tentunya agak keterlaluan, kerana Jawatankuasa Disiplin parti tidak sesekali terikat dengan apa yang disangka oleh beliau. Kita mempunyai rujukan peraturan dan tindakan. Jawatankuasa Disiplin sehingga kini menerima saranan daripada PR agar semua kepimpinan parti terikat dengan peraturan parti masing-masing, tetapi menegaskan agar tiada kenyataan yang boleh menimbulkan keretakan dalam Pakatan.

Sehingga kini Jawatankuasa Disiplin PAS tidak menerima apa-apa
surat rasmi berhubung perkara tersebut. Namun perlu dinyatakan bahawa PR dalam mesyuarat lalu telah memanggil sama semua exco Selangor bagi mendengar permasalahannya, dan mesyuarat Harian Pusat juga telah mengundang Harian Selangor bagi mendengar permasalahan yang berlaku, dan telah membuat ingatan agar semua kenyataan yang boleh megeruhkan suasana dalam PR dielakkan, bahkan sebarang perkara yang mempunyai perbezaan pandangan dapat diselesaikan dalam mesyuarat exco dan parti masing-masing.

Jelas ianya tiada kena mengena dengan pro Umno atau sebaliknya. Kita telah gagaskan kenyataan bahawa kita perlu perkukuhkan PR. Ini gagasan bersama yang telah kita lakukan. Tetapi ianya bukanlah bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan dalam berhadapan pelbagai isu yang berlaku. Bahkan saya ingatkan bersama bahawa sejarah perjuangan Islam dan sunnatulLah dalam jamaah Islam, sesiapa yang khianat dalam perjuangan ia akan gugur dari jamaah, samada Allah akan mendedahkan keburukan mereka atau jamaah akan menggugurkannya.

Antaranya beliau (Dr Aziz Bari ) memetik pandangan yang menyatakan Presiden tidak memberi respon terhadap apa yang berlaku di Selangor. Akibatnya pelbagai tuduhan yang menyamakan beliau dengan bekas presiden UMNO dan lainnya. Sedangkan realitinya beliau telahpun memberikan respon kepada apa yang berlaku, bahkan sebelumnya Timbalan Presiden telah membuat kenyataan akhbar tentang isu tersebut. Presiden berulang kali menyatakannya dalam pelbagai pertemuan parti, Cuma kita harus ingat bahawa media arus perdana tidak menyiarkan kenyataan beliau, sebagaimana mereka menyiarkan berita yang mengambarkan keretakan dalam PR. Namun Dr Aziz Bari ternyata tidak seronok dengan kenyataan dari Timbalan Presiden yang dilihat membela Hassan Ali. Dalam situasi yang ada apa jua kenyataan tentulah akan ada yang setuju dan sebaliknya. Yang tentunya kita tidak boleh minta agar semua kenyataan sesuai dengan kehendak kita.

Namun saya melihat pandangan beliau agak tersasar dari tajuk utama kerana apakah kerana kita tewas dalam satu PRK maka perubahan kepimpinan perlu dilakukan. Bagaimana dengan kemenagan sebelum ini, apakah ia tidak dilihat kejayaan kepimpinan yang ada? Mari kita kembali kepada peringatan Allah :
“Boleh jadi apa yang kamu tidak suka, ianya baik bagi kamu, dan apa yang kamu suka ianya tidak baik bagi kamu, sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya”.

PR KOMITED PERKUKUH HUBUNGAN

ISU SAMAN : ADNAN LEPAS, RAKYAT TERBEBAN

JUMAAT, 16 OKTOBER 2009 | 27 SYAWAL 1430H

Hazayani Zakaria

Fri | Oct 16, 09 | 2:06:13 pm MYT

KUALA LUMPUR, 16 Okt:
Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan Pahang membayar segera saman berjumlah RM65 juta kepada syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) bagi mengelakkan wang rakyat terus dikorbankan. Beliau berkata, sikap kerajaan yang melengah-lengahkan bayaran saman tersebut sejak sekian lama akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana faedah sebanyak RM8,000.00 sehari terus berjalan seperti yang diputuskan mahkamah.

"Saya harap kerajaan negeri menyelesaikan kes ini dengan menjelaskan hutang yang tertangguh kerana jika kerajaan lambat menjelaskannya, kadar faedah sebanyak RM8,000.00 terus berjalan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan Putrajaya minggu lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 yang mengarahkan kerajaan negeri membayar saman kepada SGM kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar, Pekan.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 mengeluarkan satu perintah kepada kerajaan negeri supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37, 127, 471.60 kepada SGM dengan kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 (jumlah keseluruhan RM60juta).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan keputusan mahkamah itu namun gagal dalam rayuannya.

Sehingga 7 April 2008, pihak defendan (Adnan dan kerajaan negeri) gagal membuat sebarang bayaran ataupun menghubungi SGM menyebabkan kedua-duanya dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Seterusnya pada 20 April 2008 Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus (perintah akur bayar) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari mulai dari tarikh itu.

Adnan sekali lagi memohon mengenepikan kes melalui Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan dari membayar hutang tersebut.

Hutang sebenar kerajaan negeri sekarang sudah menghampiri RM65juta kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, meskipun mahkamah rayuan melepaskan Adnan daripada membayar hutang tersebut, namun kerajaan negeri tetap terpaksa membayarnya.

Ujarnya, keputusan mahkamah itu juga hanya untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri terus terbeban dengan hutang yang semakin meningkat sekaligus menyebabkan rakyat turut merasai tempiasnya.

"Keputusan mahkamah itu bersifat teknikal sahaja untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri tetap menanggung hutang," katanya.

Beliau juga mendakwa, akibat penyelewengan dan rasuah yang dilakukan kerajaan Umno BN menyebabkan wang rakyat terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

"Disebabkan penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan negeri, rakyat yang terpaksa menanggung kerugian. Ini tak sepatutnya berlaku," tegasnya.