Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: TANGGUH GST : PRU 13 MAKIN HAMPIR
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

TANGGUH GST : PRU 13 MAKIN HAMPIR

7 Dzulka'edah 1431 H | 15 Oktober 2010

Keputusan penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seolah-olah mengesahkan kemungkinan kerajaan akan mengadakan Pilihan Raya Umum pada 2011.

OSK Research dalam nota penyelidikan meramalkan Pilihan Raya Umum akan diadakan pada separuh kedua 2011 selepas pilihan raya Negeri Sarawak pada awal tahun depan.
Selain isu GST, firma penyelidikan itu turut meramalkan pengurangan subsidi dan kenaikan tarif akan ditangguhkan sehingga pilihan raya berakhir.

''Keputusan tersebut mengambil kira sensitiviti politik berhubung pelaksanaan GST,'' katanya.

OSK Research berkata, ramalan berhubung pilihan raya itu dibuat selepas mengambil kira berita-berita positif yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur, sentimen pasaran yang dijangka meningkat pada separuh pertama 2011.

Sementara itu AmResearch tidak menolak kemungkinan kerajaan akan memperkenalkan GST pada tahun depan, setelah mendapat bantahan kuat daripada orang ramai.

''Tahun depan mungkin waktu terbaik kerana persekitaran ekonomi dijangka lebih stabil dan kondusif,'' katanya.

Menurut AmResearch, GST menerima banyak bantahan disebabkan kebanyakan orang masih belum mengetahui maklumat GST secukupnya.

Semalam, Kementerian Kewangan dalam kenyataan akhbarnya berkata, GST ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan berinteraksi dengan semua lapisan rakyat mengenai pelaksanaannya.
Kerajaan akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat bagi memastikan penguatkuasaan GST diterima dengan baik, kata kementerian itu. Bagaimanapun, ia berkata, kerajaan menyedari akan kepentingan GST dalam memastikan kedudukan fiskal yang kukuh dan mapan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Kerajaan kali pertama mengumumkan cadangan pelaksanaan cukai GST sebanyak empat peratus pada bacaan kali pertama di Parlimen pada 16 Disember 2009.
Namun, Rang Undang-Undang GST yang dijadualkan dibentangkan buat kali kedua di Parlimen pada Mac 2010 untuk pelaksanaan cukai tersebut menjelang suku ketiga 2011 ditangguhkan.

Pelaksanaan GST dicadangkan bertujuan untuk mengurangkan defisit bajet daripada tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2009 kepada 5.4 peratus pada tahun depan.

Penangguhan GST gambaran pilihan raya tahun depan

0 comments:

Post a Comment