Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: KAFIR HARBI - UTUSAN MALAYSIA CETUSKAN PROVOKASI
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

KAFIR HARBI - UTUSAN MALAYSIA CETUSKAN PROVOKASI

23 Ramadhan 1433 H | 12 Ogos 2012

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka merupakan kafir harbi.

Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh.

Kafir harbi adalah merujuk kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka adalah halal ditumpahkan kerana ianya di dalam suasana perang, di mana kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam. Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan.

Di zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau dhimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden, memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan bukan Islam.

Pengkelasan Abdullah Sama'ah bahawa DAP adalah kafir Harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan. Beliau seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.

Bahkan di dalam DAP terdapat juga di kalangan pemimpin dan juga ahli mereka yang Muslim. 'Fatwa' Abdullah yang direstui oleh Utusanitu juga memberikan konotasi bahawa umat Islam di Malaysia sekarang hidup dalam suasana peperangan dan permusuhan dengan rakyat bukan Islam.

'Fatwa' liar dan membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga Utusankerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif untuk menumpahkan darah ahli-ahli DAP.

Saya menggesa agar pihak keselamatan segera menahan Abdullah dan membuat siasatan terhadap kenyataannya yang berbau ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman sekaligus menggerakkan para penggganas di atas nama Islam untuk bangkit melancarkan jihad membunuh ahli-ahli DAP. Sudah tentu kita tidak mahukan pertumpahan darah berlaku di antara kaum di Malaysia. Tindakan perlu diambil ke atas Abdullah.

Pihak media, terutamanya Utusan Malaysia sepatutnya lebih peka dengan laporan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi agen kekacauan dan ketegangan kaum, sebaliknya sepatutnya menjadi agen keharmonian dan perpaduan kaum.

Mengeluarkan tajuk berita utama di muka hadapan seperti yang telah berlaku hanya akan membuka ruang kepada pelampau perkauman untuk menghalalkan darah ahli-ahli DAP di atas nama jihad. Ini perlu dielakkan demi menjaga kesejahteraan negara Malaysia yang kita cintai bersama. - Malaysiakini

Dr. Maszlee Malik, Pensyarah UIA

0 comments:

Post a Comment